Your cart is currently empty!
Suamiku ustaz atau bomoh? 1/2
Nama Aku M, Dan seorang isteri kepada lelaki yang berkebolehan merawat sakit misteri dan juga sihir.
Disini, aku ingin meluahkan perasaan Dan juga pengalaman selama menjadi isteri kepada perawat rawatan Islam.
Sebelum tu, biarlah aku ceritakan sedikit latar belakang suamiku. Beliau seorang yang baik, pemalu dan lebih banyak diam dari bercakap.
Suka bersendiri dan bersunyi. Suamiku asalnya seorang yang berjaya. Ada kerjaya yang bagus dibidang perhotelan. Aku pula dulu seorang yang berjawatan tinggi di syarikat swasta dan sekarang telah bersara. Alhamdulillah.
Kisah bagaimana suamiku berubah dari seorang yang biasa kepada luar biasa bermula pada suatu hari jumaat. Beliau seperti biasa akan awal bersiap ke masjid untuk mengambil saf depan.
Sewaktu sedang menunggu khutbah jumaat, beliau melihat ada seorang lagi jemaah yang ingin bersolat disebelah beliau.
Oleh kerana tempat yang sudah sempit, beliau pun mengangkat kedua dua lutut supaya ada ruang untuk jemaah yang baru itu menunaikan solat sunat. Jemaah yang solat disebelah beliau kelihatan seperti orang Arab, berjubah putih, berselempang kain hijau Di bahu dan berbau harum.
Bau harum kasturi. Selesai solat, jemaah berwajah Arab tersebut senyum dan bersalam dengan suami. Selepas bersalam beliau pun bangun, berjalan ke depan dan selepas beberapa langkah, jemaah tersebut hilang dari pandangan.
Suami saya terkejut, tetapi Ada seorang lagi jemaah yang agak berusia yang juga duduk bersebelahan suami telah juga menyaksikan kejadian tersebut terus mencuit bahu suami dan mengangkat ibu jarinya tanda bagus.
Selesai solat jumaat, jemaah tua yang mencuit bahu suami mengekori suami hingga keperkarangan masjid dan bertanya suami bersekolah Agama di Pondok mana.
Suami terperanjat Dan menjawab bahawa beliau bukanlah seorang alim, ustaz atau keluar sekolah Pondok. Beliau jahil, banyak hal agama yang beliau tidak tahu. Solat pun masih lompong
Jemaah tua tersebut memperkenalkan diri beliau seorang guru Pondok dari Kelantan Dan datang ke Bandar KL untuk melawat anaknya.
Jemaah tersebut, saya namakan Pak Imam bertanya lagi siapa yang solat disebelah suami. Suami jawab beliau pun tak kenal. Pak Imam kata, yang datang bertemu suami itu adalah hamba Allah yang sangat istimewa.
Kata Pak imam kalau nak tahu siapa hamba Allah tersebut, malam nanti bacalah alfatihah 41 kali dan niatkan untuk bertemu kembali dengan hamba Allah yang menjelma siang tadi.
Malamnya, suami pun melakukan seperti yang diberitahu oleh Pak imam. Tiba2 di hadapan suami muncul hamba Allah tersebut dan beliau terus bercakap dalam bahasa Arab kuno. Sudah tentulah suami tidak faham dan suami meminta hamba Allah tersebut bercakap dalam bahasa melayu.
Barulah hamba Allah tersebut bercakap dalam bahasa melayu. Memperkenalkan diri dan beliau dihantar untuk membantu suami atas kerana rintihan dan doa yang suami panjatkan saban hari.
Keesokkannya, suami menghubungi Pak imam untuk meminta nasihat. Pak imam berkata sekiranya ingin kenal lebih lanjut siapa makhluk tersebut, haruslah mendalami ilmu agama Dan beliau pun menjemput suami menjadi muridnya untuk belajar agama Di Pondok beliau di Kelantan.
Semasa belajar di Pondok, suami asalnya jahil tetapi Pak imam dengan sabar mengajar beliau bermula dari asas selama lebih kurang 4 tahun sehinggalah suami dapat mengenal huruf alquran, membaca alquran dan juga dapat membaca kitab lama tulisan jawi milik Pak imam.
Bermula dari situ, hijab mata dan telinga suami terbuka dan beliau dapat melihat dan mendengar apa yang tersembunyi. Saya selalu juga tanya suami hijab tu macam mana.
Kata suami hijab itu adalah dimensi yang ditutupi dengan frekuesi yang tertentu menjadikan mata zahir tidak dapat menembusinya. Seandainya kita dapat menggunakan frekuesi dengan betul, maka semua Yang tetutup akan dapat dibuka.
Macam filem 7 dimensi, begitulah alam ini Allah jadikan berlapis lapis. Menurut suami, frekuesi alam ada 7 lapisan dan hanya dengan ilmu, semua lapisan ini dapat ditembusi dan hanya Rasullullah sahaja yang diberi Allah ilmu menembusi 7 lapisan dimensi tersebut.
Hanya segelintir insan istimewa sahaja yang boleh menembusi frekuensi untuk melihat dimensi lain atau kita namakan sebagai alam ghaib.
Selepas beberapa tahun berguru dengan Pak imam disamping diasuh oleh guru ghaib beliau, suami berubah 100 peratus menjadi orang yang menurut perintah Allah dan Rasul.
Namun begitu, beliau masih lagi sangsi dengan hamba Allah ghaib yang banyak membimbing beliau kembali ke jalan Allah. Jadi suami pun bertemu dengan beberapa ulama, antaranya adalah Allahyarham Ustaz Harun Din untuk meminta nasihat.
Alhamdulillah, Ustaz Harun memberi persetujuan untuk suami teruskan amalan beliau dan jika sudah sampai masa, bantulah mereka yang memerlukan bantuan.
Beliau juga sudah tidak bekerja lagi dihotel kerana disana terdapat Arak. Suami tidak boleh mengambil sebarang makanan yang tidak suci. Sekiranya beliau memakan makanan yang tidak suci, perut beliau akan menolak dan akan muntah.
Saya kalau nak tahu sesuatu tempat makan itu halal atau tidak, sya akan bawa suami kesana. Kalau dia tak mau makan, saya tahulah kalau tempat itu tidak suci. Saya pernah bawa beliau kesebuah restoran kopitiam popular untuk makan mee kuah kegemaran saya.
Pada mulanya beliau menolak, tapi saya pujuk minta dia teman saya makan dan dia boleh la minum saja. Sampai disana, saya memesan mee kuah Dan beliau hanya minum teh ais. Selesai makan, kami berjalan menuju kereta.
Belum sempat buka pintu, beliau sudah muntah keluarkan semua teh ais yang beliau minum. Tahulah saya kalau kopitiam tersebut tidak halal walaupun ada sijil halal.
Begitulah bermulanya kisah suamiku bertukar kerjaya menjadi seorang perawat. Dan bermulalah kehidupan saya sebagai isteri kepada perawat.
Saya rela kalau rumah saya sudah tidak ada privacy lagi. Kami kena berkongsi dengan pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan.
Kalau dulu, tak kira masa akan ada ketukan dipintu minta tolong suami itu ini. Tolong cikgu kes histeria kat sekolah, tolong polis cari orang hilang, tolong ahli politik yang disihir oleh lawan, ada artis popular yang disihir kawan artis sendiri.
Suami bantu juga kerabat istana yang tidak dapat melepaskan saka sebelum meninggal sehingga terlantar bertahun2. Ada Yang sedih dan Ada juga Yang gembira.
Antara Yang gembira bila pasangan Yang sudah lama berkahwin Dan berusaha dengan IVF beberapa Kali tetapi gagal. Berusaha datang berjumpa suami beberapa kali, dan akhirnya mereka telahpun menimang cahaya mata.
Ya, kami tumpang gembira bila mereka bawa anak kecil mereka kerumah untuk ditunjukkan kepada kami. Dan mereka yang benar benar menghargai pertolongan sehingga kini menjadikan kami sebagai keluarga mereka.
Antara yang sedih ialah bila pesakit yang terlantar akibat saka. Sebelum merawat, suami akan minta ahli keluarga redha sekiranya apa apa terjadi dalam masa terdekat. Biasanya selepas tiga hari saka akan meninggalkan tubuh pesakit dan pesakit akan meninggal dunia.
Ada sihir yang ditanam bertahun2 sehingga pesakit menderita dan semasa rawatan, suami akan pergi sendiri secara ghaib ketempat barangan sihir ditanam dan bawa pulang untuk dimatikan.
Pesakit dapat melihat sendiri apa barangan sihir yang ditanam. Saya tidak dapat menceritakan lebih lanjut kerana sebahagian dari perkara ini adalah rahsia.
Dan ada juga yang datang minta nombor ekor. Yang ni memang suami akan sekolahkan mereka la. Hahaha…
kebanyakan Yang datang berubat kerana mereka fikir ada gangguan ghaib, Jin, saka dan sebagainya. Biasanya pesakit yang sampai ketangan suami sudah pun berubat ke merata tempat.
Dan bila suami tanya, mereka akan beritahu perawat itu Dan ini cakap sakit kena gangguan. Sebab tu datang cari suami kerana dengar cerita dari orang lain yang suami saya pandai tangkap Jin. Hahahaha….
Sebelum memulakan rawatan, suami akan scan frekuensi tubuh pesakit dan melihat keseluruhan keadaan pesakit. Saya pernah tanya suami macam mana dia nampak bila scan. Dia kata lebih jelas dari x-ray sampaikan kalau ada luka di perut atau usus pun suami akan nampak.
Sekiranya ada masalah dalaman dan juga gangguan, suami akan beritahu berapa peratus sakit akibat masalah dalaman dan berapa peratus pula masalah gangguan.
Untuk sakit dalaman, suami juga kadang2 akan berikan ubat yang beliau dapatkan dari alam sebelah sana untuk sakit dalaman.
Saya selalu saja minta jamu dari alam sebelah kalau badan Rasa kurang sedap. Biasanya ubat dari alam sana datang dalam bentuk makjun. Rasanya kadang2 sedap, tapi biasanya akan rasa sedikit pahit.
Sedikit pengalaman saya nak kongsikan sewaktu mengikut suami merawat mangsa sihir di sebuah daerah di Johor. Semasa kali pertama kerumah pesakit, suami sudah tahu kalau masalah sihir ini berpunca Dari pergaduhan keluarga. Oleh itu suami tidak mahu bertindak melulu Dan keras.
Pada mulanya suami hanya merawat dan memagar disekitar rumah pesakit. Selepas selesai kami pulang ke KL. Dan kami sepatutnya ke sana lagi dalam masa lebih kurang 1 bulan bagi memberi masa penghantar sihir insaf kerana sihir ini melibatkan pergaduhan adik beradik yang berebut harta pusaka.
Tak lama kemudian, pesakit telefon kerana emaknya sakit semula. Malangnya suami tidak dapat turun ke JB kerana urusan di KL masih banyak. Suami meminta mereka mencari perawat lain, namum kata mereka semua menolak kerana Jin yang dihantar sangat kuat dan ganas.
Masa berlalu dan kami pun hampir lupa dengan kes itu. Selang beberapa minggu suami dapat panggilan memberitahu kalau emaknya sudah meninggal dunia.
Suami pun terkejut, terus masuk ke bilik rawatan untuk meneropong keadaan disana. Bila suami keluar, dia beritahu untuk bersedia ke Johor masa tiga hari lagi. Saya tanya kenapa tidak terus turun kesana membuat rawatan.
Jawab suami, bukan boleh terus kesana, kena buat persediaan dulu, meneropong setiap masa melihat dimana kelemahan makhluk tersebut, masa lemahnya dan cara menangkapnya. Suami juga harus bersedia dengan melakukan solat hajat memohan pertolongan Allah.
Genap 3 hari kami pun bertolak kesana. Sampai dirumah pesakit, saya lihat ahli keluarga telah berkumpul untuk melihat upacara selepas maghrib. Saya melihat pada malam itu suami mengenakan sepasang baju melayu berwarna hitam.
Saya tahu kalau beliau memakai seragam hitam maksudnya akan bertempur dengan Jin yang kuat. Beliau menghamparkan kain sejadah Dan diatas sejadah diletakkan kain berwarna hitam.
Keris pendek beliau keluarkan bersama bekas buluh Dan letakkan diatas sejadah. Wajah beliau serious tidak senyuman seperti biasa.
Saya yang duduk agak jauh merasa berdebar2. Jantung saya berdegup kencang. Jarang suami membuat persediaan begini. Pasti bukan calang calang makhluk yang beliau akan hadapi.
Wangian dibakar dan beliau memulakan dengan bismillah dan seterusnya alfatihah. Beberapa bacaan lagi diteruskan dan tak lama kemudian beliau terdiam.
Saya tahu kalau pada masa tersebut hanya badannya yang tinggal kerana beliau secara ghaib sedang berjuang menangkap Jin yang telah dihantar untuk mengacau Dan mengambil nyawa perempuan Dari keluarga ini.
Selepas emaknya, Jin itu diarahkan untuk membunuh anak perempuan mereka yang sedang belajar di university Di KL.
Untuk mengelakkan musibah kedua menimpa keluarga ini, Jin ini haruslah ditangkap.
Beberapa lama suami dalam keadaan tidak sedar sehinggakan saya merasa gelisah. Tiba2 suami tersedar sambil tangannya menggengam sesuatu dan sekuat tenaga kelihatan beliau sedang menarik sesuatu untuk disumbat kedalam buluh.
Saya memang tak nampak apa yang beliau sedang pegang tapi saya tau itu adalah Jin yang beliau berjaya tangkap Dan Jin tersebut sedang berlawan untuk Lepas Dari genggaman suami saya.
Setelah berhempas pulas, Jin tersebut berjaya ditekan masuk kedalam buluh Dan beliau terus mengunci tabung buluh tersebut dgn menutupnya dengan kepingan tembaga yang bertulis ayat ayat wafak.
Saya merasa lega. Suami saya masih selamat. Alhamdulillah.
Selesai semua, suami akan menutup acara dengan membacakan doa selamat. Kami dijamu makan ringan. Sebelum pulang, mereka memberi suami sebuah envelope. Saya tahu kalau itu adalah upah beliau.
Malamnya, kami berehat di tempat kawan Dan esoknya bertolak balik ke KL
Suami diberi upah sebanyak Rk500. Kalau dibandingkan dengan kerja, masa, usaha, persiapan, perjalanan, minyak, tol Dan lain2 memang tidak berbaloi. Tetapi disebabkan melibatkan ancaman nyawa, suami sanggup turun berubat.
Selepas beberapa hari, suami mendapat panggilan Dari keluarga tersebut memberi tahu kalau mak saudara mereka yang berebutkan tanah pusaka meninggal dunia.
Suami tidak pernah membuka rahsia siapa yang buat siapa, siapa sihir siapa Dan sebagainya. Hanya jika Yang bersalah mendapat pembalasan, itu adalah dari Allah kerana suami hanya berusaha Dan yang memberi kejayaan itu adalah Allah.
Kadang2 saya terfikir, kenapa orang tidak menghargai perawat Islam seperti suami saya. Sedangkan mereka bertarung nyawa mereka Dan juga nyawa ahli keluarga demi menyelamatkan orang lain.
Saya pernah suruh suami berhenti berubat dan cari kerja lain kerana pendapatan sebagai perawat tidak menentu.
Atas dasar ikhlas orang nak beri. Sedangkan perawat bagaikan seorang doktor. Merawat spiritual yang sama sukar dengan merawat fizikal. Berurusan dengan makhluk ghaib Yang jahat perlukan kepakaran, kemahiran Dan ilmu yang tinggi.
Berapa tahun mereka mengabdikan diri mempelajari ilmu Dan berlatih sehingga mampu menerobos ke kubu iblis. Sama seperti doktor Yang perlukan sekurang kurangnya 6 tahun pengajian untuk dipanggil sebagai doktor.
Sekarang, saya masih lagi berfikir haruskah suami teruskan kerja merawat walau upah yang diterima tidak setimpal atau berhenti merawat
Dan berniaga pula. Kadang2 rasa kasihan melihat pesakit yang datang berjumpa suami setelah habis beribu ditipu oleh perawat palsu. Bila sampai ke suami untuk dirawat mereka sudah habis wang.
Kerana kasihan, suami merawat juga dengan bayaran yang sedikit. Sedangkan setiap upah yang diterima, sebahagian adalah dikhususkan untuk tabung masjid. Begitulah syarat beliau dalam merawat.
Sedangkan kos kami bertambah. Bil elektrik kami tinggi kerana bila ramai tetamu, lampu Dan kipas akan dipasang semua sehingga lewat malam.
Satu bilik dirumah juga dijadikan bilik berubat dan anak2 Kami berkorban untuk berkongsi bilik. Kami juga berkorban privacy untuk melayani pesakit.
Suami pula setiap malam selepas pesakit balik, beliau akan teruskan proses rawatan bersendirian sehingga hampir subuh. Siangnya, beliau akan berehat dan tidur kerana keletihan.
Sekiranya pembaca ingin saya ceritakan pengalaman.mengikut suami merawat pesakit, boleh tinggalkan komen.
– M (Bukan nama sebenar)
Confessions
Leave a Reply