Your cart is currently empty!
Menggantung & mempamerkan ayat-ayat suci Al-Qur’an, bolehkah?
Saya ingin mengajukan pertanyaan, apakah hukum menggantung ayat suci al-Qur’an atau kalimah Allah atau Muhammad di dalam rumah? Bagaimana pula jika kalimah tersebut digantung di bahagian dinding belakang tv kemudian kaki kita dihalakan ke arahnya ketika berbaring? Adakah ia dikira sebagai tidak beradab dengan kalimah-kalimah suci berikut? Mohon penjelasan.
Jawapan
Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah ﷻ:
كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”
Surah Sod Ayat 29
Dalam ayat ini, Allah ﷻ menyatakan bahawa al-Qur’an diturunkan sebagai petunjuk dan juga peringatan kepada umat manusia seluruhnya. Imam al-Baidhowi mengatakan ayat ini bermaksud al-Qur’an diturunkan untuk tadabbur dan juga tazakkur (peringatan) Lihat Tafsir al-Baidhowi 5/28). Al-Qur’an adalah kalam Allah ﷻ yang mulia, merupakan petunjuk buat kita manusia, maka ia perlulah dijaga dan dipelihara dengan sebaiknya.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan berkenaan hukum menggantung ayat-ayat suci al-Qur’an ini ada dibahaskan para ulama’ berkenaannya. Pada dasarnya, para ulama’ bersepakat meletakkan hukum haram pada perbuatan menggantung ayat-ayat suci al-Qur’an atau kalimah seperti Muhammad ﷺ dan Allah ﷻ di dalam rumah ataupun di kedai-kedai dan selainnya dengan tujuan menolak bala atau melariskan perniagaan atau dengan kepercayaan ia berfungsi sebagai tangkal atau penarik orang ramai dan sebagainya. Ini bersandarkan kepada sabda Nabi Muhammad ﷺ:
مَنْ تَعَلَّقَ شَيْئًا وُكِلَ إِلَيْهِ
“Sesiapa yang menggantung sesuatu nescaya dia akan diserahkan kepadanya (benda yang digantung)”.
Riwayat Tirmizi 2072
Ibn Al-Athir sepertimana dinukilkan oleh Syeikh Mulla Ali Al-Qari, berkata: Sesiapa yang menggantungkan sesuatu ke atas dirinya daripada pelindung-pelindung, tangkal, dan yang seumpama dengan keduanya dengan beriktikad bahawa kesemua itu mendatangkan manfaat atau menghalang kemudaratan nescaya dia akan diserahkan kepadanya. Iaitu dia akan dibiarkan bersama benda yang dijadikan pelindung itu dan akan ditinggalkan bersamanya (Lihat Mirqat al-Mafatih 7/2882). Boleh rujuk juga artikel di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Irsyad Fatwa Siri 257 Hukum Amalan Pelaris oleh Peniaga.
Adapun menggantungkan ayat-ayat suci al-Qur’an dan kalimah Allah dan Muhammad sebagai perhiasan dan peringatan, ulama’ berbeza pendapat mengenainya. Perbezaan ini boleh dilihat melalui dua pendapat iaitu sebahagian ulama’ meletakkannya sebagai makruh dan sebahagian lagi mengatakannya harus.
Pendapat pertama: Makruh
Pada asalnya, perhiasan adalah diharuskan sekiranya tiada dalil yang mengharamkannya seperti berlebihan dan melampaui batas dan mendatangkan fitnah. Al-Razi menyebut di dalam kitabnya, “Sesungguhnya setiap perhiasan itu diharuskan melainkan apabila didatangkan dengan dalil (melarangnya)” (Lihat Fath al-Bayan fi Maqasid al-Qur’an 3/311).
Majoriti ulama’ meletakkan hukum makruh menggantungkan kalimah-kalimah suci pada dinding, tiang dan sebagainya walaupun dengan tujuan peringatan dan juga sebagai perhiasan.
Menurut mazhab Syafi’i, Imam al-Nawawi berkata dalam kitabnya bahawa makruh hukumnya jika menulis ayat al-Qur’an pada dinding (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamlatil Quran 190). Walaupun pada dinding masjid dan sebagainya (Lihat juga Rawdatu al-Tholibin 1/80). Perkara ini juga ada dinukilkan oleh Imam al-Syarbini dalam kitabnya (Lihat al-Iqna’ fi Halli Alfazh Abi Syuja’ 104).
Syeikh al-‘Uthaimin mengatakan perbuatan ini adalah suatu perkara yang baharu yang tiada dalam amalan ulama’-ulama’ terdahulu. Jika perbuatan ini merupakan amalan yang baik dan disukai, maka semestinya Allah ﷻ akan mensyariatkan perbuatan ini melalui lisan Rasulullah ﷺ. Kemudian, beliau menanyakan atas dasar dan sebab apa perbuatan ini dilakukan? Jika kerana rasa hormat, maka terlebih dahulu para sahabat akan melakukannya. Dan jika ia digantung sebagai peringatan, maka beliau berkata bahawa pada zaman kini, orang yang melihatnya sebagai peringatan teramatlah sedikit berbanding mereka yang melihatnya dari segi tulisan, kecantikan dan sebagainya bukannya isi kandungan yang tidak langsung menyentuh hati dan jiwa mereka untuk dijadikan iktibar mahupun peringatan (Lihat Fatawa Nur ‘ala Darb 4/2).
Syeikh Nasir bin ‘Abd al-Rahman al-Judai’ pula berkata:
لقد نص جماعة من علماء السلف عند كلامهم على الآداب الخاصة بالقرآن الكريم على كراهة كتابة القرآن الكريم على الجدران، في المسجد وغيرها، أو على الثياب ونحوها، على سبيل الاطلاق، ولم يستثنوا ما كان من ذلك لتبرك.
“Sebahagian ulama salaf (terdahulu), ketika memperkatakan berkenaan adab-adab yang khusus terhadap al-Qur’an al-Karim, mereka menetapkan secara mutlak dibencinya menulis al-Qur’an di dinding-dinding, di dalam masjid, dan selainnya, atau pada pakaian dan seumpamanya. Dan tidak terkecuali juga (menulis ayat al-Qur’an pada dinding) jika bertujuan untuk mencari keberkatan.
Al-Tabarruk ‘anwa’uhu wa ahkamuhu 239
Pendapat kedua: Harus
Sebahagian ulama’ yang lain mengatakan bahawa hukum menggantung ayat-ayat suci al-Qur’an di dalam rumah adalah harus jika untuk tujuan perhiasan dan juga sebagai peringatan.
Menurut Lajnah al-Ifta’ Jordan berkenaan hukum menggantung ayat-ayat al-Qur’an dan kalimah suci seperti Muhammad ﷺ dan Allah ﷻ pada dinding, tiang dan sebagainya, mereka mengatakan:
تجوز كتابة الآيات القرآنية على الجدران أو نقشها عليها أو تعليقها على شكل مناظر، ولكن الواجب أن تُعظَّم وتُحترم، وتُصان عن العبث أو الامتهان
“Dibolehkan menulis ayat al-Qur’an pada dinding atau diukir padanya ataupun digantung untuk dilihat. Namun ia mesti dimuliakan dan juga dihormati serta dipelihara dari sebarang penyalahgunaan dan penghinaan.”
Perkara ini juga berdasarkan kepada firman Allah ﷻ:
ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ
“Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.”
Surah al-Hajj Ayat 32
Dar al-Ifta’ al-Misriyyah juga berpendapat bahawa perbuatan menggantung kalimah tersebut adalah harus namun dengan syarat seperti berikut:
وكذلك الحال في كتابة الآيات القرآنية على الجدران في غير المساجد يجب أن تكون بطريقة مُتْقَنة مُحكَمة تراعي قدسية الآيات واحترامها.
“Begitu juga dalam hal penulisan ayat-ayat al-Qur’an pada selain dinding masjid mestilah dengan cara yang kemas dan baik meraikan kesucian ayat dan juga menghormatinya.”
Syeikh Ibn Baz juga berkata tiada larangan pada perbuatan menggantungkan ayat al-Qur’an dan juga hadith-hadith Nabi Muhammad ﷺ pada dinding dengan tujuan memberi peringatan atau mengambil iktibar dan faedah daripadanya dan bukan bertujuan sebagai pelindung. Namun, gantungan ini mestilah di tempat yang bersih dan baik bukannya di tempat yang kotor dan bukannya kalimah tersebut untuk tujuan penghinaan.
Menghormati ayat-ayat suci al-Qur’an
Kemudian, berkenaan dengan persoalan melunjurkan kaki ke arah ayat al-Qur’an yang digantung tanpa sengaja ataupun tanpa niat menghina, maka kami mengatakan ia adalah dimaafkan. Namun sebaliknya, jika si pelaku berniat memberi penghinaan ke atas ayat-ayat suci al-Qur’an tersebut, maka hukumnya adalah haram sama sekali.
Imam al-Nawawi ada menyebut:
أَجْمَعَ المُسْلِمُونَ عَلَى وُجُوبِ صِيَانَةِ المصحف وَاحْتِرَامِهِ
“Seluruh orang Islam telah bersepakat ke atas kewajipan memelihara mushaf (al-Qur’an) dan menghormatinya.”
Al-Tibyan fi Adab Hamlatil Quran 164 & 190
Penghinaan terhadap al-Qur’an jelas merupakan dosa besar. Firman Allah ﷻ:
وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ . لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ إِنْ نَعْفُ عَنْ طَائِفَةٍ مِنْكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ
“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya (al-Qur’an) serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.
Surah al-Taubah Ayat 65 – 66
Syeikh al Qadhi bin ‘Iyadh menegaskan (dalam hal berkait dengan ayat ini) “Ketahuilah, siapa saja yang meremehkan al-Qur’an, mushafnya atau sebagian dari al-Qur’an, atau mencaci-maki al-Qur’an dan mushafnya, maka ia kafir (murtad) berdasarkan kata sepakat para ulama’.
Kesimpulan
Tuntasnya, kami cenderung kepada pendapat yang mengatakan harus menggantungkan ayat-ayat suci al-Qur’an dan juga kalimah-kalimah seperti Allah ﷻ dan Muhammad ﷺ pada dinding, tiang, di dalam rumah dan sebagainya berdasarkan dawabith (syarat) yang berikut:
- Mestilah digantung di tempat-tempat dan juga kawasan yang baik, bersih dan terhindar dari kotoran najis serta digantung dengan baik (tidak mudah jatuh) bagi mengelakkan jatuhnya pada kaki manusia.
- Ia juga mestilah digantung bukan bagi tujuan penghinaan atau mencari keberkatan namun sebagai peringatan.
- Jangan berlebih-lebihan dalam perbuatan ini sehingga boleh menyebabkan berlakunya pembaziran.
Justeru, menjawab kepada persoalan yang diajukan, jika dengan menggantung kalimah suci al-Qur’an dan seumpamanya atas televisyen itu menyebabkan berlakunya penghinaan ataupun ia bercanggah dengan tujuan penggantungannya, iaitu mengingatkan diri kepada Allah ﷻ di samping bagi menghiasi dinding dengan seni tulisan khat, maka ia seharusnya dielakkan dan sebaiknya digantung kalimah tersebut berdasarkan dawabith yang telah kami senaraikan di atas. Akhir kalam, semoga Allah ﷻ memberkati kehidupan kita semua, memberikan kita kekuatan dan keikhlasan dalam beribadah kepadaNya, moga Allah ﷻ menetapkan hati kita, menguatkan keimanan, memberikan petunjuk dan kefahaman.
Irsyad Hukum 355
Leave a Reply