Penggunaan terapi telur dalam perubatan!

Saya ingin mendapatkan pencerahan berkenaan beberapa persoalan berikut :

  1. Apakah perbezaan amalan perubatan melayu dan amalan perbomohan melayu?
  2. Adakah telur dikategorikan sebagai amalan perubatan melayu atau amalan perbomohan melayu?
  3. Prosedur penggunaan telur adalah telur yang diurut pada tempat yang sakit disertai dengan bacaan ayat-ayat Al-Qur’an yang tertentu, adakah prosedur ini menyalahi syarak kerana terdapat penggunaan telur dalam rawatan?
  4. Empat ujikaji awalan menggunakan infra red dan ujian makmal dijalankan untuk melihat kesan penggunaan telur dalam rawatan bagi penyakit yang berbeza, hasil penelitian terdapat keputusan yang menunjukkan terdapat perubahan sama ada pada pesakit atau telur. Adakah kajian telur bagi tujuan ini menyalahi syarak? Sekiranya melalui kajian saintifik dapat dibuktikan penggunaan terapi telur memberikan kesan positif kepada pesakit, adakah ia masih lagi dianggap sebagai amalan perbomohan?
  5. Adakah perubatan melayu juga dikira sebagai perubatan Islam?

Jawapan

Persoalan: Apakah perbezaan amalan perubatan Melayu dan amalan perbomohan Melayu?

Menurut kamus dewan, perubatan (Kamus Dewan Edisi Ke 4 (2007), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka) membawa maksud perihal berubat, yang berkaitan dengan ubat atau usaha mengubati. Bomoh (Kamus Dewan Edisi Ke 4 (2007), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 200) pula ialah tabib kampung yang mengubati orang sakit dengan menggunakan ubat tradisional atau cara kampung, jampi-jampi yang tertentu dan sebagainya. Termasuk juga dalam istilah ini ialah tok pawang dan dukun. Lazimnya, bomoh yang dikategorikan sebagai bahaya dalam masyarakat Melayu ialah bomoh yang bekerja untuk menimbulkan kesusahan dan huru-hara kepada orang lain. Di samping itu, dia mengamalkan ilmu sihir atau ilmu hitam. Antara punca masyarakat Melayu menggunakan khidmat bomoh ini adalah kerana perasaan hasad dengki atas kejayaan orang lain, masalah rumahtangga, benci akan seseorang dan untuk menjatuhkan maruah seseorang (Abd. Majid Hassan (2011), Berdialog Dengan Jin: Diari Seorang Perawat, Kuala Lumpur: Hijjaz Record Publisher 20).

Dapat dirumuskan bahawa pengertian perubatan adalah umum, meliputi perubatan yang benar dan perubatan yang batil. Manakala perkataan bomoh, dukun dan pawang walaupun turut mempunyai pengertian yang elok, namun pemaknaannya tidak sunyi daripada nilai-nilai yang bercanggah dengan syarak seperti penggunaan sihir dan penyingkapan ghaib.

Sebagai maklumat tambahan, terdapat juga istilah-istilah lain yang berkaitan iaitu kahanah dan ‘arrafKahanah bermaksud orang yang boleh meramal perkara yang akan berlaku atau mengkhabarkan perkara-perkara ghaib dan apa yang tersirat dalam hati dengan pertolongan makhluk halus. Manakala ‘arraf pula individu yang mendakwa mengetahui perkara-perkara tertentu dengan beberapa pendahuluan atau petanda seperti mengetahui kecurian, tempat kehilangan dan tempat sesuatu benda (Perawatan Alternatif: Suatu Analisa Terhadap Parameter Syarak 66 – 67).

Persoalan: Adakah telur dikategorikan sebagai amalan perubatan Melayu atau amalan perbomohan Melayu? Kenapa?

Berdasarkan makluman yang kami dapat, amalan berubat menggunakan telur bukanlah suatu yang disepakati keberkesanannya. Rawatan menggunakan telur dikaitkan dengan kaedah pemindahan penyakit yang diamalkan oleh sebahagian pengamal perubatan alternatif yang diragui keberkesanannya.  Kaedah ini juga sinonim dengan amalan perbomohan Melayu. Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam (Darussyifa’), selaku salah satu anggota bagi Badan Pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, tidak mengiktiraf keberkesanan kaedah ini dan tidak menjadikannya sebahagian daripada kaedah rawatan komplementari bagi penyakit kanser atau seumpamanya. Malah tidak dapat diketahui melalui cara ini berkesan untuk merawat kanser atau mengurangkan simptomnya dalam bentuk testimoni mahupun keterangan mana-mana tokoh yang berkepakaran dalam bidang ini bahawa perubatan menggunakan telur adalah alternatif bagi penyembuhan penyakit kanser.

Jika melihat daripada sudut penggunaan telur sahaja tidak ada masalah kerana ia termasuk daripada bahan yang halal. Namun, penjelasan daripada aspek praktikal diperlukan sama ada ia melibatkan jampi-jampi yang tidak disyariatkan dan meminta pertolongan jin. Jika terdapat unsur-unsur tersebut, maka kaedah rawatan berkenaan tidak boleh dilakukan. Jika tidak terdapat unsur berkenaan, maka ia kembali kepada hukum asal yakni berdasarkan keberkesanan. Kaedah maqasid menyatakan:

مَصَالِحُ الدُّنْيَا وَمَفَاسِدُهَا تُعْرَفُ بِالتَّجَارِبِ وَالْعَادَاتِ

“Maslahat-maslahat dan kerosakan-kerosakan yang melibatkan urusan keduniaan diketahui daripada tajarrub (pengalaman, eksperimen) dan adat.”

Imam Izz al-Din bin Abdussalam (t.t) Qawaid al-Ahkam, Jil. 113

Persoalan: Prosedur penggunaan telur adalah telur yang diurut pada tempat yang sakit disertai dengan bacaan ayat-ayat Al-Qur’an yang tertentu, adakah prosedur ini menyalahi syarak kerana terdapat penggunaan telur dalam rawatan?

Perbuatan tersebut adalah harus selagi mana tidak disertai dengan unsur-unsur syirik dan khurafat khususnya dari sudut praktikalnya.

Ruqyah (jampi) dalam bahasa Arab bermaksud menuturkan perkataan ruqyah (permohonan) tertentu untuk mendapatkan kemanfaatan daripadanya atau memudaratkan dengannya. Sebahagiannya menepati kehendak syarak dan sebahagiannya bertentangan dengan syarak. Oleh itu, ruqyah boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu: 

  1. Ruqyah syar‘iyyah – kata-kata yang bertepatan dengan syarak bagi tujuan pengubatan dan kesejahteraan atau kebaikan.
  2. Ruqyah syirkiyyah – kata-kata seruan, mantera dan serapah yang diucapkan dan bercanggah dengan syarak untuk tujuan penyembuhan penyakit atau lain-lain (contohnya dengan memuja jin dan roh-roh jahat).

Para ulama bersepakat bahawa harus berikhtiar menggunakan ruqyah sekiranya memenuhi tiga syarat berikut: 

  1. Menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an atau nama-nama Allah atau sifat-sifatNya, atau
  2. Menggunakan bahasa Arab atau selainnya akan tetapi difahami maknanya yang diharuskan syarak.
  3. Beriktikad bahawa penyembuh sebenar hanya Allah ﷻ (Dr. Haron Din (2012), Ke Arah Memartabat dan Memperkasa Pengubatan Islam Sepanjang Hayat, Kertas Kerja Utama yang dibentangkan dalam Kongres Pengubatan Islam Nusantara 2012 pada 1 & 2 Disember 2012, di Dewan Kuliah Utama, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya 5 – 6; Garis Panduan Amalan Pengubatan dan Perbomohan Menurut Islam (2012), Jabatan Mufti Negeri Melaka 21 dan 24; Amran Kasimin (1991), Darussyifa’, Bandar Baru Bangi: T.P., 127 – 131).

Ini bermakna ruqyah atau jampi yang tidak diambil dari Al-Qur’an dan hadis-hadis yang berkaitan, seperti menggunakan jampi daripada orang-orang yang soleh, para ulama dan orang-orang yang berpengalaman dalam bidang pengubatan adalah dibolehkan, walaupun lafaznya tidak dalam bahasa Arab, dengan syarat difahami maknanya dan tidak mengandungi unsur syirik (Dr. Haron Din (2011), Pengantar Pengubatan Islam, Bandar Baru Bangi: Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia & Koperasi Darussyifa’ Berhad 118; Razalli Sulaiman (2013), Gangguan Jin: Rawatan dan Pendinding, Shah Alam: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd 212 – 213).

Kelazimannya ruqyah dan doa akan dibacakan oleh perawat kepada pesakit dan juga bahan-bahan rawatan. Pada masa yang sama, pesakit juga digalakkan membaca sendiri ruqyah,  zikir dan doa yang tertentu bagi tujuan rawatan. Dengan kata lain, ruqyah dibacakan secara langsung oleh perawat atau pesakit sendiri sebagai ikhtiar penyembuhan penyakit. Hukumnya adalah diharuskan selagi mana ruqyah yang dibacakan adalah menepati syarat-syarat yang telah dibincangkan di atas.

Dari sudut kesembuhan hasil membacakan ruqyah dan doa, terdapat hadis-hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW sendiri telah diruqyah oleh Jibril ketika baginda sakit (Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, Kitab al-Salam, Bab al-Tibb wa al-Marad wa al-Ruqa, Hadis 2186), ataupun baginda sendiri melakukan ruqyah dan doa apabila ditimpa penyakit (Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, Kitab al-Salam, Bab Istihbab Ruqyah al-Marid, Hadis 2191), ataupun baginda memperakukan tindakan sahabat yang meruqyah orang yang sakit hingga mendapat kesembuhan (Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, Kitab al-Salam, Bab Jawaz Akdh Ujrah ‘ala al-Ruqyah, Hadis 2201), dengan izin Allah ﷻ.

Persoalan: Empat uji kaji awalan menggunakan kamera infra-red dan ujian makmal dijalankan untuk melihat kesan penggunaan telur dalam rawatan bagi penyakit yang berbeza, hasil penelitian terdapat keputusan yang menunjukkan terdapat perubahan samada pada pesakit atau pada telur. Adakah kajian telur bagi tujuan ini menyalahi syarak? Sekiranya melalui kajian saintifik dapat dibuktikan penggunaan terapi telur memberi kesan positif pada kesihatan pesakit, adakah ia masih dianggap sebagai amalan perbomohan?

Kajian yang dilakukan adalah harus pada sudut syarak. Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, kaedah maqasid menyatakan:

مَصَالِحُ الدُّنْيَا وَمَفَاسِدُهَا تُعْرَفُ بِالتَّجَارِبِ وَالْعَادَاتِ

“Maslahat-maslahat dan kerosakan-kerosakan yang melibatkan urusan keduniaan diketahui daripada tajarrub (pengalaman, eksperimen) dan adat.”

Imam Izz al-Din bin Abdussalam (t.t) Qawaid al-Ahkam, Jil.1 13

Oleh yang demikian jika sekiranya melalui kaedah tersebut boleh menatijah kesembuhan maka hukumnya adalah harus. Akan tetapi ia tetap masih terikat kepada terma-terma dan syarat-syarat yang telah ditentukan oleh syarak. Namun begitu jika sekiranya kaedah penggunaan telur ini masih lagi disertakan jampi serapah, sihir atau dengan bantuan makhluk halus, maka kaedah tersebut akan tetap dianggap sebagai amalan perbomohan dan hukumnya haram. Justeru dalam perawatan Islam tidak mempraktikkan kaedah ini walaupun mungkin ada keberkesanannya kerana dikhuatiri akan berlaku fitnah, selagi mana ada kaedah lain yang boleh dilakukan bagi menutup pintu fitnah maka hendaklah dilaksanakan dengan kaedah tersebut. Bahkan kaedah penggunaan telur itu pula terdapat persamaan dengan perkara-perkara khurafat yang dilakukan oleh amalan perbomohan yang syirik.

Persoalan: Adakah perubatan Melayu juga dikira sebagai perubatan Islam?

Perubatan Islam perlu difahami dengan dimensi yang luas dan mencakupi. Ia tidak wajar dibataskan kepada “kaedah rawatan yang menggunakan doa-doa, yang merangkumi pelbagai ungkapan kata yang mengandungi kata-kata pengaruh Islam” (Dr. Haron Din, Konsep Perubatan Islam 11) sahaja. Sehubungan dengan itu, perubatan Islam tidak dibataskan pada satu-satu cara rawatan yang tertentu sahaja. Malahan cara rawatan yang disyorkan oleh Islam ialah apa jua cara rawatan yang sesuai, baik dengan menggunakan akar kayu, ubat-ubatan moden, pembedahan, mahupun dengan cara psikologi dan metafizik (Prof. Dr. Ismail Saad, Pengenalan Tamadun Islam dalam Ilmu Perubatan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 166). Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa perubatan Islam merupakan sistem perubatan yang luas yang meliputi pelbagai bentuk perubatan selagi mana tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip asas Islam. Konsep asas dalam perubatan Islam berdiri atas konsep tauhid dan ia tidak terhad kepada jampi sahaja. Justeru perubatan Melayu juga boleh dianggap sebagai perubatan Islam selagi mana berpaksi atas konsep tauhid dan berada dalam lingkungan yang diharuskan oleh syarak.

Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang 670

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir