Ibu suruh tidur beralaskan Al-Qur’an atau Surah Yasin di bawah bantal, apa hukumnya?

Apakah hukum tidur beralaskan mushaf Al-Qur’an, atau meletakkan mushaf dan naskhah Surah Yasin di bawah bantal seperti yang diamalkan oleh sebahagian masyarakat?

Ringkasan Jawapan

Haram hukumnya tidur beralaskan mushaf Al-Qur’an, naskhah surah Yasin atau apa-apa surah daripada Al-Qur’an dan kitab-kitab agama, atau meletakkannya di bawah bantal. Hal ini kerana perbuatan tersebut boleh dianggap sebagai merendah-rendahkan martabat Al-Qur’an dan ilmu agama.

Huraian Jawapan

Para ulama telah bersepakat ke atas haramnya perbuatan meremehkan dan menghina Al-Qur’an, serta wajibnya memuliakan dan memelihara mushaf, seperti yang disebut dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (Rujuk al-Mausu ‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah).

Antara perbuatan yang boleh dikira sebagai perendahan terhadap kemuliaan Al-Qur’an ialah menjadikannya sebagai alas kepala ketika tidur:

وَيَحْرُمُ تَوَسُّدُه: أي المصحف أي جَعْلُهُ وِسادة وَهِيَ المِخَدَّة التي تُوضَعُ تَحْتَ الرأْسِ، لأن في تَوَسُّدِهِ تَحقيرا وإهانَة

Diharamkan daripada berbantalkan mashaf: iaitu menjadikan mashaf itu sebagai bantal dan diletakkan di bawah kepala, ini kerana perbuatan berbantalkan mushaf itu merupakan satu bentuk merendah-rendahkan dan penghinaan.”

Faidh al-Ilah al-Malik fi Halli Alfaz ‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik oleh al-Sayyid Umar bin Muhammad al-Biqa‘ie (t.t), Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah 1/64

Selain itu, diharamkan juga menjadikan kitab-kitab agama sebagai bantal atau alas kepala ketika tidur, seperti yang disebut oleh para ulama mazhab Syafie:

وَيَحْرُمُ ‌تَوَسُّدُ مُصْحَفٍ وَغَيْرِهِ مِنْ كُتُبِ الْعِلْمِ قَالَ الْقَاضِي: إلَّا أَنْ يَخَافَ سَرِقَتَهُ

Diharamkan menjadikan mushaf dan kitab-kitab agama sebagai bantal. Kata al-Qadhi Husain: Pengecualian diberikan jika dia takut kitab atau mushaf itu dicuri.”

Al-Ghurar al-Bahiyyah fi Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah oleh Zakariyya al-Ansari (t.t) al-Matba‘ah al-Maimaniyyah, 1/149

Ibn Muflih al-Hanbali pula menukilkan kalam daripada Ibn ‘Abd al-Qawiy dalam Majma‘ al-Bahrain, bahawa diharamkan juga tidur berbantalkan kitab-kitab hadis dan buku yang terkandung dalamnya ayat Al-Qur’an (Rujuk al-Adab al-Syar ‘iyyah wa al-Minah al-Mar ‘iyyah oleh Ibn Muflih al-Hanbali (1431H) (‘Alam al-Kutub 2/285).

Justeru, berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, adalah diharamkan untuk menjadikan mushaf Al-Qur’an, naskhah surah Yasin atau apa-apa surah daripada Al-Qur’an, buku-buku yang terkandung dalamnya ayat Al-Qur’an dan juga kitab-kitab agama sebagai bantal ketika tidur atau meletakkannya di bawah bantal walaupun bagi tujuan untuk menghindari daripada gangguan jin dan sebagainya.

Disarankan juga untuk membaca ayat-ayat suci Al-Qur’an seperti Ayatul Kursi dan membaca zikir-zikir dan doa yang ma’thur daripada Rasulullah ﷺ bagi tujuan mengelakkan gangguan jin serta syaitan.

Al-Kafi 1922

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir