Your cart is currently empty!
Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan
بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
إِنَّ مَعَ العُسرِ يُسرًا
Inna ma‘al-‘usri yusrā(n).
“Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.”
Surah Ash-Sharh Ayat 6
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir
Allah ﷻ ulang sekali lagi.
Kenapa ada pengulangan? Pengulangan ayat keenam yang sama dengan ayat kelima ini adalah kerana Allah ﷻ hendak menunjukkan Allah ﷻ sayangkan kita. Bukankah kalau kita pujuk orang lain, kita akan cakap dua kali? Oleh itu, kita boleh lihat ayat ini bagaimana Allah ﷻ memujuk dua kali kepada Rasulullah ﷺ.
Dari segi bahasa, apabila diulang sekali lagi ia membawa maksud: sekali susah, dua kesenangan. Ini kerana ال merujuk kepada kesusahan yang sama, tapi يُسرًا dalam bentuk nakirah itu, adalah kesenangan yang berlainan – oleh itu, العُسرِ dalam ayat 5 dan 6 adalah kesusahan yang sama, tapi kalimah يُسرًا dalam ayat 5 dan 6 itu bukan kesenangan yang sama.
Jadi apabila ada satu susah, ada bersamanya dua kesenangan. Begitulah dalam hal agama, kalau ada satu perbuatan atau hukum yang susah, ada dua kebaikan dan kesenangan. Maknanya, dalam hal agama ini, lebih banyak yang mudah dari yang susah. Maka janganlah kita pula yang susahkan agama. Ramai dalam kalangan masyarakat kita yang senang-senang sahaja susahkan ajaran agama ini kepada manusia.
Mereka ada yang reka hukum-hukum yang susah dalam agama, sedangkan amalan agama ini senang sahaja. Sebagai contoh, ada guru yang ajar, kalau istinjak selepas buang air besar, sampai kena jolok lubang dubur – ini adalah tambahan dalam agama dan tidak patut dilakukan. Agama tidaklah menyusahkan sampai begitu sekali.
Ayat ini juga hendak mengatakan bahawa apabila kita mengalami kesukaran dalam hidup, maka bersabarlah. Kerana akan datang bersamanya dua kali senang. Ingatlah kisah Nabi Ayyub yang berada bersama kesusahan. Tapi baginda bersabar dan baginda mendapat kesenangan selepas itu.
Ada satu pendapat yang mengatakan apabila ada pengulangan, itu bermaksud satu untuk masa lalu dan yang satu lagi untuk masa hadapan. Jadi masa yang lalu pun ada mudah yang banyak dan di masa hadapan pun nanti akan ada masa hadapan yang mudah. Tapi mungkin kita sahaja tidak perasan.
Ia juga boleh bermaksud, satu kesenangan untuk dunia dan satu lagi untuk akhirat. Jadi di dunia senang dan di akhirat nanti pun ada kesenangan.
Leave a Reply