Bolehkah syaitan menyerupai manusia?

Betul ke syaitan ni pun boleh tiru manusia?

Jawapan

Firman Allah ﷻ:

يَا بَنِي آدَمَ لَا يَفْتِنَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ كَمَا أَخْرَجَ أَبَوَيْكُم مِّنَ الْجَنَّةِ يَنزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْآتِهِمَا ۗ

“Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup).”

Ayat di atas adalah merupakan peringatan buat seluruh umat manusia agar jangan tertipu dengan tipu daya syaitan. Mereka telah menjadikan perbuatan maksiat itu indah di mata kamu semua, sebagaimana mereka telah lakukan terhadap ibubapa kamu iaitu Nabi Adam dan Hawa’. Disebabkan oleh perbuatan maksiat tersebut, keduanya telah dikeluarkan dari syurga serta dilucutkan dari keduanya pakaian yang mana Allah ﷻ telah tutup (aurat dan aib) mereka dengannya, sehingga tersingkaplah aurat mereka. 

Syaitan adalah merupakan musuh nombor satu kepada orang-orang beriman. Mereka akan sedaya upaya berusaha bagi menyesatkan anak-anak Adam dengan mendekatkan mereka segala jenis maksiat. Bahkan juga, menghasut dan menjadikan perbuatan maksiat tersebut indah (di hadapan mata manusia).

Dalil iblis dan syaitan menyerupai manusia

Terdapat kisah syaitan menyerupai manusia dan meminta harta zakat kepada Abu Hurairah yang ketika itu diamanahkan untuk menjaga zakat sebagaimana katanya:

وَكَّلَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحِفْظِ زَكَاةِ رَمَضَانَ، فَأَتَانِي آتٍ فَجَعَلَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ، فَأَخَذْتُهُ فَقُلْتُ: لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَصَّ الحَدِيثَ، فَقَالَ: إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الكُرْسِيِّ: لَنْ يَزَالَ مَعَكَ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ وَلاَ يَقْرَبُكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ. وَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ، ذَاكَ شَيْطَانٌ

Rasulullah ﷺ mewakilkanku untuk menjaga zakat Ramadhan, lalu datang kepadaku seseorang dan mengaut makanan. Aku memegangnya dan berkata: “Sesungguhnya aku akan melaporkanmu kepada Rasulullah ﷺ.” Orang itu pun menceritakan apa yang berlaku, lalu berkata: “Apabila kamu ke tempat tidurmu bacalah ayat kursi, maka pemelihara dari Allah akan sentiasa bersamamu, dan syaitan tidak akan mendekatimu sehingga subuh.” Nabi ﷺ bersabda: “Dia telah berkata benar kepadamu sementara dia adalah pendusta, dia itu ialah syaitan.”

Terdapat satu riwayat bagaimana Iblis datang menjelmakan diri dengan rupa seorang lelaki lalu menabur janji-janji indah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas dengan sanad yang dipertikaikan mengenainya daripada riwayat Ali bin Abi Talhah. Ibn Abbas berkata:

جَاءَ إِبْلِيسُ يَوْمَ بَدْرٍ فِي جُنْدٍ مِنَ الشَّيَاطِينِ مَعَهُ رَأَيْتُهُ فِي صُورَةِ رَجُلٍ مِنْ بَنِي مُدْلِجٍ فِي صُورَةِ سُرَاقَةَ بْنِ مَالِكِ بْنِ جُعْشُمٍ ، فَقَالَ الشَّيْطَانُ لِلْمُشْرِكِينَ : لاَ غَالِبَ لَكُمُ الْيَوْمَ مِنَ النَّاسِ وَإِنِّي جَارٌ لَكُمْ ، فَلَمَّا اصْطَفَّ النَّاسُ ، أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبْضَةً مِنَ التُّرَابِ ، فَرَمَى بِهَا فِي وُجُوهِ الْمُشْرِكِينَ ، فَوَلَّوْا مُدْبِرِينَ . وَأَقْبَلَ جِبْرِيلُ إِلَى إِبْلِيسَ ، فَلَمَّا رَآهُ ، وَكَانَتْ يَدُهُ فِي يَدِ رَجُلٍ مِنَ الْمُشْرِكِينَ ، انْتَزَعَ إِبْلِيسُ يَدَهُ ، فَوَلَّى مُدْبِرًا هُوَ وَشِيعَتُهُ ، فَقَالَ الرَّجُلُ : يَا سُرَاقَةُ تَزْعُمُ أَنَّكَ لَنَا جَارٌ ؟ قَالَ : (إِنِّي أَرَى مَا لاَ تَرَوْنَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَاللَّهُ شَدِيدُ الْعِقَابِ) وَذَلِكَ حِينَ رَأَى الْمَلاَئِكَةَ

“Ketika hari perang Badar, Iblis muncul dalam barisan tentera syaitan dan aku melihat dia menjelmakan diri seperti lelaki dari Bani Mudlij, dengan rupa seperti Suraqah ibn Malik ibn Jus’um. Dia berkata kepada musyrikin: “Tidak ada seorang pun dari manusia yang dapat mengalahkan kalian pada hari ini dan sesungguhnya saya adalah pelindungmu.” Ketika manusia telah berbaris, Rasulullah mengambil segenggam debu, lalu baginda melemparkan ke arah orang-orang musyrikin, mereka pun lari bertempiaran. Lalu Jibril menuju ke arah iblis. Ketika itu iblis sedang memegang tangan salah seorang musyrik, apabila dia melihat kedatangan Jibril, dia terus melepaskan tangan orang musyrik tersebut, kemudian Iblis bersama syaitan-syaitan yang mengiringinya melarikan diri. Lelaki (musyrik) itu pun berkata: “Wahai Suraqah, Kamu bagitahu kamu adalah pelindung kami? ” Iblis menjawab: “Sesungguhnya aku dapat melihat apa yang kalian tidak bisa melihatnya, sesungguhnya saya takut kepada Allah. Dan Allah sangat keras siksa-Nya.” Ketika itulah Iblis melihat para malaikat.”

Kisah ini diriwayatkan oleh Imam al-Tobari dalam tafsirnya, dan Ibn Kathir dalam tafsir surat Al Anfal.  Al-Tabrani juga telah meriwayatkan di dalam al-Mu’jam al-Kabir daripada Rifa’ah bin Rafi’ al-Ansariy sepertimana Riwayat Ibn Abbas, tetapi sanadnya dhaif kerana terdapat Abd al-Aziz bin Imran, seorang yang dhaif. Al-Haithami telah mendhaifkan riwayat ini disebabkan olehnya di dalam Majma’ al-Zawaid.

Bolehkah syaitan menyerupai manusia?

Sheikh Muhammad Al-Syibli menyebut bahawa tidak syak lagi bahawa jin dan syaitan mampu untuk berubah-ubah bentuk sama ada bentuk manusia atau haiwan. Sepertimana syaitan menyerupai Suraqah Bin Malik Bin Ja’syam dan mendatangi orang musyrikin Quraisy ketika mana mereka mahu keluar ke medan Badar.

Sheikh Sulaiman al-Asyqar menyebut bahawa kadang-kadang syaitan mendatangi manusia bukan dengan membisikkan perkara was-was akan tetapi ada satu ketika ia datang menyerupai manusia. Kita boleh dengar suara tapi tidak nampak tubuhnya. Ia juga boleh menyerupakan diri dengan bentuk-bentuk yang pelik.

Al-Qadhi Abu Ya’la menyebut bahawa syaitan tidak ada kemampuan untuk merubah-ubah bentuk. Akan tetapi boleh jadi Allah ﷻ mengajarkan kepadanya beberapa perkataan dan perbuatan yang mana jika ia dilakukan atau disebutkan maka akan mengubah bentuknya kepada bentuk yang lain atau menyerupakan dirinya dengan sesuatu yang berbeza.

Walaupun syaitan dan jin boleh merubah-ubah bentuk atau merupakan diri mereka dengan sesuatu bentuk yang asing akan tetapi satu perkara yang perlu diingat bahawa penyerupaan tersebut tidak mampu langsung untuk memberikan mudarat kepada kita. Mudarat atau manfaat kesemuanya datang daripada Allah ﷻ.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan sabdaan Nabi ﷺ yang diriwaytakan daripada Jabir bin Abdullah, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لا عَدْوَى وَلاَ صَفَرَ وَلَا غُوْلَ

Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak ada kesialan dalam bulan safar bahkan tidak ada Ghul (Syaitan yang boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia).” 

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin dalam syarahnya menyebut: Ghul adalah syaitan yang kebiasaannya menyesatkan orang yang sedang berjalan di padang pasir atau lembah. Yang ditolak Rasulullah ﷺ dalam hadith adalah pengaruh ghul ini, bukan kewujudannya. Syaitan yang suka mengganggu manusia seperti ghul ini memang ada, namun bila kuat tawakalnya kepada Allah ﷻ dan tidak menghiraukan keberadaannya, syaitan ini tidak dapat memudaratkan dan menghalanginya menuju arah yang hendak ditujunya.

Al-Khattabi ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyatakan bahawa hadith ini bukan menafikan kewujudan mereka dan penyerupaan bentuk akan tetapi hadith ini ingin menafikan kebolehan mereka yang boleh menyesatkan dan memberikan mudarat kepada manusia. Jangan takut kepada mereka kerana mereka tidak akan mampu buat apa-apa tanpa izin Allah ﷻ. Beliau juga menyatakan bahawa Ghilan adalah tukang sihir dari kalangan jin.

Kesimpulan

Justeru, kami nyatakan bahawa syaitan atau iblis boleh menyerupai pelbagai rupa dan bentuk, termasuk juga dengan manusia sebagaimana peristiwa syaitan menyerupai manusia meminta zakat dan mengajarkan ayat al-Kursi, serta peristiwa penyerupaan Suraqah bin Malik di dalam peperangan Badar.

Semoga Allah ﷻ memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini dan melindungi kita daripada godaan dan gangguan dari syaitan dan keturunannya. Aamiin. Kami akhiri dengan doa:

نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ غَضَبِهِ وَعِقَابِهِ وَشَرِّ عِبَادِهِ وَمِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ وَأَنْ يَحْضُرُونِ

Kami berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna daripada murka dan seksa-Nya, dan dari kejahatan hamba-hamba-Nya dan daripada godaaan  syaitan,  serta  daripada kedatangan mereka kepada kami.”

Al-Bakri 456

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir