Your cart is currently empty!
Benarkah Rasulullah ﷺ pernah diracun dan bagaimana kisahnya?
Nukilkan daripada Syeikh Sofiyyurahman al-Mubarakpuri dalam bukunya, beliau berkata:
“Selepas Rasulullah ﷺ berasa tenteram daripada ancaman Khaibar selepas penaklukannya, Zainab bint Harith, isteri Salam ibn Misykam memberinya daging biri-biri panggang. Sebelum itu dia bertanya kepada orang ramai, bahagian manakah yang paling disukai oleh Rasulullah ﷺ. Telah dikatakan kepadanya bahawa bahagian yang paling disukai oleh Baginda adalah bahagian paha. Maka Zainab lalu meletakkan racun yang sangat banyak pada bahagian paha tersebut. Kemudian bahagian-bahagian lain juga diletakkan sedikit racun. Selepas itu, dia membawanya kepada Rasulullah ﷺ.
Apabila hidangan tersebut diletakkan di hadapan Rasulullah ﷺ, Baginda terus mengambil bahagian paha. Baginda mengunyahnya sekali, tetapi tidak menelannya dan terus memuntahkannya. Kemudian Baginda bersabda:
إِنَّ هَذَا الْعَظْمَ لَيُخْبِرُنِي أَنَّهُ مَسْمُومٌ
“Sesungguhnya tulang kambing ini memberitahuku bahawa ia telah diracun.”
Selepas itu Baginda memanggil Zainab binti Harith untuk menghadap dan dia pun mengakui perbuatannya. Rasulullah ﷺ bertanya: “Apakah yang mendorongmu untuk berbuat demikian?” Dia menjawab: “Jika engkau seorang raja, maka pasti engkau akan terus mati. Jika engkau seorang nabi, maka engkau akan diberi perlindungan oleh Allah.” Maka Rasulullah ﷺ membiarkannya.
Ketika itu Bisyr ibn Barra’ ibn Ma’rur ada bersama-sama dengan Baginda. Dia telah menelan daging, lalu dia terus meninggal dunia. Riwayat-riwayat yang lain, ada juga berbeza dalam berpendapat, adakah Rasulullah ﷺ membiarkan wanita itu atau membunuhnya. Jika dilihat kembali, pada awalnya Rasulullah ﷺ membiarkannya. Namun setelah Bisyr meninggal, Rasulullah ﷺ membunuhnya sebagai qisas (Lihat Zad al-Ma’ad 2/139 – 140; Fath al-Bari 7/497; Lihat al-Rahiq al-Makhtum 558 – 559).
Semoga Allah ﷻ selamatkan kita daripada diracun dan disihir serta daripada mereka yang mempunyai hasad dengki. Aamiin.
Irsyad Al-Hadith 317
Leave a Reply