Your cart is currently empty!
Al-Qur’an itu penawar dan rahmat bagi mereka yang beriman
بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
وَنُنَزِّلُ مِنَ القُرآنِ ما هُوَ شِفاءٌ وَرَحمَةٌ لِلمُؤمِنينَ ۙ وَلا يَزيدُ الظّالِمينَ إِلّا خَسارًا
Wa nunazzilu minal-qur’āni mā huwa syifā’uw wa raḥmatul lil-mu’minīn(a), wa lā yazīduẓ-ẓālimīna illā khasārā(n).
“Dan Kami turunkan dari Al Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.”
Surah al-Isra’ Ayat 82
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir
Tabshir serta Zajrun. Tabshir kepada mukmin kerana Qur’an itu menambah rahmat kepada mereka. Zajrun kepada orang zalim kerana mereka tidak mengambil pengajaran dari ayat Qur’an.
وَنُنَزِّلُ مِنَ القُرآنِ ما هُوَ شِفاءٌ
“Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar,”
Qur’an itu adalah penawar bagi orang mukmin. Telah disebut di dalam surah Yunus bahawa penyakit bahaya yang dimaksudkan adalah penyakit yang ada di dalam hati. Iaitu penyakit syirik dan hati yang busuk dengan sifat-sifat mazmumah.
Maka penawar bagi akidah yang rosak dan hati yang rosak, adalah dengan mempelajari dan mengamalkan Qur’an. Maka kena baca Qur’an ini selalu untuk mengingatkan kita tentang kebenaran. Apabila kita selalu baca Qur’an, maka kita akan selalu diingatkan tentang kebenaran. Maka Qur’an ini bukan sahaja untuk dipelajari, tapi kena selalu dibaca dan dijadikan sebagai zikir harian kita.
Jangan salah guna ayat ini dan jadikan Qur’an ini sebagai ayat-ayat Syifa’ pula. Ada gerakan yang menggunakan ayat-ayat Qur’an sebagai peluang buat duit dengan buka pusat perubatan. Mereka pun reka: ayat ini untuk sembuh penyakit ini dan itu. Ini bukanlah cara menggunakan Qur’an yang benar. Tidaklah perkara sebegitu dilakukan oleh golongan salaf.
وَرَحمَةٌ لِلمُؤمِنينَ
“dan rahmat bagi orang-orang yang beriman”
Dan lagi satu, Qur’an ini adalah rahmah bagi mereka yang beriman. Rahmat itu akan membawa orang mukmin itu ke dalam syurga. Oleh itu, untuk dapat rahmat ini, kenalah kita mendampingkan diri dengan Qur’an. Kenalah kita selalu baca dan tadabbur dan amalkan ajaran dalam Qur’an ini.
وَلا يَزيدُ الظّالِمينَ إِلّا خَسارًا
“dan Al-Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.”
Walaupun ada penawar dan rahmat di dalam Qur’an itu, tapi malangnya ia tidak memberi kesan kepada orang kafir. Apabila mereka baca, ia hanya menambah kerugian sahaja kepada mereka. Kerana apabila mereka baca dan mereka tidak terima, mereka tolak. Dan bila tolak Qur’an, maka akan menambah kekufuran kepada mereka dan mereka semakin jadi rugi. Patutnya tambah keimanan, tapi jadi lain pula – maka rugilah mereka.
Orang yang zalim tidak akan mendapat manfaat kerana manfaat itu dijanjikan kepada orang mukmin sahaja. Yang mukmin tidak berpeluang untuk mendapat manfaat. Perihalnya sama dengan apa yang disebutkan oleh Allah ﷻ. dalam ayat yang lain melalui firman-Nya:
وَإِذَا مَا أُنزلَتْ سُورَةٌ فَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ أَيُّكُمْ زَادَتْهُ هَذِهِ إِيمَانًا فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَزَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَهُمْ يَسْتَبْشِرُونَ وَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَتْهُمْ رِجْسًا إِلَى رِجْسِهِمْ وَمَاتُوا وَهُمْ كَافِرُونَ
“Dan apabila diturunkan suatu surat, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata, “Siapakah di antara kalian yang bertambah imannya dengan (turunnya) surat ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surat itu menambah imannya, sedangkan mereka merasa gembira. Dan adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan surat itu bertambah kekafirannya di samping kekafirannya (yang telah ada) dan mereka mati dalam keadaan kafir.”
Surah at-Taubah 124 – 125
Leave a Reply