Bagaimana merawat ego yang tinggi?

Soalan

Kadang-kadang saya terasa mempunyai banyak kelebihan berbanding orang lain dan sukar menerima pendapat orang lain. Bagaimana cara untuk saya merawat diri?

Jawapan

Kami mulakan dengan firman Allah ﷻ:

‎ ‏ قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُم بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا . الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.”

Surah al-Kahfi Ayat 103 – 104

Menginsafi nas ini, jelas menunjukkan kepada kita sangkaan bahawa kita sentiasa betul dan baik adalah sebuah kesilapan yang besar. Sewajarnya, kita hendaklah sentiasa muhasabah. Kisah yang disebut dalam Al-Qur’an adalah sebaik-baik pedoman bagaimana iblis akhirnya berada pada tempat yang terkebawah selepas dia pada makam yang mulia. Ini kerana, ego yang melampau, sombong, dan merasakan dirinya yang paling benar dan betul.

Ingatlah pesanan Rasulullah ﷺ: Daripada Anas bin Malik, katanya, sabda Rasulullah ﷺ:

ثَلَاثٌ مُهْلِكَاتٌ: شُحٌّ مُطَاعٌ، وَهَوًى مُتَّبَعٌ، وَإِعْجَابُ الْمَرْءِ بِنَفْسِهِ.

“Tiga perkara yang membinasakan: Orang yang kedekut ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan seseorang itu merasa kagum pada dirinya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman 731 dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat 5915

Firman Allah ﷻ:

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَىٰ وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ

“Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.”

Surah al-Baqarah Ayat 34

Antara bala dan kerugian apabila wujudnya sifat ujub dan sombong adalah boleh menerima kebinasaan, dimurkai oleh Allah ﷻ dan dilaknat oleh-Nya, orang ramai tidak menyukainya, tidak akan berkembang dengan baik, terjerumus kepada dosa besar, mendapat kerugian di akhirat, mudah diuji dan jatuh semasa dalam kehidupan dunia lagi, melanggar titah perintah ALlah ﷻ dan yang paling parah akal dan imannya akan menjadi lemah.

Ingatlah pesanan Allah ﷻ:

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ ‎

“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”

Surah Luqman Ayat 18

Antara rawatan hati yang terbaik adalah dengan mempelajari ilmu termasuk tasawuf dan akhlak. Begitu juga, bersahabat dengan orang-orang yang soleh lagi baik di samping memelihara ibadat yang wajib seperti solat dengan melazimi solat berjemaah di masjid atau surau.

Melihat kepada orang-orang yang berjaya, cerdik, pandai berjaya dan cemerlang dengan ingin mempelajari kejayaan mereka serta sikap mereka. Maka dengan ini akan hilanglah ego kita bak kata pepatah Arab:

فَتَشَبَّهُوا إنْ لَمْ تَكُوْنُوا مِثْلَهُمْ إنَّ التَّشَبُّهَ باِلْكِرَامِ فَلاَحٌ

Contohilah sekalipun kamu tidak setara dengan mereka, kerana mencontohi yang mulia itu pasti mendapat kejayaan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

“Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Al-Bakri 3895

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir