Adakah hantu benar-benar wujud?

Saya ini penggemar cerita-cerita seram. Apa sahaja cerita atau perkongsian orang tentang pengalaman seram mereka sama ada di radio dan sebagainya saya mesti akan dengar. Adakah hantu-hantu seperti pontianak, pocong, langsuir dan sebagainya itu wujud? Benda-benda ini memang betul-betul wujud atau hanya khayalan perasaan semata-mata? Atau ia berasal dari roh yang tak tenteram?

Jawapan

Di antara perkara yang wajib untuk diimani oleh setiap muslim adalah beriman dengan perkara-perkara ghaib seperti syurga, neraka, hari Hisab dan lain-lain. Di antara perkara ghaib yang wajib untuk diimani adalah kewujudan jin dan syaitan. Kewujudan jin dan syaitan disebutkan oleh Allah ﷻ di dalam Al-Qur’an. Di antaranya adalah yang terdapat di dalam kisah Nabi Sulaiman. Firman Allah ﷻ:

وَحُشِرَ لِسُلَيْمَـٰنَ جُنُودُهُۥ مِنَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ وَٱلطَّيْرِ فَهُمْ يُوزَعُونَ

“Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.”

Surah al-Naml 17

Begitu juga Allah ﷻ menceritakan akan kewujudan syaitan yang sentiasa menjadi musuh nombor satu kepada manusia. Firman Allah ﷻ:

يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ لَا يَفْتِنَنَّكُمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ كَمَآ أَخْرَجَ أَبَوَيْكُم مِّنَ ٱلْجَنَّةِ يَنزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْءَٰتِهِمَآ

“Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup);”

Surah al-‘Araf 27

Walaupun kita tidak dapat melihat mereka dengan mata kasar kita ia bukan bermakna syaitan dan jin tidak wujud. Kewujudan mereka tidak dapat dilihat oleh kita. Ini dinyatakan oleh Allah ﷻ di dalam Al-Qur’an. Firman Allah ﷻ:

إِنَّهُۥ يَرَىٰكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُۥ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ

“Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka;”

Surah al-‘Araf 27

Sheikh Tohir Ibn ‘Asyur menyebut bahawa sebahagian ahli ilmu menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa syaitan tidak mungkin untuk dilihat. Akan tetapi bukan begitu maksud ayat tersebut. Ianya membawa makna bahawa mereka melihat kita dalam keadaan kita tidak boleh melihat mereka. Kalaupun kita tidak boleh melihat mereka itu tidak bermakna kita tidak boleh melihat mereka selama-lamanya. Tidak dapat melihat mereka pada waktu sekarang tidak boleh menafikan kewujudan mereka secara mutlak (Rujuk Tahrir Ma’na al-Sadid Wa Tanwir al-‘Aql al-Jadid Fi Tafsir al-Quran al-Majid 3/26).

Maka kita boleh katakan bahawa orang yang mengingkari kewujudan jin dan syaitan pada hakikatnya mereka mengingkari perkara yang sudah mencapai taraf mutawatir yang kalau disanggahi atau dinafikan ditakuti akan jatuh kepada kekufuran kerana menafikan sesuatu yang mutawatir.

Sheikh Muhammad al-Syibli menukilkan pandangan Imam al-Haramain al-Juwaini. Beliau berkata:

“Ketahuilah bahawa kebanyakan ahli falsafah, golongan Qadariah dan kesemua orang yang zindiq mengingkari akan kewujudan jin dan syaitan. Pengingkaran yang dilakukan oleh mereka tidak lain tidak bukan adalah kerana tidak mentadabbur dan memperdalami Syariah. Sedangkan di sana terdapat nas-nas yang mutawatir dan athar-athar yang masyhur.” (Rujuk Aakam al-Marjan Fi Gharaib al-Akhbar wa Ahkam Al-Jann 6).

Abu al-Qasim al-Ansari anak murid kepada Imam al-Haramain menyebut bahawa mengithbatkan kewujudan jin dan syaitan bukanlah mustahil dari sudut akal. Nas Al-Qur’an dan hadis terlebih dahulu memperakui kewujudan mereka. Oleh kerana itu mereka yang berpegang kepada agama mestilah mengetahui bahawa ianya perkara yang harus pada akal dan telahpun dibuktikan melalui nas-nas ayara’ (Rujuk Aakam al-Marjan Fi Ghraib aL-Akhbar wa Ahkam al-Jann 6 – 7).

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, gambaran-gambaran hantu yang sering digambarkan khususnya oleh masyarakat kita melalui filem mahupun drama seperti pontianak, pocong dan lain-lain adalah sesuatu yang tidak wujud. Ianya tidak lain tidak bukan merupakan satu perkara yang berkaitan dengan jin dan syaitan. Mereka diberikan kelebihan oleh Allah ﷻ untuk berubah-ubah bentuk dan menyerupakan diri dengan bentuk-bentuk tertentu untuk menakutkan manusia.

Sheikh Muhammad al-Syibli menyebut bahawa tidak syak lagi bahawa jin dan syaitan mampu untuk berubah-ubah bentuk sama ada bentuk manusia atau haiwan. Sepertimana syaitan menyerupai Suraqah bin Malik bin Ja’syam dan mendatangi orang musyrikin Quraisy ketika mana mereka mahu keluar ke medan Badar (Rujuk Aakam al-Marjan Fi Gharaib al-Akhbar wa Ahkam al-Jann 21).

Sheikh Sulaiman al-Asyqar menyebut bahawa kadang-kadang syaitan mendatangi manusia bukan dengan membisikkan perkara was-was akan tetapi ada satu ketika ia datang menyerupai manusia. Kita boleh dengar suara tapi tidak nampak tubuhnya. Ia juga boleh menyerupakan diri dengan bentuk-bentuk yang pelik (Rujuk Silsilah al-‘Akidah: Alam al-Shayatin Wa al-Jinn 91).

Al-Qadhi Abu Ya’la menyebut bahawa syaitan tidak ada kemampuan untuk merubah-ubah bentuk. Akan tetapi boleh jadi Allah ﷻ mengajarkan kepadanya beberapa perkataan dan perbuatan yang mana jika ia dilakukan atau disebutkan maka akan mengubah bentuknya kepada bentuk yang lain atau menyerupakan dirinya dengan sesuatu yang berbeza (Rujuk Aakam al-Marjan Fi Gharaib al-Akhbar Wa Ahkam al-Jann 21 – 22).

Walaupun syaitan dan jin boleh merubah-ubah bentuk atau merupakan diri mereka dengan sesuatu bentuk yang asing akan tetapi satu perkara yang perlu diingat bahawa penyerupaan tersebut tidak mampu langsung untuk memberikan mudarat kepada kita. Mudarat atau manfaat kesemuanya datang daripada Allah ﷻ. Jin atau syaitan yang menjadi ‘hantu” tidak akan sesekali mampu memberi mudarat apatah lagi mencederakan atau membunuh manusia.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan sabdaan Nabi ﷺ ketika mana Nabi ﷺ menyebut:

لا غُولَ

“Tiada Ghul;”

Riwayat Abu Daud 1536

Al-Khattabi ketika mensyarahkan hadis ini beliau menyatakan bahawa hadis ini bukan menafikan kewujudan mereka dan penyerupaan bentuk akan tetapi hadis ini ingin menafikan kebolehan mereka yang boleh menyesatkan dan memberikan mudarat kepada manusia. Jangan takut kepada mereka kerana mereka tidak akan mampu buat apa-apa tanpa izin Allah ﷻ. Beliau juga menyatakan bahawa Ghilan adalah tukang sihir dari kalangan jin (Rujuk Ma’alim al-Sunan Fi Syarh al-Sunan 4/234).

Kesimpulannya, hantu-hantu yang digambarkan oleh masyarakat kita seperti pontianak, langsuir, pocong dan lain-lain pada hakikatnya adalah penyerupaan yang dilakukan oleh jin dan syaitan untuk menakut-nakutkan manusia. Ia bukannya berasal dari roh orang mati sepertimana yang dipercayai oleh sebahagian masyarakat kita. Di samping itu, kita tidak dibenarkan untuk menokok tambah atau berlebihan dalam perkara yang melibatkan alam ghaib. Berhentilah mempercayai khurafat atau tahyul yang sering berlegar di dalam masyarakat. Semoga Allah ﷻ memelihara akidah kita daripada dicemari syirik dan khurafat.

Al-Afkar 85

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir