Berubat dengan ‘perawat Islam’?

Kami cuba bawakan pandangan-pandangan ulama yang berkaitan dengan ruang lingkup perawatan bagi ‘perawat Islam’. Dalam konteks perubatan alternatif di Malaysia perawat Islam lebih dikenali sebagai seorang yang mengamalkan ruqyah dan terlibat dengan perubatan alternatif atau komplementatif iaitu pelengkap kepada perubatan moden.

Syeikh Jibrin dalam Fatawanya daripada kitab al-Lu’lu al-Makin menyebut:

“Sebenarnya dibolehkan menggunakan ruqyah bagi sesiapa yang baik bacaannya, memahami maknanya, mempunyai akidah yang betul dan melakukan amal perbuatan yang baik serta mempunyai peribadi yang baik. Tidak disyaratkan kepada penjampi (perawat) untuk mengetahui semua permasalahan furu’ (cabang) di dalam masalah agama dan mempelajari ilmu secara mendalam. Hal ini berdasarkan kisah Abu Said yang menjampi orang yang telah sesat disengat binatang berbisa. Beliau berkata: “Kami tidak pernah mengetahui (surah al-Fatihah) sebagai ayat untuk menjampi atau seperti yang termaktub di dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim. Orang yang menjampi mestilah mempunyai niat yang baik dan bertujuan untuk memberikan manfaat kepada orang Islam serta tidak bercita-cita untuk memperolehi harta dan ganjaran agar jampi yang dibaca itu lebih berkesan.” (Lihat al-Lu’lu al-Makin 22).

Adapun jika perawat Islam melakukan proses perubatan dengan menjampi pesakit seperti ruqyah atau sebagainya, maka perlulah menuruti syarat-syarat dalam menjampi. Ini kerana untuk membezakan antara ruqyah yang menepati sunnah dengan ruqyah yang bercanggah dengan sunnah:

Kami bawakan di sini tiga syarat yang disebut oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya al-Fath al-Bari, Antaranya menyebut:

“Para ulama telah sepakat tentang kebolehan membuat rawatan jika mengikuti tiga syarat ini:

  • Ruqyah hendaklah dilakukan dengan menggunakan firman Allah ﷻ atau dengan nama-nama dan sifat-sifat-
  • Ruqyah hendaklah dilakukan dengan menggunakan bahasa arab atau sesuatu bahasa selain bahasa arab yang difahami maknanya.
  • Menyakini bahawa ruqyah itu tidak memberikan pengaruh dengan sendirinya tetapi hanyalah dengan izin Allah ﷻ.

Lihat al-Fath al-Bari 10/240

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah ada menyebut di dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa:

“Adapun mengubati orang yang dirasuk jin dengan menggunakan ruqyah dan memohon perlindungan diri kepada Allah ﷻ hendaklah memiliki dua perkara ini:

  • Jika ruqyah dan permohonan perlindungan diri ini difahami maknanya, atau merupakan kalimah-kalimah yang dibolehkan dalam Islam, atau berupa doa dan zikir kepada Allah ﷻ, maka ruqyah tersebut boleh dilakukan. Jika demikian keadaannya, maka boleh membuat rawatan terhadap orang yang dirasuk dan memohon perlindungan diri kepada Allah ﷻ.

Dalam hadis sahih yang berasal daripada Nabi ﷺ disebutkan bahawa Nabi ﷺ membolehkan untuk meruqyah selama mana ianya tidak mengandungi amalan syirik. Baginda ﷺ juga bersabda: “Sesiapa di antara kamu yang mampu memberi manfaat kepada saudaranya maka lakukanlah.”

  • Jika dalam membuat rawatan itu terdapat ungkapan-ungkapan yang diharamkan seperti ungkapan yang mengandungi amalan syirik atau tidak diketahui maknanya dan berkemungkinan mengandungi kekufuran, maka tidak harus membuat rawatan dengannya, tidak boleh berkeinginan dan tidak boleh pula bersumpah untuk menggunakan kalimah tersebut walaupun kadang-kadang dengan menggunakan kalimah tersebut dapat menghalau jin keluar dari tubuh orang yang dirasuk. Ini kerana apa-apa yang diharamkan oleh Allah ﷻ dan Rasul-Nya lebih besar mudaratnya berbanding manfaatnya.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah juga berkata sebagaimana yang disebut di dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa 19/13: “Oleh itu, para ulama kaum muslimin melarang membuat rawatan dengan sesuatu yang tidak diketahui maknanya kerana ia dapat menjadi punca terjatuhnya seseorang ke dalam lembah amalan syirik walaupun pengruqyah (perawat) tidak menyedarinya.”

Imam al-Nawawi juga ada menyebut di dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim 14/141-142:

“Hendaklah meninggalkan ruqyah jika ruqyah yang dibaca berasal daripada ucapan-ucapan orang kafir, membuat rawatan dengan kalimah-kalimah asing, merawat dengan bacaan selain bahasa arab yang tidak diketahui maknanya. Semua itu tercela kerana ada kemungkinan maknanya adalah kekufuran, mendekati kekufuran atau makruh.

Adapun membuat rawatan dengan ayat-ayat Al-Qur’an dan zikir-zikir yang difahami tidaklah dilarang, bahkan merupakan amalan yang sunnah. Para ulama telah menukilkan sebagai ijma’ tentang kebolehan membuat rawatan dengan ayat-ayat Al-Qur’an dan zikir-zikir kepada Allah ﷻ.”

Imam Syauqani berkata: “Bahawa harus meruqyah dengan kitab Allah ﷻ, dan diikuti dengan zikir dan doa-doa yang ma’thur, boleh juga doa yang tidak ma’thur selagi mana tidak bertentangan dengan yang ma’thur.” (Lihat Nail al-Autar 10/440).

Kami juga berpandangan adalah perlu dan seharusnya bagi seorang yang bergelar perawat Islam adalah orang yang sahih dan betul akidahnya, baik akhlaknya, tidak melakukan dosa-dosa besar atau kecil berterusan sehingga menjatuhkan maruah sebagai seorang perawat serta tidak melakukan kesyirikan kepada Allah ﷻ dan tidak menjadikan khidmat rawatan Islam sebagai sumber rezeki dan seumpamanya. 

Berdasarkan pandangan-pandangan ulama di atas, maka jelaslah menggunakan khidmat rawatan daripada perawat Islam hukumnya adalah harus jika sekiranya perawat Islam menggunakan bacaan jampi atau ruqyah dalam perawatannya, maka hendaklah menepati seperti apa yang telah disebutkan di atas dan tidak melanggar syarat-syarat dan prinsip-prinsip dalam perubatan ruqyah dan perbuatan alternatif Islam. 

Irsyad Hukum 189

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir