Your cart is currently empty!
Doa
Perkataan doa berasal daripada bahasa Arab iaitu (دعا) yang bermaksud seru dan panggil. Al-Khattabi menjelaskan doa adalah permohonan bantuan dan rintihan seorang hamba kepada Tuhan. Selain itu, doa merupakan satu wasilah untuk menzahirkan kebergantungan seorang hamba dan penyerahan jiwa sepenuhnya kepada Allah ﷻ. Doa juga merupakan ibadah, hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Nu’man bin Bashir bahawa Nabi ﷺ bersabda:
إِنَّ الدُّعَاءَ هُوَ الْعِبَادَةُ
“Sesungguhnya doa itu adalah ibadah.”
Riwayat Ahmad 19352, Abu Abdullah, Ahmad bin Hanbal 2001
Bahkan Allah ﷻ berfirman:
وَقالَ رَبُّكُمُ ادعوني أَستَجِب لَكُم ۚ إِنَّ الَّذينَ يَستَكبِرونَ عَن عِبادَتي سَيَدخُلونَ جَهَنَّمَ داخِرينَ
“Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadah dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina’.”
Surah Ghafir 60
Ibn Kathir menjelaskan ayat di atas adalah tanda kemuliaan Allah ﷻ yang akan memperkenankan segala permohonan yang dipanjatkan oleh hamba-Nya. Sufyan al-Thauri berkata:
“Wahai Tuhan yang bagi-Nya hamba-hamba-Nya yang paling dicintai ialah orang yang banyak meminta kepada-Nya. Wahai Tuhan yang bagi-Nya hamba-hamba-Nya yang paling dibenci ialah orang yang tidak pernah meminta kepada-Nya. Tiada seorang pun yang setara dengan Engkau.”
Justeru doa adalah ibadah yang tidak boleh ditinggalkan dan mempunyai adab-adab yang perlu diikuti ketika berdoa, antaranya:
- Berdoa dengan penuh ikhlas dan tulus kerana doa ialah ibadah.
- Berdoa dengan bersungguh-sungguh.
- Tidak berdoa perkara-perkara yang membawa kepada dosa seperti berdoa memutuskan silaturahim dan sebagainya.
- Berdoa dengan penuh yakin dan hati yang tenang.
- Memulakan doa dengan memuji Allah ﷻ dan selawat keatas Baginda Nabi ﷺ. Begitu juga ketika akhir doa.
- Menjaga diri daripada melakukan perkara-perkara yang haram. Hal ini kerana maksiat adalah sebab terhijabnya doa.
- Istiqamah dalam mentaati Allah ﷻ serta memperbanyakkan melakukan amal soleh.
- Tidak tergesa-gesa dan memaksa Allah ﷻ memperkenankan doanya.
Himpunan Doa Menghadapi Dugaan dan Musibah
Leave a Reply