Your cart is currently empty!
Ilmu Khadam! Hukum beramal untuk mendapatkan khadam ayat?
Soalan
Apakah yang dimaksudkan dengan khadam ayat dan bolehkah mengamalkannya?
Jawapan
Khadam dari sudut istilahnya dalam konteks ini adalah pembantu manusia dalam kalangan jin (Rujuk Fatawa al-‘Ulama’ fi ‘Ilaj al-Sihr wa al-Massi wa al-‘Ayn wa al-Janni 112).
Khadam ayat ini terkenal dalam kalangan mereka yang melibatkan diri dengan rawatan tradisional atau amalan kebatinan Melayu. Ia merujuk kepada pendamping atau penjaga yang diperoleh setelah mengamalkan ayat-ayat Al-Qur’an tertentu dengan kaedah yang khusus. Kadangkala, ia tidak hadir dengan pengamalan ayat Al-Qur’an tetapi cukup dengan amalan kebatinan. Antara yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu adalah khadam ayat al-Kursi.
Walaubagaimanapun, khadam yang difahami sebagai khadam ayat ini bukanlah orang suruhan tetapi ianya lebih kepada pendamping atau penjaga seperti rijal al-ghaib. Rijal al-ghaib ini biasanya akan hadir dan mendakwa diri sebagai wali-wali, atau orang soleh. Dalam hal berkenaan rijal al-ghaib, Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari menyebutkan:
والحق : أن هؤلاء من أتباع الشياطين ، وأن رجال الغيب هم الجن لأن الإنس لا يكون دائما محتجبا عن أبصار الإنس يحتجب احيانا فمن ظن أنهم من الإنس فمن غلطه وجهله
“…yang benarnya mereka (yang menyamar sebagai wali-wali) itu adalah pengikut para syaitan. Dan sesungguhnya rijal al-ghaib adalah jin kerana jika ianya manusia, tidaklah ia sentiasa terhijab daripada pandangan manusia. Manusia terhijab kadangkala (tetapi tidak bermakna dia tidak boleh dilihat). Barangsiapa yang menyangka rijal al-ghaib itu dalam kalangan manusia adalah kesilapannya dan kejahilannya.”
Syarah Fiqh al-Akbar 421
Firman Allah ﷻ:
وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ الرَّحْمَـٰنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ . وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ السَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُم مُّهْتَدُونَ
“Dan sesiapa yang tidak mempedulikan pengajaran (Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
Ibnu Qayyim Al Jauzi menyatakan bahawa: “Al-Qur’an adalah jalan bagi hati seseorang mendapat ketenangan. Justeru, sesiapa yang berpaling dari ajaran sebenar Al-Qur’an atau menggunakan ayat Al-Qur’an dari tujuan asal ia diturunkan, maka Allah akan jadikan baginya seekor syaitan yang menjadi Qarin. Qarin inilah yang akan berkhidmat kepada pengamalnya. Lalu timbul tanggapan bahawa malaikat yang menjaga ayat tersebut telah menjadi penolongnya. Inilah tipudaya dalam amalan-amalan kebatinan seperti ilmu ghaib, ilmu kebal, ilmu khadam ayat dan seumpamanya (Tafsir al-Qayyim 1/490).
Ada juga sebahagian pawang atau bomoh yang mendakwa bahawa khadam ayat itu adalah malaikat, bukan jin atau syaitan. Kami melihat dakwaan ini jauh tersasar kerana:
- Tugas malaikat adalah menjalankan apa jua perintah Allah ﷻ kepadanya, bukan perintah manusia. Firman Allah ﷻ:
لَّا يَعْصُونَ اللَّـهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
“…mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
Surah al-Tahrim Ayat 6
- Malaikat mendampingi dan mendoakan orang yang beriman dan bertaqwa, bukannya mereka yang melakukan syirik. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi ﷺ bersabda:
الْمَلاَئِكَةُ تُصَلِّي عَلَى أَحَدِكُمْ مَا دَامَ فِي مُصَلاَّهُ مَا لَمْ يُحْدِثْ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ، اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ
“Para Malaikat akan selalu berselawat kepada salah seorang di antara kalian selama ia berada di masjid dimana ia melakukan solat, hal ini selama wudhu’nya belum batal. (para Malaikat) berkata: ‘Ya Allah, ampunilah dia, ya Allah, rahmatilah dia.”
Riwayat al-Bukhari 445
Berdasarkan hujah-hujah di atas, kami cenderung untuk menyatakan bahawa hukum beramal bagi mendapatkan khadam ayat adalah haram dan membawa kepada kesyirikan. Firman Allah ﷻ:
وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِّنَ الْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِّنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا
“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”
Surah al-Jinn Ayat 6
Al-Qur’an dibaca dan diamalkan juga sebagai tujuan rawatan tetapi yang menyembuhkan tetaplah Allah ﷻ. Ianya tidak memerlukan kepada apa-apa perantara yang terdiri daripada apa jua makhluk. Cukuplah Allah ﷻ yang Maha Mendengar, jua Maha Penyembuh. Semoga Al-Qur’an akan semakin mendekatkan kita kepada-Nya dan bukan sebaliknya والله أعلم
Al-Afkar 13
Soalan
Bolehkan manusia seperti saya mempelajari ilmu Qadam? Apakah hukumnya? Sesetengah ustaz yang saya kenal mengatakan boleh dan ada juga yang mengatakan sebaliknya. Mohon pencerahan.
Jawapan
Ilmu Qadam atau lebih tepat ‘ilmu khadam’ adalah ilmu yang membolehkan seseorang memanggil makhluk lain sebagai khadam untuk menjalankan tugas-tugas tertentu untuk kepentingan diri seseorang seperti menjaga keselamatan rumah dan harta, melariskan jualan dan memelihara badan dari dicederakan (kebal). Makhluk tersebut akan menjadi suruhan (khadam) yang akan taat kepada tuannya. Menurut pengamal ilmu ini khadam ini adalah dari jin Islam yang bukan sahaja menjalankan tugas menurut perintah tuannya tetapi juga akan mengingatkan tuannya tentang perkara-perkara yang tidak baik. Ada yang memanggilnya sebagai ‘khadam ayat’ yang terhasil dari bacaan tertentu dari ayat-ayat Al-Qur’an. Ilmu ini digunakan dalam sebahagian amalan perubatan tradisional. Ilmu ini juga kadangkala dikaitkan dengan ilmu Nabi Khidir. Islam sememangnya mengiktiraf kewujudan makhluk-makhluk lain selain manusia seperti jin dan malaikat seperti mana yang dijelaskan di dalam Al-Qur’an dan hadis Nabi ﷺ. Islam juga tidak menafikan dalam beberapa keadaan adanya hubungan antara manusia dengan makhluk-makhluk ini sepertimana yang berlaku kepada sekumpulan jin yang terkesan apabila mendengar bacaan Al-Qur’an daripada Nabi Muhammad ﷺ (Surah Al-Jin Ayat 1 – 2) dan kisah Nabi Sulaiman yang memerintahkan jin untuk memindahkan istana Ratu Balqis (Surah Al-Naml Ayat 39 – 40). Di samping itu, terdapat juga antara ayat-ayat Al-Qur’an sekiranya dibaca akan dapat memberikan kekuatan tertentu kepada seseorang dan memelihara seseorang dari perkara buruk, seperti Ayat al-Kursi daripada Surah al-Baqarah, Surah Yassin dan ayat-ayat yang lain. Ilmu Qadam (Khadam) sedikit sebanyak berkait dengan perkara-perkara di atas. Walaupun pada dasarnya ilmu ini boleh digunakan sekiranya didasarkan kepada cara yang benar, namun ia amat tidak digalakkan terutama kepada orang awam dan juga kepada mereka yang tidak mempunyai Ilmu Akidah yang mantap atas sebab-sebab berikut: 1. Ikatan pergantungan manusia akan berpindah daripada Allah ﷻ kepada makhluk-makhluk ini. Ini akan menjejaskan akidah seseorang dan mengakibatkan syirik kepada Allah ﷻ. 2. Kecenderungan ilmu ini disalahgunakan dan digunakan untuk merosakkan orang lain. 3. Banyak bercampur aduk dengan bacaan-bacaan yang tidak bersumberkan dari sumber yang sahih والله أعلم
Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang 382
Leave a Reply