Salah guna ayat Al-Qur’an hanya untuk tujuan tertentu

Sudah lama yang menggunakan ayat-ayat Qur’an untuk Ruqyah dan hajat-hajat tertentu. Ada yang mengatakan kalau baca ayat ini boleh sembuh penyakit ini, ayat sekian-sekian boleh menyembuhkan penyakit lain pula. Ataupun kalau amalkan membaca ayat ini, boleh dapat sekian, sekian perkara.

Contoh amalan menyimpang menggunakan ayat Qur’an dan mencipta kaedah amalan sebagai wirid selepas solat fardhu.

Ada juga yang menggunakan potongan ayat tertentu untuk hajat seperti Ayat Pengasih, bagi orang sayang, lembutkan hati terhadap kita dan sebagainya. Malah, ada yang menggunakan untuk melembutkan besi pun. Kalau untuk melembutkan besi, mereka akan baca Surah Saba Ayat 10 berulang-ulang atau dalam bilangan tertentu.

وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ مِنَّا فَضْلًا يَا جِبَالُ أَوِّبِي مَعَهُ وَالطَّيْرَ وَأَلَنَّا لَهُ الْحَدِيدَ

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami (sambil Kami berfirman): “Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud, dan wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)!” Dan juga telah melembutkan besi baginya;”

Kita difahamkan yang pengamal akan mengulang-ngulang ayat وَأَلَنَّا لَهُ الْحَدِيد

Ada masalah dengan amalan-amalan sebegini. Berikut adalah hujah-hujah yang kita hendak sampaikan:

1. Tidak ada nas dari Nabi ﷺ yang mengatakan kelebihan-kelebihan itu. Sepatutnya kita kenalah beri dalil dari Nabi ﷺ kerana perkara ghaib memerlukan pemberitahuan dari Nabi ﷺ kerana kita sendiri tidak tahu. Nabi ﷺ memang ada beritahu kelebihan surah-surah tertentu. Contohnya, sebagai perlindungan diri kita, kita disarankan baca Muawwizatain, supaya syaitan tak masuk rumah baca surah al-Baqarah dan lain-lain kelebihan surah-surah tertentu. Tetapi, malangnya, kebanyakan amalan sekarang yang disampaikan, tidak datang dari Nabi ﷺ dan tidak diketahui datang dari mana.

2. Ayat-ayat yang digunakan selalunya tidak menanggung tugas yang dimaksudkan. Sebagai contoh, ayat yang digunakan untuk melembutkan besi itu, menceritakan bagaimana Allah ﷻ melembutkan besi kepada Nabi Dawud. Di manakah doa untuk melembutkan besi itu?

Kalau memang ada doa, itu tidak mengapa. Memang ada ayat-ayat Qur’an yang jelas menjadi doa. Sebagai contoh, Surah Taha Ayat 114 :

فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ وَلَا تَعْجَلْ بِالْقُرْآنِ مِن قَبْلِ أَن يُقْضَىٰ إِلَيْكَ وَحْيُهُ وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا

“Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”.

Dalam ayat ini, memang terdapat doa di dalamnya رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا Jadi, boleh kita amalkan dan memang elok kalau kita amalkan doa-doa yang ada dalam Qur’an. Ini adalah kerana Allah ﷻ sendiri yang ajar kita bagaimana cara berdoa, siap dengan lafaz apa yang perlu disebut. Itulah doa yang baik.

3. Ayat Qur’an adalah sebagai peringatan dan sebagai panduan hidup kepada kita, bukan sebagai ‘azimat’ untuk keperluan-keperluan tertentu. Kalau sebut sekian ayat dapat apa yang dihajati, dah macam cerita Harry Potter, sebut certain words, boleh hilang, boleh terbang dan sebagainya. Adakah ayat-ayat Qur’an begitu?

Dengan menggunakan ayat Qur’an sebagai azimat, ia adalah salah satu dari sihir sebenarnya. Walaupun ia adalah ayat Qur’an, tapi kalau kita membacanya kerana niat tertentu, ianya menjadi sihir.

‘Sihir’ adalah apabila kita mengamalkan sesuatu amalan dengan niat untuk mendapatkan sesuatu – untuk jadi kebal, boleh terbang, boleh gerak laju dan sebagainya.

Contohnya ada yang mengamalkan mentera-mentera tertentu. Macam cerita Pendekar Bujang Lapok – Mambang Kuning Mambang Hijau etc. Itu adalah kata-kata sihir.

Yang penting adalah niat kita. Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

“Sesungguhnya segala amalan dikira dengan niat dan sesungguhnya setiap orang mendapat apa yang diniatnya.”

Kalau mereka niatkan nak sesuatu, Allah ﷻ mampu dan boleh untuk berikan. Tapi walaupun Allah ﷻ beri, bukannya ianya tanda yang Allah ﷻ redha dengan apa yang mereka lakukan. Kerana sihir adalah perbuatan yang haram.

Bezanya, dalam kes ini, mereka tak guna mentera, tapi guna ayat Qur’an. Mungkin kerana itu ramai yang sangka ianya tidak salah memandangkan ianya adalah ayat Qur’an. Tapi ianya masih sihir lagi.

4. Sepatutnya kita baca ayat Qur’an dengan faham apakah yang hendak disampaikan oleh Allah ﷻ kepada kita. Kita kena baca, faham dan amal apakah yang kita bacakan. Selalunya, yang membaca potongan ayat tertentu, tidak tahu pun apa yang mereka baca. Kalau mereka tahu, mungkin mereka tidak akan buat kerana mereka boleh lihat sendiri yang tidak ada doa pun dalam ayat itu. Ianya hanya Allah ﷻ memberitahu ajaran-ajaran yang sepatutnya kita ambil panduan dan bukan dibaca berulang-ulang sebagai asbab untuk mendapatkan hajat kepada sesuatu.

5. Ada yang mengatakan amalan mereka ‘menjadi’ – besi boleh jadi lembut, badan jadi sihat, boleh buat itu dan ini. Tapi sesuatu perkara itu ‘menjadi’, bukanlah dalil ianya benar. Sihir pun menjadi juga, dan ianya haram. Sami-sami Hindu pun ‘menjadi’ juga amalan mereka, tapi perbuatan mereka syirik. Jadi, kalau sesuatu itu menjadi, bukanlah ianya tanda yang ianya benar. Kalau kita nak sesat, Allah ﷻ akan beri jalan untuk kita jadi sesat. Sebab kita dah pilih jalan itu.

Tiada dalil Nabi ﷺ kita menggunakan himpunan ayat-ayat di atas sebagai bacaan ruqyah atau doa.

6. Memang ada ayat yang mengatakan Qur’an itu sebagai syifa’ – penyembuh.

Ini ada disebut dalam Surah al-Isra’ Ayat 82 :

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Qur’an Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Qur’an tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”

Tapi ayat itu di dalam bentuk umum. Tidaklah ia menyatakan bagaimana ayat-ayat itu dapat memberi penyembuhan kepada kita. Tambahan pula dalam Surah Yunus Ayat 57, memberitahu bahawa ayat Qur’an itu adalah penyembuh kepada ‘penyakit hati’.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِّمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

Kalau kita masih mahu menerima ayat-ayat Qur’an sebagai penyembuh samada penyakit hati atau penyakit fizikal, tidaklah dinyatakan di mana-mana nas yang sahih yang ayat sekian untuk penyakit jantung, ayat sekian untuk penyakit darah tinggi dan lain-lain lagi seperti yang diwar-warkan sekarang.

Oleh itu, bacalah keseluruhan Qur’an itu tanpa hanya menetapkan ayat-ayat tertentu sahaja. Kerana kita sebagai seorang muslim, hendaklah tahu keseluruhan Qur’an itu, jangan pecah-pecah, jangan pilih-pilih, jangan potong-potong.

Bahkan lebih baik ikut betul-betul amalan yang pernah dilakukan Nabi ﷺ seperti di bawah ini.

Doa yang dibaca ke atas bahagian tubuh yang sakit. Membuat amalan yang sahih daripada Nabi ﷺ maqbul dan dijamin ada barakahnya.

Bukanlah kita tidak langsung boleh menggunakan ayat-ayat Qur’an untuk menyatakan permintaan kita kepada Allah ﷻ. Tapi bagaimana? Sebagai contoh, katakanlah kita tidak ada anak. Maka kita bacakan ayat dari Surah Maryam Ayat 3 – 7 dan kemudian pohonlah anak kepada Allah ﷻ. Doa seperti begini: “Ya Allah ya Tuhanku, sepertimana Kau telah berikan anak kepada Nabi Zakariya, kurniakanlah anak kepadaku.”

Itulah cara menggunakan ayat-ayat Qur’an sebagai tawassul. Iaitu kita berbuat amal ibadat dan kemudian kita berdoa. Membaca ayat Qur’an adalah satu ibadat dan kita digalakkan berdoa selepas beribadat.

Semoga ini dapat membantu pemahaman saudara saudari sekelian tentang penggunaan ayat-ayat Al-Qur’an dan semoga ini dapat mengelakkan anda dari terjerumus ke dalam penyalahgunaan ayat-ayat Al-Qur’an.

وَاللّٰهُ اَعْلَمُ بِالصَّواب

Hujjah

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir