Your cart is currently empty!
Penyembuh sakit sihir dan saka 1/2
Aku terpanggil nak berkongsi dengan readers after terbaca confession topik: Penyembuh Sakit. Aku dah lama sebenarnya nak tulis pasal ni tapi bila ada confessor yang tulis maka terdetiklah hati aku untuk menulis juga sebab ia ada kena mengena dengan aku.
Awas! Confession ni sangat panjang jadi bersedia untuk baca pada yang berminat. Point point yang diberi oleh confessor sebelum ni kesemuanya tepat. Baiklah jom dengar pula cerita aku, InshaaAllah mudah mudahan ada pengajaran yang aku boleh sampaikan kepada pembaca.
Pertama sekali aku nak cakap orang yang melalui gangguan rohani percayalah kita bukan lemah. Kita orang yang hebat sebab tu Allah uji kita dengan cara macam ni sebab Allah tahu kita kuat. Sentiasa semat benda ni dalam diri kau. Pandangan orang yang selalu mengatakan kita ni lemah kau buang jauh-jauh ke laut China Selatan.
Ya, aku adalah antara pesakit yang terkena sihir dan saka. Ye tuan tuan dan puan puan 2 in 1. Kau bayangkanlah dah lah terkena sihir lepas tu baru dapat tahu ada saka pulak tu. Sekarang aku dalam fasa untuk sembuhkan kesakitan aku. Dah 6 bulan aku melalui ujian ni dan sudah 4 kali aku buat rawatan.
Rawatan yang aku buat di tempat yang bertauliah ye iaitu Darussyifa’ dan Darul Thibbun Nabawi. Ini antara tempat yang bagus untuk korang berubat. Selain dari tu selidik betul betul sebab sekarang banyak penipuan yang dibuat atas nama Islam. Jangan pergi berubat ke tempat yang mencurigakan seperti bomoh dan sebagainya.
Alhamdulillah aku dah semakin baik cuma sekarang aku masih lagi bertarung dengan saki baki yang sedia ada. Doakan aku kuat menghadapi ujian Allah ni. Aku tak akan cerita macam mana cara aku boleh kena sihir dan dapat tahu ada saka ni sebab kalau aku cerita boleh jadi novel cuma aku nak cerita macam mana nak atasi apabila kita ditimpa sakit. Korang kena tahu penyakit terbahagi kepada dua.
Satu penyakit fizikal dan satu lagi penyakit rohani. Sakit fizikal orang nampak tapi kalau roh kita yang sakit? Memang mencabar kan tapi jangan risau Allah dah cakap setiap penyakit ada ubatnya. Yang penting kita kena terus berikhtiar mencari penawar dan jangan berputus asa.
Jaga hubungan dengan Allah.
Confessor sebelum ni ada bagitau juga. Bila sebut jaga hubungan dengan Allah maknanya ia merangkumi semua. Perbanyakkan solat sunat taubat, solat tahajjud, solat hajat, berzikir dan mengaji Al-Quran. Ye betul jangan sepenuhnya harap untuk sembuh melalui perawat je. Mereka membantu merawat kita dengan ilmu yang dimiliki dan kita kena berusaha lebih kerana kita semua bergantung kepada Allah.
Mereka menjadi asbab sahaja untuk kita beriktiar mencari jalan bagi menyembuhkan penyakit. Ya, bukan mudah nak konsisten jaga amalan tapi kita boleh berusaha kan. Hadirkan hati setiap masa untuk Allah. Kalau rasa payah macam aku sekarang tengah buat yang ni pun kawan aku nasihat juga perbanyakkan berdialog dengan Allah.
Minta tolong dengan Allah supaya kita sentiasa mengingatinya. Usaha untuk tutup ruang-ruang hati dari dimasuki pengaruh jahat dengan selalu bercakap dan merintih dengan Allah. Bila tiap kali rasa je ada gangguan kita tukar channel program dalam otak kepada program yang baik. Sebab otak kita berfikir autopilot kan melainkan kita download program yang bagus ke dalam subconscious mind.
Caranya bak kata Prof Muhaya sebelum tidur dengar program yang baik contoh audiobook, perbanyakkan dengar ceramah motivasi. Bila kita dah selalu dengar bacaan ayat ayat Quran misalnya ayat Rukyah secara tak langsung ia akan bermain dalam minda kita walaupun tanpa kita berfikir. Kurang kurang lah kan tengok sosial media macam Instagram.
Kalau nak tengok pun tengok yang ilmiah je sebab ia mempengaruhi daya fikir kita which leads to anxiety dan jangan tak tahu anxiety ni ada kaitan dengan gangguan daripada syaian jugak. Contoh OCD atau penyakit was was buat sesuatu berulang-ulang kali tu datang dari syaian. Jangan dibuat main penyakit yang sedia ada jangan ditambah lagi dengan penyakit lain.
Macam aku sebelum ni dah sampai kena pergi jumpa Pakar Psykiatri sebab selain masalah gangguan rohani aku juga mempunyai generalized anxiety disorder dan panic anxiety disorder. Masa awal 3 bulan pertama aku selalu menangis dan rasa Ya Allah dah tak tertanggung lagi dah masalah aku ni dengan gangguan rohani ditambah lagi dengan masalah Psikologi tapi aku sentiasa yakin penyakit aku tak teruk.
Aku berbaik sangka. Aku usaha juga untuk lawan dengan perbaiki hubungan aku dengan Allah. Lama lama Alhamdulillah aku semakin baik sebab aku belajar cara untuk kawal otak aku ni. Aku banyak tengok video yang ajar bagaimana kaedah untuk sembuh dari penyakit tanpa perlu bergantung dengan ubat.
Yes, Alhamdulillah sedikit demi sedikit aku belajar untuk atasi tekanan mental (mental breakdown) dengan berfikiran positif dan ingat Allah. Pernah tak dengar nabi cakap dalam diri manusia ada seketul daging. Jika baik, maka baiklah seluruh anggota badan. Makna kata, kalau kita berjaya kawal otak kita pasti kita berjaya lawan penyakit kita tapi apa pun semua memerlukan masa. Slow slow lah belajar. Sebab tu ilmu tu penting.
Antara yang aku buat agar hati aku boleh tenang adalah selalu amal baca manzil. Sekarang ni sikit-sikit aku upgrade untuk baca surah Al-Baqarah dan Yasin. Ya, aku memang rasa gangguan tu kurang. Fikiran pun rasa kurang serabut. Ustaz pun selalu pesan kalau boleh jangan tinggal mathurat sebab dalam tu ada ayat untuk pendinding daripada syaitan. Setiap hari usaha untuk tambah amalan.
Jangan melayan perasaan.
Kau kena tahu jin-jin ni suka orang yang beremosi. Bila kita emosi, dari situ dia mudah nak masuk menguasai kita. Jangan terlalu bersedih, jangan terlalu bergembira, jangan terlalu marah. Manusia ni wavelength kita lebih tinggi dari mereka, once kau dah stress or bersedih melayan perasan berlebihan misalnya wavelength kau dah sama level dengan depa so usahalah untuk sabar.
Sebab tu nabi cakap, orang yang kuat itu adalah orang yang dapat menahan perasaan marah. Dan ketahuilah jika kita boleh kawal marah sekalipun, depa ni tak putus asa mereka akan cari jalan untuk buat kita marah melalui orang sekeliling kita samada suami, isteri, mak ayah, adik beradik atau siapa saja untuk bangkitkan emosi kita. Dari situ perlu kekuatan untuk kau lawan perasaan tu.
Ertinya bila kau dapat kawal marah, aura kekuatan itu akan terbina dengan sendirinya dan depa tidak mampu nak mengawal diri kita. Memang aku dah lalui benda ni. Kadang kita dah boleh sabar tapi ada je orang yang naikkan kemarahan kita. Kadang kadang meletus jugak perasaan marah tu tapi lepas tu aku cepat-cepat sabar dan istighfar banyak-banyak.
Orang yang ada gangguan biasakan akan selalu mendengar bisikan. Once dah dengar bisikan tepis dengan buat bodoh je. Part ni aku sangat struggle pada awalnya sebab aku terlalu banyak mendengar bisikan dan percaya kepada bisikan mereka sehingga buat sakit aku bertambah teruk. Ya Allah bodohnya aku rasa dulu.
Sekarang aku dah bijak aku tak hiraukan apa yang aku dengar. Memang payah bila solat ada gangguan, bila zikir ada gangguan tapi aku sedaya upaya usaha untuk lawan dengan mengingati kebesaran dan keagungan Allah. Alhamdulillah lama-lama bisikan tu dah makin kurang.
Sentiasa berzikir ingat Allah.
Kalau sebelum sakit zikirnya kurang, bila dah sakit, zikirnya lebih khusyuk. Sujudnya lebih lama. Doanya lebih panjang. Nampak kan Allah sayang kita. Cuba kalau Allah tak bagi ujian sebegini mungkin kita akan terus hanyut dan lalai. Lagi satu, sentiasalah berselawat kepada nabi Muhammad s.a.w. Selawat pada baginda S.A.W merupakan salah satu cara memecahkan sihir dan gangguan jin dalam diri kita. Ia simple tapi ramai yang tak tahu.
Kenapa aku sebut pasal selawat sebab bila kita selawat satu kali pada Allah, 10 kali Allah akan selawat pada kita dan dari situ kita boleh tarik rahmat Allah agar kita dapat sembuh dari penyakit ni inshAllah. Teruskan lah untuk berjuang selawat ke atas Rasulullah S.A.W sebanyak yang mungkin.
“Diriwayatkan dari ibnu Mas’ud RA bahwasanya Rasulullah bersabda: orang yang paling utama bersamaku pada hari kiamat adalah yang paling banyak berselawat kepadaku.” (HR. Tirmidzi).
Sebenarnya anda terpilih untuk memperbayakkan selawat kepada Rasulullah S.A.W hingga menjadikan diri kita orang terpilih untuk dekat dengan Rasulullah S.A.W di akhirat nanti! Paling baik cuba lengkapkan 1000 sehari sebab ustaz ada cakap orang yang konsisten selawat pada nabi seribu sehari doa makbul. Cuba kau bayangkan.
Doa orang yang sakit macam kita ni cepat mustajab. Dan contoh kalau sakit terkena sihir maknanya dah teraniaya dan doa orang yang dizalimi ni tiada hijab antara dia dan Allah. Nah, cuba kau tengok betapa besarnya ruang kau untuk doa dimakbulkan oleh Allah. Sebab tu jangan lupa doa, doa dan doa sebanyaknya. Mintalah apa sahaja dengan Allah dan yakin Allah pasti makbulkan doa kita suatu hari nanti. Tidak ada kata-kata yang lebih indah di dunia ni dari kata-kata Allah yang terdapat dalam Al-Quran.
Pada aku, cukuplah kata-kata Allah buat hati aku rasa tenang dan tenteram. Allah dah cakap hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang. Tapi sudah cukup tenangkah kita? Kenapa ada masa kita rasa tak tenang? Salah satunya sebab kita letak ruang yang sepatutnya ada Allah dalam hati kita tu dengan benda lain. Allahu, inilah antara yang aku belajar. Iaitu cuba bersihkan hati kita.
Antaranya jangan sesekali meletakkan kecintaan dan keinginan kita pada makhluk dan dunia yang sepatutnya kita letak hanya Allah nombor satu sebab sampai bila-bila pun kita tak akan tenang apabila kita letak benda lain melebihi Allah. Hayatilah bacaan Al-Quran. Fahamkan betul betul maksud yang Allah cuba sampaikan melalui setiap ayat.
Kita hari ini telah banyak dilalaikan dengan hal dunia sehingga tak rasa apa apa bila baca Al-Quran dan paling sedih bila tak sempat pun nak baca Al-Quran. Busy sangatkah kita sehingga Al-Quran pun tak ada masa nak baca? Atau kita yang memang tak mencari masa untuk baca Al-Quran? Kalau kau tak rasa apa-apa bila baca Al-Quran maknanya hati kau dah sakit. Bila hati kau dah sakit cepat cepatlah cari penawarnya antaranya adalah zikrullah.
Dalam hati manusia ni ada keperluan dan kekurangan yang tidak dapat dipenuhi kecuali dengan mengingati Allah. Ketahuilah, beza orang yang ingat Allah dan tak ingat Allah ni ibarat hidup dan mati. Tu dia, aku dah sepatutnya boleh buka kuliah agama dah kan cara aku bercakap ni.
Sokongan moral dari keluarga dan sahabat.
Penting untuk dapatkan sokongan moral dari keluarga atau rakan-rakan sebab tak semua orang akan percaya dan dapat terima apa yang kita lalui. Kalau kau tak bernasib baik dapat keluarga yang kurang faham agama dorang akan ingat kau ada masalah mental atau kau sengaja buat buat. Paling sakit hati orang kata kau tak pandai handle stress yang akhirnya dorang cakap kau kena pergi jumpa doktor Pakar Psykiatri. Aku adalah antara orang yang diuji itu ya guys mendapat seorang ayah yang langsung tidak mempercayai aku ada gangguan jin.
Kau bayangkan masalah aku yang sedia ada ditambah lagi dengan cercaan dan kadang kadang makian dari ayah aku sendiri sebab aku mengadu aku mengalami gangguan dari makhluk ghaib ni tapi sampai ke sudah dia tak percaya. Dia kata aku ada anxiety. Yes, aku tak nafikan aku ada anxiety tapi ketahuilah masalah aku ni dah overlap. Kau jangan tak tahu orang yang ada gangguan berdebar-debar dan panik tu biasa.
Mak aku pulak macam lalang. Sekejap percaya, sekejap tak percaya. Dorang kata aku kuat melayan perasaan tapi tahukah mereka betapa bertarungnya aku untuk aku lalui dan faham ujian ghaib yang aku lalui pada awalnya. Pertarungan hati dan permainan minda dari makhluk yang orang tak nampak.
Cuba kau bayangkan tahap kesedihan aku macam mana? Dah lah aku sakit, keluarga sendiri pulak tak percaya. Aku masih lagi waras, aku tak mengalami sakit jiwa tapi tekanan dari orang sekeliling macam ayah dan abang aku yang tak percaya itu yang sebenarnya menjadi salah satu faktor yang buat aku nak mental dulu.
Demi untuk membuktikan pada ayah yang selalu cakap aku ada penyakit psyikologilah, sakit dalam perutlah, ada kencing manis lah, kot kot ada thyroid lah sebab aku ni keding dan tak suka makan makanan tertentu, dilabelnya aku berpenyakit. Macam macamlah nama penyakit yang muncul dalam minda dia yang dia fikir aku ada.
Ok fine so aku pergilah jumpa doktor. Kau cakap lah doktor mana aku tak jumpa. Dari doktor biasa kepada doktor pakar aku dah jumpa. Banyak test aku dah buat termasuklah full screen blood test dan keputusannya adalah normal. Semua doktor cakap aku tak sakit guys! I am completely normal! Sampaikan ustaz sendiri yang datang rumah buat rukyah kali kedua masa aku kena teruk hari tu pun suruh aku buat ujian MRI.
Dia terperanjat kot tengok tindak balas yang terjadi pada aku masa rukyah. Dah macam apa dah aku bersilat dan bergusti dengan ustaz tu. Maybe dia tak tahu aku lalui tekanan daripada ayah aku menyebabkan masalah aku makin parah masa tu. Bila aku dah stable aku pergi lagi sekali rukyah dengan ustaz (sebab case aku ni kena still follow up berubat) sebab belum pulih 100% lagi. Aku explain pada ustaz bahawa aku ni tak ada apa-apa penyakit. Dia faham dan dia cakap maknanya aku ni ada gangguan lain lah sebenarnya.
Alhamdulillah masa rukyah kali ketiga dengan ustaz, dia cakap aku dah makin baik dari sebelum ni. Dia kata aku ada harapan untuk sembuh. Alhamdulillah sebab aku pun yakin aku boleh sembuh. Dari situ sedikit demi sedikit aku belajar. Perlahan lahan aku bangkit. Aku cari Allah. Allah lah satu satunya tempat aku mengadu.
Alhamdulillah aku ada seorang kawan yang mengalami nasib yang sama dengan aku. Dia banyak sangat menasihati aku. Buat sahabatku, terima kasih kerana sudi mendengar luahan hati aku disaat orang tidak percaya apa yang aku lalui. Aku masih ingat lagi pesanan dia. “Kau jangan risau sedikit demi sedikit Allah akan bukakan jalan untuk kau. Allah nak beri kau hadiah yang terindah. Kau percayalah. Kau insan terpilih. Allah sayang kau. Aku dah lalui apa yang kau lalui dah bertahun-tahun lamanya. Memang bukan mudah untuk lalui pertarungan ni tapi kita perlu kuat. Allah dah pilih kita dan Allah tahu kita boleh!”
Dari situ juga aku dah mula nampak sedikit demi sedikit hikmah kenapa Allah turunkan ujian ni. Semakin aku diuji semakin aku rasa kasih sayang Allah. Dulu ya, aku memang rasa takut sangat sampai tak boleh tidur malam. Namun, aku perlu bersyukur juga pada Allah, dalam teruk teruk ujian yang aku alami namun aku masih boleh kawal tindakan dan perasaan.
Aku tak pernah dirasuk lagi. Cuma sekali je aku kena histeria. Selebihnya aku yang selalu mendominasi makhluk tu tiap kali dia nak serang aku. Aku cuba untuk lawan segala kesakitan aku dengan mendekatkan diri dengan Allah. Walau aku diserang dari pelbagai sudut dan walau aku dah dikacau sampai ke tahap jiwa, aku dah tak takut lagi sebab aku ada Allah. Wahai kesedihan, wahai kesakitan, wahai kedukaan, wahai kekecewaan, wahai musuh allah, aku ada Allah, dan Allah aku lagi hebat dari kamu semua!!”
Aku cuba untuk menanam kata-kata positif dalam diri. Dari situ aku kuat! Segala apa yang aku dengar dan pelajari dari ceramah selama ni perlahan-lahan aku apply. Aku didik jiwa aku untuk sabar dan aku yakin Allah juga sedang mendidik aku. Dan apakah didikan yang paling terbaik melainkan tarbiah dan didikan itu datang daripada Allah sendiri. Aku ajar diri sendiri untuk melihat semua benda dengan mata hati. Contohnya, aku menghayati setiap bait dari bacaan Al-Quran.
Ada ayat yang aku suka ulang-ulang dengar antaranya Allah sebut dalam surah Al-Baqarah ayat 153. “Mintalah kamu pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan Sabar dan Solat kerana sesungguhnya Allah berserta dengan orang-orang yang sabar”.
Aku selalu renung ayat ni. Ya Allah, indahnya kata-katamu. Tidak ada kata-kata yang lebih indah di dunia ini seperti kata-kata yang datang daripada Allah. Allah nak aku sabar rupanya tapi sabar yang bagaimana? Adakah kita dah cukup sabar? Allah cakap dia akan uji orang yang mengaku beriman ni dan tak masuk syurga selagi kita tak diuji.
Ustazah pernah cakap masa aku buat rukyah dulu dia kata setan ni pun ada tahap dia jugak dan dia akan uji seseorang berdasarkan tahap iman kau. Semakin tinggi iman kau, semakin tinggi jugak lah level setan tu. Dan kau jangan sesekali mengaku kalah. Kena yakin Allah sentiasa ada dengan kita.
Kita bukan berkesorangan dalam medan perjuangan ni. Allah sebut dalam surah Muhammad ayat 31, Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.”
Okey, sambung balik, selain dari sahabat, aku juga selesa bercerita dengan Pakar Psykiatri dan Ustaz yang rawat aku sebab dorang faham dan boleh memberi nasihat yang baik. So carilah golongan professionals bila anda ditimpa masalah. Jangan pendam sorang-sorang nanti melarat tak pasal pasal kena depression ke nanti.
Istiqamah dengan amalan.
Dalam kelima-lima point ini adalah antara point yang paling penting. Bila kita dah kena sakit rohani macam ni maka kita kena sentiasa istiqamah dengan amalan. Orang kalau sakit fizikal kena makan ubat kan, kalau penyakit rohani ubatnya adalah zikrullah. Usaha untuk istiqamah berzikir. Berzikir ni bukan sekadar dengan lidah je tau. Hati pun kena berzikir juga. Ustazah Asma harun cakap zikir ni ada tiga tahap.
Satu berzikir dengan lidah, kedua berzikir dengan hati dan ketiga seluruh anggota turut berzikir dan jika kita ada buat tiga benda ni itulah sebaik-baik zikir. Lagi satu, amalan lain pun kena istiqamah juga. Amalan kan terlalu banyak, nak buat yang mana satu? Pilih dan carilah yang paling serasi. Contoh macam aku cuba untuk konsisten baca surah Yasin dan Manzil kalau boleh setiap hari. Bila dah serasi jangan tinggal amalan ni sebab dia akan jadi pendinding kita.
Ustaz cakap dia tak akan bagi terlalu banyak amalan pada pesakit sebab kalau tak istiqamah, sakit kita tu senang nak datang balik. Ustaz yang datang rumah aku masa aku sakit hari tu ada cerita. Sorang pesakit dia ni kena santau. Dia tengah merawat pesakit tu sekarang. 10 tahun dia kekal istiqamah dengan amalan tapi tahun ke 11 dia kena semula. Pasal apa dia kena sakit semula?
Sebab selama ni dia istiqamah jaga amalan tapi tiba-tiba dia tak buat amalan tu sebab tu dia boleh kena sakit balik. Ustaz bagi analogi mudah, orang yang terkena penyakit macam ni sebenarnya dah ada satu lubang atau tapak dalam diri mereka. Semakin lama lubang tu semakin besar, magnet dia tu makin kuat lah kiranya dan kalau tak jaga contoh kalau kita pergi mana-mana ke tempat yang ada gangguan, benda tu akan target kita sebab dia dah nampak lubang tu tak kiralah benda tu sihir ke, saka atau santau.
Benda tu akan datang melintasi kawasan yang sama dan dia akan masuk sekali dengan geng geng dia so kalau tidak ditutup dengan zikrullah, maka lubang tu akan terbuka balik sedikit demi sedikit disaat kau lalai dari mengingati Allah. Tapi apabila kita berzikir lubang tu akan mengecil dan akhirnya tertutup. Itulah yang jadi pada aku dulu sebab masa mula-mula kena aku tak faham konsep lalai ni. Aku punyalah duk berlawan kata-kata dengan makhluk-makhluk ni sebab aku terlalu banyak mendengar bisikan dan nampak bukan bukan dalam minda dulu.
Dah macam orang kurang siuman dah setiap kali aku bidas balik dengan kata-kata setiap kali aku diganggu. Selain tu bila aku dah panik, aku main baca je baca semua surah. Tak tahu betul ke salah tajwid aku main hentam je. Dah lah kuat gila aku baca sampai semua jiran boleh dengar. Then sampailah aku belajar untuk tenangkan diri. Jangan kalut dan jangan menggelabah. Orang anxiety kan cepat panik, tapi perlahan lahan aku belajar untuk tenangkan diri.
Ustaz cakap jangan buat amalan tu melampau sangat nanti lain jadinya dan penting juga kena berguru dulu sebelum nak baca apa-apa ayat. Ustaz cakap dia yang level ustaz nak baca 3 Qul pun dia berguru. Biar guru yang sahkan sesuatu amalan tu baru boleh beramal. Kalau kita belajar sorang-sorang maknanya kita belajar dengan iblis. Kena tahu benda ni cukup tak suka kalau kita ingat Allah. Macam macam dia akan buat untuk alihkan perhatian kau pada Allah.
Masa ustaz datang rukyah aku buat kali kedua dulu aku dah sampai tahap nampak dua alam dah. Aku hampir tak boleh nak berfikir dengan betul. Ustaz cakap bahaya biar lama-lama sebab benda tu nak buat aku jadi g*** nauzubillah. Alhamdulillah nasib baik aku sempat reverse balik. Aku counterback dengan teruskan amalan-amalan dan bukannya lawan balik dengan kata-kata cacian pada mereka!
That is a big no no! sekarang aku dah makin baik bila aku cuba untuk jaga emosi dan jaga amalan. Cuma ada beberapa perkara yang masih menganggu aku iaitu mimpi dan kadang-kadang aku masih lagi mendengar bisikan. Sebelum ni aku punyalah jahil Allah dah bagi sign 10 tahun aku dapat mimpi yang sama berulang-ulang kali tapi aku tak sedar sampailah aku pergi berubat di Darul Thibbun Nabawi Ustazah cakap ada mimpi sekian sekian tak then aku cakap YA! YA! Saya ada mimpi tesebut dah 10 tahun!! (tak boleh cerita mimpi apa) sebab kalau nak tahu kena tunggu orang komen pastu boleh buat next confession, hehe.
Sekarang ni aku dah boleh kenalpasti mimpi samada mimpi itu adalah dari jenis saka, sihir atau jin asyik. Korang, Allah ni sayang kita tau kalau kita sakit dia akan bagi sign dulu kan. Contoh kalau sakit ada tyroid doktor biasa akan tanya simptoms ada rasa berdebar-debar ke dll begitu juga dengan penyakit rohani. Allah bagi sign melalui mimpi. Tinggal kau nak sedar atau tak sedar je. Sebab tu kena ada ilmu dan bertanya orang yang arif. Bila dah rasa mimpi pelik-pelik tu jangan dibiar macam tu je.
Aku selama ni fikir orang yang pergi jumpa ustaz ni orang yang ada histeria je, rupanya bila dah mimpi bukan bukan tu pun dah kena start jumpa pakar perubatan. Jangan biarkan melarat, sebab semakin lama semakin sukar untuk dirawat. Walaupun aku dah sakit lama tapi aku tetap percaya aku akan pulih dengan sepenuhnya sebab Al-Quran itu adalah penawar bagi segala jenis penyakit.
Allah sebut dalam surah Al-Israk ayat 82: Dan Al-Quran itu diturunkan secara beransur-ansur agar ia menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman. Yakinlah dengan Allah dengan sebenar-benar keyakinan dan letakkan setinggi-tinggi kepercayaan sebab itu adalah syarat untuk kita sembuh. Kalau kita mempersoalkan kesakitan kita, tak redha dan sebagainya macam mana kita nak pulih sebab tu penting untuk kita sentiasa berbaik sangka dengan Allah. Kerana Dialah yang menurunkan penyakit dan Dialah satu-satunya yang maha Menyembuhkan.
Cara kita menjaga diri.
Bab ni kena be alert sikitlah terutamanya orang yang ada gangguan kuat macam aku. Dulu aku buat bodoh je tak jaga pantang larang. Suka hati keluar selepas asar balik malam-malam sorang sorang pulak tu. Lalu kawasan kubur lah sungai lah. Elakkan! Ustaz cakap kalau boleh jangan keluar selepas Asar dan Maghrib. Itu adalah masa makhluk ni aktif. Lepas tu jangan duduk sorang-sorang. Bab ni payah sikit untuk aku buat sebab aku suka jugak sendirian dalam bilik.
Waktu aku menulis pun aku tengah sorang sorang dalam bilik. Kalau boleh buat apa-apa secara berjemaah. Aku dulu suka sangat bersendirian. Terlalu berani dan berdikari lah konannya. Travel sensorang. Makan sensorang. Masa kat u dulu semua benda aku buat sorang-sorang sebab aku sorang je yang tercampak kat kolej lain so tak ada coursemate. Bukan sengaja aku nak mengasingkan diri.
Ada masa memang aku suka duduk dalam Jemaah. Jemaah yang baik lah kan. Aku suka juga join usrah atau program program ceramah masa kat u dulu. Bila join program program baik macam tu hati aku rasa tenang sangat. Yelah majlis ilmu kan taman syurga. Aku perasan dulu aku sangat rimas duduk dalam kelompok masyarakat yang suka berhuha-huha ni. Seolah-olah roh aku lemas duduk dengan orang-orang yang suka becerita hal-hal keduniaan ni rupanya roh aku dah lama dahagakan makanan jiwa cuma aku je tak sedar.
Yelah masa kat u dulu kan busy, mana ada masa sangat nak baca quran, berzikir buat solat sunat semua. Buat yang basic je. Aku tak sedar sesungguhnya hati aku sedang sakit. Wahai hati maafkan aku sebab tak endah keperluan kau dulu. Sekarang aku dah semakin alert. Kalau nak ke mana mana aku tak akan pergi sorang. Sekurang kurannya ada orang teman kecuali kalau dah terdesak aku keluar sorang tu pun hanya pagi sampai tengah hari je. Next, ustaz pesan selalu pakai wangi-wangian. Paling terbaik kasturi hitam sebab benda tu paling tak suka minyak wangi kasturi.
Kasturi yang telah dirukyah lagi bagus. Next, kalau ada duit lebih beli minyak zaitun rukyah dan lumurkan pada anggota badan sebelum tidur. Mandi dengan air limau rukyah atau daun bidara pun bagus. Kalau ada masa buat rendaman kaki menggunakan garam bukit kerana garam ni mengandungi ion yang boleh membuang segala caj caj negatif dalam badan termasuk makhluk makhluk ni. Jangan buat benda-benda yang lagha macam dengar lagu kalau boleh elakkan. Kalau kau nak dengar sangat dengar lah nasyid selain dari tu jangan!
Next, kalau rajin buat air syifa’ rukyah minta mak kau tolong bacakan ayat quran dan doakan sebab doa ibu ni tiada hijab. Pastu setiap kali lepas solat jangan lupa doakan parents dan orang lain juga. Part ni penting tau. Ustaz cakap antara salah satu cara nak makbul doa selalulah doakan orang lain sebab malaikat akan mengaminkan dan mendoakan kita juga.
Pastu aku nak ajar teknik pernafasan. Sila ambil perhatian, ustaz ijazahkan aku buat amalan ni untuk kurangkan gangguan. Tips ni bukan sahaja berguna untuk orang yang ada sihir/saka tapi juga untuk orang yang ada anxiety. Prof Muhaya selalu jugak cakap kan, berapa ramai yang manfaatkan kebaikan ni.
Kaedahnya macam ni. Mula mula tarik nafas melalui hidung lepas tu sebut Allah banyak kali dalam hati tak kisah seberapa banyak sampailah nafas habis kemudian hembus melalui mulut. Ulang ulang banyak kali pun tak apa. Ustaz cakap benda ni penting dan kena buat seumur hidup. Memang rasa benda tu tak selesa dia lemas nak keluar tiap kali aku buat teknik pernafasan.
Aku nak bagitahu korang manfaat surah At-Takwir ayat 17 dan 18. Maksudnya “Dan malam apabila ia hampir habis dan siang apabila ia hampir terang”. Surah ni sangat bermanfaat untuk buang sihir/saka ni. Sebab maksud dia pertukaran malam kepada siang sebab ustaz cakap bila siang Allah akan hancurkan segala sihir sihir yang dihembus pada simpulan-simpulan. Boleh baca ayat ni sambil buat teknik pernafasan. Aku biasa amal baca 11x selepas subuh.
Jangan lupa juga selalu basahkan lidah dengan tasbih nabi Yunus. Tasbih ni sangat powerful. Semua orang wajib tahu. Lepas tu sibukkan diri dengan sesuatu. Jangan layan perasaan! Once kau melayan or termenung, dari situ iblis akan memanah dengan panahan pada mata untuk kacau minda kau. Kepada perempuan yang suka upload gambar di media social kurangkanlah sebab dari gambar je pun sebenarnya mudah untuk orang nak hantar sihir. Kita tak tahu hati manusia ni.
Rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Selain tu korang kena ambil cakna juga tentang penyakit ain’. Apabila seseorang memandang kita dengan pandangan iri atau suka sampai puji melampau-lampau tanpa menyebut nama Allah macam masyaAllah atau subhanallah seseorang tu boleh kena penyakit ain’ walaupun hanya sekadar memandang gambar sebab kita makluk Allah sebenarnya kita berinteraksi melalui tenaga dan gelombang.
Lastly sebelum tidur jangan tinggal ayat qursi dan 3 qul. Rasanya itu je perkongsian aku. Kalau nak cerita satu buku pun belum tentu habis. Aku Cuma highlight point-point yang penting je. Manalah tahu dalam banyak-banyak tips ada yang boleh beri manfaat pada orang.
Kepada insan-insan yang menghadapi masalah seperti aku, teruskan perjuangan dan aku doakan aku dan kalian boleh sembuh dengan sepenuhnya pada suatu hari nanti. InshaaAllah. Aamiin.
– Rabiatul Adawiyah (Bukan nama sebenar)
Confessions
Leave a Reply