Apakah manfaat selawat & salam Rasullulah ﷺ?

Apakah manfaat yang didapati oleh Rasulullah ﷺ dengan kita berselawat kepada Baginda ﷺ, sedangkan Baginda ﷺ sudah mendapat tempat yang mulia dan tertinggi di sisi Allah ﷻ serta Baginda ﷺ juga seorang yang maksum?

Ringkasan Jawapan

Kesimpulannya, ucapan selawat dan salam kita ke atas Rasulullah ﷺ memberi manfaat kepada Baginda ﷺ dengan kita memohon sesuatu rahmat yang belum terhasil. Ini kerana pada setiap waktu itu pasti ada rahmat yang masih belum didapati oleh Baginda ﷺ. Oleh yang demikian, Rasulullah ﷺ akan sentiasa meningkat kesempurnaannya yang tiada berpenghujung. Justeru itu, hendaklah kita sentiasa memperbanyakkan ucapan selawat dan salam ke atas Baginda ﷺ kerana sudah tentu mendapat ganjaran di sisi Allah ﷻ.

Huraian Jawapan

Sesungguhnya amalan berselawat ke atas Rasulullah ﷺ merupakan satu amalan yang agung dan besar ganjarannya di sisi Allah ﷻ. Dalam menggambarkan keagungan dan kebesaran amalan tersebut, Allah ﷻ memulakan perintah untuk berselawat dengan dzat-Nya dan para malaikat terlebih dahulu, sebelum kita sebagai orang-orang beriman dituntut untuk mengucapkan selawat dan salam kepada Rasulullah ﷺ. Firman Allah ﷻ:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad ﷺ); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

Surah al-Ahzab 56

Berkaitan hal ini, para ulama’ ada membahaskan tentang berapa kali kah kita diwajibkan untuk mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah ﷺ. Disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’ bahawa:

وَاخْتلف فِي وَقت وجوب الصَّلَاة على النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم على أَقْوَال. أَحدهَا كل صَلَاة  َاخْتَارَهُ الشَّافِعِي فِي التَّشَهُّد الْأَخير مِنْهَا وَالثَّانِي فِي الْعُمر مرّة وَالثَّالِث كلما ذكر وَاخْتَارَهُ الْحَلِيمِيّ من الشَّافِعِيَّة والطَّحَاوِي من الْحَنَفِيَّة وَاللَّخْمِيّ من الْمَالِكِيَّة وَابْن بطة من الْحَنَابِلَة وَالرَّابِع فِي كل مجْلِس وَالْخَامِس فِي أول كل دُعَاء وَفِي وَسطه وَفِي آخِره

Para ulama’ berbeza pandangan berkaitan kewajipan mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah ﷺ kepada beberapa pandangan. Pertama, pada setiap kali solat didirikan dan Imam al-Syafie memilihnya dengan menyatakan ia di dalam tasyahhud akhirKedua, sekali seumur hidup. Ketiga, setiap kali apabila nama Baginda ﷺ disebut disisinya dan pandangan ini dipilih oleh al-Halimi daripada ulama’ al-Syafieiyyah, Imam al-Tahawi daripada ulama al-Hanafiah, al-Lakhmi daripada ulama’ al-Malikiyyah, Ibn Battoh daripada ulama’ al-Hanabilah. Keempat, di dalam setiap majlis. Kelima, pada setiap permulaan, pertengahan dan akhir doa.” (Rujuk al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’ 9)

Dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Amat rugilah seseorang itu apabila disebutkan namaku tetapi dia tidak berselawat ke atasku.”

Riwayat Ahmad 7451 dan Tirmizi 3545

Di dalam hadith yang lain pula, Rasulullah ﷺ bersabda:

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Orang yang bakhil adalah orang yang apabila disebutkan namaku, maka dia tidak berselawat ke atasku.”

Riwayat al-Thabrani, al-Mu’jam al-Kabir 2885

Oleh itu, hendaklah kita memperbanyakkan ucapan selawat dan salam ke atas Rasulullah ﷺ walaupun tanpa mengetahui manfaat yang didapati Baginda ﷺ daripada selawat dan salam kita tersebut kerana sudah tentu mendapat ganjaran di sisi Allah ﷻ. Walaubagaimanapun, bagi menjawab persoalan di atas, kami nukilkan jawapan daripada Shaykh Nawawi al-Jawi di dalam kitabnya Kasyifah al-Saja Syarh Safinat al-Naja, bahawa:

[مسألة] قال إسماعيل الحامدي: فإن قيل إن الرحمة للنبي حاصلة فطلبها تحصيل الحاصل. فالجواب: أن المقصود بصلاتنا عليه طلب رحمة لم تكن فإنه ما من وقت إلا وهناك رحمة لم تحصل له، فلا يزال يترقى في الكمالات إلى ما لا نهاية له فهو ينتفع بصلاتنا عليه على الصحيح، لكن لا ينبغي أن يقصد المصلي ذلك بل يقصد التوسل إلى ربه في نيل مقصوده

“[Perbahasan] Shaykh Ismail al-Hamidi berkata: Jika dikatakan bahawa rahmat kepada Nabi ﷺ sudah terhasil, maka memintanya dikira sebagai tahsil al-hasil (meminta sesuatu yang sudah terhasil). Jawapannya, bahawa maksud selawat dan salam kita ke atas Rasulullah ﷺ adalah meminta rahmat yang masih tiada kerana pada setiap waktu itu pasti ada rahmat yang masih belum didapati oleh Baginda ﷺ. Maka Rasulullah ﷺ akan sentiasa meningkat kesempurnaannya yang tiada berpenghujung, justeru Baginda ﷺ mendapat manfaat daripada ucapan selawat dan salam kita mengikut pandangan yang sahih. Walau bagaimanapun tidak patut seseorang yang berselawat ke atas Rasulullah ﷺ untuk berniat sedemikian, bahkan hendaklah dia berniat untuk bertawassul (menjadikannya sebagai wasilah untuk memohon) kepada Allah ﷻ untuk mencapai maksud tersebut (Rujuk Kasyifah al-Saja Syarh Safinah al-Naja 9).

Kesimpulannya, ucapan selawat dan salam kita ke atas Rasulullah ﷺ memberi manfaat kepada Baginda ﷺ kerana kita memohon sesuatu rahmat yang belum terhasil. Ini kerana pada setiap waktu itu pasti ada rahmat yang masih belum didapati oleh Baginda ﷺ. Oleh yang demikian, Rasulullah ﷺ akan sentiasa meningkat kesempurnaannya yang tiada berpenghujung.

Al-Kafi 1776

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir