Ayat mencari & mengembalikan orang yang hilang

بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

وَلَو أَنَّ قُرآنًا سُيِّرَت بِهِ الجِبالُ أَو قُطِّعَت بِهِ الأَرضُ أَو كُلِّمَ بِهِ المَوتىٰ ۗ بَل لِلِهِ الأَمرُ جَميعًا ۗ أَفَلَم يَيأَسِ الَّذينَ آمَنوا أَن لَو يَشاءُ اللهُ لَهَدَى النّاسَ جَميعًا ۗ وَلا يَزالُ الَّذينَ كَفَروا تُصيبُهُم بِما صَنَعوا قارِعَةٌ أَو تَحُلُّ قَريبًا مِن دارِهِم حَتّىٰ يَأتِيَ وَعدُ اللهِ ۚ إِنَّ اللهَ لا يُخلِفُ الميعادَ

Wa lau anna qur’ānan suyyirat bihil-jibālu au quṭṭi‘at bihil-arḍu au kullima bihil-mautā, bal lillāhil-amru jamī‘ā(n), afalam yai’asil-lażīna āmanū allau yasyā’ullāhu lahadan-nāsa jamī‘ā(n), wa lā yazālul-lażīna kafarū tuṣībuhum bimā ṣana‘ū qāri‘atun au taḥullu qarībam min dārihim ḥattā ya’tiya wa‘dullāh(i), innallāha lā yukhliful-mī‘ād(a).

“Dan sekiranya ada suatu bacaan (kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digerakkan atau bumi jadi terbelah atau oleh kerananya orang-orang yang sudah mati dapat berbicara, (tentulah Al Qur’an itulah dia). Sebenarnya segala urusan itu adalah kepunyaan Allah. Maka tidakkah orang-orang yang beriman itu mengetahui bahawa seandainya Allah menghendaki (semua manusia beriman), tentu Allah memberi petunjuk kepada manusia semuanya. Dan orang-orang yang kafir senantiasa ditimpa bencana disebabkan perbuatan mereka sendiri atau bencana itu terjadi dekat tempat kediaman mereka, sehingga datanglah janji Allah. Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji.”

Surah ar-Ra’d Ayat 31

ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ

Tafsir

Ayat zajrun. Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa wahyu Qur’an ini hebat.

وَلَو أَنَّ قُرآنًا سُيِّرَت بِهِ الجِبالُ

“Dan sekiranya ada suatu bacaan (kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digerakkan”

Kalaulah ada bacaan yang dengannya gunung boleh bergerak. Ini adalah jawapan dari permintaan kurang ajar Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka cabar baginda keluarkan mukjizat yang boleh menyebabkan gunung ganang dan bukit bukau di Mekah itu diratakan supaya mereka bercucuk tanam.

Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa kesan Qur’an ini sebenarnya boleh mencabut gunung ganang kerana takutnya mereka dengan Allah ﷻ.

أَو قُطِّعَت بِهِ الأَرضُ

“atau bumi jadi terbelah dengan bacaan Qur’an itu”

Atau bumi boleh pecah, boleh jadi gempa bumi kerana kesan bacaan Qur’an ini.

Ini adalah jawapan kepada permintaan Musyrikin Mekah yang cabar Nabi Muhammad ﷺ belah tanah di Mekah dan keluarkan sungai dan mata air untuk mereka bercucuk tanam. Bila tanah sudah rata, mereka kata mereka mahu air pula untuk bercucuk tanam.

أَو كُلِّمَ بِهِ المَوتىٰ

“atau oleh kerananya orang-orang yang sudah mati dapat berbicara,”

Atau dengannya orang mati boleh bercakap. Ini adalah jawapan kepada cabaran dari Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk baginda menghidupkan tok nenek mereka yang sudah mati. Mereka suruh baginda hidupkan mereka supaya mereka boleh cakap yang memang baginda seorang Rasul.

Allah ﷻmatikan sahaja ayat ini. Muqaddarnya adalah: kalau ada bacaan yang boleh menyebabkan gunung ganang bergerak, bumi pecah dan orang mati boleh bercakap, Qur’anlah yang boleh melakukannya kerana hebatnya kesan Qur’an ini.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Zar’ah, telah menceritakan kepada kami Minjab ibnul Haris, telah menceritakan kepada kami Bisyr ibnu Imarah, telah menceritakan kepada kami Umar ibnu Hissan, dari Atiyyah Al-Aufi. Umar ibnu Hissan mengatakan bahawa dia menanyakan kepada Atiyyah tentang makna ayat berikut: 

“Dan sekiranya ada suatu bacaan (kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digoncangkan.” (Ar-Ra’d: 31), hingga akhir ayat. Atiyyah menjawab bahawa mereka (orang-orang musyrik Mekah) berkata kepada Nabi Muhammad ﷺ, “Mengapa engkau tidak menyingkirkan gunung-gunung Mekah ini dari kami sehingga tanahnya menjadi luas, maka kami akan bercucuk tanam padanya; atau engkau belahkan bumi bagi kami, sebagaimana Sulaiman membelah angin buat kaumnya; atau engkau hidupkan bagi kami orang-orang yang telah mati, sebagaimana Isa menghidupkan orang-orang mati bagi kaumnya?” Maka Allah ﷻ menurunkan ayat ini. Umar ibnu Hissan bertanya, “Apakah engkau pernah melihat hadis ini dari salah seorang sahabat Nabi ﷺ?” Atiyyah menjawab, “Ya, dari Abu Sa’id, dari Nabi ﷺ.”

بَل لِلِهِ الأَمرُ جَميعًا

“Sebenarnya segala urusan itu adalah kepunyaan Allah.”

Ini adalah jawapan kepada potongan ayat sebelum ini. Walaupun Qur’an itu hebat, dan boleh buat tiga perkara yang mereka minta di atas tadi, mereka tetap juga tidak mahu beriman. Allah ﷻ nak beritahu, kalaulah kesan itu mereka boleh lihat sendiri: gunung ganang bergerak, bumi pecah dan orang mati boleh bercakap, mereka tetap tidak beriman. Ini adalah kerana mereka amat degil. Kalau apa yang mereka minta itu diberikan, mereka tetap tidak beriman.

Allah ﷻ yang menentukan urusan kedudukan iman mereka. Apa yang dikehendaki-Nya pasti terjadi, dan apa yang tidak dikehendaki-Nya pasti tidak akan terjadi. Kalau Allah ﷻ mahu terus sesatkan mereka, mereka akan tetap sesat kerana iman dalam hati adalah urusan Allah ﷻ.

Dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah ﷻ, maka tiada seorang pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya; barang siapa yang diberi petunjuk oleh Allah ﷻ, maka tiada seorang pun yang dapat menyesatkannya.

أَفَلَم يَيأَسِ الَّذينَ آمَنوا أَن لَو يَشاءُ اللهُ لَهَدَى النّاسَ جَميعًا

“Maka tidakkah orang-orang yang beriman itu mengetahui bahawa seandainya Allah menghendaki (semua manusia beriman), tentu Allah memberi petunjuk kepada manusia semuanya.”

Adakah orang beriman sudah putus ada? (tidakkah orang beriman itu tahu?) bahawa semua yang berlaku adalah atas kehendak Allah ﷻ. Allah ﷻ yang beri hidayah atau kesesatan. Dan kalau Allah ﷻ mahu, Allah ﷻ boleh sahaja jadikan semua manusia dan jin beriman. Tapi Allah ﷻ tidak kehendaki begitu. Allah ﷻ beri peluang kepada manusia untuk memilih iman atau kufur kerana Allah ﷻ nak uji manusia itu.

Para sahabat waktu itu berharap tiga permintaan/cabaran dari Musyrikin Mekah itu boleh diberikan supaya mereka itu beriman. Maka Allah ﷻ jawab dalam ayat ini, semua urusan itu terpulang kepada Allah ﷻ. Jangan mereka sangka yang kalau diberikan segala yang mereka minta itu, Musyrikin Mekah akan beriman. Oleh itu, orang yang beriman, jangan putus asa dalam dakwah. Teruskan berdakwah walaupun orang kafir itu tidak beriman. Jangan putus asa.

Allah ﷻ tidak perlukan pun tunjuk mukjizat untuk menjadikan Musyrikin Mekah itu beriman. Allah ﷻ boleh sahaja terus bagi mereka beriman. Tapi Allah ﷻ tidak mahu mereka beriman dengan cara begitu. Mereka kena ada kehendak sendiri untuk beriman.

وَلا يَزالُ الَّذينَ كَفَروا تُصيبُهُم بِما صَنَعوا قارِعَةٌ

“Dan orang-orang yang kafir senantiasa ditimpa bencana disebabkan perbuatan mereka sendiri”

Orang kafir akan terus dikenakan dengan musibah kerana perbuatan mereka sendiri. Kerana mereka menolak untuk beriman, maka Allah ﷻ kenakan musibah kepada mereka. Walaupun apa yang mereka buat untuk menghalang musibah itu, apa yang akan dikenakan kepada mereka akan tetap dikenakan juga. Sebagai contoh, mereka terus diserang oleh puak lain, ditawan, dikenakan dengan musim kemarau dan lain-lain lagi musibah.

أَو تَحُلُّ قَريبًا مِن دارِهِم

“atau bencana itu terjadi dekat tempat kediaman mereka,”

Atau benda itu akan dilepaskan (dihalalkan) tidak lama lagi dekat dengan kediaman mereka. Maksudnya benda buruk akan terjadi kepada mereka, antaranya kekalahan dalam Perang Badr.

حَتّىٰ يَأتِيَ وَعدُ اللهِ

“sehingga datanglah janji Allah.”

Dan janji Allah ﷻ pasti akan datang. Iaitu janji untuk membinasakan mereka sekali gus. Ulama tafsir ada mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah Penaklukan Kota Mekah.

إِنَّ اللهَ لا يُخلِفُ الميعادَ

“Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji.”

Dan ini pasti berlaku kerana Allah ﷻ tidak akan mungkir janjiNya.

{فَلا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ مُخْلِفَ وَعْدِهِ رُسُلَهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ ذُو انْتِقَامٍ}

“Kerana itu, janganlah sekali-kali kamu mengira Allah akan menyalahi janji-Nya kepada rasul-rasul-Nya; sesungguhnya Allah Maha perkasa lagi mempunyai pembalasan siksa.”

Surah Ibrahim 47

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir