Your cart is currently empty!
Surah Baqarah Ayat 163 (Ayat pada alam)
بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
وَإِلٰهُكُم إِلٰهٌ وٰحِدٌ ۖ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ الرَّحمٰنُ الرَّحيمُ
Wa ilāhukum ilāhuw wāḥid(un), lā ilāha illā huwar-raḥmānur-raḥīm(u).
“Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.”
Surah Baqarah Ayat 163
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir
Ini adalah pengulangan semula ayat 21. Allah ﷻ ulang semula Maksud/Dakwa surah Baqarah ini. Allah ﷻ hendak mengingatkan yang ibadah dan doa hanya kepada Allah ﷻ. Tidak boleh bercampur aduk.
Bezanya dalam ayat dahulu, ayat 21 menafikan syirik iktikad – dari segi akidah. Dalam ayat ini, ia menolak syirik amali (perbuatan). Ada orang yang sudah mempunyai akidah syirik tetapi dia belum melakukannya lagi. Itu pun sudah salah sebenarnya.
Namun ada yang telah melakukan amalan yang syirik. Sebagai contoh, ada yang berpantang makanan yang dihalalkan oleh Allah ﷻ. Ini adalah amalan syirik dari segi amali. Ia dilakukan kerana sudah ada akidah syirik dalam iktikadnya.
وَإِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وٰحِدٌ
“Dan Tuhan bagi kamu semua adalah Tuhan yang satu;”
Dalam ayat ini Allah ﷻ sebut tentang Tauhid. Ilah itu hanya Allah ﷻ sahaja, tidak ada yang lain. Dia yang Maha Esa, maka Dia sahaja tempat sembahan kita, tempat pengharapan kita.
لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ
“Tidak ada lagi yang layak disembah, pujaan, melainkan Tuhan yang bernama Allah sahaja”
Selepas Allah ﷻ menceritakan tentang seksa yang akan diberikan kepada mereka yang menyembunyikan ilmu dari Al-Qur’an, Allah ﷻ sambung dengan ayat-ayat Tauhid ini. Ini menunjukkan kepentingan ilmu Tauhid dan memang banyak yang disembunyikan oleh manusia adalah ajaran Tauhid.
Kalau bab feqah, bab sejarah, tidak ada masalah guru hendak mengajar dari ajaran Al-Qur’an. Namun apabila masuk bab Tauhid, ramai yang terjemah sahaja ayat-ayat Al-Qur’an tanpa tafsir. Mereka tidak beritahu yang ada dari kalangan pelajar mereka yang melakukan syirik (tanpa sedar).
Allah ﷻ hendak mengatakan bahawa hanya Dialah yang layak disembah, bukan tuhan-tuhan lain. Namun kalau kita sebagai pemegang Al-Qur’an tidak menyampaikan ajaran Al-Qur’an itu, bukankah kita telah melakukan satu kesalahan yang amat besar? Ini kerana ramai manusia sembah selain Allah ﷻ, bukan?
Itulah sebabnya Allah ﷻ beri seksaan yang berat kepada mereka yang menyembunyikan Al-Qur’an itu. Kerana ramai yang terus melakukan syirik tanpa sedar kerana yang tahu, tidak memberitahu.
Ramai orang-orang bukan Islam tidak kenal Allah ﷻ kerana kita tidak menyampaikan ayat-ayat Allah ﷻ kepada mereka. Siapa yang hendak sampaikan kepada mereka kalau bukan kita?
الرَّحْمَٰنُ
“Yang bersifat Maha Penyayang;”
Maknanya, Allah ﷻ beri lagi nikmat kepada manusia walaupun mereka duduk dalam kufur. Allah ﷻ masih lagi beri peluang untuk manusia bertaubat.
Allah ﷻ bersifat Maha Penyayang. Salah satu hasil daripada sifat itu adalah Allah ﷻ telah memberikan Al-Qur’an kepada seluruh manusia. Namun kalau kita tidak sampaikan, maka rahmat itu tidak disampaikan kepada seluruh makhluk. Maka kita telah melakukan satu kesalahan yang amat besar. Sebab itulah Allah ﷻ marah sangat kepada mereka yang menyembunyikan ajaran ayat-ayat Al-Qur’an.
الرَّحِيمُ
“Dan Maha Mengasihani;”
Bagi manusia yang sudah diuji iman mereka, bila mati, Allah ﷻ akan memberikan nikmat yang tidak terhingga kepada mereka. Dalam ayat ini ia memberi isyarat adalah beza antara sifat Ar-Rahmaan dan Ar-Raheem Allah ﷻ.
Ar-Rahman – sifat pemurah Allah ﷻ yang luas yang diberikan kepada semua makhluk.
Ar-Raheem – sifat pemurah dan kasih sayang Allah ﷻ yang diberikan hanya kepada hamba-Nya yang mukmin.
Leave a Reply