Your cart is currently empty!
Apa amalan atau zikir untuk orang sakit?
Ada tak amalan atau zikir yang boleh diamalkan dalam kesakitan yang tidak kunjung sembuh dan bagi hilangkan resah dan gelisah?
Jawapan
Definisi zikir
Zikir adalah satu istilah yang suci dari Ilahi. Seperti yang didefinisikan oleh Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di, zikir secara umum adalah meliputi segala perkara yang mendekatkan seseorang hamba dengan Allah ﷻ dari segi aqidah, pemikiran, amalan hati, amalan badan atau pujian ke atas Allah ﷻ atau mempelajari ilmu berfaedah atau mengajarinya atau seumpama dengannya (Lihat al-Riyadh al-Nadhirah 245).
Firman Allah ﷻ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا، وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
“Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.”
Surah al-Ahzab 41 – 42
Begitu juga, hadis daripada Abu Musa, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ
“Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup dan mati.”
Riwayat al-Bukhari 6407
Justeru itu, berdasarkan beberapa dalil di atas, dapat kita fahami bahawa amalan zikir adalah satu amalan yang amat dituntut dalam Islam kerana dengannya ia dapat mendekatkan diri dan sentiasa mengingati Allah ﷻ.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, zikir merupakan satu amalan yang amat dituntut di dalam Islam. Melalui zikir, seseorang itu akan berasa tenang dan terhindar daripada rasa resah dan gelisah. Allah ﷻ berfirman:
أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
“Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
Surah ar-Ra’d 28
Antara amalan yang digalakkan adalah membaca surah al-Fatihah kerana salah satu namanya surah al-Syifa atau al-Syafiyah (penyembuh). Begitu juga dengan surah Yasin, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah al-Nas, ayat Kursi dan beberapa ayat pilihan termasuk surah pilihan.
Begitu juga dengan zikir yang diajar oleh Rasulullah ﷺ, daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ قَالَ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ، كَانَ دَوَاءً مِنْ تِسْعَةٍ وَتِسْعِينَ دَاءً، أَيْسَرُهَا؛ الْهَمُّ
“Sesiapa yang mengucapkan ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ’ maka ia adalah penawar daripada 99 penyakit, dan yang paling ringan adalah perasaan bimbang dan keluh kesah.”
Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak 1990, al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat 5028 dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir 178. Al-Hakim menyatakan hadis ini sahih. Manakala pengarang kitab Dha’if al-Jami’ 6286 menilai hadis ini sebagai dha’if.
Oleh itu, antara amalan zikir dan doa yang boleh kita amalkan adalah:
Doa berlindung dari bala dan kejahatan
اللَّهُمَّ اِنِّي أَعُوْذُبِكَ مِنْ جَهْدِ البَلاَءِ، وَدَرْكِ الشَّقَاءِ، وَسُوْءِ القَضَاءِ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada bala yang sukar, kejahatan yang melampau, qadha’ yang buruk dan cacian musuh.”
Riwayat al-Bukhari 6347 dan Muslim 2707
Doa berlindung dari hati resah dan gelisah
اللَّهُمَّ اِنِّي أَعُوْذُبِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوْذُبِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوْذُبِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالبُخْلِ، وَأَعُوْذُبِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ.
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada-Mu dari rasa pengecut dan bakhil, dan aku berlindung kepada-Mu dari bebanan hutang dan penindasan.”
Riwayat al-Bukhari 6369, Abu Daud 1555, al-Tirmizi 3484, al-Nasa’ie 5449 dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir 305
Doa mohon keampunan
اللَّهمَّ إنِّي ظَلَـمْتُ نَفْسِـي ظُلْمـاً كَثـيراً وَلَا يَغْـفِرُ الذُّنـُوبَ إِلاَّ أَنْتَ، فَاغْـفِرْ لِي مَغْـفِرَةً مِنْ عِنْـدِكَ وَارْحَمْـنِي، إِنَّكَ أَنْتَ الغَـفُورُ الرَّحِـيمُ
“Ya Allah! Sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka, ampunilah aku dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Riwayat al-Bukhari 7387 dan Muslim 2705
Kami nyatakan juga beberapa ayat-ayat Al-Qur’an berkenaan syifa:
Antaranya: Firman Allah ﷻ:
وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْاٰنِ مَا هُوَ شِفَاۤءٌ وَّرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِيْنَۙ
“Dan Kami turunkan dari Al-Qur’an (sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman.”
Surah al-Isra’ 82
Firman Allah ﷻ:
وَاِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِيْنِ
“Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku.”
Surah asy-Syu’ara’ 80
Firman Allah ﷻ:
لَوْ اَنْزَلْنَا هٰذَا الْقُرْاٰنَ عَلٰى جَبَلٍ لَّرَاَيْتَهٗ خَاشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّنْ خَشْيَةِ اللّٰهِ ۗوَتِلْكَ الْاَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُوْنَ . هُوَ اللّٰهُ الَّذِيْ لَآ اِلٰهَ اِلَّا هُوَۚ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِۚ هُوَ الرَّحْمٰنُ الرَّحِيْمُ . هُوَ اللّٰهُ الَّذِيْ لَآ اِلٰهَ اِلَّا هُوَ ۚ اَلْمَلِكُ الْقُدُّوْسُ السَّلٰمُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيْزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُۗ سُبْحٰنَ اللّٰهِ عَمَّا يُشْرِكُوْنَ . هُوَ اللّٰهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ الْاَسْمَاۤءُ الْحُسْنٰىۗ يُسَبِّحُ لَهٗ مَا فِى السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِۚ وَهُوَ الْعَزِيْزُ الْحَكِيْمُ
“Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya. Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya. Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.”
Surah al-Hasyr 21 – 24
Kesimpulan
Zikir merupakan satu ibadat yang amat dituntut kerana dengannya seseorang itu akan lebih mengingati Allah ﷻ. Hanya dengan mengingati Allah ﷻ, hati kita akan tenang. Kami juga mengesyorkan untuk perbanyakkan bersedekah kerana antara fadhilat bersedekah adalah mengangkat musibah. Akhir kalam, semoga diberi kesembuhan atas penyakit yang ditimpa dan dikurniakan kesihatan yang baik seperti sediakala. Kami sudahi dengan doa:
اللَّهمَّ إنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ والجُنُونِ وَالجُذَامِ وَمِنْ سَيِّئِ الأَسْقَامِ
“Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”
Al-Bakri 1628
Leave a Reply