Tawassul

Tawassul dari segi segi bahasa bermaksud mendekatkan diri. Manakala dari segi istilah, ia bermaksud menjadikan sesuatu amalan sebagai perantara atau penyebab untuk mendekatkan diri kepada Allah ﷻ. Pendapat yang lain mengatakan bahawa tawassul itu adalah mendekatkan diri kepada Allah ﷻ dengan meminta doa daripada orang soleh yang masih hidup, dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah ﷻ dan juga dengan amal soleh yang dikerjakan. Ketiga-tiga bentuk tawassul ini adalah yang dibenarkan oleh syara’ tanpa khilaf (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. Wizarah al-Awqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah al-Kuwait 14/149-150).

Terdapat dua (2) jenis tawassul yang dibenarkan iaitu:

Pertama: Bertawassul dengan amal soleh dan hal ini berbetulan dengan sabda Nabi ﷺ dari Ibn Umar diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari 2743 di dalam sahihnya yang mana mengisahkan tiga orang yang terperangkap di dalam gua dan kemudian setiap dari mereka bertawassul dengan amal soleh masing-masing dan akhirnya Allah ﷻ menyelamatkan mereka.

Di dalam hadis tersebut diceritakan bagaimana pemuda pertama bertawassul dengan amal solehnya iaitu mentaati kedua orang tuanya. Pemuda kedua pula bertawassul dengan amal solehnya yang mana dia dahulu pernah hampir melakukan zina kemudian ditinggalkannya kerana takut akan azab Allah ﷻ. Manakala pemuda ketiga pula bertawassul dengan amalan solehnya dengan mengatakan beliau seorang yang amanah. Memegang amanah yang diberikan kepadanya dan mengembalikan kepada pemiliknya. Mereka bertawassul dengan amal soleh mereka masing-masing dan sedikit demi sedikit batu yang menutup pintu gua tempat mereka terperangkap terbuka.

Ini menunjukkan keberkesanan tawassul dengan amal soleh, yakni dengan menjadikan amal soleh sebagai perantara di dalam doa kita dan kesannya dapat dilihat dengan cepat. Di dalam konteks ini, kita menjadikan amal soleh kita membaca Al-Qur’an sebagai perantara dalam doa untuk menunaikan hajat kita.

Justeru apa yang boleh dilakukan di sini setelah membaca Al-Qur’an, hendaklah kita berdoa kepada Allah ﷻ dengan perantaraan amal soleh bacaan kita tadi semoga Allah ﷻ memenangkan. Mudah-mudahan dikabulkan, InsyaAllah.

Kedua: Ayat Al-Qur’an itu sendiri menjadi kalamullah dan kita memohon mewakili nama-nama dan sifat-sifat Allah ﷻ yang terdapat di dalam Al-Qur’an. Maka ia diizinkan oleh Islam lebih-lebih lagi kalam-Nya itu bersifat mukjizat. Ianya berdasarkan firman Allah ﷻ:

وَلِلَّهِ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰ فَٱدۡعُوهُ بِهَاۖ

“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu,”

Surah al-A’raaf Ayat 180

Justeru, perbuatan seperti ini tidaklah menyalahi syara’ kerana padanya terdapat ciri-ciri tawassul yang dibenarkan (masyru’).

Irsyad Hukum 93

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir