Your cart is currently empty!
Doa Ibaadur Rahman dikurniakan isteri & anak yang menyenangkan hati
بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
رَبَّنا هَب لَنا مِن أَزوٰجِنا وَذُرِّيّٰتِنا قُرَّةَ أَعيُنٍ وَاجعَلنا لِلمُتَّقينَ إِمامًا
Rabbanā hab lanā min azwājinā wa żurriyyātinā qurrata a‘yuniw waj‘alnā lil-muttaqīna imāmā(n).
“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”
Surah Furqan Ayat 74
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir
Ini adalah doa yang amat molek untuk diamalkan.
وَالَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا هَب لَنا مِن أَزوٰجِنا وَذُرِّيّٰتِنا قُرَّةَ أَعيُنٍ وَاجعَلنا لِلمُتَّقينَ إِمامًا
“Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”
وَالَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا هَب لَنا مِن أَزوٰجِنا وَذُرِّيّٰتِنا قُرَّةَ أَعيُنٍ
“Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk mata (kami),”
Mereka juga orang yang mahu mendapat kebaikan dan pahala dengan keluarga mereka dan keturunan mereka. Mereka nak jadikan ahli keluarga mereka sebagai penyebab mereka dapat pahala. Bukan nak sikit-sikit, tapi banyak yang mereka minta. Jadi ini doa minta darjat yang tinggi.
Mereka minta Allah ﷻ beri ketenangan kepada mereka melalui keluarga mereka. Iaitu membebaskan mereka daripada keresahan apabila berada di luar rumah dengan melihat segala kebodohan, ketidakadilan dan segala kefasikan yang berada di luar rumah.
Mereka minta supaya apabila mereka balik ke rumah mereka, mereka dapat melihat ahli keluarga mereka yang menyenangkan hati mereka sampai menyebabkan mereka mengeluarkan air mata kegembiraan. Maksudnya sejuklah mata mereka melihat ahli keluarga mereka yang menyenangkan hati mereka dan membanggakan mereka.
Dan kegembiraan yang tinggi adalah apabila melihat anak-anak kita suka kepada agama, suka untuk mengerjakan ibadah seperti solat dan suka untuk membaca Al-Qur’an tanpa dipaksa. Alangkah indahnya kalau lihat anak-anak kita buka Al-Qur’an senyap-senyap dan baca tanpa disuruh?
Ini adalah doa yang dikeluarkan oleh hati orang yang baik. Kerana orang ibaadur rahman ini pentingkan agama. Maka kalau mereka lihat anak isteri mereka pun suka kepada agama, maka gembiralah hati mereka. Bukan hal dunia yang mereka tengokkan dan dambakan, tapi mereka suka kalau agama isteri dan anak-anak mereka baik.
Mempunyai keturunan yang baik adalah satu perkara yang amat-amat menguntungkan. Kerana itulah disebutkan di dalam Sahih Muslim melalui hadis Abu Hurairah yang telah mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
“إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ: وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ، أَوْ عَلَمٍ يَنْتَفِعُ بِهِ مَنْ بَعْدَهُ، أَوْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ”
“Apabila anak Adam meninggal dunia, terputuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu anak saleh yang mendoakan (orang tua)nya, atau ilmu yang bermanfaat sesudah dia tiada, atau sedekah jariyah.”
Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).
Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.
وَاجعَلنا لِلمُتَّقينَ إِمامًا
“dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”
Ayat ini memberitahu bahawa setiap keluarga itu adalah satu unit dan ketua keluarga itu adalah imam kepada keluarga itu. Dan dia ada tanggungjawab terhadap ahli keluarganya dan dia akan ditanya dengan tugas-tugas yang telah dilakukannya atau tidak dilakukan.
Jadi, menjaga keluarga dan memberi tarbiyah kepada mereka adalah satu kerja yang memerlukan usaha bersungguh-sungguh daripada kita terutama sekali pada zaman teknologi sekarang dimana senang sangat nak dapat informasi yang salah dan teruk. Sampaikan kita kena berlawan dengan maklumat yang sampai kepada anak-anak kita.
Kalau kita tidak prihatin, entah apalah maklumat yang mereka dapat. Maka kita kena selalu luangkan masa dengan mereka dan tanya apakah pandangan mereka tentang dunia, tentang agama dan sebagainya. Kerana kalau tidak, entah mereka sudah ada pandangan yang salah tentang agama.
Satu lagi tafsir untuk potongan akhir ayat doa ini adalah mengandungi muqaddar. Iaitu ia bermaksud: “jadikanlah kami orang-orang yang layak menjadi ikutan”. Maknanya mereka sudah jadi baik sampaikan boleh dijadikan ikutan (imam) kepada orang lain. Kerana imam itu duduk di depan dan menjadi ikutan kepada makmum di belakang, bukan?
Orang-orang yang berdoa seperti ini maka tentu sekali mereka akan mendapat apa yang mereka minta itu. Asalkan tahu makna apakah yang kita minta. Jangan kita sebut sahaja tapi tidak tahu apa yang kita minta. Kerana doa ini masyhur, tapi adakah mereka yang membacanya faham apa yang dibaca?
Maka janganlah kita jadi seperti mereka. Belajarlah maksud doa-doa yang kita selalu baca. Supaya kalau kita baca dalam faham, maka kita lebih tawajjuh (fokus) dan lebih ikhlas lagi dalam doa kita. Dan kalau kita ikhlas dalam doa, Allah ﷻ akan makbulkan. Allah ﷻ tidak menerima doa dari hati yang lalai.
Leave a Reply