Imam selalu sangat membaca surah as-Sajadah dan surah al-Insan pada pagi Jumaat, apakah hukumnya?

Soalan

Apakah hukum imam membaca surah as-Sajadah dan surah al-Insan pada pagi Jumaat?

Jawapan

Kita melihat banyak masjid, khususnya di negara kita mengamalkan bacaan surah as-Sajadah dan surah al-Insan di dalam solat Subuh pada setiap hari Jumaat. Maka, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan cuba menjawab berkaitan hukum membaca kedua surah ini pada pagi Jumaat di dalam solat Subuh. Sebelum kami datangkan hukum berkaitan perkara di atas, maka ada baiknya jika kami datangkan beberapa buah hadith yang menceritakan akan hal tersebut:

  • Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الجُمُعَةِ فِي صَلاَةِ الفَجْرِ الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةَ، وَهَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ

“Adapun Nabi ﷺ membaca pada hari Jumaat di dalam solat Fajar dengan الم تَنْزِيلُ as-Sajadah dan هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا.” 

Riwayat al-Bukhari 891 & Muslim 879

Terdapat sebuah lagi riwayat yang hampir dengan riwayat di atas, juga daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

كَانَ يَقْرَأُ فِي الصُّبْحِ، يَوْمَ الْجُمُعَةِ: بِالم تَنْزِيلُ فِي الرَّكْعَةِ الْأُولَى، وَفِي الثَّانِيَةِ هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا

“Adapun Nabi ﷺ membaca di dalam solat Subuh pada hari Jumaat dengan “الم تَنْزِيلُ” (as-Sajadah) pada rakaat pertama. Manakala pada rakaat kedua pula “هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا” (al-Insan).” 

Riwayat Muslim 880

Berdasarkan dua buah hadith yang sahih di atas, maka jelaslah bahawasanya Nabi ﷺ membaca dua surah ini ketika Baginda ﷺ menunaikan solat Subuh atau Fajar pada hari Jumaat.

  • Kata Imam Ibn Hajar al-Asqalani:

وَفِيهِ دَلِيلٌ عَلَى اسْتِحْبَابِ قِرَاءَةِ هَاتَيْنِ السُّورَتَيْنِ فِي هَذِهِ الصَّلَاةِ مِنْ هَذَا الْيَوْمِ لِمَا تُشْعِرُ الصِّيغَةُ بِهِ مِنْ مُوَاظَبَتِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى ذَلِكَ أَوْ إِكْثَارِهِ مِنْهُ

“Padanya (pada hadith ini) menunjukkan sunat membaca dua surah ini di dalam solat pada hari tersebut (Jumaat). Ini kerana, daripada bentuk hadith ini menunjukkan bahawa Nabi ﷺ melaziminya atau banyak melakukannya.” 

Lihat: Fath al-Bari 378/2

Selain itu juga, menurut mazhab al-Syafie disunatkan membaca surah as-Sajadah dan surah al-Insan pada solat subuh Jumaat berdalilkan amalan Nabi ﷺ sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith di atas (Lihat al-Muktamad 261/1).

Pendapat Kami

Berdasarkan kata-kata Ibn Hajar al-Asqalani di atas, jelaslah kepada kita bahawa Nabi ﷺ seringkali membaca dua surah ini di dalam solat Subuhnya pada hari Jumaat. Akan tetapi, Nabi ﷺ tidak melakukannya pada setiap minggu. Di samping itu juga, kita juga boleh membaca surah-surah yang lain dan ini melihat kepada fiqh imam itu sendiri kerana imam yang akan membuat pilihan dengan meraikan orang-orang yang solat dibelakangnya. Ini kerana, di dalam sebuah hadith, Nabi ﷺ telah memberi panduan bagi setiap orang yang ingin solat bersama manusia. Antaranya adalah:

  • Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ لِلنَّاسِ، فَلْيُخَفِّفْ، فَإِنَّ مِنْهُمُ الضَّعِيفَ وَالسَّقِيمَ وَالكَبِيرَ، وَإِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ لِنَفْسِهِ فَلْيُطَوِّلْ مَا شَاءَ

“Jika salah seorang daripada kamu solat bersama manusia maka ringankanlah (pendekkan bacaan). Ini kerana, ada di antara mereka orang yang lemah, sakit dan tua. Dan jika salah seorang daripada kamu solat secara bersendirian maka panjangkanlah mengikut kemahuannya.” 

Riwayat al-Bukhari 703

Penutup

Kesimpulannya, mengikut atau mengamalkan sunnah Nabi ﷺ adalah satu tuntutan di dalam agama. Akhirnya, marilah sama-sama kita melatih diri kita untuk sentiasa melaksanakan solat lima waktu secara berjemaah di masjid-masjid dan semoga Allah ﷻ menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa mendirikan solat.

Irsyad Al-Hadith 215

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir