Your cart is currently empty!
Hati menjadi tenteram dengan mengingat Allah ﷻ
بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
الَّذينَ آمَنوا وَتَطمَئِنُّ قُلوبُهُم بِذِكرِ اللهِ ۗ أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ
Al-lażīna āmanū wa taṭma’innu qulūbuhum biżikrillāh(i), alā biżikrillāhi taṭma’innul-qulūb(u).
“(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”
Surah ar-Ra’d Ayat 28
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir
الَّذينَ آمَنوا
“(iaitu) orang-orang yang beriman”
Itulah mereka yang mahu beriman kepada Allah ﷻ. Iaitu beriman dengan fahaman tauhid. Dan fahaman tauhid ini kenalah menolak syirik. Kalau tolak syirik barulah iman itu sempurna. Kerana kalau beriman sahaja, tapi dalam masa yang sama masih lagi ada fahaman dan amalan syirik, ini bukan ‘iman yang sempurna’. Oleh itu, kena belajar apakah yang dimaksudkan dengan syirik.
وَتَطمَئِنُّ قُلوبُهُم بِذِكرِ اللهِ
“dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah.”
Satu lagi sifat mereka, hati mereka menjadi tenang dengan ingat kepada Allah ﷻ. ‘Zikir’ yang dimaksudkan adalah fahaman tauhid yang diambil melalui kitab wahyu. Inilah yang dinamakan ‘zikir tauhid’.
Iaitu kita ingat kepada Allah ﷻ, dalam kita kenal Allah dalam fahaman ‘tauhid’. Kita kena kenal Allah ﷻ dalam faham tauhid. Dan cara untuk mengetahui peraka ini dengan paling sempurna adalah dengan mempelajari dan memahami tafsir Qur’an.
Sebelum ini telah disebut bagaimana orang yang tidak beriman itu bergembira dengan kehidupan dunia (فَرِحوا). Tapi kalau فَرِح, ia adalah kegembiran yang sekejap sahaja. Tapi apabila digunakan kalimah تَطمَئِنُّ, ia adalah perasaan yang tenang yang lebih kekal.
أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ
“Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”
Memang dengan mengingati Allah ﷻ, hati akan menjadi tenang. Dalam perkara ini, ada penyelesaian kepada masalah psikologi. Kita manusia selalu sahaja ada masalah dan kadang-kadang manusia menggunakan cara yang tidak baik untuk menghilangkan masalah psikologi mereka – ada yang minum arak, ada yang pukul orang, ada yang berbuat zalim kepada orang dan macam-macam lagi perkara yang menjahanamkan diri mereka.
Tapi dalam ayat ini, kita diajar dengan satu solusi yang hebat – dengan mengingati Allah ﷻ. Oleh itu, kalau ada masalah emosi, kita kena ingat kepada Allah ﷻ. Iaitu melalui cara-cara dan pemahaman yang diajar melalui kitab Allah ﷻ. Ini penting untuk dijelaskan kerana orang buat syirik pun ada zikir kepada Allah ﷻ juga.
Sebagai contoh, ahli tarekat ramai yang berzikir kepada Allah dan mereka kata mereka sentiasa ingat Allah ﷻ. Tapi ianya tidak sama kerana mereka tidak ingat Allah ﷻ dalam bentuk tauhid. Begitu juga orang kafir pun ada zikir juga, tapi yang mereka amalkan adalah zikir syirik, oleh itu tidak ada hasil seperti yang dikehendaki.
Leave a Reply