Your cart is currently empty!
Perasaan ‘ujub dalam diri, bagaimana nak mengatasinya?
Soalan
Boleh terangkan bagaimana cara untuk saya atasi perasaan ‘ujub yang timbul dalam diri? Kadang-kadang ia sangat sukar untuk dikawal.
Jawapan
Kami mulakan dengan takrif ujub. Dikemukakan di sini beberapa takrif atau definisi ujub.
- Abdullah Ibn al-Mubarak ketika ditanya tentang ujub atau bangga diri, beliau menjawab: “Engkau melihat di dalam dirimu sesuatu yang tidak ada pada diri orang lain.” (Lihat Syu’ab al-Iman 7/50)
- Bisyr bin al-Harith al-Hafi menyebut: “Ujub itu ialah engkau merasa memiliki amal yang banyak dan menganggap amal orang lain sedikit.” (Lihat Hilyah al-Auliya’ 8/348)
- Imam Ghazali berkata, ujub ertinya mengagungkan diri, atau menganggap agung amal yang dilakukan. Misalnya dengan mengatakan: “Akulah orang paling soleh, tidak ada orang yang melebihi kesolehanku.”
Menurut para ulama, ujub ialah seorang yang beranggapan bahawa kemuliaan amal soleh disebabkan adanya sesuatu perkara atau sebab bukan kerana Allah ﷻ. Ujub itu mempunyai tiga wujud yakni diri sendiri, makhluk dan barang.
Sesetengah keadaan, ujub terdiri dari dua sudut, misalnya seseorang mengatakan: “Jika aku tidak mempunyai wang tentu tidak boleh menunaikan ibadat haji.” Bermakna ujubnya berwujud diri sendiri dan harta benda. Selain itu, ujub juga boleh wujud dalam bentuk tunggal.
Lawan ujub ialah zikr al-minnah (ذكر المنّة) yang bermaksud mengingati kurniaan Allah. Ia harus diingati bahawa amal soleh yang dapat diamalkan itu kerana adanya taufik daripada Allah ﷻ. Sesungguhnya Allah lah yang memuliakan amalannya dan memperbanyakkan pahalanya (Lihat Soal Jawab A – Z Tentang Tasawwuf 114).
Ujub termasuk daripada sifat-sifat yang dicela. Allah ﷻ berfirman:
فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ ۖ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ
“maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.”
Surah al-Najm Ayat 32
Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim 4/309 berkata: Yakni kamu memujinya, mensyukurinya dan bercita-cita dengan amalan kamu. Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
لاَ تُزَكُّوا أَنْفُسَكُمُ اللَّهُ أَعْلَمُ بِأَهْلِ الْبِرِّ مِنْكُمْ
“Jangan kamu mensucikan diri kamu kerana Allah lebih mengetahui orang yang paling baik dalam kalangan kamu.”
Riwayat Muslim 5733
Hadis ini sebagaimana riwayat Amru bin ‘Atha’ berkata: Aku menamakan nama anak perempuanku dengan Barrah (kebajikan atau kebaikan) lantas Zainab binti Salamah berkata kepadaku: Rasulullah ﷺ melarang nama ini, sedangkan kamu menamakannya dengan Barrah.
Imam al-Nawawi berkata, makna hadis ini: hendaklah menukar nama yang buruk atau yang makruh kepada nama yang baik (Lihat Syarah Sahih Muslim 14/120).
Ujub hendaklah dirawat dan dihilangkan dengan proses penyucian diri serta menggantinya dengan akhlak yang mulia. Allah ﷻ berfirman:
لَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَفْرَحُونَ بِمَا أَتَوا وَّيُحِبُّونَ أَن يُحْمَدُوا بِمَا لَمْ يَفْعَلُوا فَلَا تَحْسَبَنَّهُم بِمَفَازَةٍ مِّنَ الْعَذَابِ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
“Jangan sekali-kali engkau menyangka (wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan – jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.”
Surah ali-Imran Ayat 188
Pembahagian Manusia
Imam al-Ghazali menyatakan bahawa manusia terbahagi kepada tiga golongan:
- Ujub untuk selamanya. Sekalipun dia menyedari adanya kurniaan Allah ﷻ namun tetap juga dia bersifat ujub yakni golongan Muktazilah dan Qadariyyah. Mereka tidak memandang Allah ﷻ menurut pendapat mereka, segala perbuatannya merupakan inisiatif dan ciptaan mereka sendiri, bukan daripada Allah ﷻ. Begitulah akidah mereka sehingga mereka terus bersifat ujub. Mereka mengingkari adanya taufik dan pertolongan Allah ﷻ serta latifnya Allah ﷻ. Hal itu kerana syubhah yang menguasai dirinya.
- Golongan yang mengingati adanya kurniaan Allah ﷻ dan segala tindakan dianggap sebagai kurniaan Allah ﷻ sehingga mereka tidak pernah bersifat ujub atas amalan-amalannya. Hal itu kerana mereka sentiasa berhati-hati dan diberi kewaspadaan oleh Allah ﷻ serta dikhususkan dengan ta’yid daripada Allah ﷻ dan inilah golongan yang lurus.
- Golongan campur aduk, kadang-kadang ujub tetapi pada suatu saat mereka tidak bersifat ujub. Mereka ini kebanyakannya Ahli Sunnah wa al-Jama’ah, kadang-kadang menyedari kurniaan Allah ﷻ, kadang-kadang mereka lengah maka sifat ego atau ujub timbul mendadak. Hal itu kerana lemahnya ijtihad dan kurang berhati-hati.
Sehubungan dengan itu adanya golongan Qadariyah dan Muktazilah itu ada yang mengatakan sebagai kesalahan sendiri, ada juga berpendapat bahawa pahalanya tidak akan hilang kerana satu i’tiqad yang pada umumnya mengenai kumpulan-kumpulan Islam kecuali semua amalannya diujubkan (Lihat Soal Jawab A – Z Tentang Tasawwuf 114-115).
Cara Mengatasi Perasaan ‘Ujub
Antara cara mengatasi perasaan ujub ialah:
- Menyedari bahawa amal soleh yang kita lakukan hanyalah kerana pertolongan, taufik dan kurniaan Allah ﷻ. Allah ﷻ berfirman:
وَمَا بِكُم مِّن نِّعْمَةٍ فَمِنَ اللَّـهِ
“Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah.”
Surah al-Nahl Ayat 53
- Sedar bahawa ujub boleh membinasakan amalan yang kita lakukan. Daripada Anas bin Malik, katanya, sabda Rasulullah ﷺ:
ثَلَاثٌ مُهْلِكَاتٌ شُحٌّ مُطَاعٌ وَهَوًى مُتَّبَعٌ وَإِعْجَابُ الْمَرْءِ بِنَفْسِهِ
“Tiga perkara yang membinasakan: Orang yang kedekut ditaati, hawa nafsu yang diikuti da seseorang itu merasa kagum pada dirinya.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman 73 & al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat 5915
- Mengingati bahawa walaupun kita hebat, maka di sana ada yang lebih hebat. Kami nukilkan sebuah kisah sejarah ulama’ silam yang bernama al-Sya’bi. Suatu hari beliau ditanya tentang suatu masalah, lantas dijawabnya: “Aku tidak tahu.” Seorang yang lain bertanya kepadanya: “Apakah tuan tidak merasa malu berkata ‘aku tidak tahu’, walhal tuan adalah seorang ulama besar di Iraq?” Jawab al-Sya’bi: “Para malaikat juga tidak merasa malu ketika mereka berkata sepertimana firman Allah ﷻ:
قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
“Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
Surah al-Baqarah Ayat 32
- Mengetahui dan meyakini bahawa kurniaan ilmu kepada kita amatlah sedikit. Dengan sebab itu, benarlah firman Allah ﷻ:
وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا
“dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”.
Surah al-Isra’ Ayat 85
Al-Sobuni berkata: Kamu tidak dikurniakan ilmu hai manusia kecuali amat sedikit. Ini kerana ilmu kamu jauh amat sedikit berbanding dengan ilmu Allah ﷻ (Lihat Sofwah al-Tafasir 2/159).
Penutup
Dalam kitab Tahzib al-Akhlaq disebut: Sekiranya kamu berbangga dengan kuda kamu, maka kebanggaan itu adalah kembali kepada kuda itu. Jika kamu berbangga dengan baju dan alat-alat atau harta benda kamu, maka kebanggaan itu juga kembali kepada benda-benda itu semua. Begitu juga sekiranya kamu berbangga dengan keturunan, maka kelebihan itu adalah hak mereka.
Oleh itu, dalam hal ini tidak ada unsur-unsur yang boleh menjadikan kamu bersifat bangga atau takbur. Andainya setiap kebaikan dan kelebihan yang ada pada setiap benda yang dibanggakan tadi, kamu letakkan atau kembalikan kepada pemiliknya, maka kamu akan menjadi orang yang benar (Lihat Tahzib al-Akhlaq 173).
Kami akhiri perbincangan ini dengan ucapan yang sepatutnya kita ucap di atas sebarang bentuk kurniaan nikmat Tuhan seperti ungkapan Nabi Sulaiman:
هٰذا مِن فَضلِ رَبّي لِيَبلُوَني ءأَشكُرُ أَم أَكفُرُ
“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya.”
Surah al-Naml Ayat 40
Semoga Allah ﷻ menjauhkan kita daripada sifat ujub serta menjadikan kita daripada golongan yang ikhlas. Aamiin.
Al-Kafi 1071
Amir bin Syurahbil atau lebih dikenali dengan al-Sya’bi. Lahir pada tahun 20 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 109 Hijrah. Beliau merupakan seorang ulama tabi’in yang terkemuka, seorang imam dalam pelbagai bidang ilmu, penghafal hadis, dan ahli dalam bidang Fiqh. Beliau meriwayatkan hadis daripada ramai sahabat Nabi ﷺ antaranya Ali bin Abi Thalib, Abu Hurairah, Ibn Abbas, Aisyah, Ibn Umar dan lain-lainnya. (Lihat al-A’lam oleh al-Zirikli 4/19).
Leave a Reply