Doa kesejahteraan Nabi Isa pada hari lahirnya

بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

وَالسَّلٰمُ عَلَيَّ يَومَ وُلِدتُ وَيَومَ أَموتُ وَيَومَ أُبعَثُ حَيًّا

Was-salāmu ‘alayya yauma wulittu wa yauma amūtu wa yauma ub‘aṡu ḥayyā(n).

“Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).”

Surah Maryam Ayat 33

ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ

Tafsir

وَالسَّلٰمُ عَلَيَّ يَوْمَ وُلِدْتُ

“Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku dilahirkan;”

Baginda (Nabi Isa) dikatakan sejahtera pada hari kelahirannya kerana baginda dilahirkan luar biasa tanpa ibubapa.

Kalimah السَّلَامُ boleh membawa maksud ‘penghormatan’. Seperti para malaikat memberi salam kepada penghuni syurga yang masuk ke syurga – sebagai penghormatan kepada penghuni syurga. Atau kalau kita jumpa orang lain, kita akan beri salam kepada mereka sebagai penghormatan dan mendoakan kesejahteraan mereka.

Ia juga boleh bermaksud kesejahteraan kalau kita ambil daripada makna literal ‘salam’ itu. Bermakna, seperti juga apabila kita memberi salam kepada orang lain, sebenarnya kita mendoakan kesejahteraan kepada mereka, begitu juga Nabi Isa berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya baginda diberi kesejahteraan.

Ayat ini adalah tempelak kepada mereka yang mengatakan bahawa ada elemen tidak baik dalam kelahiran Nabi Isa. Kerana ada yang kata baginda adalah anak haram.

Tetapi lihatlah penggunaan perkataan السَّلَامُ dalam ayat ini. Kalau dalam ayat ke 15, perkataan سَلَامٌ digunakan tanpa alif lam. Tetapi dalam ayat 33 ini, ada alif lam. Apabila سَلَامٌ dalam bentuk umum, ia boleh dipakai dalam banyak keadaan – maknanya berbagai-bagai cara kesejahteraan diberikan kepada Nabi Yahya.

Tetapi apabila digunakan السَّلَامُ, ada makna tersendiri yang dimaksudkan. Kenapakah kepada Nabi Isa, digunakan السَّلَامُ? Apabila Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan سَلَامٌ tanpa alif lam untuk Nabi Yahya, ia adalah salam daripada Allah ‎ﷻ. Tetapi apabila السَّلَامُ digunakan dalam ayat ini, ia adalah doa daripada Nabi Isa sendiri, bukan daripada Allah ‎ﷻ – maka ia ada alif lam.

وَيَوْمَ أَمُوتُ

“dan pada hari aku mati;”

Baginda telah diangkat ke langit, dan baginda akan turun ke bumi semula untuk bunuh Dajjal dan memerintah, kemudian baginda akan wafat dengan cara yang baik. Baginda akan wafat dalam sejahtera. Maknanya, sekarang Nabi Isa‎ belum wafat lagi.

Ini pula adalah tempelak kepada mereka yang mengatakan baginda telah mati disalib kerana mati disalib bukanlah satu kematian yang mulia. Ayat ini mengatakan bahawa baginda akan wafat dalam keadaan sejahtera.

Ada dua dimensi fahaman salah dalam kematian Nabi Isa ini. Di satu pihak, ada puak seperti Yahudi yang kata baginda mati disalib kerana baginda adalah orang yang jahat, yang baginda lahir di luar perkahwinan. Di satu pihak, seperti Kristian, mengatakan bahawa kematian baginda disalib adalah untuk menebus dosa seluruh manusia.

Dua-dua pemahaman ini tidak benar sama sekali. Ayat ini mengatakan bahawa baginda tidak akan meninggalkan dunia ini dengan cara begitu.

وَيَوْمَ أُبْعَثُ حَيًّا

“serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula;”

Baginda akan dibangkitkan sebagai Nabi dan Rasul. Iaitu baginda akan dibangkitkan dalam kedudukan terhormat di hari Kiamat nanti. Ini menidakkan kata-kata mereka yang mengatakan bahawa Nabi Isa berdosa dan sesat.

Ada satu riwayat yang menceritakan tentang seorang wanita yang melihat Nabi Isa yang telah melakukan mukjizat menghidupkan orang yang mati, menyembuhkan orang yang buta dan yang berpenyakit kusta. Maka, wanita itu telah memuji ibu baginda yang telah melahirkan dan memberi makan kepada baginda.

Maka, Nabi Isa membetulkan kata-kata wanita itu. Nabi Isa memuji Allah ‎ﷻ yang telah mentaqdirkan baginda lahir dan telah memberikan mukjizat-mukjizat itu. Wanita itu memuji manusia, tetapi Nabi Isa telah memperbetulkan wanita itu dengan memuji Allah ‎ﷻ. Kerana Allah ‎ﷻlah yang sebenarnya layak dipuji.

Ayat ini juga sebagai pernyataan daripada Nabi Isa bahawa baginda juga adalah hamba Allah ‎ﷻ juga seperti makhluk-makhluk yang lain. Baginda dihidupkan, dimatikan dan akan dibangkitkan kembali. Makhluk-makhluk lain pun macam itu juga. Tidaklah baginda tuhan dan tidaklah baginda ‘Anak Tuhan’.

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir