Jin! Apa yang perlu kita ketahui?

Soalan

Boleh jelaskan tentang jin dan jenisnya?

Jawapan

Takrif Jin dan Hakikat Kewujudannya

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut al-Jin berbeza dengan al-Insan. Lafaz “وَأَجَنَّهُ” bermaksud “Apabila dilindungi sesuatu”. Dan bagi setiap sesuatu yang dihijab daripada kamu maka sesungguhnya (جُنَّ) iaitu dilindung (tidak boleh dilihat) daripada kamu.

Secara asasnya, kita perlu mengakui akan kewujudan jin di dalam alam ini. Demikian juga kita mengakui bahawa golongan jin ini mempunyai jisim serta boleh berubah bentuk kepada pelbagai jenis bentuk.

Ibn Manzur menyatakan, dinamakan al-Jin kerana terlindung dan terhalang mereka itu daripada pandangan. Ini seperti al-Janin dilindung (daripada pandangan) ia daripada perut ibunya (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 16/89).

Walaupun kita tidak dapat melihat mereka dengan mata kasar kita ia bukan bermakna syaitan dan jin tidak wujud. Kewujudan mereka tidak dapat dilihat oleh kita. Ini dinyatakan oleh Allah ﷻ di dalam Al-Qur’an. Firman Allah ﷻ:

إِنَّهُۥ يَرَىٰكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُۥ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ

“…sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka…”

Surah al-‘Araf Ayat 27

Sheikh Tahir Ibn ‘Asyur menyebut bahawa sebahagian ahli ilmu menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa syaitan tidak mungkin untuk dilihat. Akan tetapi bukan begitu maksud ayat tersebut. Ianya membawa makna bahawa mereka melihat kita dalam keadaan kita tidak boleh melihat mereka. Kalaupun kita tidak boleh melihat mereka itu tidak bermakna kita tidak boleh melihat mereka selama-lamanya. Tidak dapat melihat mereka pada waktu sekarang tidak boleh menafikan kewujudan mereka secara mutlak (Lihat Tahrir Ma’na Al-Sadid Wa Tanwir Al-‘Aql Al-Jadid Fi Tafsir Al-Qur’an Al-Majid 3/26).

Maka kita boleh katakan bahawa orang yang mengingkari kewujudan jin dan syaitan pada hakikatnya mereka mengingkari perkara yang sudah mencapai taraf mutawatir yang kalau disanggahi atau dinafikan ditakuti akan jatuh kepada kekufuran kerana menafikan sesuatu yang mutawatir.

Sheikh Muhammad Al-Syibli menukilkan pandangan Imam Al-Haramain Al-Juwaini. Beliau berkata: “Ketahuilah bahawa kebanyakan ahli falsafah, golongan Qadariah dan kesemua orang yang zindiq mengingkari akan kewujudan jin dan syaitan. Pengingkaran yang dilakukan oleh mereka tidak lain tidak bukan adalah kerana tidak mentadabbur dan memperdalami Syariah. Sedangkan di sana terdapat nas-nas yang mutawatir dan athar-athar yang masyhur.” (Lihat Aakam al-Marjan Fi Gharaib Al-Akhbar wa Ahkam Al-Jann 6).

Abu Al-Qasim Al-Ansari anak murid kepada Imam al-Haramain menyebut bahawa mengithbatkan kewujudan jin dan syaitan bukanlah mustahil dari sudut akal. Nas Al-Qur’an dan hadis terlebih dahulu memperakui kewujudan mereka. Oleh kerana itu mereka yang berpegang kepada agama mestilah mengetahui bahawa ianya perkara yang harus pada akal dan telahpun dibuktikan melalui nas-nas ayara’ (Lihat Aakam Al-Marjan Fi Ghraib AL-Akhbar wa Ahkam Al-Jann 6 – 7).

Jin Juga Ditaklifkan Seperti Manusia

Ibn Abd al-Bar yang menyebut: Golongan jin di sisi jemaah (para ulama) adalah kumpulan mukallaf yang turut termasuk dalam khitab (syarak). Ini berdasarkan firman Allah ﷻ:

فَبِأَي آلَاء رَبكُمَا تُكَذِّبَانِ

“Maka dengan nikmat Tuhan kamu berdua yang manakah hendak kamu dustakan?”

Surah al-Rahman Ayat 47

Imam al-Razi dalam tafsiran beliau terhadap ayat di atas berkata: “Kesemua ulama telah bersepakat bahawa golongan jin kesemuanya adalah mukallaf.”

Manakala Al-Qadhi Abu Al-Hasan Abdul Jabbar pula menyebutkan: “Kami tidak mengetahui sebarang khilaf dalam kalangan ahli nazhar tentang hal tersebut (iaitu jin termasuk dalam kalangan mukallaf). Dan Al-Qur’an menyebutkan tentang hal itu dalam banyak ayat.”

Begitu juga di dalam surah yang lain menceritakan tentang keimanan golongan jin kepada Allah ﷻ apabila mendengar ayat Al-Qur’an yang dibacakan kepada mereka. Ini membuktikan bahawa golongan jin juga ditaklifkan supaya beriman kepada Allah ﷻ seperti mana ditaklifkan kepada golongan manusia. Firman Allah ﷻ:

قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الْجِنِّ فَقَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا . يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ ۖ وَلَن نُّشْرِكَ بِرَبِّنَا أَحَدًا

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Qur’an yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Qur’an (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan! ‘Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.

Surah al-Jin Ayat 1 – 2

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyebut di dalam tafsirnya bahawa ayat di atas antaranya menjelaskan bahawa golongan jin juga diberi taklifan dan tanggungjawab mengikut syariat Islam seperti mana golongan manusia. Begitu juga, di antara kalangan mereka itu terdapat golongan yang beriman dan mereka menyeru kepada golongan jin yang kafir agar beriman kepada Allah ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ diutuskan kepada seluruh makhluk termasuk manusia, jin dan malaikat (Lihat Tafsir al-Munir 29/163).

Imam al-Qadhi Badr al-Din al-Syibli menyebut: Ini adalah antara beberapa ayat yang menunjukkan ke atas taklifannya mereka (golongan jin) dan mereka itu turut termasuk dalam ayat suruhan dan juga ayat larangan (Lihat Akaam al-Marjan fi Ahkam al-Jaan oleh Badr al-Din al-Syibli 63).

Dalam ayat yang lain, Allah ﷻ berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

“Dan tidaklah aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku.”

Surah al-Zariyat Ayat 56

Maka berdasarkan ayat di atas ini jelas menunjukkan bahawa golongan jin dan manusia adalah termasuk dalam arahan untuk beribadah kepada Allah ﷻ. Ini seperti yang disebutkan oleh Saidina Ali bin Abi Thalib dalam menghuraikan maksud ayat di atas dengan katanya: “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk Aku perintahkan kepada mereka agar beribadah.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam Al-Qur’an 17/52).

Justeru, perbahasan di atas membenarkan bahawa golongan jin juga termasuk di dalam kalangan yang diberi taklifan supaya beriman dan patuh kepada perintah Allah ﷻ sepertimana yang ditaklifkan kepada umat manusia.

Dalam kitab A’lam al-Jin wa al-Syaitan menyatakan, bahawa ayat di atas menggambarkan jin diberi taklifan melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah ﷻ. Sekiranya mereka mentaatinya, maka redha Allah ﷻ ke atas mereka dan diberikan ganjaran syurga. Dan sekiranya mereka melakukan kemaksiatan kepada Allah ﷻ, maka mereka akan diberi balasan neraka (Lihat A’lam al-Jin wa al-Syaitan 1/41).

Golongan Jin Yang Beriman dan Kufur Kepada Allah ﷻ

Dalam hal ini juga, Allah ﷻ telah menjelaskan bahawa terdapat golongan jin yang beriman kepada-Nya serta golongan jin yang ingkar dan kufur terhadap-Nya. Firman Allah ﷻ:

وَأَنَّا مِنَّا الْمُسْلِمُونَ وَمِنَّا الْقَاسِطُونَ ۖ فَمَنْ أَسْلَمَ فَأُولَـٰئِكَ تَحَرَّوْا رَشَدًا

“Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Qu’ran, nyatalah) ada di antara kita golongan yang berugama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar.”

Surah al-Jin Ayat 14

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya menyebut, ayat di atas menceritakan tentang golongan jin ini sesetengah daripada mereka beriman, taat dan beramal soleh kepada Allah ﷻ dan sesetengah daripadanya melakukan kezaliman dan menyimpang daripada jalan kebenaran dan kebaikan… (الْقَاسِطُونَ) bermaksud golongan jin yang kafir, mereka menyeleweng daripada pertunjuk yang benar. Dan mereka ini akan dimasukkan ke dalam neraka Allah ﷻ (Lihat Tafsir al-Munir 29/170).

Begitu juga, di dalam hal ganjaran dan pembalasan Allah ﷻ terhadap golongan jin yang beriman dan kufur. Hal ini digambarkan di dalam Al-Qur’an, bahawa mereka akan diberi ganjaran dan balasan di hari akhirat kelak. Oleh itu, ini tidak membezakan mereka daripada apa yang diberikan oleh Allah ﷻ kepada golongan manusia. Firman Allah ﷻ:

فِيهِنَّ قَاصِرَاتُ الطَّرْفِ لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنسٌ قَبْلَهُمْ وَلَا جَانٌّ

“Di dalam syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin.”

Surah al-Rahman Ayat 56

Ibnu Kathir menyatakan, ayat di atas merupakan bukti bahawa golongan jin yang beriman akan dimasukkan kedalam syurga. Dinukilkan riwayat daripada Artah bin al-Manzur katanya: telah ditanya kepada Dhamrah bin Habib, adakah golongan jin dimasukkan ke dalam syurga? Katanya: “Ya, bahkan mereka juga berkahwin.” (Lihat Tafsir Al-Qur’an al-‘Azim 7/465).

وَاللهُ أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ

Al-Bakri 351

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir