Your cart is currently empty!
Sihir
Kami kemukakan di sini definisi sihir dari sudut bahasa terlebih dahulu seperti berikut:
- Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, sihir dari sudut bahasa ialah perbuatan atau kejadian yang luar biasa yang dilakukan oleh manusia secara tersembunyi atau ghaib yang melibatkan makhluk halus.
- Menurut al-Azhari, perkataan al-sihr ialah menukarkan sesuatu daripada hakikat yang sebenar kepada suatu yang lain. Atau mengkhayalkan sesuatu bukan pada hakikat yang sebenar (Lihat Fath al-Mughith fi al-Sihri wa al-Hasad wa Mass Iblis 55).
- Ibn Manzur menyebut di dalam Lisan al-Arab bahawa yang dimaksudkan dengan sihir itu adalah satu amalan yang dengannya bertujuan mendekatkan diri kepada syaitan dengan memohon bantuan daripadanya.
- Ibn Manzur turut menyebut bahawa orang yang melakukan sihir adalah seakan-akan memperlihatkan kebatilan dalam kebenaran dan menggambarkan sesuatu tidak seperti hakikat yang sebenarnya. Dengan demikian, dia telah menukar sesuatu daripada hakikat yang sebenarnya (Lihat Lisan al-‘Arab 4/348).
Manakala pada istilahnya pula, definisi sihir adalah seperti berikut:
- Ibnu Qudamah berkata: “Sihir ialah ikatan, jampi dan perkataan yang diucapkan atau ditulis atau dibuat sesuatu yang mendatangkan kesan dan akibat buruk terhadap tubuh orang yang disihir atau terhadap hati dan akalnya tanpa menyentuhnya secara langsung (Lihat al-Mughni 9/34).
- Ibn Qudamah turut berkata: Sihir adalah jampi atau mantera yang memberikan pengaruh sama ada zahir atau batin seperti membuat orang lain menjadi sakit atau membunuhnya. Ia bertujuan juga untuk memudaratkan emosi, fikiran atau akal manusia (Lihat Fathul Haq al-Mubin fi ‘Ilaj al-Syar’ie wa al-Sihr wa al-‘Ain 171).
- Ibnu Khaldun berkata: Sihir ialah ilmu untuk menghasilkan kesan negatif ke atas manusia dengan menggunakan anasir-anasir jahat serta kekuatan ghaib sama ada berperantaraan atau tidak bagi tujuan jahat yang tersembunyi (Lihat Rawatan Sihir Akibat Sihir 3).
- Imam al-Qurtubi berkata: Sihir asalnya adalah tangkal atau tali yang berhelah iaitu tukang sihir melakukan sesuatu sehingga ia bertukar menjadi suatu yang bukan hakikatnya. Takrifan tersebut diumpamakan seperti seseorang yang berada di bawah cahaya matahari yang panas terik ketika berjalan akan melihat jauh di hadapannya bayangan air yang bergerak-gerak iaitu fatamorgana (Lihat Fath al-Mughith fi al-Sihri wa al-Hasad wa Mass Iblis 57).
Islam menolak amalan sihir dan mengajar orang Islam untuk meminta perlindungan dengan Allah ﷻ daripada kejahatan sihir, seperti firman-Nya:
وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقِ
“Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan).”
Surah al-Falaq Ayat 4
Hadis Rasulullah ﷺ juga jelas menyenaraikan amalan sihir sebagai salah satu dosa besar berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ
“Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: Wahai Pesuruh Allah? Apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.”
Riwayat Bukhari 2766
Al-Qurtubi menyatakan: Para ulama berbeza mengenai mengenai hukum seorang penyihir muslim dan dhimmi. Menurut pendapat Imam Malik, seorang Muslim yang menggunakan sihir dengan kata-kata dianggap sebagai kafir. Dia akan dihukum mati dan tidak akan diminta untuk bertaubat kerana perbuatan tersebut dilakukan secara diam-diam seperti zindik dan penzina. Allah ﷻ menyebut sihir termasuk dalam perbuatan kufur sebagaimana firman-Nya:
وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّىٰ يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ
“..sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”
Surah al-Baqarah Ayat 102
Ini juga merupakan pendapat Imam Ahmad Bin Hanbal, Abu Thaur, Ishak dan Imam Syafi’e (Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran 2/47).
Al-Bakri 1839
Leave a Reply