Your cart is currently empty!
Doa Nabi Musa terpelihara dari melakukan perbuatan orang jahil
بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
أَعوذُ بِاللَّهِ أَن أَكونَ مِنَ الجٰهِلينَ
A‘ūżu billāhi an akūna minal-jāhilīn(a).
“Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”.
Surah al-Baqarah Ayat 67
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir
Ini sifat buruk ketiga Yahudi zaman dahulu. Sifat itu adalah banyak bertanya serta mempersoalkan tentang hal berkaitan agama.
Ini adalah cerita berkenaan dengan Surah Baqarah ini sendiri, iaitu tentang lembu betina. Agama-agama yang salah dahulu yang telah sesat ada yang memuja lembu. Seperti juga sekarang, penganut Hindu memuja lembu juga.
Antaranya juga adalah Musyrikin Mekah yang kononnya mengamalkan agama dari ajaran Nabi Ibrahim, mereka juga ada amalan yang salah berkenaan dengan lembu ini. Kita akan belajar di dalam Surah al-An’am nanti. Mereka itu percaya Nabi Ibrahim adalah rasul dan ada syariat yang masih lagi mereka pakai seperti solat, wudhu’, nikah kahwin dan sebagainya, namun mereka mengamalkan juga amalan yang salah.
Musyrikin Mekah banyak telah menukar agama asal Nabi Ibrahim itu. Antaranya, mereka sudah tidak percaya adanya Hari Kebangkitan. Musyirikin Mekah juga telah memuja tok wali. Mereka juga memuja malaikat-malaikat yang mereka anggap sebagai anak perempuan Allah ﷻ.
Mereka sangka, kerana Allah ﷻ sayangkan anak perempuan-Nya, maka dengan memuja malaikat-malaikat, tentulah mereka akan disayangi Allah ﷻ juga. Mereka mengharapkan tok-tok wali dan malaikat-malaikat itu akan dapat menolong mereka nanti.
Orang Kristian pula meminta tolong dengan ‘anak lelaki’ Allah ﷻ iaitu Nabi Isa. Padahal Allah ﷻ tidak mempunyai anak. Mereka sendiri yang memberikan pangkat itu kepada Nabi Isa. Ada juga ajaran yang sesat seperti agama Hindu sekarang yang memuja malaikat-malaikat yang mereka katakan sebagai dewa-dewa mereka.
Dan antara kesesatan yang mereka lakukan adalah memuja lembu. Ada juga agama-agama lain seperti di Afrika, Cyprus dan sebagainya yang memuja lembu.
Lembu juga adalah pujaan golongan Yahudi pada zaman Nabi Musa. Oleh kerana itu, Allah ﷻ telah memerintahkan mereka untuk sembelih lembu sebagai tanda menolak kepercayaan mereka yang sesat itu.
Mereka puja lembu kerana mereka sangka lembu ada keramat dan sebagainya. Mereka anggap begitu kerana banyak kegunaan lembu seperti menghasilkan susu, kulit dan sebagainya. Oleh itu, mereka puja lembu itu. Maka untuk menghilangkan anggapan salah mereka terhadap lembu, mereka kena sembelih lembu itu.
Ayat ini adalah untuk menceritakan perintah Allah ﷻ kepada mereka untuk sembelih seekor lembu betina supaya mereka tidak lagi puja lembu. Kerana kalau mereka sanggup puja, tidaklah mereka pandang lembu itu sebagai keramat lagi.
وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ إِنَّ اللَّهَ يَأمُرُكُم أَن تَذبَحوا بَقَرَةً ۖ قالوا أَتَتَّخِذُنا هُزُوًا ۖ قالَ أَعوذُ بِاللَّهِ أَن أَكونَ مِنَ الجٰهِلينَ
“Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina”. Mereka berkata: “Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?” Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”.
وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ
“Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada kaumnya;”
Ini adalah arahan Allah ﷻ kepada Nabi Musa untuk memberi arahan kepada kaum Yahudi. Bukanlah Nabi Musa beri arahan itu dari kehendaknya sendiri.
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تَذْبَحُوا بَقَرَةً
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya sembelih seekor lembu betina;”
Kata إِنَّ – yang bermaksud: ‘Sesungguhnya, tidak syak lagi’ – digunakan dalam ayat ini sebagai penegasan. Untuk menunjukkan bahawa arahan itu dari Allah ﷻ. Bukan arahan itu datang dari Nabi Musa. Nabi Musa hanya menyampaikan sahaja arahan itu.
Begitulah umat Nabi Musa pada zaman itu. Mereka kononnya berkata yang mereka percaya kepada Allah ﷻ, tetapi mereka tolak Nabi Musa. Mereka rasa Nabi Musa ada beri arahan dari dirinya sendiri yang bukan dari Allah ﷻ.
Macam juga zaman sekarang ada golongan yang kononnya percaya kepada Al-Qur’an tetapi tidak percayakan hadis. Mereka hendak mengasingkan antara Allah ﷻ dan Rasul. Padahal Rasul menyampaikan arahan dari Allah ﷻ. Ini adalah fahaman yang sesat dan sebab sesat itulah yang menyebabkan ada Bani Israil yang meminta supaya mereka sendiri jumpa dengan Allah ﷻ. Mereka hendak Allah ﷻ sendiri cakap dengan mereka. Hasilnya, mereka telah dimatikan serta merta. Kisah ini kita telah belajar dalam ayat-ayat sebelum ini.
Allah ﷻ memerintahkan mereka untuk menyembelih lembu kerana dalam hati mereka masih ada sifat mendewakan lembu. Ini ada kena mengena dengan kes mereka sembah patung anak lembu sebelum ini. Patung itu dibentuk oleh seorang lelaki yang bernama Musa Samuri kerana dia hendak menjadi orang yang tersohor di kalangan kaumnya. Kisah ini boleh dibaca dalam tafsir Surah Taha.
Mengikut sejarahnya, beliau telah dipelihara oleh Jibrail kerana dia telah disorok di gua oleh ibunya yang hendak menyelamatkan anaknya dari dibunuh oleh Firaun. Nabi Musa pada waktu itu dipelihara oleh Firaun dan Samiri dipelihara oleh Jibrail. Tetapi Nabi Musa menjadi baik, manakala Samiri menjadi orang jahat.
Oleh kerana dia dipelihara oleh malaikat, dia biasa nampak benda-benda yang pelik. Secara ringkasnya, dia telah menggunakan emas-emas yang ada pada puak Bani Israil yang mereka telah pinjam dari bangsa Qibti. Dan semasa mereka menyeberang lautan untuk melarikan diri mereka telah membawa sekali emas-emas tersebut. Oleh kerana emas itu bukan dari harta mereka sendiri, maka Samiri telah menghasut mereka dengan mengatakan yang emas-emas itu tidak halal.
Dia suruh mereka mengumpulkan emas-emas itu dan leburkan. Dia telah memasukkan sedikit pasir dari bekas tapak kuda malaikat Jibrail. Apabila dimasukkan pasir ke dalam mulut patung itu, ia telah berbunyi. Boleh jadi berbunyi itu adalah kerana sihir. Tetapi umat Bani Israil yang melihatnya telah teruja dan percaya kepada Samiri dan mula memuja patung itu kerana Samiri telah menghasut mereka dengan mengatakan yang ia adalah tuhan mereka.
Ini semua terjadi kerana Allah ﷻ hendak menguji mereka. Walaupun masalah ini telah diperbetulkan, patung itu pun telah dihancurkan, namun kisah patung anak lembu itu masih berlegar lagi di kalangan mereka. Mereka bercakap-cakap sesama mereka mengenainya, dan lama kelamaan timbullah pendapat yang mengatakan ada keramat pada lembu.
Telah masuk dalam hati mereka kisah lembu keramat. Ini terjadi di kalangan mereka yang tidak belajar agama. Mereka sampai puja lembu pula. Oleh itu, mereka disuruh sembelih lembu itu supaya mereka tidak lagi puja lembu. Ini adalah untuk menidakkan pemahaman mereka yang melihat lembu itu ada keramat dan sebagainya.
Macam kita sekarang, ada manusia yang menganggap ada keramat pada kain kuning, keris keramat dan sebagainya. Kalau kita suruh mereka bakar benda-benda itu yang mereka anggap keramat, mereka akan marah. Kalau kita suruh mereka buang dan bakar kain kuning, keris keramat dan cincin keramat itu, mereka akan jawab begini:
قَالُوا أَتَتَّخِذُنَا هُزُوًا
“Mereka berkata: adakah kamu hendak menjadikan kami bahan ejekan?;”
Pada mereka, suruhan itu adalah ejekan kepada mereka. Macam kalau kita suruh masyarakat kita bakar kain kuning yang membalut keris keramat mereka. Atau kita suruh mereka bakar cincin yang mereka anggap keramat. Mereka akan berasa berat kerana sayang kepada keris dan cincin-cincin itu.
Begitulah yang terjadi kepada Bani Israil di zaman Nabi Musa apabila baginda memberi arahan sebegitu kepada mereka. Mereka merasakan Nabi Musa main-main dan mengejek mereka. Tentulah Nabi Musa tidak berjenaka dalam hal ini. Tidak boleh seorang ahli agama berjenaka dalam hal agama. Ia adalah satu kesalahan.
Ada yang mengatakan bahawa kisah ini terjadi ketika terjadi pembunuhan di kalangan mereka. Seorang lelaki telah membunuh bapa saudaranya kerana mahukan harta. Kalau tunggu bapa saudaranya itu mati sendiri, lambat untuk dia dapat harta. Selepas bunuh, dia telah meletakkan mayat bapa saudaranya itu di kampung sebelah. Dan menuduh mereka pula yang membunuh bapa saudaranya.
Kemudian, mereka berbantah-bantah tentang siapakah yang telah membunuh lelaki itu. Sampaikan mereka telah hampir hendak berperang antara puak-puak yang bertelagah itu. Apabila mereka membawakan masalah itu kepada Nabi Musa, baginda telah menyampaikan arahan Allah ﷻ untuk mereka menyembelih seekor lembu betina.
Oleh kerana mereka tidak nampak apa kaitan antara mencari pembunuh itu dengan menyembelih lembu, maka mereka telah menuduh Nabi Musa bermain-main dengan mereka. Ini adalah kisah yang masyhur, tetapi ia tidak boleh dipakai kerana ia adalah kisah Israiliyat dan kisah Israiliyat tidak boleh digunakan dalam tafsir kerana tidak boleh dipercayai.
قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ
“Nabi Musa berkata: Aku berlindung dengan Allah,”
Dalam apa-apa hal, kena kembalikan kepada Allah ﷻ. Tentu sekali Nabi Musa tidak berjenaka atau main-main dalam hal ini dan baginda kembalikan kepada Allah ﷻ. Maknanya baginda tidak sudi menjadi orang jahil yang berolok-olok dalam hal agama. Sepatutnya kaum baginda tahu yang baginda bukanlah berolok-olok.
أَنْ أَكُونَ مِنَ الْجٰهِلِينَ
“dari menjadi seorang dari golongan yang jahil;”
Iaitu jahil seperti kamu, kaum Yahudi yang memuja lembu itu. Jahil yang dimaksudkan adalah ‘Jahil Syariat’.
Begitulah kalau orang yang tidak menggunakan akal. Macam orang Hindu sekarang, sampaikan lembu itu mereka tidak sembelih sampai lembu itu mati sendiri. Sampaikan lembu itu ada surat beranak sendiri macam manusia. Sampaikan banyak sangat lembu liar yang dibiarkan berkeliaran dalam bandar.
Sesiapa yang khianat kepada lembu itu akan dimarahi dan boleh sampai berperang. Kadang-kadang mereka kena juga halau lembu yang menyusahkan manusia (seperti menghalang laluan keretapi). Tetapi orang yang hendak tangkap lembu kena mengadakan upacara berlindung dengan dewa untuk membawa lembu itu. Sebelum menangkap lembu itu, mereka kena puja lembu itu terlebih dahulu.
Orang Islam di India yang hendak makan daging lembu kena bela lembu itu secara senyap-senyap di tempat jauh dari orang Hindu dan kena sembelih lembu itu sorok-sorok. Kalau tidak, akan menjadi masalah dengan orang Hindu nanti sebab mereka akan kata kita bunuh ‘tuhan’ mereka. Memang ada golongan Hindu yang ekstremis yang telah membunuh Muslim yang dituduh menyembelih lembu.
Ini masalah yang berat sungguh, sampaikan di Malaysia pun pernah menjadi isu sebab orang kita sembelih lembu korban di kawasan sekolah yang ada pelajar Hindu. Susah juga kita hendak jaga sensitiviti antara agama. Sedangkan penyembelihan lembu ada dalam agama kita dan agama rasmi negara kita pula memang Islam. Dan memang lembu itu adalah makanan kita pun. Jadi memang tidak ada masalah kalau hendak sembelih lembu.
Leave a Reply