Doa mustajab? Bagaimana mendapatkannya?

Bagaimana cara untuk memustajabkan doa?

Jawapan

Kami telah nyatakan beberapa kali berkaitan isu ini dalam jawapan-jawapan kami sebelum ini. Antara perkara yang perlu diambil perhatian ialah adab dalam berdoa.

Pertama: Berdoa dengan Penuh Harap dan Yakin

Antara adab berdoa, seseorang itu perlulah meminta kepada Allah ﷻ dalam keadaan dirinya bersangka baik dengan-Nya agar permintaan itu dimustajabkan. Demikian juga, seseorang itu perlulah berdoa dalam keadaan penuh harap (agar doa dimustajabkan) dan juga perasaan takut (dari doa tertolak). Ini berdasarkan firman Allah ﷻ:

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا

“Maksudnya: “Sesungguhnya mereka itu (para Nabi) sentiasa bersegera dalam melakukan perkara kebaikan. Dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan penuh harap dan rasa takut.”

Surah al-Anbiya’ 90

Ayat di atas ini sebelumnya menceritakan berkenaan beberapa orang para Nabi dan juga permintaan yang mereka lakukan. Nabi Ayyub berdoa kepada Allah ﷻ untuk memberikan kesembuhan kepada penyakit yang menimpanya, lalu Allah ﷻ mustajabkan. Nabi Yunus berdoa supaya diselamatkan dari musibah yang menimpa dirinya saat berada di dalam perut ikan Nun, kemudian Allah ﷻ mustajabkan doanya. Berikutnya, Nabi Zakaria juga berdoa supaya dikurniakan zuriat, lalu Allah ﷻ memustajabkannya dengan mengurniakan Nabi Yahya sebagai anak. Ketiga-tiga para Nabi ini dimustajabkan doa mereka kerana berdoa dalam keadaan penuh harap dan takut kepada Allah ﷻ.

Begitu juga berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah ﷻ tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.”

Riwayat al-Tirmizi 3479

Kedua: Memuji Tuhan Sebelum Berdoa

Antara adab dalam berdoa adalah dengan memuji Allah ﷻ sebelum meminta sebarang hajat. Hal ini sebagai contoh mudahnya adalah dengan melihat kepada bacaan surah al-Fatihah yang dibacakan oleh seseorang. Ia berdasarkan sebuah riwayat yang panjang daripada Abu Hurairah beliau berkata bahawa Rasulullah ﷺ menceritakan berkenaan bacaan al-Fatihah di dalam solat. Lalu Allah ﷻ membahagikan solat kepada dua bahagian, untuk diri-Nya dan untuk para hamba-Nya.

Jelas dalam surah al-Fatihah, terdapat 5 pujian daripada ayat pertama hinggalah ke ayat yang ke lima kepada Allah ﷻ. Kemudian pada ayat yang keenam, ia diikuti dengan permintaan atau doa yang pertama iaitu:

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ

“Berilah kami hidayah kepada jalan yang lurus.”

Surah al-Fatihah 6

Demikian juga seperti yang difirmankan oleh Allah ﷻ di dalam Al-Qur’an yang menceritakan berkenaan doa Nabi Ibrahim, baginda memulakan dengan katanya:

الَّذِي خَلَقَنِي فَهُوَ يَهْدِينِ . وَالَّذِي هُوَ يُطْعِمُنِي وَيَسْقِينِ . وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ . وَالَّذِي يُمِيتُنِي ثُمَّ يُحْيِينِ . وَالَّذِي أَطْمَعُ أَن يَغْفِرَ لِي خَطِيئَتِي يَوْمَ الدِّينِ

“Dialah Tuhan yang telah menciptakan aku maka Dia jugalah yang memberikan petunjuk. Dialah Tuhan yang memberi makan dan minum kepadaku. Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang memberikan kesembuhan. Dan Dialah Tuhan yang mematikan aku kemudian menghidupan semula (diriku). Dan Dia jugalah Tuhan yang sangat aku harapkan supaya Dia mengampunkan kesalahan-kesalahanku pada hari akhirat.”

Surah al-Syu’ara 78 – 82

Kesemua ungkapan di atas ini, jika diteliti ia adalah suatu puji-pujian seorang hamba kepada Tuhannya. Maka Nabi Ibrahim tidak terhenti sekadar lima pujian ini, bahkan baginda menyambungnya dengan lima buah permintaan kepada Allah ﷻ melalui firman-Nya:

رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ . وَاجْعَل لِّي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ . وَاجْعَلْنِي مِن وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ . وَاغْفِرْ لِأَبِي إِنَّهُ كَانَ مِنَ الضَّالِّينَ . وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

“Tuhanku, berilah hikmah kepadaku dan golongkanlah diriku bersama dengan orang-orang yang soleh. Berilah kepadaku lisan yang benar buat orang-orang yang terkemudian. Dan jadikanlah aku di antara mereka yang mewarisi syurga al-na’im. Dan ampunkanlah bapaku, sesungguhnya dia tergolong dalam kalangan mereka yang tersesat. Dan janganlah Kau hinakan aku pada hari kebangkitan.”

Surah al-Syu’ara’ 83 – 87

Justeru, dapat kita fahami bahawa petunjuk qurani di dalam berdoa adalah dengan memulakannya dengan ucapan pujian-pujian kepada Allah ﷻ.

Sebagai tambahan, cukuplah kami nyatakan di sini dua hadis untuk melengkapkan jawapan di atas.

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَسْتَجِيبَ اللَّهُ لَهُ عِنْدَ الشَّدَائِدِ وَالْكُرَبِ، فَلْيُكْثِرِ الدُّعَاءَ فِي الرَّخَاءِ

“Siapa yang suka Allah terima doanya ketika kesukaran dan kepayahan, maka hendaklah dia membanyakkan doa pada masa kemewahan dan kesenangan.”

Riwayat al-Tirmizi 3382 dan Abu Ya’la dalam Musnadnya 6396

Daripada Abi Hurairah katanya, Rasulullah ﷺ bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ ، وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

“Berdoalah kamu kepada Allah dalam hal keadaan kamu yakin dengan penerimaan Tuhan. Ketahuilah bahawa Allah ﷻ tidak menerima doa daripada hati orang yang lalai.”

Riwayat al-Tirmizi 3479, al-Hakim 1817 dan Ibn Hibban 1/372

Semoga Allah ﷻ menjadikan diri kita sentiasa tabarru’ dan munajat kepada-Nya sama ada ketika senang atau susah. Aamiin.

Al-Kafi 1015

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir