Your cart is currently empty!
Benarkah ada waktu atau cara tertentu untuk memotong kuku?
Soalan
Macam mana cara potong kuku mengikut sunnah?
Jawapan
Islam sangat menitik beratkan soal kebersihan dalam ruang lingkup skop yang sangat luas. Daripada kebersihan pada perspektif negara juga pada perpsektif individu. Antaranya juga adalah memotong kuku yang merupakan amalan yang dianjurkan kerana termasuk dari sunnah Rasulullah ﷺ.
Dari Aisyah yang maksudnya:
“Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah): memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (istinja’), berkata Zakaria: “Berkata Mus’ab: “Aku lupa kesepuluh kecuali berkumur.”
Riwayat Muslim
Dari Abu Hurairah katanya: “Bersabda Rasulullah ﷺ:
“Lima perkara dari tuntutan agama iaitu; berkhatan, mencukur ari-ari, mengerat kuku, mencabut ketiak dan menggunting misai.”
Riwayat Muslim
Tatacara
Disunatkan:
- Memulakan dari tangan kanan kemudian tangan kiri.
- Memulakan kaki kanan kemudian kaki kiri.
Nabi ﷺ suka memulai sesuatu dengan yang sebelah kanan seperti disebut dalam hadis Aisyah:
“Dahulu Rasulullah ﷺ sangat senang mendahulukan sisi yang kanan dalam memakai selipar, bersikat, bersuci dan dalam semua urusannya (yang baik).’
Riwayat Bukhari dan Muslim
Waktu bila? Nak mula jari mana?
Adapun penentuan waktu atau hari tertentu untuk memotong kuku dan tatacaranya seperti dimulai dari jari kelingking, kemudian jari tengah, lalu ibu jari, lalu jari manis, lalu jari telunjuk dan seterusnya, maka TIDAK ADA satu pun HADIS SAHIH dari Nabi ﷺ dalam hal ini.
Bahkan darjat hadis-hadis yang menerangkan secara terperinci tentang penentuan waktu dan hari untuk memotong kuku serta tata caranya adalah Dhoif dan Palsu.
Oleh itu boleh bagi kita memotong kuku BILA-BILA saja, hari apa saja, dimulai dengan jari manapun apabila kuku telah melebihi hujung jari.
Tempoh
Akan tetapi janganlah membiarkan tidak dipotong sehingga melebihi empat puluh malam seperti diriwayatkan Anas bin Malik maksudnya:
“Telah ditentukan waktu kepada kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih dari empat puluh malam.”
Riwayat Muslim
Hal ini dilakukan agar tiada kotoran terperangkap di bawahnya dan agar tidak menghalangi masuknya air ketika berwudhu’ dan mandi.
Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang 563
Leave a Reply