Depresi, bagaimana mengatasinya?

Soalan

Saya telah didiagnos dengan depression 3 tahun lepas dan kehidupan saya terasa semakin teruk. Selawat, istighfar telah saya lakukan dengan doa berterusan namun saya terasa penderitaan yang teramat teruk. Saya pernah cuba untuk membunuh diri, namun batalkan niat. Sekarang, segalanya terasa teruk semula sehingga saya rasa ingin membunuh diri.

Jawapan

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan definisi depresi:

Depresi atau kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian. Ia berlarutan sekurang-kurangnya dalam masa 2 minggu. Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa. Kemurungan boleh berlangsung sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun.

Kami telah menjawabnya dengan panjang lebar isu yang dialami oleh saudara dalam Kajian Ilmiah dengan tajuk Kemurungan Dan Putus Asa: Panduan Dari Perspektif Islam Siri Ke-9. Cukuplah saya katakan firman Allah ﷻ:

وَلَا تَيْأَسُوا مِن رَّوْحِ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

“Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.”

Surah Yusuf Ayat 87

Al-Tabari menjelaskan: “Yakni Allah berfirman bahawa janganlah seseorang itu berputus asa daripada (mengharapkan) jalan keluar daripada-Nya, rahmat-Nya, dan janganlah dia bertindak memutuskan harapan kepada-Nya, melainkan orang-orang kafir yakni kaum yang membantah kemampuan Allah untuk menciptakan apa yang Dia kehendaki.” (Lihat Jami’ al-Bayan 12/232).

Firman Allah ﷻ:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Surah al-Zumar Ayat 53

Mengenai ayat ini, al-Tabari berkata: “Yakni, janganlah berputus asa daripada rahmat Allah. Inilah seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas.” (Lihat Jami’ al-Bayan 22/398).

Al-Syaukani pula mengatakan bahawa ayat ini menjadi ayat yang paling memberikan harapan dalam Al-Qur’an kerana mengandungi khabar gembira paling besar. Keistimewaan ayat ini, pertamanya, kerana penyandaran hamba kepada Allah ﷻ sebagai bentuk penghormatan dan khabar gembira. Kemudian diterangkan bahawa sifat mereka adalah gemar melakukan dosa dan maksiat secara berlebihan, namun diikuti dengan larangan berputus asa daripada mendapatkan rahmat bagi mereka. Maka, dapat difahami bahawa larangan beputus asa ini lebih utama (min bab aula) untuk diterapkan kepada pelaku dosa yang tidak secara berlebihan, malah boleh jadi inilah maksud utama daripada ayat ini (Lihat Fath al-Qadir 6/295).

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, Rasulullah ﷺ pernah ditanya tentang dosa-dosa besar, lalu Baginda menjawab:

الْكَبَائِرُ : الشِّرْكُ بِاللهِ ، وَالإِياَسُ مِنْ رَوْحِ اللهِ ، وَاْلقُنُوْطُ مِنْ رَحْمَةِ اللهِ

“Dosa besar itu adalah melakukan syirik kepada Allah ﷻ, bersikap pesimis terhadap kasih sayang ﷻ dan berputus daripada rahmat-Nya.”

Riwayat al-Bazzar 18 dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir 8783. Al-Haithami berkata dalam Majma’ al-Zawa’id 1/104: “Para perawinya adalah thiqah.” Manakala al-Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’ 4/22 menyatakan bahawa isnadnya hasan.

Justeru, saya nasihatkan selalulah belajar ilmu dan jumpalah dengan tuan-tuan guru atau orang alim serta mohonlah nasihat darinya. Ini sudah tentu dapat memberi motivasi dan semangat kepada anda untuk meneruskan kehidupan dengan lebih bersemangat. Ingatlah, hidup ini penuh dengan ujian, syaitan dan iblis amat menyukai apabila kita rebah dan tunduk kepadanya. Sebaliknya, jika kita istiqamah dan iltizam dengan sebarang bentuk kebaikan tanpa melayan bisikan syaitan, nescaya kehidupan kita akan tenteram. 

Bacalah A-Qur’an dengan memahami makna dan tadabburnya, kerana ia adalah sebaik-baik teman yang memberi cahaya hidayah dan taufik kepada kita. Jangan sekali-kali kita melayan perasaan yang buruk kerana ia bisikan syaitan yang juga sebagai was-was. Semoga saudara terus tabah dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah ﷻ dengan secara berjemaah seperti solat berjemaah dan juga mempelajari ilmu.

Al-Bakri 1385

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir