Dikencing syaitan tidak solat subuh!

Soalan Benarkah hadith yang mengatakan bahawa orang yang tidak bangun untuk solat Subuh adalah disebabkan telah dikencing oleh syaitan?

Jawapan

Menunaikan solat termasuk di dalam salah satu daripada rukun Islam. Selain itu, solat merupakan perkara yang pertama akan dihisab di akhirat kelak sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah ﷺ. Di samping itu, solat diibaratkan seperti tiang bagi agama sepertimana yang diriwayatkan oleh Mu’az bin Jabal, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الجِهَادُ

“Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan ke muncaknya adalah berjihad.” 

Riwayat al-Tirmizi 2616 Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih

Berdasarkan kepada soalan di atas, sememangnya terdapat di dalam hadith yang sahih bahawa orang yang tidur dan tidak bangun untuk menunaikan solat Subuh adalah disebabkan telah dikencing oleh syaitan. Hadith tersebut diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud berkata:

  • Diceritakan kepada Rasulullah ﷺ terdapat seorang lelaki yang telah tidur sehingga berlalu waktu Subuh, lalu Rasulullah ﷺ bersabda:

ذَاكَ رَجُلٌ بَالَ الشَّيْطَانُ فِي أُذُنَيْهِ، أَوْ قَالَ: فِي أُذُنِهِ

“Lelaki itu telah dikencing oleh syaitan di kedua telinganya.” Atau Baginda ﷺ bersabda: “Di telinganya.” 

Riwayat al-Bukhari 3270 dan Muslim 774

Imam al-Bukhari meletakkan hadith ini di dalam bab orang yang tidur dan tidak mengerjakan solat disebabkan telah kencing oleh syaitan di telinganya. Hadith ini menunjukkan kinayah bahawa syaitan telah menutup telinga orang yang tidur daripada solat (tidak mengerjakannya) sehingga dia tidak mendengar seruan azan dan dikatakan juga bahawa maknanya adalah syaitan telah memenuhkan telinganya dengan perkara-perkara batil maka terhijab telinganya daripada mendengar seruan azan (Lihat Fath al-Bari 3/28). Tambahan pula, hadith ini mengisyaratkan bahawa dirinya telah dikuasai oleh syaitan dan syaitan juga telah berpaut pada saraf otaknya sepanjang malam serta diperkecilkan oleh syaitan (Lihat al-Minhaj 6/64).

Penutup

Kesimpulannya, memang terdapat hadith yang sahih menceritakan bahawa orang yang tidur pada waktu malam dengan tidak bangun untuk menunaikan solat Subuh, maka dia telah dikuasai atau dikencing oleh syaitan. Akhirnya, semoga Allah ﷻ menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa menunaikan solat di awal waktu serta berjaya di dunia dan akhirat. Aamiin.

Irsyad Al-Hadith 395

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir