Azan ketika diganggu jin dan syaitan?

Soalan

Adakah melaungkan azan ketika berlakunya huru-hara mempunyai asas di sisi syarak? Saya pernah terlihat satu video di mana azan telah dilaungkan masjid-masjid di Turki ketika berlakunya cubaan merampas kuasa (kudeta) melalui gerakan ketenteraan beberapa tahun lalu.

Jawapan

Pada asasnya, azan merupakan zikir yang khusus, di mana Islam mensyariatkannya sebagai pemberitahuan masuknya waktu solat fardhu serta menyeru orang Islam bersama menunaikan solat. Hukum azan bagi solat fardhu dan solat qadha’ adalah sunat muakkad, iaitu sunat kifayah bagi solat berjemaah dan sunat ‘ainiah bagi solat bersendirian. Azan mempunyai peranan yang amat penting bagi menzahirkan syiar Islam.

Para ulama bersepakat bahawa mengumandangkan azan merupakan syiar Islam yang disyariatkan Allah ﷻ ketika masuknya waktu solat lima waktu, berdasarkan – antaranya – hadis Nabi ﷺ:

إِذَا حَضَرَتْ الصَّلاةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ

“Apabila masuk waktu solat, hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan dan hendaklah menjadi imam orang yang paling tua dalam kalangan kamu.”

Riwayat al-Bukhari 6705 dan Muslim 1567

Terdapat banyak hadis yang menyatakan kelebihan melakukan azan. Antaranya sabda Nabi ﷺ:

لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الْأَوَّلِ ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لَاسْتَهَمُوا

“Kalaulah orang ramai tahu tentang kelebihan azan, dan berada di saf pertama kemudian tiada ruang bagi mereka kecuali melalui mengundi nescaya mereka sanggup mengundi.”

Riwayat al-Bukhari 615

Rasulullah ﷺ juga bersabda:

فَإِذَا كُنْتَ فِي غَنَمِكَ أَوْ بَادِيَتِكَ فَأَذَّنْتَ بِالصَّلَاةِ فَارْفَعْ صَوْتَكَ بِالنِّدَاءِ فَإِنَّهُ لَا يَسْمَعُ مَدَى صَوْتِ الْمُؤَذِّنِ جِنٌّ وَلَا إِنْسٌ وَلَا شَيْءٌ إِلَّا شَهِدَ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Jika kamu berada bersama-sama dengan kambing kamu atau di kebun kamu, dan engkau berazan untuk sembahyang, hendaklah engkau angkatkan suara menyeru orang bersembahyang, sebab suara orang yang azan tidak didengar oleh jin atau manusia ataupun sesuatu kecuali dia menyaksikan baginya pada Hari Akhirat.”

Riwayat al-Bukhari 609

Melaungkan Azan Selain Dari Waktu Solat

Terdapat juga beberapa keadaan yang mana azan dan iqamah dilaungkan bukan pada waktu solat. Kami nyatakan di sini beberapa keadaan tersebut beserta dalilnya:

Pertama: Azan di telinga bayi yang baru dilahirkan.

Ianya adalah pendapat golongan mutaakhirin dari al-Hanafiyyah dan al-Malikiyyah dan ianya juga adalah qaul dari al-Syafi’eyyah dan juga al-Hanabilah (Lihat al-Bahr al-Ra’iq 1/272, Radd al-Mukhtar 1/385, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 8/325, Mughni al-Muhtaj 1/134, al-Mughni 13/401 dan Syarh Muntaha al-Iradaat 1/130-131).

Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi daripada Abi Rafi’ daripada ayahnya:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَذَّنَ فِي أُذُنِ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ – حِينَ وَلَدَتْهُ فَاطِمَةُ – بِالصَّلاَةِ

“Aku telah melihat Rasulullah ﷺ telah mengazankan pada telinga al-Hasan bin ‘Ali iaitu setelah Fatimah melahirkannya dengan azan solat.”

Riwayat Abu Daud 5105 dan al-Tirmizi 1514

Terdapat juga athar yang dikeluarkan oleh ‘Abd al-Razzaq di dalam Musannafnya dan oleh al-Baghawi di dalam Syarh al-Sunnah yang mana meriwayatkan daripada Umar bin Abd al-‘Aziz bahawa ketika beliau mendapat cahaya mata, beliau akan mengazankannya di telinga kanan dan mengiqamatkannya pada telinga kiri. Namun athar ini tidak terlepas daripada kritikan para muhaddith وَاللّٰهُ اَعْلَمُ بِالصَّواب

Kedua: Ketika diganggu jin dan syaitan.

Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah:

فَإِذَا تَغَوَّلَتْ لَكُمُ الْغِيلَانُ فَنَادُوا بِالْأَذَانِ

“Sekiranya al-ghilaan (jin dan syaitan) mengganggu (dengan bertukar rupa bentuk) maka laungkanlah azan.”

Riwayat al-Nasa’ie di dalam al-Sunan al-Kubra 10725

Hadith ini juga tidak terlepas daripada kritikan. Ada yang mengatakan bahawa hadith ini dhoif (lemah) kerana terputus sanadnya. Al-Imam Hasan al-Basri di dalam rantaian perawi hadith ini tidak pernah mendengar daripada Jabir bin Abdullah sepertimana yang dikatakan oleh Abu Hatim dan juga al-Bazzar.

Meskipun asal pensyariatan azan adalah untuk pemberitahuan masuknya waktu solat namun, terdapat juga keadaan-keadaan yang lain, yang mana disebutkan oleh para fuqaha’ mengenai melaungkan azan selain dari waktu solat.

Ini sepertimana yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Hajar al-Haitami: “Disunatkan azan bukan pada waktu solat sepertimana azan ke telinga bayi yang baru lahir, orang yang dirundum kesedihan dan gundah gulana, orang yang terkena sawan, ketika marah, azan ke telinga orang ataupun haiwan yang buruk perangainya, ketika berlaku pergolakan (aktiviti ketenteraan), ketika berlakunya kebakaran…” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj 1/461).

Begitu juga terdapat di dalam hasyiah-hasyiah kitab fiqh seperti Hasyiah al-Syabramallisi dan Hasyiah al-Qalyubi namun tidak didatangkan bersamanya dalil. Namun, setakat pemerhatian kami mungkin sebab dari azan yang dapat menjauhkan syaitan, ianya dikiaskan pada keadaan-keadaan yang lain selain dari solat seperti yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Hajar al-Haitami.

Dalam sebuah hadith riwayat Muslim terdapat sebuah hadith yang menunjukkan bagaimana syaitan lari menjauhkan diri apabila terdengar laungan azan iaitu:

إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ النِّدَاءَ بِالصَّلاَةِ أَحَالَ لَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لاَ يَسْمَعَ صَوْتَهُ

“Sesungguhnya syaitan, jika mendengar laungan azan untuk solat, dia akan berpaling dan berundur sambil terkentut dengan kuat agar tidak didengari laungan azan tersebut…”

Riwayat Muslim 389

Namun terdapat juga yang menolak kias seperti di atas dan mengatakan bahawa syaitan menjauhi ketika dikumandangkan azan adalah azan yang khas ketika waktu solat dan bukan yang lainnya. Ini sepertimana yang dikatakan oleh Abu Zur’ah yang dinukilkan sendiri oleh al-Syabramalisi di dalam hasyiahnya. Sebaliknya, al-Syabramallisi mempunyai pendapatnya yang tersendiri dengan mengatakan bahawa tidak ternafi juga bahawa syaitan akan melarikan diri sekiranya terdengar azan dan bukan semestinya azan untuk solat (Lihat Hasyiah al-Syabramalisi terhadap kitab Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj karya al-Imam Ibn Hajar al-Haitami 1/401).

Dengan sangkaan baik pendapat al-Imam Ibn Hajar al-Haitami, serta al-Syabramallisi ini, maka kami katakan bahawa dibolehkan untuk azan sekiranya berlaku huru-hara. Mungkin dengan berkumandangnya azan ketika dalam keadaan huru-hara tersebut, ia dapat membantu mententeramkan keadaan.

Begitu juga dengan azan, ia dapat memberikan kekuatan kepada umat Islam dan bergantung kepada Allah ﷻ di samping menggerunkan musuh-musuh Allah. Justeru, sekali lagi kami katakan bahawa mengumandangkan azan apabila berlakunya huru-hara seperti dalam situasi kecamuk ketenteraan adalah dibolehkan.

Al-Bakri 393

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir