Your cart is currently empty!
Membiarkan makanan dan minuman terdedah atau tidak bertutup?
Soalan
Bukankah ada larangan makan makanan yang terdedah lama seperti makanan di kedai makan yang dihidangkan secara buffet? Selalunya jarang ditutup dengan penutup tray dan kelihatan lalat berterbangan atas makanan. Mohon pandangan.
Ringkasan Jawapan
Menutup bekas makanan atau minuman walau hanya dengan meletakkan sebatang kayu merupakan salah satu sunnah Rasullah ﷺ untuk menghindarkan diri dari gangguan dan kejahatan syaitan di samping menjaga kebersihan dan kualiti makanan atau minuman.
Walaupun begitu, tidak menjadi satu masalah sekiranya makanan yang sedang dihidang di atas meja tidak sentiasa ditutup kerana sedang makan mahupun secara buffet seperti di kedai makan, tetapi sebaiknya dipastikan makanan tersebut tidak dihinggapi lalat dan kotoran yang lain. Oleh yang demikian, disarankan untuk pemilik kedai makan untuk menutupnya jika tiada pelanggan ketika itu untuk menjamin kebersihan dan kualiti makanan.
Huraian Jawapan
Islam sangat mementingkan kebersihan dan keselamatan dalam setiap aspek kehidupan manusia termasuklah dalam perihal makanan dan minuman. Dalam perkara ini, pengendalian, penyajian dan penyimpanan makanan atau minuman perlulah dilakukan dengan betul agar makanan kekal dalam keadaan baik dan selamat untuk dimakan.
Bekas-bekas makanan atau air hendaklah sentiasa tertutup kerana dikhuatiri makanan atau minuman yang dibiarkan dalam keadaan terdedah akan dicemari dengan kotoran serta serangga perosak seperti lalat dan sebagainya.
Di samping menjaga kebersihan dan keselamatan makanan, menutup bekas-bekas makanan dan air merupakan sunnah Rasulullah ﷺ. Hal ini sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah, Rasulullah ﷺ bersabda:
غَطُّوا الْإِنَاءَ، وَأَوْكُوا السِّقَاءَ، وَأَغْلِقُوا الْبَابَ، وَأَطْفِئُوا السِّرَاجَ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لَا يَحُلُّ سِقَاءً، وَلَا يَفْتَحُ بَابًا، وَلَا يَكْشِفُ إِنَاءً، فَإِنْ لَمْ يَجِدْ أَحَدُكُمْ إِلَّا أَنْ يَعْرُضَ عَلَى إِنَائِهِ عُودًا، وَيَذْكُرَ اسْمَ اللهِ، فَلْيَفْعَلْ، فَإِنَّ الْفُوَيْسِقَةَ تُضْرِمُ عَلَى أَهْلِ الْبَيْتِ بَيْتَهُمْ
“Tutuplah bekas-bekas makanan, rapatkan penutup bekas-bekas minuman, tutuplah pintu-pintu dan padamkanlah lampu-lampu, kerana syaitan tidak dapat membuka bekas minuman, membuka pintu dan membuka bekas makanan (yang telah ditutup). Jika kalian tidak mempunyai penutupnya kecuali sebatang kayu yang diletakkan di atasnya dan menyebut nama Allah, maka lakukanlah. Sesungguhnya tikus boleh merosakkan pemilik rumah dengan membakar rumah mereka.”
Riwayat Muslim 2012
Imam Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini menyatakan beberapa adab yang menjadi asbab terselamat daripada kejahatan dan gangguan syaitan kerana syaitan-syaitan tidak diberi kekuatan untuk membuka bekas-bekas dan pintu-pintu rumah yang telah ditutup dan disebutkan nama Allah ﷻ. Adab-adab ini juga bertujuan untuk menjamin keselamatan dan maslahah bukan sahaja untuk di dunia, malah untuk di akhirat jua (Lihat Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim. (Beirūt: Dār Ihya’ Turāth al-‘Arabī, 1972) Cetakan kedua 13/185).
Berbalik kepada persoalan, makanan yang dihidangkan dalam keadaan buffet dan pelanggan sedang mengambil makanan atau seseorang itu sedang makan dan makanan dihidangkan di atas meja maka, tidak mengapa untuk tidak sentiasa menutupnya tetapi perlu sentiasa dijaga makanan tersebut daripada lalat dan kotoran yang lain.
Walau bagaimanapun, sekiranya tiada pelanggan yang sedang mengambil makanan pada ketika itu, pengendali makanan hendaklah memastikan makanan ditutup dengan penutup bekas atau apa-apa sahaja yang boleh menutupnya.
Justeru itu, dinasihatkan untuk pemilik kedai makanan agar sentiasa cakna dan mengambil berat akan kebersihan kedai dan makanan dan minuman yang dijual.
وَاللهُ أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ
Al-Kafi 1878
Leave a Reply