Doa Nabi Ibrahim yang Allah ‎ﷻ makbulkan sampai terdirinya umat Nabi Muhammad ﷺ

بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

رَبَّنا وَاجعَلنا مُسلِمَينِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنا أُمَّةً مُّسلِمَةً لَّكَ وَأَرِنا مَناسِكَنا وَتُب عَلَينا ۖ إِنَّكَ أَنتَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

Rabbanā waj‘alnā muslimaini laka wa min żurriyyatinā ummatam muslimatal lak(a), wa arinā manāsikanā wa tub ‘alainā, innaka antat-tawwābur-raḥīm(u).

“Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani;”

Surah al-Baqarah Ayat 128

ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ

Tafsir

Bukan itu sahaja doa mereka. Mereka berdua menyambung lagi doa mereka. Doa inilah yang Allah ‎ﷻ makbulkan sampai terdirinya umat Nabi Muhammad ﷺ.

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ

“Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami ini dua orang yang berserah diri kepada Engkau sahaja;”

Iaitu menjadi orang yang menerima ajaran tauhid dan mengesakan Allah ‎ﷻ sahaja.

Kalimah Muslim bermakna orang yang berserah kepada Allah ‎ﷻ, sentiasa melakukan apa yang Allah ‎ﷻ suruh. Taat setia kepada Allah ‎ﷻ seratus peratus.

Lihatlah doa mereka berdua. Nak jadi orang beriman pun kena Allah ﷻ izinkan. Allah ﷻ akan pandu mereka yang berkehendak kepada iman. Maka kita kena selalu minta Allah ﷻ pandu hati kita.

وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ

“Dan juga dari zuriat-zuriat kami satu umat yang berserah diri bulat-bulat kepada Kamu sahaja;”

Dari doa inilah lahirnya umat Nabi Muhammad ﷺ. Allah ‎ﷻ memakbulkan doa baginda ini.

Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim menyusun doa baginda. Sebelum ini Allah ‎ﷻ telah memberitahu baginda bahawa janji Allah ‎ﷻ tidak akan sampai kepada mereka yang zalim. Jadi, dalam doa baginda kali ini, Nabi Ibrahim memohon supaya ada dari kalangan zuriatnya yang akan menjadi mereka yang berserah kepada Allah ‎ﷻ. Kalau tidak semua pun, sekurang-kurangnya ada. Begitulah doa Nabi Ibrahim kerana itu digunakan kalimah من dalam ayat ini yang bermaksud ‘sebahagian’.

Di ayat yang lain, ada ayat yang mengatakan bahawa hendaklah ada di antara kamu satu umat yang menyeru manusia kepada kebaikan – kembali kepada Islam. Dan menyuruh mereka kepada kembali kepada Al-Qur’an dan Sunnah. Dan mencegah manusia daripada mungkar dan bidaah dalam agama.

Tetapi malangnya kita banyak hanya menyuruh manusia melakukan kebaikan dalam agama dan hanya menegah manusia daripada membuat dosa-dosa yang jelas sahaja macam minum arak. Itu tidak cukup sebenarnya. Kita kena seru orang supaya kembali kepada agama secara keseluruhan – bukan hanya dosa-dosa yang jelas sahaja.

Itulah yang dinamakan jihad fi lisan. Iaitu jihad dengan lidah.  Menyuruh mereka kembali kepada Al-Qur’an dan sunnah dan melarang mereka daripada melakukan bidaah.

Tetapi guru-guru agama kebanyakannya takut hendak menegur manusia daripada melakukan bidaah kerana telah banyak sangat bidaah yang diamalkan masyarakat sampai sudah sebati dalam masyarakat. Jadi apabila ditegur nanti, takut masyarakat tidak dapat terima dan guru-guru itu pula disisih.

Apabila disisih, maka mereka sudah tidak dipanggil lagi untuk mengajar, dan kalau itu terjadi, sudah hilang pengaruh mereka, sudah hilang punca pendapatan mereka mengajar (kerana kalau mengajar, mereka ambil upah). Itu semua adalah bisikan syaitan sahaja yang menakutkan kita untuk menyebut kebenaran.

Akhirnya, masyarakat rasa tidak salah buat bidaah, kerana guru yang mengajar agama kepada mereka pun tidak menegur. Apabila tidak ditegur, mereka rasa betullah apa yang mereka lakukan itu.

وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا

“Dan tunjukkan kepada kami cara-cara nak buat haji;”

Di sini, disebutkan baginda minta diajar cara mengerjakan ibadah Haji sahaja. Ini adalah kerana baginda sedang membina Kaabah, dan sedang berada di Mekah, maka doa baginda kena dengan keadaan. Haji hanya boleh dilakukan di Mekah sahaja, maka doa ini khusus kepada keadaan waktu itu.

Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim me‎minta supaya ditunjukkan cara-cara untuk menjalankan ibadah Haji – maknanya cara-cara manasik Haji itu dan ini menunjukkan yang amalan Haji itu bukan ibadat rekaan Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim pun meminta ajaran daripada Allah ‎ﷻ. Maknanya amalan sesuatu ibadah itu mesti bersumber daripada Allah ‎ﷻ juga.

Cara melakukan ibadah juga daripada Allah ‎ﷻ. Maka benarlah tidak ada rekaan dalam amalan agama. Malangnya dalam masyarakat kita, ada amalan yang tidak diajar dalam agama pun, tetapi ramai yang selamba sahaja melakukannya. Sebagai contoh, Majlis Tahlil tidak diajar caranya dalam agama tetapi selalu sangat diamalkan dengan berleluasa dalam masyarakat kita.

Ingatlah, tidak ada amalan bidaah dalam agama yang diterima walaupun yang dinamakan ‘bidaah hasanah’ dalam Islam. Sesuatu ibadat itu mesti ada dalil Al-Qur’an atau dalil hadith. Kalau tiada, tidak boleh buat, tidak perlu buat. Tetapi kalau benda baharu tentang kehidupan, tidak mengapa, kita boleh buat apa yang kita rasakan perlu. Selagi tidak dilarang dalam agama.

Contohnya, kita ingin makan apa sahaja, makanlah selagi tidak haram. Hendak menggunakan kereta apa jenis pun sebagai kenderaan pun boleh juga. Janganlah sampai ada yang kata: “Kalau tak boleh buat bidaah, jangan pakai keretalah sebab Nabi pakai unta dulu”. Kalau hendak bodoh sikit-sikit tidak mengapa, tetapi janganlah bodoh teruk sangat. Perkara bidaah yang dilarang dalam Islam adalah dalam perkara agama sahaja, bukannya dalam segenap kehidupan kita.

Bidaah yang tidak boleh dilakukan adalah tentang ibadat dan tentang agama. Contohnya, dahulu Nabi ﷺ naik unta atau kuda untuk bergerak daripada satu tempat ke satu tempat yang lain, tetapi kita sekarang naik kereta. Itu tidak mengapa kerana zaman kemajuan telah memperkenalkan kita kepada kereta. Naik kenderaan bukannya hal ibadah, jadi terpulang kepada kita.

Ayat ini juga menunjukkan tidak cukup dengan beriman sahaja dengan Allah ‎ﷻ. Ibadat pun kena buat juga. Kita kena tunjukkan iman kita dengan melakukan ibadat. Ibadat itu tanda adanya iman kita. Kita kena ikut apa yang Allah ‎ﷻ perintahkan kita buat.

Kita tidak akan tahu cara beribadat kalau Allah ‎ﷻ tidak tunjukkan kepada kita. Ini kerana akal kita tidak akan sampai bagaimana cara untuk melakukannya. Kerana itulah Allah ‎ﷻ bangkitkan para Nabi dan Rasul untuk mengajar kita.

Walaupun kita cinta dan bersyukur kepada Allah ‎ﷻ, kita tidak akan tahu bagaimana hendak beribadat kepada Allah ‎ﷻ sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sebagai contoh, katakanlah kita hendak memberi hadiah kepada seseorang. Kalau dia adalah orang yang istimewa, tentulah kita hendak memberikan benda yang dia suka, bukan? Siapakah yang lebih tahu tentang benda apa yang dia suka, melainkan dirinya sendiri?

Maka, untuk tahu apakah yang perlu dilakukan untuk beribadat kepada Allah ‎ﷻ, hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Allah ‎ﷻ memang telah ajar satu persatu di dalam Al-Qur’an dan juga dalam Sunnah yang disampaikan oleh Nabi ﷺ.

Lihatlah orang Arab Jahiliah. Mereka tidak tahu apakah yang Allah ‎ﷻ hendak sebenarnya. Maka mereka mereka-reka amalan mereka sendiri. Antaranya, mereka telah tawaf bertelanjang kerana mereka sangka itulah yang Allah ‎ﷻ suka. Ini kerana ada di antara pemimpin agama mereka yang berkata, lebih baik kalau mereka tawaf dalam keadaan telanjang kerana mereka akan mengadap Tuhan nanti pun dalam keadaan telanjang juga. Ini adalah satu contoh bidaah dalam ajaran dan fahaman.

Dalam Islam, tidak ada ibadat yang boleh direka. Tidak ada ‘agak-agak’ dalam perkara ibadat. Semua ibadat perlu melalui ajaran Nabi yang datang dari Allah ‎ﷻ. Kita sebagai manusia, tidak akan dapat tahu caranya kalau tidak diajar. Jadi bagaimana mereka yang melakukan ibadat bidaah akan jawab di hadapan Allah ‎ﷻ nanti apabila mereka ditanya kenapa mereka melakukan sesuatu ibadat yang tidak diajar Nabi ﷺ? Adakah kita memandai-mandai dalam hal agama?

وَتُبْ عَلَيْنَا

“dan terimalah taubat kami;”

Perkara yang kita amat-amat perlukan adalah keampunan daripada Allah ‎ﷻ. Salah satu cara untuk mendapat pengampunan adalah dengan mengerjakan ibadat haji. Dalam hadith telah dikatakan bahawa jikalau ibadat Haji kita diterima, dosa-dosa kita akan dibersihkan semua sekali. 

Selain daripada mengerjakan haji, kita pun kenalah selalu minta ampun kepada Allah ‎ﷻ kerana kita tentunya banyak dosa.

Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memohon supaya mereka diampunkan. Padahal, bukannya baginda sedang berbuat dosa. Baginda sedang melakukan ketaatan kepada Allah ‎ﷻ dengan mendirikan Rumah Allah ‎ﷻ. Namun baginda tetap meminta ampun lagi, kenapa begitu?

Inilah satu lagi ubat kepada ujub. Kita kena rasa ada kurang dengan ibadah kita. Kita tidak boleh yakin yang pahala sudah tentu dapat kerana walaupun kita sedang melakukan ketaatan, kita tidak pasti ia adalah seperti yang Allah ‎ﷻ kehendaki ataupun tidak. Entah ada kurang di mana-mana, kita pun tidak tahu.

Kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ telah mengajar kita untuk terus istighfar tiga kali selepas sahaja salam dalam salat. Ini adalah kerana kita tidak tahu sama ada salat kita itu cukup ataupun tidak, kita khusyuk ataupun tidak, kita baca betul ataupun tidak dan macam-macam lagi kekurangan yang ada.

إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

“Sesungguhnya Engkau Maha Menerima taubat dan amat belas kasihan kepada makhluk.”

Perkataan التَّوَّابُ bermakna Allah ‎ﷻ adalah Dzat yang sentiasa menerima taubat kita. Walaupun berkali-kali kita telah melakukan kesalahan, dan setiap kali kita akan memohon ampun kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ tidak jemu untuk mengampunkan kita. Kalau kena dengan syarat-syaratnya (kena rujuk syarat taubat). Jadi, jangan jemu untuk minta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Walaupun atas kesalahan yang sama.

Jangan terpedaya dengan syaitan yang membisikkan kepada kita: “Tak payahlah kau minta ampun sekarang… nanti kau akan buat dosa yang sama juga.” Jangan, jangan terpedaya dengan bisikan itu. Walaupun dosa yang sama kita lakukan berkali-kali, hendaklah kita minta ampun juga. Maka, kerana itu, Nabi Ibrahim berdoa supaya Allah ‎ﷻ sentiasa menerima taubat mereka, bukan hari itu sahaja.

Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim pun memohon keampunan dari Allah. Tambahan pula kita? Kenapa pula seorang Nabi yang maksum meminta ampun daripada Allah ‎ﷻ? Kita tahu yang Nabi Ibrahim telah melakukan segala apa yang disuruh Allah ‎ﷻ, bukan? Tetapi baginda memohon keampunan dari Allah ‎ﷻ jikalau apa yang baginda lakukan itu tidak mencukupi lagi, atau tidak lengkap seperti yang Allah ‎ﷻ hendak. Begitulah murninya hati baginda.

Walaupun mereka itu Nabi maka mereka maksum, maka ini menunjukkan kerendahan hati mereka; dan juga menjadi pengajaran bagi kita yang datang kemudian. Mengajar kita untuk berdoa meminta ampun walaupun selepas melakukan ketaatan kepada Allah ﷻ.

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir