Your cart is currently empty!
Doa Nabi Ibrahim diterima amalannya
بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
رَبَّنا تَقَبَّل مِنّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّميعُ العَليمُ
Rabbanā taqabbal minnā, innaka antas-samī‘ul-‘alīm(u).
“Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;”
Surah al-Baqarah Ayat 127
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir
وَإِذ يَرفَعُ إِبرَٲهِـۧمُ القَواعِدَ مِنَ البَيتِ وَإِسمَـٰعِيلُ رَبَّنا تَقَبَّل مِنّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّميعُ العَليمُ
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;”
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبرَٲهِـۧمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسمَـٰعِيلُ
“Dan ketika Nabi Ibrahim mendirikan asas-asas binaan Kaabah dengan Nabi Ismail;”
Dalam ayat ini, kita dapat tahu yang bukan Nabi Ibrahim seorang sahaja yang mendirikan binaan Kaabah tetapi baginda membinanya bersama Nabi Ismail. Namun begitu, oleh kerana Nabi Ibrahim adalah “Chief Architect” (Ketua Arkitek), maka nama Nabi Ismail disebut di hujungnya sahaja.
Ini juga memberitahu kita yang Nabi Ibrahim bukan sahaja mengajar agama, tetapi baginda juga mendirikan masjid. Maka, mendirikan masjid adalah sunnah para Nabi juga termasuk Nabi Ibrahim. Kerana itulah perkara pertama yang Rasulullah ﷺ lakukan apabila baginda hijrah di Madinah adalah mendirikan masjid di Quba’.
Ka’bah yang dibina oleh Nabi Ibrahim bukanlah seperti model yang kita lihat hari ini. Ia sebenarnya rendah sahaja, dan ada dua pintu: satu untuk masuk dan satu untuk keluar. Malah, pintu itu pun tidak bertutup, sentiasa terbuka sahaja.
Ketika mendirikan Kaabah itu, Nabi Ibrahim berdoa:
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا
“Wahai Tuhan kami, terimalah dari kami;”
Lihatlah bagaimana doa Nabi Ibrahim. Selepas baginda membuat amal, baginda berdoa supaya amal baginda itu diterima. Maka, setiap hari kita kena doa sebegini. Kena minta supaya Tuhan terima ibadat kita. Ini kerana belum tentu Allah ﷻ terima lagi ibadat kita kerana kekurangan yang banyak di dalamnya.
Mereka berdua telah berdoa begitu sambil membuat kerja membangunkan binaan Kaabah. Nabi Ibrahim menggunakan perkataan ‘Wahai Tuhan kami’ – mewakili baginda dan Nabi Ismail. Bijak Nabi Ibrahim, baginda memasukkan Nabi Ismail sekali ke dalam doanya.
Dalam ayat sebelumnya, Allah ﷻ mengatakan bahawa janji-Nya tidak termasuk kepada orang yang zalim. Nabi Ibrahim telah menerima firman Allah ﷻ itu. Tetapi dalam ayat ini, Nabi Ibrahim sekali lagi berdoa dan baginda memasukkan Nabi Ismail di dalam doa baginda. Seolah-olah baginda berdoa: “walaupun Engkau tidak berjanji memasukkan semua keturunanku yang lain, sekurang-kurangnya masukkan anakku ini, Ismail.”
Walaupun baginda seorang Nabi lagi Rasul dan baginda sedang melakukan kerja yang amat besar iaitu mendirikan Rumah Allah ﷻ, atas arahan Allah ﷻ pula, tetapi baginda masih lagi berdoa supaya diterima amalan baginda itu. Begitulah sunnah yang kita kena ikuti. Jangan terus sangka segala amal ibadat kita akan tentunya diterima.
Kita jangan rasa selamat dengan amal ibadah yang kita lakukan. Kita kena doa dan berharap semoga Allah ﷻ menerima ibadat kita. Berapa banyak ibadat yang manusia lakukan tetapi nanti akhirnya Allah ﷻ tidak terima dan campak ke muka kita? Antaranya kerana kita tidak ikhlas dalam ibadat kita itu.
Ini adalah ubat bagi sifat ujub. Ujub adalah perasaan yang rasa hebat dengan amal ibadat yang telah dilakukan. Perasaan ini timbul kalau rasa yang Allah ﷻ terus terima amal ibadat kita. Kalau begitu, kita akan rasa banyak amal kita dan akan menjadikan kita ujub. Ini adalah salah satu daripada Talbis Iblis iaitu menjadikan kita ujub. Syaitan akan bisikkan supaya kita rasa amal kita sudah banyak.
Maka kena sedar yang tidak semestinya semua amal kita Allah ﷻ akan terima. Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim pun doa supaya Allah ﷻ terima amalnya. Padahal baginda adalah seorang Nabi dan amalnya adalah membina Ka’bah! Tentu hati baginda dan amal baginda lebih baik daripada kita. Namun baginda tetap berdoa supaya Allah ﷻ terima amalnya. Baginda tidak terus sangka Allah ﷻ pasti terima. Maka kita pun kena ada perasaan begitu.
إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ
“bahawasanya Kamu yang Maha Mendengar rayuan hati kami;”
Allah ﷻ Maha Mendengar doa kita. Maka Nabi Ibrahim telah memuji Allah ﷻ. Begitulah dalam berdoa hendaklah kita memuji-Nya. Dan kena yakin yang Allah ﷻ mendengar doa kita. Barulah kita senang nak doa, barulah khusyuk dalam doa kita.
الْعَلِيمُ
“Maha Mengetahui”
Allah ﷻ mengetahui segala perkara. Tidak ada perkara yang tersembunyi daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ maha mengetahui selok belok kedudukan segala perkara; Allah ﷻ juga Maha Tahu doa dalam hati kita yang kita tidak sebutkan di mulut, tetapi kita simpan di hati. Itu pun Allah ﷻ tahu juga.
Oleh kerana Allah ﷻ sahaja yang tahu semua perkara, maka Allah ﷻlah sahaja yang tahu apa yang kita perlukan. Kerana itulah kita berdoa kepada Allah ﷻ sahaja. Selain dari Allah ﷻ tidak tahu apa yang mahu, apa yang kita perlukan. Oleh kerana Allah ﷻ tahu apa yang kita perlukan, maka Dia akan beri yang terbaik untuk kita.
Ini adalah dua perkara yang kita kena sematkan dalam fahaman kita tentang fiqh doa. Kita berdoa kepada Allah ﷻ sahaja kerana Dia ada dua sifat ini: Dia sahaja yang Maha Mendengar permintaan doa kita dan Dia sahaja yang tahu apa yang kita perlukan. Kalau dapat faham dua sifat ini, maka kita tidak akan berdoa kepada selainNya.
Leave a Reply