Your cart is currently empty!
Dua surah luar biasa sebelum & selepas tidur
بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
قُل أَعوذُ بِرَبِّ النّاسِ
Qul a‘ūżu birabbin-nās(i).
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia”.
مَلِكِ النّاسِ
Malikin-nās(i).
“Yang Menguasai sekalian manusia,”
إِلٰهِ النّاسِ
Ilāhin-nās(i).
“Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia,”
مِن شَرِّ الوَسواسِ الخَنّاسِ
Min syarril-waswāsil-khannās(i).
“Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam,”
الَّذي يُوَسوِسُ في صُدورِ النّاسِ
Allażī yuwaswisu fī ṣudūrin-nās(i).
“Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam dada manusia,”
مِنَ الجِنَّةِ وَالنّاسِ
Minal jinnati wan-nās(i).
“(Iaitu pembisik dan penghasut) daripada kalangan jin dan manusia.”
Surah an-Nas 1 – 6
Tafsir (ringkas)
Pengenalan
Dalam perbincangan tentang tafsir surah al-Falaq sebelum ini, kita dituntut untuk memohon perlindungan kepada Allah ﷻ agar dijauhkan daripada hasad dengki sesama manusia/makhluk lain terhadap diri kita.
Daripada perbincangan tersebut, kita telah pun sedia maklum, siapakah yang memiliki sifat dengki dan hasad yang tinggi terhadap manusia? Yang demikian itulah syaitan yang sememangnya dari dulu lagi menaruh sifat dengki kepada manusia kerana Allah ﷻ menurunkan Adam dan anak cucunya ke muka bumi sebagai Khalifah.
Bukan sahaja syaitan yang menaruh kedengkian terhadap manusia, tapi kedengkian manusia kepada manusia yang lain juga adalah akibat daripada hasutan syaitan. Merekalah yang membisikkan kata-kata yang menyebabkan rasa iri hati timbul dalam diri manusia, misalnya dengan berkata: “kau tengok orang tu, kenapa dia naik pangkat tapi kau tak naik pangkat? Apa bagusnya dia?” Dan hasutan-hasutan yang seumpama dengannya.
Jadi, apabila kita memohon perlindungan kepada Allah ﷻ, hendaklah yang pertama sekali kita dahulukan adalah permohonan perlindungan daripada syaitan. Berkesinambungan dari situ, penulisan kali ini iaitu tafsir surah an-Nas, adalah tentang permohonan perlindungan kepada Allah ﷻ daripada syaitan.
Sebelum ini, kita telah belajar tafsir surah al-Falaq. Ada beberapa kaitan antara surah al-Falaq dan surah an-Nas ini:
1. Surah al-Falaq membicarakan tentang gangguan dari luar manakala surah an-Nas ini pula membicarakan tentang gangguan yang sudah masuk ke dalam diri kita.
2. Surah al-Falaq menyentuh perkara-perkara yang berada di luar kawalan kita iaitu tentang makhluk lain, keburukan waktu malam, sihir dan juga orang yang hasad terhadap kita. Manakala surah an-Nas ini adalah tentang sesuatu yang dalam kawalan kita.
Walaupun hasutan itu datang daripada syaitan, tapi kita boleh mengawalnya dan memilih sama ada untuk mengikuti hasutan itu; atau melawannya dan tidak melakukan apa-apa. Kita telah pun diberi peringatan supaya jangan mengikuti keburukan yang dihasut oleh syaitan itu. Jadi tanggungjawab untuk menepis dan tidak mengikuti hasutan syaitan itu terletak pada bahu kita.
Seandainya kita melakukan perkara yang salah, wajarkah kita memberi alasan ‘saya buat dosa tu sebab syaitan yang hasut saya’? Tentu alasan ini tidak dapat diterima. Kerana kita telah diberitahu supaya jangan ikut hasutan syaitan. Jadi kalau kita yang ikut juga, maka salahnya pada diri kita.
3. Keburukan yang dinyatakan dalam surah al-Falaq adalah keburukan luaran manakala keburukan yang disebut dalam surah an-Nas adalah keburukan dalaman iaitu serangan terhadap agama kita. Maka, peringatan yang disebut dalam surah an-Nas ini lebih berat.
4. Ada perbezaan pada susunan dalam surah al-Falaq dan surah an-Nas. Sebelum itu, kita kena faham beberapa terma yang berkaitan:
Musta’az bihi – tempat kita minta perlindungan – dalam kedua-dua surah itu, kita meminta perlindungan kepada Allah ﷻ.
Musta’az minhu – daripada apakah kita minta Allah ﷻ lindungi kita? Dalam erti kata lain, kita hendak Allah ﷻ lindungi kita dari apa?
Dalam surah al-Falaq, ada satu sahaja musta’az bihi dan banyak musta’az minhu – dari keburukan makhluk, malam, sihir dan hasad. Sedangkan dalam surah an-Nas ini, ada banyak disebut musta’az bihi dan satu sahaja musta’az minhu – syaitan dan bisikannya. Hal ini yang akan dibincangkan dengan panjang lebar nanti dalam tafsir surah an-Nas ini nanti.
5. Dalam surah al-Falaq, kita belajar memohon perlindungan daripada perasaan hasad dengki dan sihir. Syaitanlah yang banyak terlibat dalam mewujudkan perasaan dengki dalam diri manusia dan merekalah yang mengajar sihir kepada manusia.
Kepentingan Surah An-Nas
Allah ﷻ mengajar kita untuk meminta pertolongan kepada-Nya. Tapi, Siapakah Allah ﷻ? Allah ﷻ menyebut Sifat-Nya dalam surah ini. Kita akan sentuh nanti.
Siapakah yang sebenarnya memerlukan perlindungan? Yang perlu meminta perlindungan adalah golongan yang lemah iaitu kita manusia yang tidak ada kekuatan tanpa bantuan Allah ﷻ. Tidak ada sesiapa yang sempurna. Jadi kita perlu meminta pertolongan kepada Allah ﷻ sentiasa. Bahkan, Nabi Muhammad ﷺ pun meminta pertolongan dan perlindungan kepada Allah ﷻ.
Perlu kita sedari bahawa tidak ada sesiapa pun yang mampu menolong kita melainkan Allah ﷻ izinkan. Kalau ada pun usaha daripada makhluk lain yang cuba menolong, maka pertolongan yang dihulurkan itu adalah umpama sarang lebah sahaja – lemah. Jadi hindarilah diri kita daripada terlalu bergantung kepada makhluk.
Memang kadang-kadang kita akan meminta pertolongan kepada manusia, tapi pengharapan pertama kita sepatutnya diletakkan kepada Allah ﷻ terlebih dahulu. Janganlah kita meminta pertolongan kepada manusia terlebih dahulu, selepas itu barulah hendak minta pertolongan daripada Allah ﷻ. Hendaklah berdoa dahulu meminta pertolongan daripada Allah ﷻ, kemudian baru meminta tolong kepada manusia.
Seperti yang kita sudah sedia maklum, terdapat saranan daripada Nabi ﷺ supaya kita membaca dua surah ini pada waktu malam dan siang terutama setiap kali selepas solat fardhu (jangan tinggalkan amalan ini) kerana kita sentiasa diganggu dan sentiasa memerlukan pertolongan dan perlindungan daripada Allah ﷻ.
Selain dari selepas solat, dianjurkan juga membaca dua surah muawwizatain ini sebelum tidur dan selepas kita bangun dari tidur pada waktu pagi.
قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلۡفَلَقِ
Qul a‘ūżu birabbil-falaq(i).
“Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan waktu pagi,”
مِن شَرِّ مَا خَلَقَ
Min syarri mā khalaq(a).
“Dari keburukan makhluk-makhluk yang Dia ciptakan;”
وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ
Wa min syarri gāsiqin iżā waqab(a).
“Dan dari bahaya kegelapan apabila ia masuk;”
وَمِن شَرِّ ٱلنَّفَّـٰثَـٰتِ فِى ٱلۡعُقَدِ
Wa min syarrin-naffāṡāti fil-‘uqad(i).
“Dan dari kejahatan yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan;”
وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ
Wa min syarri ḥāsidin iżā ḥasad(a).
“Dan dari kejahatan yang dengki apabila ia dengki.”
Surah al-Falaq 1 – 5
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir (ringkas)
Muqaddimah
Surah ini adalah salah satu dari dua surah yang dikenali Muawwizatain (dua yang melindung). Surah An-Naas dan Surah Al-Falaq merupakan dua surah yang mengandungi permohonan perlindungan (‘Al-Mu’awwizataini’). Oleh kerana itu, kedua-dua surah ini mempunyai kedudukan yang tinggi di antara surah-surah yang lain.
Surah al-Falaq diturunkan selepas surah al-Fiil dan diletakkan selepas surah al-Ikhlas dalam susunan mushaf Al-Qur’an. Hampir kesemua orang Islam menghafal surah ini, maka ada baiknya kalau kita melihat apakah makna ayat-ayat dalam surah ini, supaya apabila kita membacanya, kita memahami apakah kesan dan harapan kita semasa membacanya.
Seperti yang kita ketahui, surah ini mempunyai permohonan perlindungan kepada Allah ﷻ. Di dalam surah ini, kita meminta perlindungan kepada Allah ﷻ daripada empat keburukan iaitu:
1. Keburukan daripada semua ciptaan Allah (makhluk).
2. Keburukan yang ada pada malam.
3. Keburukan Sihir.
4. Keburukan Hasad Dengki.
Semasa kita membaca surah ini, kita memohon kepada Allah ﷻ supaya menjauhkan kita dari semua kejahatan yang datang dalam empat perkara ini. Kita memohon supaya semuanya itu terlindung daripada kita dan kerana itu, kita memerlukan pertolongan daripada Allah ﷻ.
Dan satu persamaan keempat-empat perkara ini adalah: ianya adalah perkara yang kita tidak dapat kawal langsung. Dibandingkan dengan satu lagi Surah Muawwizaat (Surah an-Naas), ianya tentang sesuatu yang kita ada kawalan – syaitan. Kerana syaitan hanya boleh membisikkan was-was kepada kita, jadi kita ada pilihan sama ada hendak ikut ataupun tidak.
Lihat kembali susunan 4 perkara itu. Ianya adalah susunan dari yang umum kepada yang lebih khusus. Inilah yang hebatnya susunan Al-Qur’an dalam surah ini (dan tentunya surah-surah yang lain).
1. Segala keburukan yang boleh datang daripada ciptaan Allah ﷻ (makhluk) – ini memang betul-betul dalam bentuk yang umum. Ianya boleh merangkumi apa-apa sahaja dan segala benda, bukan?
2. Kemudian keburukan malam lebih khusus lagi dari segi waktu. Merujuk kepada waktu malam.
3. Kemudian tentang sihir pula. Lebih khusus lagi dari segi perbuatan jahat itu, tapi ia masih dalam bentuk jamak.
4. Yang paling khusus adalah tentang mereka yang hasad dan melakukan sesuatu dari sebab hasad dengki mereka itu.
Antara kelebihan surah ini adalah ianya dapat melindungi kita daripada sihir yang hendak dikenakan kepada kita. Ada riwayat yang menceritakan bagaimana Nabi Muhammad ﷺ telah disihir. Maka sihir ini memang benar-benar ada dan boleh terjadi kepada kita. Ini ada disebut di dalam Sahih Bukhari.
حَدَّثَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُحَمَّدٍ قَالَ سَمِعْتُ ابْنَ عُيَيْنَةَ يَقُولُ أَوَّلُ مَنْ حَدَّثَنَا بِهِ ابْنُ جُرَيْجٍ يَقُولُ حَدَّثَنِي آلُ عُرْوَةَ عَنْ عُرْوَةَ فَسَأَلْتُ هِشَامًا عَنْهُ فَحَدَّثَنَا عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُحِرَ حَتَّى كَانَ يَرَى أَنَّهُ يَأْتِي النِّسَاءَ وَلَا يَأْتِيهِنَّ قَالَ سُفْيَانُ وَهَذَا أَشَدُّ مَا يَكُونُ مِنْ السِّحْرِ إِذَا كَانَ كَذَا فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَعَلِمْتِ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَفْتَانِي فِيمَا اسْتَفْتَيْتُهُ فِيهِ أَتَانِي رَجُلَانِ فَقَعَدَ أَحَدُهُمَا عِنْدَ رَأْسِي وَالْآخَرُ عِنْدَ رِجْلَيَّ فَقَالَ الَّذِي عِنْدَ رَأْسِي لِلْآخَرِ مَا بَالُ الرَّجُلِ قَالَ مَطْبُوبٌ قَالَ وَمَنْ طَبَّهُ قَالَ لَبِيدُ بْنُ أَعْصَمَ رَجُلٌ مِنْ بَنِي زُرَيْقٍ حَلِيفٌ لِيَهُودَ كَانَ مُنَافِقًا قَالَ وَفِيمَ قَالَ فِي مُشْطٍ وَمُشَاقَةٍ قَالَ وَأَيْنَ قَالَ فِي جُفِّ طَلْعَةٍ ذَكَرٍ تَحْتَ رَاعُوفَةٍ فِي بِئْرِ ذَرْوَانَ قَالَتْ فَأَتَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْبِئْرَ حَتَّى اسْتَخْرَجَهُ فَقَالَ هَذِهِ الْبِئْرُ الَّتِي أُرِيتُهَا وَكَأَنَّ مَاءَهَا نُقَاعَةُ الْحِنَّاءِ وَكَأَنَّ نَخْلَهَا رُءُوسُ الشَّيَاطِينِ قَالَ فَاسْتُخْرِجَ قَالَتْ فَقُلْتُ أَفَلَا أَيْ تَنَشَّرْتَ فَقَالَ أَمَّا اللَّهُ فَقَدْ شَفَانِي وَأَكْرَهُ أَنْ أُثِيرَ عَلَى أَحَدٍ مِنْ النَّاسِ شَرًّا
“Telah menceritakan kepadaku Abdullah bin Muhammad dia berkata; saya mendengar Ibnu ‘Uyainah berkata; orang yang pertama kali menceritakan kepada kami adalah Ibnu Juraij, dia berkata; telah menceritakan kepadaku keluarga ‘Urwah dari ‘Urwah, lalu aku bertanya kepada Hisyam tentang haditsnya, maka dia menceritakannya kepada kami dari ayahnya dari ‘Aisyah dia berkata; bahawa Rasulullah ﷺ pernah disihir hingga seakan-akan beliau telah mendatangi para isterinya, padahal baginda tidak mendatanginya, Sufyan mengatakan; “Bahawa keadaan seperti ini termasuk sihir yang paling berat- kemudian baginda bersabda: “Wahai Aisyah, apakah kamu mengetahui bahawa Allah ﷻ telah memberikan fatwa (menghukumi) dengan apa yang telah aku fatwakan (hukumi)? Dua orang laki-laki telah datang kepadaku, lalu salah seorang dari keduanya duduk di atas kepalaku dan satunya lagi di kakiku. Kemudian seorang yang berada di kepalaku berkata kepada yang satunya; “Kenapa laki-laki ini?” Temannya menjawab; “Terkena sihir.’ Salah seorang darinya bertanya; “Siapakah yang menyihirnya?” Temannya menjawab; “Lubid bin Al A’sham, laki-laki dari Bani Zuraiq, seorang munafik dan menjadi sekutu orang-orang Yahudi.” Salah seorang darinya bertanya; “Dengan benda apakah dia menyihir?” Temannya menjawab; “Dengan rambut yang terjatuh ketika disisir.” Salah seorang darinya bertanya; “Di manakah benda itu diletakkan?” temannya menjawab; “Di mayang kurma yang diletakkan di bawah batu dalam sumur Dzarwan.” Aisyah berkata; “Kemudian Rasulullah ﷺ mendatangi sumur tersebut hingga beliau dapat mengeluarkan barang tersebut, lalu beliau bersabda: “Ini adalah sumur yang diperlihatkan padaku, seakan-akan airnya berubah bagaikan rendaman pohon inai dan seakan-akan pohon kurmanya bagaikan kepala syaitan.” Abu Hisyam berkata; “apakah beliau meminta barangnya dikeluarkan?” Aisyah berkata; Lalu aku bertanya; “Apakah anda tidak meruqyahnya?” beliau bersabda: “Tidak, sesungguhnya Allah telah menyembuhkanku dan aku hanya tidak suka memberikan kesan buruk kepada orang lain dari peristiwa itu.”
Pada bungkusan tersebut terdapat sebelas simpulan bersama sikat rambut, gigi sikatnya dan sebelas jarum. Kemudian, Rasulullah ﷺ membaca ‘Surah Mu’awwizataini’ iaitu dua surah yang diturunkan kepada baginda dalam mimpi semalam.
Setiap kali dibaca satu ayat dari kedua-dua surah tersebut, terurailah satu ikatan, sehinggalah terurai kesemua simpulannya. Maka dengan takdir-Nya, Rasulullah ﷺ dapat berdiri dan seakan-akan baru terungkai dan terlepas dari belenggu ikatan. Apabila dicabut pula satu persatu jarum tersebut, terasa sakit dalam tubuh baginda yang beransur hilang.
Disebabkan riwayat itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa surah ini adalah Surah Madaniyyah. Tapi yang menolaknya mengatakan surah ini Makkiah, cuma malaikat mengingatkan Nabi ﷺ bahawa dua surah itu boleh digunakan sebagai ruqyah.
Nabi ﷺ juga pernah bersabda lagi tentang kelebihan surah ini:
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Telah diturunkan kepadaku ayat-ayat yang tidak sepertinya iaitu ‘Al-Mu’awwizataini’ (Surah An-Naas dan surah Al-Falaq).”
Riwayat Muslim 814, At Tirmidzi 2827, An Naasa’i 944
Ada satu pendapat yang dipegang oleh ibn Mas’ud adalah dua surah ini bukan sebahagian dari Al-Qur’an tapi ianya adalah Doa Ruqyah sahaja. Ini adalah pendapat minoriti sahaja dan ditolak kerana ijmak sahabat yang lain mengatakan bahawa dua surah ini adalah sebahagian dari Al-Qur’an dan dimasukkan ke dalam mushaf. Tambahan pula ada riwayat yang mengatakan Nabi ada membaca dua surah ini di dalam solat, maka tentulah ianya adalah sebahagian dari Al-Qur’an.
Uqba bin Amar meriwayatkan “Muhammad ﷺ berkata kepadaku di dalam suatu perjalanan, ‘Mahukah kamu belajar dua surah yang luar biasa.’ Aku menjawab ‘ya, ajarkanlah padaku.’ Nabi ﷺ mengajarku Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas . Dia mengulang surah-surah yang sama ketika solat Maghrib hari itu. Lalu dia berkata kepadaku, ‘Kamu harus membaca kedua surah ini ketika hendak berangkat tidur mahupun ketika baru bangun tidur.’
Thirmidhi, Abu Dawud, & Nasai
Selesai solat dianjurkan membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas, setiap satunya sekali. Daripada Uqbah bin Amir, katanya;
أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقْرَأَ الْمُعَوِّذَاتِ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ
“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan kepadaku untuk membaca Muawwizaat di akhir solat (sesudah salam).”
Riwayat An-Nasai 1336 dan Abu Daud 1523. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadith ini shahih.
Uqbah bin ‘Amir membawakan hadith daripada Rasulullah ﷺ, bahawa Rasulullah ﷺ berkata:
اقْرَأُوا الْمُعَوِّذَاتِ فِيْ دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ
“Bacalah Al-Muawwizat pada setiap kali selepas solat.”
Riwayat Abu Dawud 1523, disahihkan oleh Asy Syaikh Al Albani dalam Ash Shahihah 1514
Surah an-Nas dan Surah al-Falaq
Uqba bin Amar meriwayatkan “Muhammad ﷺ berkata kepadaku di dalam suatu perjalanan, ‘Mahukah kamu belajar dua surah yang luar biasa.’ Aku menjawab ‘ya, ajarkanlah padaku.’ Nabi ﷺ mengajarku Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas . Dia mengulang surah-surah yang sama ketika solat Maghrib hari itu. Lalu dia berkata kepadaku, ‘Kamu harus membaca kedua surah ini ketika hendak berangkat tidur mahupun ketika baru bangun tidur.’
Thirmidhi, Abu Dawud & Nasai
Leave a Reply