Your cart is currently empty!
Dakwaan mengetahui perkara ghaib
Ada individu yang mendakwa bahawa dia mengetahui perkara ghaib. Benarkah ada manusia boleh mengetahui perkara ghaib?
Jawapan
Firman Allah ﷻ:
وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ
“Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja.”
Surah al-An’am Ayat 59
Ibn Kathir di dalam tafsirnya (Lihat Tafsir Ibn Kathir 3/264) mendatangkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Ibn ‘Umar, Rasulullah ﷺ bersabda:
مَفَاتِيحُ الغَيْبِ خَمْسٌ لاَ يَعْلَمُهَا إِلَّا اللَّهُ: لاَ يَعْلَمُ مَا فِي غَدٍ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَا تَغِيضُ الأَرْحَامُ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى يَأْتِي المـَطَرُ أَحَدٌ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا اللَّهُ
“Kunci-kunci perkara ghaib ada lima, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah. Tidak ada yang mengetahui apa yang berlaku pada esok hari kecuali Allah, tidak ada yang mengetahui apa yang dikurangi pada rahim kecuali Allah, tidak ada seorang pun yang mengetahui bilakah akan turunnya hujan kecuali Allah. Setiap jiwa tidak mengetahui di negeri mana dia akan mati, dan tidak ada yang mengetahui bilakah akan berlakunya kiamat kecuali Allah.”
Riwayat Bukhari 4697
Allah ﷻ sahaja yang mengetahui perkara ghaib
Perkara ghaib akan datang terbahagi kepada dua iaitu yang dikhabarkan oleh Rasulullah ﷺ dan yang tidak dikhabarkan oleh baginda ﷺ. Jika perkara tersebut termasuk yang dikhabarkan maka hal tersebut ada ruang untuk digambarkannya, namun ia tetap terbatas dan tidak akan menggambarkan hakikat yang sebenarnya. Tetapi jika tidak, maka ia termasuk perkara ghaib yang tidak diketahui kecuali Allah ﷻ.
Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan di dalam al-Halal Wa al-Haram berkenaan dengan membanteras kekeliruan dan khurafat. Antara lain katanya: “Apabila Rasulullah ﷺ diutuskan, Baginda mendapati terdapat masyarakat Arab mempunyai beberapa kaum dajjal yang dikenali dengan panggilan kahin, iaitu dukun, dan yang lain dikenali sebagai tukang tilik dan ahli nujum, yang mengaku diri mereka mengetahui perkara-perkara ghaib, baik yang telah terjadi pada masa yang lalu, mahupun yang akan berlaku pada masa hadapan, iaitu dengan perantaraan jin, puaka dan sebagainya.”
Justeru, Rasulullah ﷺ telah mengisytiharkan perang terhadap kepercayaan yang sesat ini, yang tidak disandarkan dengan ilmu pengetahuan yang lurus atau petunjuk dan syariat yang benar. Baginda menyampaikan wahyu Allah ﷻ tentang perkara ini dengan membacakan kepada mereka:
قُلْ لاَّ يَعْلَمُ مَنْ فِى السَّمَٰوَٰتِ وَالأَرْضِ الْغَيْبَ إِلاَّ اللهُ
“Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah!”
Surah al-Naml Ayat 65
Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebut: Allah ﷻ memerintahkan Rasul-Nya untuk mengucapkan sesuatu yang mengajarkan seluruh manusia bahawa tidak ada seorangpun penghuni langit dan bumi yang dapat mengetahui perkara ghaib kecuali Allah. “إِلاَّ اللهُ” “Kecuali Allah” adalah istithna’ munqathi’, iaitu tidak ada satupun yang mengetahui hal itu kecuali Allah ﷻ kerana Dia sahajalah yang mengetahui hal itu dan tidak ada sekutu bagi-Nya. Sebagaimana firman Allah: ” وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ” “Dan pada sisi-Nya lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahui kecuali Dia sendiri.” Ayat-ayat dalam masalah ini amat banyak (Lihat Tafsir Ibn Kathir 6/207).
Tegasnya, tiada siapa pun yang tahu mengenai tentang perkara ghaib itu, sama ada malaikat, jin mahupun manusia. Kemudian Baginda ﷺ menjelaskan tentang perintah Allah ﷻ itu dalam firman-Nya:
وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
“Dan kalau Aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) Aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.”
Surah al-A’raf Ayat 188
Allah ﷻ menjelaskan pula tentang berita kaum jin pada zaman Nabi Sulaiman:
أَنْ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ الْغَيْبَ مَا لَبِثُوا فِي الْعَذَابِ الْمُهِينِ
“Bahawa kalaulah mereka sedia mengetahui perkara yang ghaib, nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina.”
Surah Saba’ Ayat 14
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa tidak ada seorang pun yang mengetahui perkara ghaib, kecuali Allah ﷻ. Sesiapa yang mendakwa dirinya mengetahui perkara ghaib yang hakiki, nescaya dia telah berdusta terhadap Allah ﷻ dan kepada hakikat kenyataan dan kepada manusia.
Akhirnya, semoga Allah ﷻ memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini, dan menjauhkan kita daripada perkara yang boleh menyerongkan akidah dan pegangan kita. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
“Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”
Al-Bakri 457
Leave a Reply