Your cart is currently empty!
Doa Nabi Yunus semasa di dalam perut ikan besar
بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
لّا إِلٰهَ إِلّا أَنتَ سُبحٰنَكَ إِنّي كُنتُ مِنَ الظّٰلِمينَ
Subḥānaka innī kuntu minaẓ-ẓālimīn(a).
“Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim”.
Surah Anbiya’ Ayat 87
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir
وَذَا النّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغٰضِبًا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقدِرَ عَلَيهِ فَنادىٰ فِي الظُّلُمٰتِ أَن لّا إِلٰهَ إِلّا أَنتَ سُبحٰنَكَ إِنّي كُنتُ مِنَ الظّٰلِمينَ
“Dan (ingatlah kisah) Dzun Nun (Yunus), ketika dia pergi dalam keadaan marah, lalu dia menyangka bahawa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya), maka dia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: “Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”
وَذَا النّونِ
“Dan (ingatlah kisah) Dzun Nun (yang memiliki ikan),”
Yang dimaksudkan adalah Nabi Yunus kerana baginda telah duduk di dalam perut ikan selama beberapa hari. النّونِ bermaksud ikan yang besar. Mungkin kita boleh bayangkan ikan paus.
Yunus ibnu Mata diutus oleh Allah ﷻ kepada penduduk kota Nainawi, iaitu suatu kota besar yang terletak di negeri Mausul. Yunus menyeru mereka untuk menyembah Allah, tetapi mereka menolak dan tetap tenggelam di dalam kekafiran. Maka Yunus pergi meninggalkan mereka dalam keadaan marah seraya mengancam mereka bahawa dalam waktu tiga hari lagi akan datang azab dari Allah ﷻ.
Masalahnya, baginda belum dapat arahan Allah ﷻ untuk meninggalkan mereka lagi. Kaum itu memang akan dimusnahkan, tapi baginda kena tunggu arahan dari Allah ﷻ.
إِذ ذَّهَبَ مُغٰضِبًا
“ketika dia pergi dalam keadaan marah,”
Latarbelakang kisah ini. Nabi Yunus telah lama berdakwah kepada kaum baginda tapi mereka menolak. Akhirnya baginda telah tidak tahan lagi dan telah pergi meninggalkan kaum baginda itu dengan marah kerana merajuk kepada kaum baginda. Dan mereka pun marah kepada baginda kerana kalimah مُغاضِبًا digunakan, dan ianya dalam bentuk wazan yang timbal-balik. Maka mereka sama-sama marah.
فَظَنَّ أَن لَّن نَّقدِرَ عَلَيهِ
“lalu dia menyangka bahawa Kami tidak akan mempersempitnya”
Baginda tidak rasa yang baginda akan dihukum kerana baginda tidak rasa yang baginda ada buat salah. Kerana baginda lihat kaumnya itu sangat tebal kedegilan mereka dan kerana itu baginda rasa yang baginda sudah boleh meninggalkan mereka. Itulah maksudnya yang baginda telah melakukan ijtihad.
Tetapi baginda telah membuat salah perkiraan/ijtihad, kerana baginda belum diarahkan untuk meninggalkan kaumnya lagi. Akan tetapi baginda seorang Nabi yang maksum jadi kesilapan yang baginda lakukan itu bukanlah kesilapan yang besar yang sampai membawa kepada dosa.
Maka kita kena berhati-hati di dalam mentafsir ayat-ayat sebegini. Jangan sesekali kita menuduh para Nabi melakukan dosa. Kena beradab dalam hal mereka.
Oleh kerana Nabi Yunus meninggalkan mereka sebelum mendapat arahan dari Allah ﷻ, maka akhirnya Allah ﷻ tidak jadi menurunkan azab kepada mereka. Kisah ini disebutkan oleh Allah ﷻ. melalui firman-Nya:
فَلَوْلا كَانَتْ قَرْيَةٌ آمَنَتْ فَنَفَعَهَا إِيمَانُهَا إِلا قَوْمَ يُونُسَ لَمَّا آمَنُوا كَشَفْنَا عَنْهُمْ عَذَابَ الْخِزْيِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَمَتَّعْنَاهُمْ إِلَى حِينٍ
“Dan mengapa tidak ada (penduduk) suatu kota yang beriman, lalu imannya itu bermanfaat kepadanya selain kaum Yunus? Tatkala mereka (kaum Yunus itu) beriman, Kami hilangkan dari mereka azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia, dan Kami beri kesenangan kepada mereka sampai kepada waktu yang tertentu.”
Surah Yunus 98
Jadi baginda telah lari meninggalkan kaumnya dan telah menaiki satu kapal dan ditakdirkan oleh Allah yang laut telah bergelora dan nakhoda kapal itu mengatakan kalau terjadi begini, selalu kerana ada yang tidak kena dengan penumpang di mana ada penumpang yang telah lari dari tuannya.
Dan untuk menyelamatkan keadaan, hamba yang melarikan diri dari tuannya itu mestilah terjun ke dalam laut dan balik ke pantai kerana jika tidak laut itu akan terus bergelora. Akan tetapi tidak ada sesiapa pun yang mengaku. Tidak ada sesiapa pun yang mahu mengaku kerana tidak ada yang rasa bersalah termasuklah Nabi Yunus sendiri.
Maka nakhoda kapal telah membuat keputusan untuk membuat undian. Di dalam undian itu, ia telah kena kepada Nabi Yunus dan telah dilakukan sekali lagi kerana mereka sangka takkan baginda yang bersalah kerana baginda adalah seorang nabi.
Akan tetapi apabila sudah tiga kali kena begitu, maka sedarlah Nabi Yunus bahawa hamba yang melarikan diri dari tuannya itu adalah baginda sendiri kerana baginda telah pergi meninggalkan kaumnya sebelum diperintahkan/dibenarkan oleh Allah ﷻ. Hal ini disebutkan oleh Allah ﷻ melalui firman-Nya:
فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنَ الْمُدْحَضِينَ
“kemudian dia ikut berundi, lalu dia termasuk orang-orang yang kalah dalam undian.”
Surah Ash-Shaffat 141
Dan baginda telah terjun ke dalam laut dan waktu itulah ikan paus telah menelan baginda. Waktu itu Allah ﷻ telah memerintahkan kepada ikan paus dari Laut Hijau – menurut apa yang diceritakan oleh Ibnu Mas’ud – membelah lautan dan sampai di tempat Nabi Yunus, lalu menelannya ketika Yunus melompat ke laut.
Allah ﷻ telah memerintahkan kepada ikan paus itu, “Janganlah kamu memakan sedikit pun dari dagingnya, jangan pula mematahkan tulangnya, kerana sesungguhnya Yunus itu bukanlah rezeki makananmu, melainkan perutmu Aku jadikan sebagai penjara buatnya.”
فَنادىٰ فِي الظُّلُمٰتِ أَن لّا إِلٰهَ إِلّا أَنتَ
“maka dia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: “Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau.”
Waktu itu baginda berada di dalam tiga kegelapan: iaitu kegelapan perut ikan, kegelapan laut, dan kegelapan malam. Begitulah Ibnu Mas’ud r.a. mengatakan bahawa kalimah الظُّلُمٰتِ itu dalambentuk jamak, maksudnya gelapnya perut ikan paus, gelapnya lautan, dan gelapnya malam hari.
Dan ini adalah doa baginda semasa di dalam perut ikan paus itu. Sa’id ibnu Abul Hasan Al-Basri mengatakan bahawa Nabi Yunus tinggal di dalam perut ikan besar selama empat puluh hari.
Pertamanya baginda menyatakan kalimah tauhid – tidak ada ilah selain Allah ﷻ. Ini adalah penting: kena tsabitkan ketauhidan Allah ﷻ dalam doa kita. Jadi sekarang Allah ﷻ sedang mengajar kita cara berdoa.
سُبحٰنَكَ إِنّي كُنتُ مِنَ الظّٰلِمينَ
“Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”
Selepas menyebut kalimah tauhid, baginda telah memuji Allah ﷻ dengan bertasbih.
Dan akhirnya baginda mengaku yang baginda telah bersalah. Maksud Nabi Yunus baginda telah melakukan ‘kezaliman’ adalah kesalahan membuat keputusan di dalam ijtihad baginda. Baginda tidak berdosa kerana buat ijtihad itu, tapi hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh beritahu sama ada dia salah atau tidak.
Maka ini adalah doa orang yang duduk dalam penjara. Dan ini adalah lafaz istighfar yang boleh kita amalkan kerana ada riwayat dari Nabi yang mengatakan jikalau sesiapa yang dikenakan dengan musibah yang besar, maka boleh berdoa dengan lafaz ini dan ada riwayat daripada sahabat yang telah ditangkap dan mereka telah berzikir dengan ayat ini dan mereka telah diselamatkan.
Yang penting dalam doa ini, mengaku kesalahan kita. Apabila kita mengaku kesalahan dan dosa kita, maka kita sedang merendahkan diri kepada Allah ﷻ. Dan Allah ﷻ lebih lembut untuk mengabulkan permintaan kita. Mengaku salah lah semasa di dunia; jangan hanya mengaku di akhirat sahaja, kerana itu sudah terlambat.
Leave a Reply