Suamiku ustaz atau bomoh? 2/2

Tulisan ini adalah sambungan dari part 1. Selepas membaca komen saya ingin menjelaskan banyak perkara tetapi tidak diizinkan kerana perkara yang ghaib adalah hak Allah. Hanya segelintir manusia Yang diberitahu ilmu untuk memahami sedikit sahaja dari ilmu tersebut.

Ilmu Allah ibarat air lautan, dan apa yang diberikan kepada manusia itu hanya setitis sahaja. Tidak mengurang atau menambah ilmu Allah yang Maha Bijaksana. Allah ya Aliiimmm.

Kepada yang tidak pernah mengalami disihir, akan mudah memandang mereka yang berubat ke insan seperti suami saya sebagai sesat, syirik dan sebagainya. Sedangkan mereka merawat juga menggunakan kaedah tertentu yang tidak bertentangan dengan Islam.

Saya nak tanya pendapat pembaca budiman, sekiranya barang pemujaan sihir ditanam bukan dirumah pesakit tetapi dirumah dukun santet, bolehkan rukyah melepaskannya? Seperti API yang panas membakar, panasnya tak akan hilang kalau sekadar dikipas.

Kalau nak sejuk, kena lah padamkan API dan buang sumber api tersebut supaya tidak dapat membakar lagi. Bagaimana perawat hendak ke tempat dukun untuk mencabut barang pemujaan sihir yang ditanam?

Seperti voodoo, semangat jahat dimasukkan melalui patung dan iblis yang diseru akan pergi kepada manusia yang dituju dan melakukan seperti arahan dukun sehingga mendatangkan berbagai masalah kepada pesakit tersebut.

Saya amat bersetuju Rukyah memang cara perubatan yang diajar oleh Islam. Selagi mana kekuatan Rukyah berada ditubuh pesakit, iblis tak akan dapat memberi mudarat.

Tetapi adakah pesakit dapat melindungi dirinya sepanjang masa? Adakah status pesakit sama seperti ustaz yang hafiz, yangmana ayat2 alquran sudah sebati didada.

Adakah amalan seharian kita mencukupi untuk sentiasa bersedia melindungi diri dari diganggu iblis seperti yang diajar oleh Allah Dan Rasulnya? Adakah setiap gerak nafas kita penuh dengan zikir mengingati Allah sehingga iblis tak berani untuk mengganggu?

Sumpah iblis sewaktu dihalau keluar dari syurga oleh Allah ialah akan sentiasa mengganggu dan menyesatkan anak Adam sepanjang masa. Tetapi adakah kita sentiasa bersedia sepertimana iblis?

Apa yang terjadi semasa dirukyah ialah iblis akan panas dan akan keluar pulang kepada tuannya si dukun santet. Pesakit pun sembuh dan pulang kerumah.

Selepas pulang, tak lama kemudian, pesakit akan disihir lagi kerana barang pemujaan yang biasanya mengandungi maklumat pesakit seperti gambar, kain atau rambut masih lagi tertanam dirumah dukun. Dan perkara ini akan berulang2 sehinggalah matlamat penghantar sihir tercapai.

Apa yang saya kongsikan ini adalah hakikat sihir peringkat tinggi yang memang sukar disembuhkan dengan Rukyah sahaja. Mungkin pembaca tidak pernah tahu semua perkara yang saya nyatakan ini wujud. Bersyukurlah jika anda tidak pernah melalui musibah ini.

Tetapi saya melihat betapa menderitanya pesakit yang disihir dengan cara begini. Saya juga menyaksikan barangan sihir yang diambil dari rumah dukun secara ghaib. Dan barang tersebut dibawa pulang ke ketempat rawatan untuk dimatikan sihirnya.

Selepas dimatikan sihir, barulah dibuka dan dalamnya ada yang mengandungi kain putih dan tanah. Sudah pastilah kain kapan dan tanah kubur. Gambar pesakit juga barang peribadi seperti rambut, patung yang dibuat dari dian, ada juga dari tanah kubur.

Patung yang dibalut dengan kain kapan dan dicucuk dengan jarum. Jika pesakit terkena sihir ini, gangguan dan kesakitan yang dialami pesakit amatlah azab sehingga ada yang hampir hilang akal.

Memang senang menjatuhkan hukum syirik sekiranya rawatan berlainan kaedah dengan Rukyah biasa. Menghukum syirik hanya kerana tidak memahami kaedah perubatan yang berbagai cabang amatlah merugikan.

Saya pernah bertemu dengan pesakit yang putus asa berubat ke merata tempat sehingga akhirnya mencari Bomoh Hindu di kuil. Bagaimana kita nak menghukum mereka? Adakah boleh kerana sudah terdesak?

Seperti hukum makan babi yang dibolehkan kerana terdesak, tahukah pembaca sekelian berapa ramai orang Islam yang sudah syirik kerana berputus asa dan tidak mampu lagi menanggung sakit.

Jadi, wahai pembaca IIUM, lapangkan fikiran dan bacalah lagi. Bacalah kitab karangan ibnu qayyim yang membicarakan soal roh dan kematian. Persoalan alam ghaib dan nyata. Didalam alquran, terdapat Surah Jin dan di Mekah ada masjid Jin.

Dinyata Dalam alquran terdapat segolongan Jin yang mendengar bacaan alquran dan mereka langsung memeluk Islam. Orang Islam dilarang berurusan dengan Jin kerana mereka banyak tipu daya. Maka samalah seperti manusia yang juga banyak tipu daya. Apakah manusia lebih baik Dari Jin?

Ya….Kita dijadikan oleh Allah sebaik2 makhluk Dan lebih mulia atas sekelian makhluk. Benarkah? Ya …benar juga…hanya sekiranya kita benar2 menurut Allah dan Rasullullah, barulah Kita mencapai tahap tersebut dan sudah pastilah tidak mudah bagi Jin membuat tipu daya lagi.

Maka, disebabkan itulah, suami saya belajar dan berguru selama bertahun2 untuk mencapai tahap agar tidak tertipu oleh Jin yang menyamar.

Berbalik kepada komen pembaca yang kata syirik kerana suami saya guna pendamping. Saya nak beritahu semua bahawa kita ini dilahirkan bersama pendamping yang bernama qarin dan qarin ini bukan Islam. Hanya qarin Rasullullah sahaja yang telah diislamkan. Ya ….kalau mengikut istilah pendamping, semua kita ini sudah jatuh syirik.

Selain dari iblis, yang mana pecahannya menjadi syaitan Dan Jin, ada juga makhluk Allah yang lain yang menghuni dialam sana.

Antaranya para syuhada, para Nabi dan anbiaq, para wali dan yang terpilih oleh Allah.

Mereka tidaklah mati kerana Yang mati hanyalah jasad. Roh tidak mati dan meneruskan perjalanan kealam seterusnya. Dan berapa jauhkah alam ghaib dengan alam zahir? Tidak jauh, hanya setipis kulit bawang. Jika begitu dekat, kenapa kita tidak nampak alam ghaib?

Ha…..disinilah perlukan ilmu. Bukan hanya semata2 bergantung kepada pendamping. Alhamdulillah Allah telah menutup hijab mata kita.

Sekiranya Allah membuka hijab, mungkin kita tidak akan sanggup hidup berkongsi bumi ini dengan mereka semua. Ini kerana iblis sentiasa beranak pinak tetapi tidak mati.

Sementara kita manusia dimatikan Allah bila sampai ajal. Bayangkan berapa banyak makhluk Jin yang berkongsi bumi ini bermula dari zaman Nabi Adam sehinggalah kezaman sekarang sekiranya Allah tidak membahagikan kepada alam ghaib dan alam zahir.

Sebab itu dalam alquran Allah banyak Kali ulang ayat ”sekiranya Kamu mengetahui” dan ayat “mengapa kamu tidak mahu berfikir”. Ya…..Kita hanya mengambil apa yang dihidangkan didepan mata tanpa mahu berfikir sehingga Allah menegur Kita didalam alquran.

untuk komen yang kata suami saya guna pendamping, saya nak tanya la juga bila Allah izinkan suami merawat orang yang tidak mendapat zuriat dan kemudian mereka berjaya mengandung dan melahirkan bayi, Adakah itu kerana pendamping? Mungkin anak yang lahir tu anak Jin? (Hahaha ….saya gurau je).

Maaf sekiranya saya menyinggung perasaan pembaca. Tetapi saya nak juga maklum yang suami saya bukan hanya merawat orang melayu, tetapi juga Cina dan India. Saya tanya suami kenapa ambil Cina dan India berubat. Suami cakap Cina ka…. India ka….melayu ka…semua mereka adalah hamba Allah.

Beza dengan kita hanyalah mereka belum mendapat hidayah. Untuk orang India, sebelum memulakan rawatan, suami akan ceritakan sedikit sejarah Tuhan Hindu dan kemudian meminta mereka berjanji untuk percaya bahawa Tuhan yang akan menyembuhkan mereka adalah Tuhan Allah bukan Tuhan Hindu.

Setelah semua bersetuju Dan suami memberi sedikit tazkirah Dan nasihat barulah suami memulakan rawatan. Ada pesakit India yang sampai menyembah kaki suami tetapi suami marah dan suruh mereka sembah Allah sahaja.

Alhamdulillah, beberapa orang pesakit India yang telah sembuh, ada yang akhirnya telah memeluk Islam. Kata suami, dia bukan ustaz, yang pandai berceramah, cukuplah sekadar mampu memberi tarbiah kepada bukan Islam mengikut kemampuannya sehingga membawa mereka kepada Islam.

Menjawab soalam yang bertanya kalau suami saya dapat scan kemana MH370 hilang. Kata beliau, ilmunya juga terhad. Bukan semua tempat beliau dapat sampai. Sekiranya melibatkan iblis yang tahap tersangat kuat, beliau tidak akan lakukan.

Saya pernah tanya kalau beliau pernah sampai ke Bermuda. Katanya beliau pernah mencuba tetapi tidak dapat melepasi lautan. Beliau pulang dalam keadaan tubuh yang basah dengan air laut.

Sewaktu Nabi Adam diturunkan ke bumi, semua makhluk yang menghuni bumi sebelumnya diperangi oleh malaikat sehingga mereka lari ke laut, ke hutan, ke bukit dan gunung ganang. Ini disebabkan mereka sering bergaduh dan menumpahkan darah.

Iblis yang menghuni di lautan adalah yang paling kuat antara semua dikalangan iblis. Disebabkan itulah, jika dirasuk atau diganggu oleh hantu laut, memang agak sukar untuk dirawat.

Saya juga bertanya berkenaan covid. Katanya perbanyakkan selawat dan bergantunglah kepada Allah kerana Allah adalah yang Maha Kuat.

Saya harap telah menjawab sebahagian persoalan dari komen pembaca.

Saya juga ingin berkongsi lagi pengalaman mengikut suami berubat seorang kenamaan Yang berpangkat Dato Seri. Kebetulan DS ini adalah rakan perniagaan saya. Oleh kerana itu, saya tidak pernah bercerita kepada DS kalau suami saya pandai berubat. Suatu ketika, DS mengeluh

Yang beliau sudah tidak mampu untuk meneruskan perkongsian kami kerana beliau mengalami sakit misteri yang menyebabkan beliau sering tidak sihat Dan juga tidak dapat berfikir dengan jelas. Seluruh tubuhnya terasa ditikam duri.

Disamping itu, perniagaan hotel beliau juga terjejas teruk beliau menanggung kerugian Yang amat besar. Saya bertanya apa dato pernah berubat kemana2. Katanya ada, sudah banyak tempat, sehinggalah ke selatan Thailand dan juga Indonesia tetapi mungkin bukan rezeki untuk sembuh.

Beratus ribu sudah habis Dan yang terbaru beliau mengirimkan 50k ke sebuah Pondok agama di Thailand untuk membuat solat hajat selama 40 malam bersama anak2 tahfiz.

Kata DS, itu merupakan kali yang ketiga. Sebelum itu, beliau sudah mengirim 100k kesana Dan 50k itu katanya yang terakhir dapat dikirim kerana sudah kehabisan Dana.

Selepas 40 hari solat hajat, beliau merasa agak selesa dan kurang sedikit sakitnya. Tetapi masalah di hotel masih lagi berterusan.

Saya hanya mendengar dan mengucapkan Alhamdulillah. Sekurang2 sakit beliau sudah berkurangan.

Tak lama kemudian, pada suatu pagi saya mendapat panggilan telefon darinya. DS meminta maaf dan minta halal dari saya sekiranya selama kami menjadi rakan perniagaan, beliau ada salah dan silap. Saya tanya kenapa. Katanya mungkin ajal beliau sudah hampir kerana tangan kiri beliau sudah tidak dapat berfungsi penuh dan dadanya terasa teramat sakit bagaikan dicucuk jarum.

Saya merasa panik. Terus saya beritahu beliau kalau suami saya sebenarnya seorang perawat dan bertanya maukah beliau cuba rawatan bersama suami saya. Beliau terus bersetuju sambil memarahi saya kenapa tidak pernah beritahu beliau sepanjang perkenalan kami. Saya hanya terdiam.

Saya pun beritahu semua perihal DS kepada suami saya dan meminta beliau membantu jika mampu. Suami saya setuju untuk mencuba. DS pun membelikan kami tiket kapal terbang dan tanpa membuang masa kami terus kesana.

Kami sampai dalam pukul 4 petang. Pembantu DS menjemput kami dan terus membawa kami ke hotel milik DS. Hotel beliau terletak di pinggir bandar. Setelah berehat sebentar dan menunaikan solat asar, suami saya meminta DS membuat persediaan untuk sessi rawatan pada malam nanti.

Beliau meminta disediakan daun sirih, sebuah mangkuk putih dan juga 3 biji telur ayam kampung. Sebuah bilik disediakan sebagai bilik rawatan.

Petangnya, kami dibawa ke sebuah restoran makanan laut yang popular di Bandar itu dan di jamu dengan makanan laut yang sungguh sedap. Berselera sungguh kami makan kerana perut pun memang sudah lapar,

Selepas solat maghrib, suami memulakan rawatan. Seperti biasa, beliau mengenakan persalinan sepasang jubah putih. Sejadah besar dihampar sebagai tempat duduk dan sejadah kecil diletakkan dihadapan sejadah besar. Selepas membaca bismillah, selawat, alfatihah dan doa, DS diminta duduk dihadapan suami.

Tangan DS diletakkan diatas sejadah kecil untuk suami melihat keseluruhan masalah DS. Setelah diteliti, suami memberitahu bahawa didalam saluran darah menuju ke jantung DS, ada duri yang sekiranya duri itu masuk ke jantung, maka akan sgt memudaratkan sehingga boleh membawa kepada kematian.

Suami meminta izin untuk menyentuh kepala DS dan membaca beberapa potong ayat2 rukyah. Tak lama kemudian, suami kelihatan menekan sedikit kepala DS seolah2 memasukkan tenaga kedalam tubuh DS. Selesai, suami meminta DS berpusing kebelakang.

Suami mengambil sebiji telur ayam kampung yang sudah dibacakan doa dan meletakkan dibelakang badan DS betul2 dengan kedudukan jantung.

Dengan segala kekuatan dalaman suami, beliau menekan telur itu ketubuh DS untuk menarik duri itu keluar. Menggigil tangan suami sewaktu menarik duri tersebut. Berkerut wajah DS menahan sakit.

Selepas itu, suami mengambil telur yang kedua dan ditekan ke bahagian pinggang DS. Suami melakukan perkara yang sama. Telur yang ketiga pula suami oleskan ke seluruh bahagian tubuh yang lain.

Selepas selesai, suami pun bertanya pada DS mahukah beliau melihat apa yang ada di dalam telur tersebut. DS mengangguk. Suami pun mengambil mangkuk putih dan melapik dibawahnya dengan daun sirih. Kemudian telur yang pertama dari bahagian jantung pun dipecahkan.

Ternampak sedikit darah dibahagian telur kuning. Suami pun mengambil pisau pendek beliau dan memecahkan kuning telur itu. Sebaik sahaja telur kuning pecah, didalamnya dipenuhi dengan darah merah pekat kehitaman. Suami menguis nguis dalam darah itu dan kelihatanlah satu duri sepanjang lebih kurang seinci.

Halus dan tajam berwarna hitam. Suami beritahu DS kalau duri itu ialah duri nibung. Tujuannya ialah supaya DS sakit jantung dan meninggal dunia. Selepas DS berpuas hati, telur yang kedua dari bahagian pinggang pula dipecahkan. Sama seperti telur yang pertama, juga terdapat duri nibung.

Kali ini duri itu agak sedikit pendek dari yang pertama. DS hanya terdiam kerana terkejut. Seterusnya telur yang ketiga dipecahkan.

Didalamnya hanya terdapat darah hitam pekat. Tidak ada duri. Kata suami, itu adalah racun dan bisa yang berada didalam tubuh DS. Semoga selepas ini, DS tidak akan merasa lagi sakit dan bisa2 diseluruh tubuhnya seperti selalu.

Selesai mengeluarkan duri, suami pun memberikan DS minum segelas air yang dibacakan alfatihah bertujuan menyembuhkan luka pada saluran darah semasa duri itu ditarik keluar.

Suami menyuruh DS membaca selawat sebanyak tujuh kali dan berniat, “wahai Allah, jadikanlah air ini sebagai ubat, sebagai penawar dan penyembuh untuk semua kesakitan diseluruh tubuhnya”.

Setelah semua proses rawatan selesai, suami menutup sesi rawatan pada malam itu dengan membacakan doa selamat. Saya melihat jam sudah hampir ke pukul 11 Malam. Kami berbual kosong sebentar. DS beritahu kalau sakit dibahagian jantung dan pinggang sudah tidak terasa lagi.

DS bertanya siapakah yang berniat jahat sehingga sanggup melakukan perkara tersebut. Suami hanya tersenyum dan berkata tugasnya hanyalah merawat, bukan membuka aib sesiapa.

Suami kelihatan penat kerana tenaga sudah banyak dihabiskan tadi. Kami minta untuk berehat kerana esok rawatan akan diteruskan untuk menyelesaikan masalah hotel pula.

Keesokkannya, selesai solat subuh, kami mengambil peluang menikmati keindahan alam disekitar hotel sambil menunggu DS bersama pemandunya mengambil kami untuk bersarapan. Selesai sarapan, kami bertolak ke hotel beliau yang bermasalah yang terletak di Bandar lain.

Lupa saya nak beritahu kalau DS ada dua buah hotel dan hotel yang bermasalah itu ialah hotel kedua beliau. Hampir empat jam perjalanan kami pun tiba ke destinasi. Hotel yang kedua tidaklah sebesar yang pertama. Merupakan sebuah resort yang cantik dikelilingi pokok2 hutan.

Cantik. Malangnya resort bersaiz sederhana ini kosong tanpa penghuni.

Pertama sampai, suami berjalan mengelilingi resort sambil matanya tajam melihat sekitarnya. Selesai membuat pusingan, suami pun masuk kesebuah bilik yang disediakan sebagai bilik rawatan.

Seperti biasa, suami membentangkan sejadah besar sebagai tempat duduk dan sebuah sejadah kecil dihadapan sejadah besar. Diatasnya diletakkan peralatan rawatan beliau. Kami hanya duduk berkeliling dan memerhatikan sahaja.

Seperti biasa, suami memulakan sessi dengan selawat, alfatihah dan bacaan doa. Sehelai kain dibentangkan diatas sejadah kecil. Tidak lama kemudian, suami kelihatan seperti tertidur. Saya tahu kalau suami sedang mencari punca masalah hotel tersebut.

Tidak lama kemudian, suami pun bangun dan terus menangkap kain yang terbentang diatas sejadah kecil. Sebaik suami mengangkat tangannya, lain tersebut kelihatan seperti berbungkal. Suami menggengam tangan beberapa ketika sambil membaca sesuatu.

Setelah tenang, suami membuka genggaman tangan dan membuka gumpalan kain tersebut. Didalamnya terdapat sebuah patung kayu yang masih dibaluti tanah. DS terus ingin mencapai patung tersebut tetapi suami menghalang.

Katanya, sihir dipatung itu masih hidup. Jangan dipegang dulu. Tunggu sehingga suami mematikan sihir barulah DS boleh membelek patung kayu tersebut. Tujuannya supaya hotel itu tidak ada pengunjung dan kalau ada pun yang menginap, mereka akan diganggu dengan entiti yang menyeramkan.

Rupanya patung itu ditanam ditengah bahagian resort. Resort ini berbentuk seperti lingkungan dimana dibahagian tengahnya dijadikan

Taman tempat pengunjung berehat. Selesai mematikan sihir, suami meminta sebaldi kecil air dan dibacakan selawat dan alfatihah. Untuk pengetahuan pembaca, setiap bacaan dibaca dengan terang dan kami semua dapat mendengar dengan jelas. Hanya bacaan surah2 alquran dan juga selawat.

Selesai bacaan, suami meminta DS dan seorang lagi pekerja hotel tersebut membawa baldi berisi air dan dipercikkan keseluruh kawasan termasuk semua bilik2 hotel. Alhamdulillah selesai sessi rawatan kali ini. Walaupun penat kerana perjalanan yang jauh kami sangat berpuas hati.

Selesai semua, DS kelihatan ceria. Katanya, beliau amat berharap agar hotel beliau akan kembali meriah dengan pengunjung seperti sebelum ini.

Waktu sudah hampir kepukul 3petang. Perut pun sudah lapar. DS membawa kami makan disebuah lagi tempat popular sambil menikmati pemandangan Indah sungai yang mengalir jernih.

Petang harinya, kami pun bertolak baik ke hotel beliau yang pertama terletak didalam Bandar. Sepanjang perjalanan, suami terus terlena kepenatan. Kesian pula saya lihat suami mengerah tenaga membantu rakan niaga saya.

Keesokkannya, sebelum menghantar kami pulang ke lapangkan terbang, beliau menghulurkan sampul kepada suami sayae. Agak tebal.

Sudah pasti itu upah penat lelah suami saya. DS menyatakan apa yang diberi tidak setimpal dengan pertolongan suami yang telah menyelamatkan nyawa beliau dan meminta halal apa yang terkurang.

Alhamdulillah. Kami bersyukur.

Biarlah apa pun yang dituduh kepada suami saya, saya tahu beliau telah banyak membantu insan yang memerlukan. Walau ada yang menuduh suami saya syirik, ada yang panggil suami saya Bomoh dan bermacam lagi. Tetapi hakikatnya hanya Allah sahaja yang tahu.

Akhir kata, apa yang saya kongsikan hanyalah untuk membuka mata pembaca semua bahawa kehidupan ini bukan lah semudah abc dan bukan seperti drama tv. Bukan juga untuk mencari populariti kerana suami saya tidak pernah membuka pusat rawatan atau mengiklankan rawatan ke sana sini.

Suami saya hanyalah seorang insan biasa yang dikurniakan sedikit pengetahuan dari luasnya ilmu Allah dan dengan kelebihan itulah beliau membantu mereka yang amat memerlukan. Segala kesembuhan adalah dari Allah jua. Bukan semua yang suami saya rawat, sembuh. Ada juga yang gagal. Semuanya atas izin Allah belaka.

– M (Bukan nama sebenar)

Confessions

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir