Tak salah menyebar gambar pelaku maksiat?

Soalan

Apakah hukum menyebarkan gambar/video pelaku maksiat untuk tujuan memberi pengajaran kepada orang lain?

Jawapan

Mencegah kemungkaran yang berlaku di hadapan mata merupakan satu kewajipan.

Firman Allah ﷻ Surah Ali-Imran Ayat 110 yang bermaksud: 

“Kamu ialah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada rnakruf dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah”.

Abu Sa’id Al-Khudri melaporkan, Nabi Muhammad ﷺ bersabda: 

“Sesiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah mengubahnya dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah mengubahnya dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman”. 

Riwayat Muslim

Umat Islam diwajibkan untuk mencegah kemungkaran kerana membenci perbuatan mungkar tersebut bukan membenci individu yang melakukannya.

Pada suatu hari, Abu Darda’ bertemu dengan seorang lelaki yang telah melakukan dosa dan orang ramai di sekitarnya sedang menghina dan mencerca lelaki tersebut. Abu Darda’ berkata: “Apa pendapat kamu, jika lelaki ini jatuh di dalam lubang yang dalam, adakah kamu akan berusaha untuk mengeluarkannya?” Orang ramai menjawab, “Ya, sudah tentu”. Abu Darda’ berkata lagi, “Jika begitu, janganlah kamu menghina saudara kamu ini. Pujilah Allah kerana Dia telah menyelamatkan kamu daripada melakukan dosa sepertinya”. Mereka bertanya,”Tidakkah kami boleh memarahinya?” Abu Darda’ menjelaskan,”Sesungguhnya aku membenci perbuatan dosanya sahaja. Jika dia telah meninggalkan dosa itu, dia tetap saudaraku”.

Menghina dan mencerca pelaku dosa tidak bertepatan dengan etika mencegah kemungkaran mengikut sunnah Nabi Muhammad ﷺ. Bahkan ia termasuk dalam perbuatan yang disukai oleh syaitan.

Abdullah bin Mas’ud berkata: “Jika kamu melihat saudara kamu melakukan sesuatu dosa, maka janganlah kamu menjadi pembantu Syaitan ke atasnya dengan kamu berkata kepadanya ‘Ya Allah celakakanlah orang itu! Ya Allah laknatlah orang itu!’. Tetapi hendaklah kamu mendoakan pelaku dosa itu agar dia diampunkan oleh Allah. Sesunguhnya kami para sahabat Nabi Muhammad ﷺ tidak akan melabelkan seseorang itu, sehingga dapat disahkan bagaimana akhir hayat orang itu. Jika dia mati dalam keadaan yang baik, maka kami tahu dia telah memperolehi kebaikan, Tetapi jika dia mati dalam keadaan yang jahat dan buruk, maka kami akan sembunyikan keburukan itu”.

Oleh itu, hukum menyebarkan gambar orang yang melakukan dosa adalah haram, kerana ia termasuk dalam mengaibkan saudara seagama. Ia juga termasuk dalam perbuatan membantu syaitan menyebarkan maksiat di atas muka bumi ini. Niat agar orang lain mengambil pengajaran, tidak menghalalkan perbuatan yang haram tersebut.

Firman Allah ﷻ dalam Surah an-Nur Ayat 19: 

“Sesungguhnya orang-orang yang suka menyebarkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).”

Thauban melaporkan, Rasulullah ﷺ bersabda: 

“Janganlah kamu menyakiti hamba Allah dan janganlah kamu memalukan mereka serta janganlah kamu dedahkan keaiban mereka. Sesungguhnya sesiapa yang mendedahkan keaiban saudara segamanya, maka Allah akan dedahkan keaiban orang itu, sehingga apa yang berlaku di dalam rumahnya pun Allah akan dedahkan”. 

Riwayat Ahmad

Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang 412

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir