Surah al-Ikhlas Ayat 1 – 4 (Allah ﷻ itu tunggal & tiada bandingan)

بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

قُل هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ

Qul huwallāhu aḥad(un).

“Katakanlah: “Dialah Allah, Yang Maha Esa.”

Surah al-Ikhlas Ayat 1

اللَّهُ الصَّمَدُ

Allāhuṣ-ṣamad(u).

Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.

Surah al-Ikhlas Ayat 2

لَم يَلِد وَلَم يولَد

Lam yalid wa lam yūlad.

“Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan,”

Surah al-Ikhlas Ayat 3

وَلَم يَكُن لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ

Wa lam yakul lahū kufuwan aḥad(un).

“dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia”.

Surah al-Ikhlas Ayat 4

ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ

Tafsir (ringkas)

Pengenalan

Apakah kaitan surah al-Ikhlas ini dengan surah al-Masad sebelum ini:

1. Menggunakan kaedah (sajak) yang sama. Lihatlah bagaimana hujung setiap ayat diakhiri dengan qalqalah.

2. Mengubah perhatian kepada perkara yang lebih penting. Sebelum ini surah al-Masad memperkatakan tentang Abu Lahab yang mengganggu dakwah Nabi Muhammad ﷺ. Abu Lahab mengganggu perhatian Nabi ﷺ kerana Abu Lahab sentiasa mengganggu dakwah Nabi dan menentang secara terang-terangan. Yang membuatkan Nabi ﷺ susah hati adalah kerana Abu Lahab adalah bapa saudaranya sendiri.

Kerana tertekan dengan perbuatan Abu Lahab itu, Nabi ﷺ asyik fikir tentang Abu Lahab sahaja. Tambahan pula dia adalah bapa saudara Nabi ﷺ dan tinggal juga di sebelah rumah baginda sahaja. Jadi, tentu selalu mereka berjumpa. Jadi, apabila saudara sendiri menolak dakwah dan menghalang orang lain daripada mengikut baginda, maka ini memang mengganggu dakwah. Kerana orang jahil boleh berkata: “keluarga dia sendiri juga tidak mengikut dia!”

Oleh itu, dalam surah sebelum ini Allah ﷻ berjanji kepada baginda untuk memusnahkan Abu Lahab sedikit demi sedikit. Dan Allah ﷻ beritahu yang usaha Abu Lahab itu tidak akan berjaya untuk mengganggu dakwah baginda. Abu Lahab tidak akan berhasil untuk memusnahkan agama Islam.

Ini menghilangkan satu kerisauan dari kerisauan baginda yang besar supaya baginda boleh tumpukan perhatian kepada perkara yang lebih penting lagi. Kalau dalam Surah al-Kaafiroon, Allah ﷻ menyuruh Nabi Muhammad ﷺ yang beritahu kepada orang kafir (dengan kalimah قل), tapi dengan Abu Lahab, Allah ﷻ sendiri yang berkata terus (tiada penekanan menyuruh Nabi berkata). Ini memberi erti, Allah ﷻ sendiri yang akan berurusan dengan Abu Lahab itu – Nabi ﷺ tidak perlu bimbang, semuanya akan diuruskan. Cuma fokus kepada dakwah sahaja sekarang.

Surah ini juga ada kaitan dengan surah terawal sekali, iaitu surah al-Fatihah. Ada kaitan yang menarik juga. Kalau kita lihat ada perkara yang disentuh dalam surah al-Fatihah dan disambung dalam surah-surah terakhir ini:

Dalam al-Fatihah, kita sebut الحَمدُ لِلَّهِ (Segala pujian untuk Allah ﷻ) dan dalam Surah al-Ikhlas ini Allah ﷻ sambung memberitahu kita siapakah Allah ﷻ itu. Dalam al-Fatihah, kita baca رَبِّ العالَمينَ (Tuhan sekalian alam) dan kalimah disentuh sekali lagi dalam surah al-Falaq dan an-Naas. Oleh itu, sesuatu yang dimulakan dalam awal Al-Qur’an dilengkapkan di hujung Al-Qur’an.

Kita telah sentuh tentang sifat 10 surah-surah terakhir dalam Al-Qur’an dan kita telah lihat bagaimana 7 surah sebelum ini adalah tentang sirah Nabi yang dihabiskan dengan surah al-Masad. Sekarang surah Al-Qur’an ini kembali kepada agenda yang utama iaitu tentang tauhid.

Allah ﷻ ingatkan balik tentang apakah yang utama kita kena ingat. Kadang-kadang kalau kita sudah berperang sekian lama, berdakwah sekian lama, bekerja sekian lama, kita sampai lupa kenapa kita berperang pada awalnya. Kita mungkin boleh terlupa tujuan asal kita berdakwah dulu. Jadi Allah ﷻ ingatkan kembali apakah punca utama kenapa umat Islam dan orang kafir bertegang urat dan tidak dapat bersama – ini adalah kerana perbezaan fahaman dan pegangan tentang tauhid.

Dari hadith, kita dapat tahu yang Nabi Muhammad ﷺ selalu membaca surah al-Ikhlas ini bersama dengan surah al-Kaafiroon. Ini memerlukan perhatian kita, kerana walaupun dua surah ini tidak berturutan, tapi kenapa baginda membacanya dalam rakaat pertama dan rakaat kedua? Tentu ada kaitan antara dua surah ini, tapi apakah ia?

1. Dalam surah al-Kaafiroon, sudah jelas yang Islam dan kufur bukanlah agama yang sama. Mereka ada agama mereka dan kita ada agama kita. Tidak ada kompromi langsung antara keduanya. Walaupun sekali lihat seolah-olah ada persamaan. Sebagai contoh, Musyrikin Mekah ada juga beribadat di Ka’bah seperti juga umat Islam; mereka juga kenal Allah ﷻ sebagai Tuhan yang satu.

Oleh itu, memang ada persamaan, tapi tidaklah itu sebagai dalil yang Islam dan kufur itu sama. Ini jelas di hujung surah itu: لَكُم دينُكُم وَلِيَ دينِ. (begitulah juga dengan agama Syiah – mereka itu bukan Islam dan bukan salah satu mazhab dari agama Islam walaupun ada sedikit persamaan. Apabila dikatakan yang mereka itu satu ‘mazhab’, maka banyak masalah akan timbul kerana manusia tidak nampak kesesatan mereka).

Baik, kembali kepada perbincangan tentang surah al-Kaafiroon dan al-Ikhlas. Dalam surah al-Kaafiroon telah diberikan pembeza antara dua agama yang amat berlainan ini – agama Islam dan agama kufur. Dan diterangkan dalam Surah al-Ikhlas bahawa agama Islam itu bezanya dengan agama lain adalah kerana tauhid.

Begitu juga perbezaan ajaran Al-Qur’an dengan amalan masyarakat Muslim kita. Kalau ada sudah membaca sampai ke sini, maka tentu anda sudah perasan bagaimana sudah disentuh perkara-perkara tauhid yang amat berlawanan dengan fahaman masyarakat kita.

Maka, surah al-Ikhlas adalah tentang tauhid dan serangan kepada tauhid adalah dari dalam dan luar. Serangan dari luar disentuh dalam surah al-Falaq dan serangan dari dalam disentuh dalam surah an-Nas yang kita akan belajar nanti. Oleh itu, ketiga-tiga surah ini ada kaitan (kerana itu ia dikenali sebagai tiga qul).

2. Di dalam surah al-Kaafiroon, nama Allah ﷻ tidak disebut sama sekali. Cuma disebut yang mereka tidak sembah apa yang kita sembah – tapi apakah yang kita sembah? Maka, dalam surah al-Ikhlas ini diterangkan dengan jelas yang kita hanya menyembah Allah sahaja dan diterangkan pula sifat-sifat Allah ﷻ di dalamnya.

3. Surah Al-Kaafiroon dimulakan dengan kalimah قُل dan begitu juga dengan surah al-Ikhlas ini. Sedangkan surah al-Masad di tengahnya tidak ada kalimah قُل. Jadi, ini juga menunjukkan ada kaitan yang rapat antara surah al-Kaafiroon dan al-Ikhlas ini.

4. Surah al-Kaafiroon dan surah al-Ikhlas mempunyai nama lain yang sama. Para sahabat memang memberi nama timangan yang banyak untuk surah-surah yang mereka suka dan mereka banyak baca. Sebagai contoh, nama surah al-Ikhlas ada lebih dari 20 nama yang lain.

Salah satu nama yang diberikan kepada surah al-Ikhlas adalah al Mukashkish – yang menghilangkan penyakit. Dan nama ini juga sebenarnya digunakan juga untuk surah al-Kaafiroon. Ini adalah kerana kedua-duanya menyembuhkan manusia dari penyakit syirik. Surah al-Kaafiroon menyembuhkan dari ‘syirik amalan’ dan surah al-Ikhlas menyembuhkan dari ‘syirik hati’.

Berikut adalah nama-nama lain bagi surah al Ikhlas:

2. Surah at-Tafreed – yang bermaksud ‘tunggal’ kerana surah ini memperkatakan sifat Allah yang tunggal – tidak ada yang sama dengan-Nya.

3. Surah at-Tajreed – surah yang membuang segala salah faham terhadap Allah ﷻ.

4. Surah at-Tawheed – surah tentang tauhid kerana ia memperkatakan sifat Allah ﷻ yang tauhid.

5. Surah al-Ma’rifah – yang bermaksud ‘pengenalan’. Ianya memperkenalkan Allah ﷻ dan kalau tidak faham surah ini, bermakna seseorang itu tidak kenal siapakah Allah ﷻ.

6. Surah as-Samad – Kalimah ini kita akan belajar nanti. Dalam Al-Qur’an, pada surah ini sahaja digunakan kalimah ini. Dan kerana itulah surah al-Ikhlas juga dikenali sebagai surah as-Samad.

7. Surah al-Assaas – yang bermaksud ‘pati’. Ini adalah kerana di dalam surah ini disebut tentang asas atau pati dakwah Rasulullah iaitu mentauhidkan Allah ﷻ.

Dan tauhid ini adalah perkara yang amat penting sekali perlu ditekankan dan difahami oleh semua manusia. Begitu pentingnya tauhid ini dan buruknya syirik, hinggakan Allah ﷻ amat murka apabila ada yang mengatakan Allah ﷻ mempunyai anak. Ini disebut di dalam surah Maryam: 90.

تَكادُ السَّماواتُ يَتَفَطَّرنَ مِنهُ وَتَنشَقُّ الأَرضُ وَتَخِرُّ الجِبالُ هَدًّا

“hampir-hampir langit pecah kerana ucapan itu, dan bumi belah, dan gunung-gunung runtuh,”

Begitu murka sekali Allah ﷻ kalau ada manusia yang melakukan amalan syirik hinggakan hampir-hampir alam ini pecah dan hancur berderai. Maka, kita mestilah benar-benar faham tentang tauhid dan syirik supaya kita boleh mengamalkan tauhid dan tinggalkan amalan syirik. Tidak mungkin ada ilah lain selain Allah ﷻ kerana kalau begitu, akan kacau bilaulah alam ini seperti yang disebut dalam surah Anbiya:22

لَو كانَ فيهِما آلِهَةٌ إِلَّا اللَّهُ لَفَسَدَتا

“Sekiranya ada di langit dan di bumi ilah-ilah selain Allah, tentulah keduanya (langit dan bumi) itu telah rosak binasa.”

Alam akan hancur binasa kalau ada tuhan yang lain kerana seorang tuhan ingin begini dan seorang lagi tuhan ingin begitu – maka, akan kacau bilau jadinya. Sebab itu, kita lihat agama yang ada lebih daripada satu tuhan mempunyai kekarutan yang amat sangat – seperti agama Hindu, agama Greek dan lain-lain lagi. Selalu kita baca tentang kisah tuhan-tuhan mereka berkelahi dan berlawanan sesama mereka.

Memang mengarut sungguh. Kalau sudah ada banyak yang ada kuasa, sudah tentu ada perlawanan antara mereka. Maka, ini adalah sebagai hujah juga untuk mengatakan yang tidak mungkin ada lebih daripada satu tuhan. Hanya ada satu Tuhan sahaja iaitu Allah ﷻ.

Sebelum ini telah disebut tentang kemenangan umat Islam dalam surah an-Nasr. Kemenangan umat Islam itu adalah kerana mereka mentauhidkan Allah ﷻ. Apabila mentauhidkan Allah ﷻ, Allah ﷻ akan beri bantuan. Zaman sekarang kita rasa amat lemah sekali kalau dibandingkan dengan kuasa orang kafir. Selalu kita sebut-sebut tentang kehebataan sejarah umat Islam dan berharap supaya Islam kembali kuat.

Kalau mahu kembali kepada kemenangan zaman dahulu, maka kita hendaklah kembali kepada tauhid. Jadi, ini dimulai dengan belajar tafsir Al-Qur’an. Ini kerana, kehebatan dan kemenangan umat Islam dahulu adalah kerana berpegang kepada ajaran Al-Qur’an. Bukannya kerana mereka hanya umat Islam sahaja. Maka, kita tidak boleh berharap kepada kemenangan dan kekuatan umat Islam selagi pemahaman tafsir Al-Qur’an ini berleluasa. Kalau sekarang kita lihat, hanya segelintir sahaja yang belajar ilmu tafsir ini.

Terdapat khilaf sama ada surah ini adalah Makkiyyah atau Madaniyyah. Ada juga yang mengatakan ianya diturunkan dua kali – sekali di Mekah dan sekali lagi di Madinah. Ini mungkin timbul kerana ada yang baru mendengar surah ini dibacakan di Madinah maka mereka sangka ianya diturunkan di Madinah, sedangkan ianya telah diturunkan di Mekah.

Seperti yang kita tahu, Musyrikin Mekah juga mengenal Allah ﷻ dan mereka juga menggunakan nama ‘Allah’ juga di dalam agama mereka. Masalah dengan mereka adalah, mereka mengadakan ilah-ilah lain selain Allah ﷻ. Oleh itu, apabila Nabi Muhammad ﷺ mengajar mereka tentang tauhid dan memberitahu mereka tentang Tuhan dan ilah itu hanya Allah ﷻ sahaja, mereka hairan dan marah.

Mereka menjadi keliru, adakah Allah ﷻ yang dimaksudkan oleh Rasulullah ﷺ itu sama dengan Allah ﷻ yang mereka kenal? Terdapat di dalam beberapa riwayat yang dibawakan oleh ahli tafsir bahawa asal mula surah ini diturunkan adalah kerana pernah orang musyrikin meminta kepada Rasulullah: صف لنا ربك – ‘Shif lanaa rabbaka’ (Cuba jelaskan kepada kami apa macamnya Tuhanmu itu, emaskah dia atau tembaga atau loyangkah?).

Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Tarmidzi daripada Ubay bin Ka’ab, memang ada orang musyrikin meminta kepada Nabi ﷺ supaya dihuraikannya nasab (keturunan atau sejarah) Tuhannya itu. (Kerana baginda kata semua dijadikan oleh Allah ﷻ, tapi siapakah yang menjadikan Allah ﷻ?) Maka, datanglah surah yang tegas ini tentang Tuhan. Persoalan mereka itu telah menyebabkan Rasulullah ﷺ murka dan Allah ﷻ menurunkan surah al-Ikhlas ini untuk menjawab persoalan mereka itu.

Kelebihan surah ini:

Hadith A’isyah, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ بَعَثَ رَجُلاً عَلَى سَرِيَّةٍ، وَكَانَ يَقْرَأُ لأَصْحَابِهِ فِي صَلاَتِهِ، فَيَخْتِمُ بِـ قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ، فَلَمَّا رَجَعُوا، ذَكَرُوا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ ، فَقَالَ: (سَلُوْهُ، لأَيِّ شَيْءٍ يَصْنَعُ ذَلِكَ؟)، فَسَأَلُوْهُ، فَقَالَ: لأَنَّهَا صِفَةُ الرَّحْمَنِ، وَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أَقْرَأَ بِهَا، فَقَالَ النَّبِيُّ : (أَخْبِرُوْهُ أَنَّ اللهَ يُحِبُّهُ).

“Sesungguhnya Nabi ﷺ mengutus seseorang kepada sekelompok pasukan, dan ketika orang itu mengimami yang lainnya di dalam solatnya, dia membaca, dan mengakhiri (bacaannya) dengan قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ, maka tatkala mereka kembali pulang, mereka menceritakan hal itu kepada Rasulullah ﷺ, lalu beliau pun bersabda: “Tanyalah dia, mengapa dia berbuat demikian?” Lalu mereka bertanya kepadanya. Dia pun menjawab: “Kerana surah ini (mengandung) sifat ar Rahman, dan aku mencintai untuk membaca surat ini,” lalu Nabi ﷺ bersabda: “Beritahu dia, sesungguhnya Allah ﷻ pun mencintainya”.

Riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadith Anas bin Malik, beliau berkata :

كَانَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ يَؤُمُّهُمْ فِي مَسْجِدِ قُبَاءٍ، وَكَانَ كُلَّمَا اِفْتَتَحَ سُوْرَةً يَقْرَأُ بِهَا لَهُمْ فِي الصَّلاَةِ مِمَّا يَقْرَأُ بِهِ، اِفْتَتَحَ قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ، حَتَّى يَفْرَغَ مِنْهَا. ثُمَّ يَقْرَأُ سُوْرَةً أُخْرَى مَعَهَا، وَكَانَ يَصْنَعُ ذَلِكَ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ. فَكَلَّمَهُ أَصْحَابُهُ، فَقَالُوا: إِنَّكَ تَفْتَتِحُ بِهَذِهِ السُّوْرَةِ، ثُمَّ لاَ تَرَى أَنَّهَا تُجْزِئُكَ حَتَّى تَقْرَأَ بِأُخْرَى، فَإِمَّا تَقْرَأُ بِهَا، وَإِمَّا أَنْ تَدَعَهَا وَتَقْرَأَ بِأُخْرَى. فَقَالَ: مَا أَنَا بِتَارِكِهَا، إِنْ أَحْبَبْتُمْ أَنْ أَؤُمَّكُمْ بِذَلِكَ فَعَلْتُ، وَإِنْ كَرِهْتُمْ تَرَكْتُكُمْ. وَكَانُوا يَرَوْنَ أَنَّهُ مِنْ أَفْضَلِهِمْ، وَكَرِهُوا أَنْ يَؤُمَّهُمْ غَيْرُهُ. فَلَمَّا أَتَاهُمْ النَّبِيُّ n أَخْبَرُوْهُ الخَبَرَ، فَقَالَ: (يَا فُلاَنُ، مَا يَمْنَعُكَ أَنْ تَفْعَلَ مَا يَأْمُرُكَ بِهِ أَصْحَابُكَ؟ وَمَا يَحْمِلُكَ عَلَى لُزُوْمِ هَذِهِ السُّوْرَةِ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ؟) فَقَالَ: إِنِّي أُحِبُّهَا، فَقَالَ: (حُبُّكَ إِيَّاهَا أَدْخَلَكَ الْجَـنَّةَ).

“Seseorang (sahabat) dari Ansar mengimami (solat) mereka (para sahabat lainnya) di Masjid Quba. Setiap dia membuka bacaan (di dalam solatnya), dia membaca sebuah surah dari surah-surah (lainnya) yang dia (selalu) membacanya. Dia membuka bacaan surah di dalam solatnya dengan قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ, sampai dia selesai membacanya, kemudian dia lanjutkan dengan membaca surat lainnya bersamanya. Dia pun melakukan hal demikian itu di setiap rakaat (solat)nya. (Akhirnya) para sahabat lainnya berbicara kepadanya, mereka berkata: “Sesungguhnya engkau membuka bacaanmu dengan surah ini, kemudian engkau tidak menganggap hal itu telah cukup bagimu sampai (engkau pun) membaca surah lainnya. Maka, (jika engkau ingin membacanya) bacalah surah itu (saja), atau engkau tidak membacanya dan engkau (hanya boleh) membaca surah lainnya”. Dia berkata: “Aku tidak akan meninggalkannya. Jika kalian suka untuk aku imami kalian dengannya, maka aku lakukan. Namun, jika kalian tidak suka, aku tinggalkan kalian,” dan mereka telah menganggapnya orang yang paling utama di antara mereka, sehingga mereka pun tidak suka jika yang mengimami (solat) mereka adalah orang selainnya. Sehingga tatkala Nabi ﷺ mendatangi mereka, maka mereka pun menceritakan khabar (tentang itu), lalu dia (Nabi) bersabda: “Wahai fulan, apa yang menghalangimu untuk melakukan sesuatu yang telah diperintahkan para sahabatmu? Dan apa pula yang membuatmu selalu membaca surah ini di setiap rakaat (solat)?” Dia menjawab,”Sesungguhnya aku mencintai surah ini,” lalu Rasulullah ﷺ bersabda: “Cintamu kepadanya memasukkanmu ke dalam syurga”.

Riwayat Bukhari, Tirmizi dan Ahmad.

Jadi kita boleh lihat bagaimana cintanya sahabat kepada surah ini dan bagaimana Nabi ﷺ membenarkan apa yang mereka lakukan.

Nilai surah ini sama dengan sepertiga Al-Qur’an:

Hadith Abu Sa’id al Khudri, dia berkata:

أَنَّ رَجُلاً سَمِعَ رَجُلاً يَقْرَأُ: قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ يُرَدِّدُهَا، فَلَمَّا أَصْبَحَ جَاءَ إِلَى رَسُوْلِ اللهِ ، فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ، وَكَأَنَّ الرَّجُلَ يَتَقَالُّهَا، فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ : وَالَّذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ، إِنَّهَا لَتَعْدِلُ ثُلُثَ القُرْآنِ.

“Sesungguhnya seseorang mendengar orang lain membaca قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ dengan mengulang-ulangnya, maka tatkala pagi harinya, dia mendatangi Rasulullah dan menceritakan hal itu kepadanya, dan seolah-olah orang itu menganggap remeh surah itu, maka bersabdalah Rasulullah ﷺ: “Demi Dzat yang jiwaku berada di tanganNya, sesungguhnya surah itu sebanding dengan sepertiga Al -Qur’an”.

Riwayat Bukhari, Abu Dawud, Nasaie.

Hadith Abu Sa’id al Khudri pula, dia berkata:

قَالَ النَّبِيُّ لأَصْحَابِهِ: (أَيُـعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأَ ثُلُثَ القُرْآنِ فِي لَيْلَةٍ)، فَـشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِمْ، وَقَالُوا: أَيُّـنَا يُطِيْقُ ذَلِكَ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ فَقَالَ: (اللهُ الوَاحِدُ الصَّمَدُ، ثُلُثُ القُرْآنِ).

“Nabi ﷺ berkata kepada para sahabatnya: “Apakah seseorang dari kalian tidak mampu membaca sepertiga Al-Qur’an dalam satu malam (saja)?” Hal itu membuat mereka keberatan, (sehingga) mereka pun berkata: “Siapa di antara kami yang mampu melakukan hal itu, wahai Rasulullah?” Lalu Nabi ﷺ bersabda: “Allahul Wahidush Shamad (surah al -Ikhlas), (adalah) sepertiga Al -Qur`an”.

Riwayat Bukhari.

Nota: Maksudnya, kandungan surah ini adalah khulasah (kesimpulan) kepada 1/3 dari kandungan Al-Qur’an. Ini adalah kerana ia memperkatakan tentang tauhid dan ia adalah perkara yang utama dalam Al-Qur’an. Bukan ia bermaksud sekali membaca surah al-Ikhlas ini, sama juga ‘sudah membaca’ 1/3 dari Al-Qur’an.

Jangan salah faham akan hal ini. Kerana itu, ada juga kita mendengar hujah orang jahil, mereka berkata yang mereka sudah khatam Al-Qur’an kerana sudah membaca tiga kali surah al-Ikhlas ini. Janganlah berfikiran cetek. Kalau fahaman ini dibiarkan berleluasa, maka kalau begitu, tidak perlu membaca semua surah di dalam Al-Qur’an. Untuk apa hendak belajar membaca Al-Qur’an lagi? Belajar satu surah sahaja!

Membaca Surah al-Ikhlas menjadi penyebab untuk masuk syurga:

Hadith Abu Hurairah, dia berkata:

أَقْبَلْتُ مَعَ رَسُوْلِ اللهِ ، فَسَمِعَ رَجُلاً يَقْرَأُ قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ. اللهُ الصَّمَدُ، فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ : (وَجَبَتْ)، قُلْتُ: وَمَا وَجَبَتْ؟ قَالَ: (الجَـنَّةُ).

“Aku datang bersama Rasulullah ﷺ, lalu baginda mendengar seseorang membaca:

قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ. اللهُ الصَّمَدُ

Maka Rasulullah ﷺ bersabda: “Telah wajib,” aku bertanya: “Apa yang wajib?” Beliau bersabda, “(Telah wajib baginya) syurga.”

Riwayat Tirmizi dan Nasaie – disahihkan oleh Albani.

Nota: Ini juga satu perkara yang perlu dijelaskan. Kerana masyarakat kita ini sangat jahil, sampai kadangkala baca hadith dan ayat Al-Qur’an tanpa belajar. Bukanlah bermaksud baca surah al-Ikhlas sahaja boleh terus masuk ke syurga. Kalau begitu, tidak perlu Nabi Muhammad ﷺ berdakwah sampai 23 tahun. Kalau benar membaca sahaja sudah boleh masuk syurga, Nabi ﷺ jadi Rasul tiga hari juga sudah cukup, ajar membaca surah al-Ikhlas sahaja.

Maksud hadith ini sebenarnya adalah, hendaklah membaca, faham dan mengamalkan tauhid seperti yang diajar di dalam surah ini. Surah ini adalah khulasah sahaja kepada cerita tauhid di dalam Al-Qur’an. Maka, hendaklah belajar apa yang disampaikan di dalam Al-Qur’an itu tentang tauhid. Maka, memang tidak dapat dielak, mestilah belajar tafsir Al-Qur’an juga.

Surah ini menjadi pelindung kalau dibaca bersama dengan surah al-Falaq dan an-Nas.

Hadith Uqbah bin ‘Amir al Juhani, beliau berkata:

بَيْنَا أَنَا أَقُوْدُ بِرَسُوْلِ اللهِ رَاحِلَتَهُ فِي غَزْوَةٍ، إِذْ قَالَ: (يَا عُقْبَةُ، قُلْ!)، فَاسْتَمَعْتُ، ثُمَّ قَالَ: (يَا عُقْبَةُ، قُلْ!)، فَاسْتَمَعْتُ، فَقَالَهَا الثَّالِثَةَ، فَقُلْتُ: مَا أَقُوْلُ؟ فَقَالَ: قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ فَقَرَأَ السُّوْرَةَ حَتَّى خَتَمَهَا، ثُمَّ قَرَأَ قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ الفَلَقِ، وَقَرَأْتُ مَعَهُ حَتَّى خَتَمَهَا، ثُمَّ قَرَأَ قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ النَّاسِ، فَقَرَأْتُ مَعَهُ حَتَّى خَتَمَهَا، ثُمَّ قَالَ: (مَا تَعَوَّذَ بِمِثْلِهِنَّ أَحَدٌ).

“Tatkala aku menuntun kenderaan Rasulullah ﷺ dalam sebuah peperangan, tiba-tiba baginda bersabda: “Wahai Uqbah, katakan,” aku pun mendengarkan, kemudian beliau berkata (lagi): “Wahai Uqbah, katakan,” aku pun mendengarkan. Dan beliau mengatakannya sampai tiga kali, lalu aku bertanya: “Apa yang aku katakan?” Beliau pun bersabda: “Katakan قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ”, lalu baginda membacanya sampai selesai. Kemudian baginda membaca قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّالفَلَقِ, aku pun membacanya bersamanya hingga selesai. Kemudian baginda membaca قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ النَّاسِ, aku pun membacanya bersamanya hingga selesai. Kemudian baginda bersabda: “Tidak ada seorang pun yang berlindung (dari segala keburukan) seperti orang orang yang berlindung dengannya (tiga surah) tersebut”.

Riwayat Nasaei – disahihkan oleh Albani

Surah al-Ikhlas Ayat 4

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir