Your cart is currently empty!
Sihir @ ilmu hitam 2/3
Untuk coretan kali ini, aku ingin berkongsi dengan para pembaca semua, terutama yang sedang menghadapi masalah sihir @ Ilmu hitam, langkah yang aku lakukan semasa dalam proses rawatan dan penyembuhan.
Sebaik sahaja aku tahu aku di sihir, aku terus mencari perawat untuk merawat aku. Macam-macam perawat yang aku jumpa. Yang minta bawa barang pelik-pelik aku hindari.
Ketika aku sakit misteri ni, ada dua orang anak aku yang Allah SWT buka hijab mereka. Anak-anak aku itu dapat melihat pelbagai makhluk yang keluar masuk ke rumah kami.
Ketika aku berubat dengan seorang alim, aku bawa anak aku ni, habis saja aku dirukyah, kami pun balik. Anak aku beritahu aku, jin yang keluar dari badan aku semasa dirukyah, sekarang sedang ikut kami balik. Huhu.. Haru sungguh..
Jin-jin, syaitan ibilis ni, apabila dibacakan ayat-ayat Al-Quran mereka cabut lari, dah habis baca datang balik. Sebab itulah setelah jumpa perawat, penyakit misteri aku tak pernah habis.
Aku letih menghadap semua benda ni. Sampailah suatu masa, aku telefon seorang ustaz, guru anak aku, minta pandangan dan nasihat.
Beliau menasihati aku untuk memasang rakaman surah Al-Baqarah selepas subuh (3x ulang) dan surah Al-Jin selepas Asar (3 x ulang) selama tiga hari berturut-turut di rumah kami, bermula pada hari Khamis.
Aku buat seperti yang diarahkan. Hari ketiga sebaik sahaja habis bacaan surah Al Baqarah (rakaman) plak yang aku sambung ke tape rokoder aku meletup. Satu rumah berbau hangit.
Mulanya aku sangka tape rekoder aku yang rosak sebab lama sangat guna. Bila check, tape rekoder aku dalam keadaan baik, plug pun masih ok.. Haha… benda tu yang terbakar kut..
Sejak aku sedar diri di sihir, setiap hari aku baca yasin sebanyak 3X, terutama selepas solat Asar. Selepas Isyak, aku akan baca yasin 7 mubbin. Boleh Google cara membaca yasin 7 mubin.
Salah seorang perawat yang aku jumpa, ajar aku buat solat tengah malam. Selepas isyak, aku tidur.
Aku set jam 12.00 tengah malam. Aku bangun tepat waktu itu. Aku buat solat taubat, mohon ampun sungguh-sungguh kepada Allah, sebab aku pun manusia biasa, ada buat salah dan silap.
Selepas tu aku solat Tahajud, dan solat Istikorah. Aku mohon kepada Allah agar tunjukkan orang yang buat sihir bukan untuk membalas dendam tapi supaya aku boleh berwaspada dengannya. Alhamdulilah, Allah makbulkan. Rujuk cerita aku dalam coretan yang lalu.
Selain daripada itu, aku juga mengikuti kelas Perubatan Islam. Guru aku adalah ustaz yang pernah merawat aku.
Aku belajar bukan untuk merawat orang, tapi untuk merawat diri sendiri dan keluarga aku sahaja. Aku dah terlalu letih untuk hadap sihir ni.. bukan setahun dua tapi lebih 10 tahun.
Anak-anak aku juga diganggu. Hubungan dengan suami pun terjejas. Rumah terasa tak bahagia, panas selalu. Aku mula merukyah diri sendiri dan keluarga aku. (ayat-ayat Rukyah boleh cari dalam Google)
Ketika aku merukyah diri sendiri dan rumah aku, anak aku yang sulung dan yang ke-3 akan nampak semua benda yang lari keluar dari rumah kami.
Setiap hari selepas Asar aku akan spray rumah kami dengan air yasin. Aku tambah di dalam air yasin itu, garam bukit, lada hitam, cuka makan, dan bawang putih. Suami aku sampai fobia tengok aku dok spray rumah. Tahan sajalah…
Di samping merawat sendiri, aku masih lagi berjumpa dengan perawat yang lain. Ada dua orang perawat ni sampai jadi kakak dan adik angkat aku pulak. Alhamdulilah, kak Imah dan adik sue (perawat) ni banyak memulihkan semangat aku.
Adik sue juga semasa datang merawat aku di rumah pada tahun ketiga aku sakit, jumpa macam-macam barang sihir di dalam bilik tidur aku.
Peliknya, aku, tuan rumah pun boleh tak jumpa. Di dalam almari kain baju aku, pada bahagian bawah lipatan baju-baju lama yang aku tak pakai, terjumpa anak patung daripada tanah liat yang dicucuk serata badan, kaki dan tangan dipatahkan,
Ada cebisan ayat memuja, calitan darah pada cebisan tisu, bulu-bulu kemaluan dan ada lagi yang aku pun dah lupa.
Di bawah tilam tempat tidur aku, macam2 serbuk halus dan bulu2 kemaluan ditaburkan. Allah Akbar..Aku hanya boleh mengucap tengok semua benda tu.
Nasihat aku, kalau jumpa benda yang pelik-pelik di kawasan rumah kita, jangan pegang dengan tangan, lapiklah tangan dengan sarung tangan atau plastik..
Benda-benda ni perciklah dengan air yasin.. Insya Allah tidak akan memudaratkan kepada kita. Sesungguhnya Allah pelindung yang sebaiknya.
Sekiranya di sihir, hubungan kita sekeluarga dengan Allah perlu kuat. Jika ada gambar-gambar berbentuk manusia atau haiwan, termasuk gambar kahwin simpanlah di dalam almari. Selagi ada gambar-gambar di dalam rumah susah kita nak pulih.
Anak aku pernah nampak, waktu rumah aku di rukyah, jin tersebut lari bersembunyi di dalam lukisan yang aku gantung di ruang tamu. Lukisan tu pula ada gambar orang. Menakutkan sungguh.
Rumah kita perlu sentiasa bersih terutama bilik air. Pintu bilik air jangan dibiarkan terbuka. Pinggan mangkuk dan makanan jangan biar terdedah di atas meja terutama pada waktu malam.
Sebelum tidur pastikan tiada sampah makanan dalam tong sampah. Sampai sekarang aku dan suami akan bising kalau anak-anak tak kemas meja makan, dapur dan tong sampah sebelum tidur.
Semua yang aku sebut ni ada sebabnya. Jin-jin suka rumah yang kotor, ada sisa-sisa makanan dan tempat mereka lepak pastinya di bilik air. Itulah sebabnya rumah aku diletakkan segala benda kotor.
Apa yang telah berlaku kepada aku sekeluarga memang menjadi pelajaran yang amat berguna kepada kami.
Mungkin ada para pembaca tertanya-tanya, macam mana benda2 sihir tu diletak di rumah aku. Dalam confessions pertama, aku ada cerita tentang pembantu rumah kan.
Pembantu rumah aku yang pertama berkawan rapat dengan makcik aku. Waktu aku dan suami bekerja, tiada di rumah, dia selalu datang lepak di rumah aku. Pembantu rumah aku tu, buka pintu bagi makcik masuk.
Pembantu rumah aku yang kedua hanya tahan bekerja selama tiga minggu sahaja. Aku hantar dia pulang sebab dia juga memuja di dalam rumah aku.
Jiran aku terdengar dia beratib dalam bahasa yang tidak difahami semasa aku dan suami keluar bekerja dan ada beberapa perbuatannya yang kami sekeluarga tak boleh terima.
Yang bertahan lama dengan aku, pembantu rumah yang ketiga. Hampir 3 tahun dia bekerja dengan aku. Banyak yang Bibik ni tolong aku sebab masa ni aku dah sakit, hampir tidak boleh mengurus diri sendiri. Apabila aku mula sihat, dia balik ke Indonesia, dan berkahwin di sana.
Anak-anak aku yang terbuka hijab ni, selalu diganggu makhluk2 yang kita tak nampak ni. Tengah-tengah mengulangkaji pelajaran, makhluk ni akan jengok dari bawah katil, siap senyum-senyum lagi.. Kalau cantik takpa juga.
Ni, muka pun menyeramkan. Kalah hantu Mak Limah. Semasa balik ke kampung suami, sewaktu melalui sebuah lebuh raya yang dalam proses pembinaan, anak sulung aku beritahu, ada sebatang pokok tu, dekat lebuh raya tu penuh jin-jin sedang bergayut.
Semasa bercerita tu, kakak ipar ada sama, dia bagi tahu, para pekerja cuba menebang pokok tersebut sebelum nak buat lebuh raya. Semuanya tak berjaya, sebab tu lebuh raya tu melencong sikit dari plan asal.
Anak yang ke-3 pula pernah tersempak seekor jin sedang mencuri duit dia di dalam almari. Dia menjerit memanggil aku, aku yang tak nampak ni terus baca ayat kursi. Baca pulak 7x habis terbakar duit tu. Menangis-nangis lah anak dara aku tu..
Banyak sangat gangguan yang anak-anak aku hadap, sampai mengganggu pelajaran mereka. Akhirnya aku berjumpa guru aku, minta ditutup semula hijab anak-anak aku. Alhamdulilah, mereka sekarang dah tak boleh nampak benda-benda ghaib lagi.
Sebelum aku menutup coretan ini, aku ingin berpesan kepada yang sedang diuji:
1. Jangan cepat putus asa. Ingat Allah tidak takdirkan sesuatu tanpa sebab. Semuanya ada hikmah. Selagi ada nafas berusahalah untuk sembuh. Setelah berusaha, bertawakal dan redha menerima ketentuan Allah.
2. Serahkan diri dan harapan kita hanya kepada Allah. Ingat tidak ada sesuatu yang boleh membinasakan tanpa izin Allah. Jangan takut kepada sihir atau Ilmu hitam, takut hanya kepada Allah.
3. Carilah perawat yang berpegang teguh dengan ajaran Islam. Jika jumpa perawat yang minta kain kuning ke kain hitam ke, jarum, telur, @ darah ayam jangan sesekali hampiri..
4. Apa-apa sahaja yang berlaku, dekatkan diri dengan Allah. Solat Wajib, Solat sunat, Al-Quran jadikan teman sejati. Amalkan zikir-zikir tertentu.. (Boleh Google) zikirlah tanpa kira masa, kecuali di tandas.
5. Jagalah hubungan dengan manusia, terutama ibu bapa, saudara mara, sahabat handai, hatta haiwan dan tumbuhan.
Jumpa ibu bapa, orang alim, orang sakit, musafir, anak-anak yang belum baligh, minta mereka tolong doakan kita. Doa orang2 ni sangat mustajab.
6. Akhir sekali, jika kita diuji dengan sihir@ilmu hitam, sakit, dan sebagainya banyakkan bersedekah.
Bukan sekadar sedekah wang ringgit @ material tapi sedekahkan juga fatihah terutama kepada orang yang menganiayai kita dan selepas solat jangan lupa hadiah fatihah untuk diri sendiri juga.
Segala yang aku coretkan di atas aku lakukan sehingga ke hari ini.
Dalam komen di confessions 1, ada yang bertanya apa yang berlaku kepada makcik aku. Aku tidak pernah minta yang buruk2 berlaku kepadanya. Aku hanya berdoa kepada Allah supaya makcik aku diberi taufik dan hidayah.
Aku berharap dan berdoa, sebelum dia atau aku mati, makcik aku akan datang jumpa aku dan memohon maaf.
Buat diri aku, aku tidak suka berdendam. Aku ingin hidup tenang dan damai tanpa sebarang rasa marah dan dendam.
Maaf kerana coretan aku terlalu panjang. Yang baik itu dibuat panduan, yang buruk letakkan di luar fikiran. Semoga kita semua sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.
Sekian, terima kasih.
– Mira (Bukan nama sebenar)
Confessions
Leave a Reply