Cara Mengamalkan Manzil

Dibaca sehari dua kali, iaitu pada waktu pagi dan petang sebagaimana galakkan Allah ﷻ untuk bertasbih dan mengingatinya pada waktu pagi dan petang dalam firman-Nya:

وَسَبِّحوهُ بُكرَةً وَأَصيلً

Wa sabbiḥūhu bukrataw wa aṣīlā(n).

“Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang.”

Surah al-Ahzab 42

Dalam ayat yang lain pula Allah ﷻ juga berfirman:

وَاذكُرِ اسمَ رَبِّكَ بُكرَةً وَأَصيلًا

Ważkurisma rabbika bukrataw wa aṣīlā(n).

“Dan sebutlah nama Tuhanmu pada (waktu) pagi dan petang.”

Surah al-Insan 25

Sekiranya ingin diamalkan sekali sehari sebaik-baiknya dibaca pada waktu malam khususnya selepas Maghrib dan sebelum tidur dengan bacaan yang tetap pada waktu yang sama mengikut kesesuaian masa seseorang. Sebagai contoh terdapat hadis yang menyuruh seseorang Muslim itu membaca 100 ayat pada malam hari.

Tamin al-Dari berkata Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ قَرَأَ بِمِائَةِ آيَةٍ فِى لَيْلَةٍ كُتِبَ لَهُ قُنُوتُ لَيْلَةٍ

“Sesiapa yang membaca 100 ayat pada waktu malam, maka seolah-olah dituliskan untuknya pahala bangun solat sepanjang malam.”

Riwayat Ahmad 2001: 16958; Al-Darimi 2000: 3493

Dalam satu hadis yang lain pula, tuntutan membaca 100 ayat pada waktu malam menyebabkan seseorang tidak digolongkan sebagai orang yang lalai.

Abu Darda’ menceritakan bahawa Nabi ﷺ bersabda,

مَنْ قَرَأَ بِمِائَةِ آيَةٍ لَمْ يُكْتَبْ مِنَ الْغَافِلِينَ

“Sesiapa yang membaca 100 ayat pada waktu malam, maka dia tidak akan digolongkan sebagai orang yang lalai.”

Riwayat al-Darimi 2000: 3491

Sebagai tambahan menurut Imam Al-Nawawi 1983, sekiranya seseorang sudah menetapkan bacaan rutinnya pada malam hari namun dia mengalami sedikit kesibukan seperti bermusafir atau sebagainya yang menghalang untuk dia melakukannya seperti biasa, maka dia boleh menghabiskan bacaan tersebut sebagai ganti sebelum masuk waktu Zohor pada keesokkan harinya.

Atas galakan membaca sekurang-kurang 100 ayat Al-Qur’an ini, maka beberapa tokoh mencadangkan bacaan yang dipanggil Manzil sepertimana yang dicadangkan oleh Maulana Zakariyya Al-Khandahlawi bersumberkan dalil hadis Ahmad, 2001: 21174 dan bacaan Al-Ma’thurat sebagaimana yang dicadangkan oleh Al-Banna.

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir