Meminta bantuan jin?

Hukum meminta bantuan pertolongan daripada jin?

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili pernah ditanya: “Adakah harus meminta pertolongan dengan jin muslim? Dan apakah hukum meminta pertolongan dengan jin muslim untuk berkhidmat kepada orang Islam? Dan Apakah hukum meminta pertolongan dengan jin secara umum? Maka Syeikh menjawab: “Haram meminta pertolongan dengan jin walau dalam apa keadaannya sekalipun. Dan perkara ini adalah tercela secara syara’. Ini berdasarkan firman Allah ﷻ:

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الْإِنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا

Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”

Surah al-Jin 6

Lihat Maqalah Syeikh Dr Abdul Qader bin Muhammad al-Ghamidi bertajuk Hukm al-Isti’anah bi al-Jin fi al-Mubahat (Hukum Meminta Pertolongan Dengan Jin Dalam Perkara Yang Harus).

Sebuah institusi fatwa iaitu Lajnah Daimah ada menjawab di dalam fatwanya apabila ditanya oleh seorang lelaki berkenaan hukum meminta bantuan jin:

“Tidak boleh bagi orang itu meminta bantuan jin, dan muslim tidak boleh mendatanginya untuk mengubati pelbagai penyakit melalui perantara jin, atau (tidak boleh) untuk memenuhi permintaan lainnya dengan cara tersebut. Perawatan melalui doktor yang menggunakan ubat yang diperbolehkan merupakan usaha yang harus dilakukan dan ini selamat dari pembomohan. Dalam riwayat sahih daripada Rasulullah ﷺ bahawasanya beliau bersabda:   “Sesiapa mendatangi bomoh kemudian menanyakan sesuatu, maka solatnya tidak diterima selama empat puluh malam. Diriwayatkan daripada Muslim dalam kitab Sahihnya. Para perawi hadis yang empat (Abu Daud, al-Tirmizi, Nasaei dan Ibn Majah) dan Hakim dan yang terakhir ini mengatakan hadis ini sahih meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:  

“Sesiapa yang mendatangi bomoh (ahli sihir) kemudian membenarkan perkataannya, maka ia telah kufur (ingkar) terhadap apa yang telah diturunkan kepada Muhammad. Lelaki ini dan kawan-kawannya daripada kalangan bangsa jin termasuk dalam golongan tukang ramal dan bomoh, maka mereka tidak boleh diminta bantuan dan tidak boleh dipercayai ucapannya.”

Berdasarkan pandangan-pandangan ulama di atas, maka kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengharamkan meminta pertolongan dengan jin.

Semoga dengan pencerahan ini kita dikurniakan oleh Allah ﷻ kefahaman dan penjagaan daripada-Nya dari segala keburukkan manusia dan selainnya. Aamiin.

Irsyad Hukum 189

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir