Your cart is currently empty!
Doa Nabi Syuaib berserah keputusan
بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
رَبَّنَا افتَح بَينَنا وَبَينَ قَومِنا بِالحَقِّ وَأَنتَ خَيرُ الفٰتِحينَ
rabbanaftaḥ bainanā wa baina qauminā bil-ḥaqqi wa anta khairul-fātiḥīn(a).
“Wahai Tuhan kami, buatlah keputusan antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik Hakim.”
Surah al-A’raf Ayat 89
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir
قَدِ افتَرَينا عَلَى اللَّهِ كَذِبًا إِن عُدنا في مِلَّتِكُم بَعدَ إِذ نَجّٰنَا اللَّهُ مِنها ۚ وَما يَكونُ لَنا أَن نَّعودَ فيها إِلّا أَن يَشاءَ اللَّهُ رَبُّنا ۚ وَسِعَ رَبُّنا كُلَّ شَيءٍ عِلمًا ۚ عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلنا ۚ رَبَّنَا افتَح بَينَنا وَبَينَ قَومِنا بِالحَقِّ وَأَنتَ خَيرُ الفٰتِحينَ
“Sesungguhnya kami mereka-reka dusta terhadap Allah, jika kami kembali kepada ugama kamu sesudah Allah menyelamatkan kami daripadanya. Dan tidaklah kami kembali kepadanya sama sekali, kecuali jika Allah Tuhan kami, menghendakinya. Pengetahuan Tuhan kami meliputi akan tiap-tiap sesuatu. Kepada Allah jualah kami bertawakal. Wahai Tuhan kami, buatlah keputusan antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik Hakim”.
قَدِ افتَرَينا عَلَى اللَّهِ كَذِبًا إِن عُدنا في مِلَّتِكُم بَعدَ إِذ نَجّٰنَا اللَّهُ مِنها
“Sesungguhnya kami mereka-reka dusta terhadap Allah, jika kami kembali kepada agama kamu sesudah Allah menyelamatkan kami daripadanya.”
Kalimah افتَرَينا berasa daripada kata dasar ف ر ع yang antara lain bermaksud menipu. Ia sama maksud dengan كذب. Nabi Syuaib عليه السلام berkata, sekiranya mereka kembali kepada agama yang sesat itu, maka mereka telah melakukan pembohongan atas nama Allah ﷻ. Sedangkan Allah ﷻ telah menyelamatkan mereka daripada ajaran sesat itu. Berbohong atas nama Allah ﷻ adalah satu dosa yang besar. Ia adalah perbuatan yang paling zalim seperti disebut dalam (Zumar 32) dan ayat-ayat lain.
فَمَن أَظلَمُ مِمَّن كَذَبَ عَلَى اللهِ
“Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah.”
Sebagaimana kita juga, takkan mahu kembali kepada amalan bid’ah dan syirik yang dulu kita amalkan. Takkan kita sanggup berdusta mengatakan perkara itu Allah ﷻ suka sedangkan tidak ada dalil baginya? Kalau kita kata ia perkara ‘baik’, maka kita sudah berdusta atas nama Allah ﷻ, bukan? Kita yang sudah belajar agama, sudah kenal wahyu, sudah tahu mana yang benar dan mana yang salah. Maka, kalau kembali juga buat amalan sesat itu, tentulah itu kesalahan yang amat berat sekali.
Maka Allah ﷻ telah selamatkan Nabi Syuaib عليه السلام dan para pengikutnya yang bermaksud kebenaran telah dimasukkan ke dalam hati mereka. Inilah penyelamatan yang paling penting. Jika Allah ﷻ selamatkan kita daripada syirik dan bid’ah, maka inilah nikmat yang amat besar. Untuk zaman sekarang, diselamatkan ini dengan menerima ajaran Sunnah. Bukannya keselamatan fizikal yang lebih besar, tetapi keselamatan dalam agamalah yang kita paling kita perlukan.
Disebabkan tidak faham perkara inilah, ramai dalam kalangan kita mengadakan Majlis Doa Selamat (juga dipanggil Selamatan) kerana berharap diri mereka dan fizikal mereka diselamatkan (sebagai contoh hendak pergi buat Haji). Namun mereka tidak perasan yang mereka lakukan itu adalah amalan bid’ah yang tidak pernah dibuat Rasulullah ﷺ dan para sahabat baginda. Mereka berdoa meminta selamat dengan cara yang tidak selamat. Tidak ada majlis khusus untuk melakukan doa dalam agama. Sekiranya ia adalah baik, sudah tentulah ia telah dilakukan lama dahulu oleh golongan yang lebih baik daripada kita (golongan salafussoleh).
وَما يَكونُ لَنا أَن نَّعودَ فيها إِلّا أَن يَشاءَ اللَّهُ رَبُّنا
“Dan tidaklah patut kami kembali kepadanya sama sekali, kecuali jika Allah Tuhan kami, menghendakinya.”
Tidak patut bagi kita kembali kepada ajaran sesat melainkan Tuhan yang kehendaki. Nabi Syuaib عليه السلام tidak akan mahu mengikuti agama sesat mereka kecualilah kalau Allah ﷻ takdirkan millah mereka itu adalah millah Islam, maka waktu itu tentulah mereka akan bersama dengan kaum mereka itu. Entah mungkin mereka menerima dakwah baginda, barulah baginda akan sertai millah mereka.
Allah ﷻ tidak akan mengembalikan mereka kepada amalan agama kaum mereka yang sesat. Maksud Nabi Syuaib عليه السلام dalam ayat ini, mereka akan ikut agama kaum mereka, kalau kaum mereka itu sendiri yang masuk Islam dan mengamalkan millah yang sebenar. Barulah mereka akan sama-sama berada dalam agama yang sama.
Atau, Nabi Syuaib عليه السلام serahkan kepada Allah ﷻ dengan mengatakan إِلّا أَن يَشاءَ اللَّهُ رَبُّنا (kecuali jika Allah Tuhan kami, menghendakinya). Ini adalah kata-kata berlapik daripada baginda kerana memang baginda tidak hingin ikut agama sesat akan tetapi baginda sedar yang semuanya di tangan Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh takdirkan orang beriman dan Allah ﷻ boleh takdir seseorang itu menjadi sesat (walaupun setelah beriman). Berapa ramai yang asalnya beriman, namun Allah ﷻ merubah hatinya menjadi sesat? Kerana itu kita memang mestilah benar-benar menjaga hati dan iman kita kerana takut Allah ﷻ boleh palingkan.
وَسِعَ رَبُّنا كُلَّ شَيءٍ عِلمًا
“Pengetahuan Tuhan kami meliputi akan tiap-tiap sesuatu.”
Sedangkan ilmu Tuhan meliputi segala sesuatu. Maka kenalah ikut apa yang Allah ﷻ suruh kita buat. Ilmu Allah ﷻ yang luas itu tidak ada satu pun yang menyuruh berbuat syirik kepada-Nya.
Ilmu Allah ﷻ terlalu luas sehinggakan Allah ﷻ tahu apa yang kita akan buat. Allah ﷻ sahaja tahu sama ada kita akan terus beriman atau tidak. Jangan kita yakin sangat yang kita pasti terus beriman kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan. Ilmu Allah ﷻ meliputi yang telah lepas, sekarang dan masa hadapan.
عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلنا
“Kepada Allah jualah kami bertawakal.”
Apa sahaja ancaman daripada puak kufur itu, kepada-Nya kita bertawakal. Serahkan sahaja kepada Allah ﷻ apa yang akan terjadi. Oleh itu, di dalam kita berdakwah di jalan Allah ﷻ ini, kita mestilah serahkan kepada Allah ﷻ segala urusan kita dan keputusan yang Dia hendak tentukan. Kita hanya boleh sampaikan sahaja.
Kita serahkan kepada Allah ﷻ tentang iman kita. Kita berharap semoga Allah ﷻ menjaga iman kita dan dikekalkan iman kita sehingga kita mati dalam Islam. Namun jangan lupa yang syarat tawakal adalah mesti ada usaha. Bukan goyang kaki dan berharap sahaja. Kena ada usaha untuk menjaga iman kita. Jangan lupa berdoa dan jangan lupa tingkatkan iman. Sebab itu ada doa Nabi ajar supaya minta dikekalkan di dalam iman ini.
Iman ini turun dan naik. Sekiranya kita sedar yang ia turun, maka kenalah buat sesuatu untuk menaikkannya kembali. Antaranya dengan menghadiri majlis ilmu. Jangan terus biarkan diri duduk di dalam kelemahan iman. Pernah rasakan iman sedang turun?
Dalam kehidupan kita, kena banyak tawakal dan ingat kepada Allah ﷻ. Namun ramai yang tidak faham maksud tawakal. Antara perkara yang manusia salah faham tentang tawakal adalah mereka serahkan keputusan kepada Allah ﷻ, tetapi apabila keputusan itu tidak seperti yang mereka kehendaki, mereka marah pula dan tidak puas hati. Tawakal mereka menjadi tidak lengkap. Maka, ringkasnya tawakal itu mestilah ada usaha, serahkan kepada Allah ﷻ apa yang akan jadi, dan apa sahaja ketentuan daripada Allah ﷻ, terima sahaja.
رَبَّنَا افتَح بَينَنا وَبَينَ قَومِنا بِالحَقِّ
“Wahai Tuhan kami, buatlah keputusan antara kami dan kaum kami dengan kebenaran”
Ini adalah doa baginda: “Berilah keputusan antara kami dan kaum kami dengan keputusan yang benar”. Baginda minta keputusan terus daripada Allah ﷻ untuk menyelesaikan pergeseran fahaman antara baginda dan puak yang menentang itu. Kerana itulah juga ‘qadhi’ (hakim) juga digelar ‘fatih’ kerana mereka juga membuat keputusan. Inilah maksudnya menyerahkan kepada Allah ﷻ segala keputusan, apa yang Allah ﷻ akan tetapkan. Nabi Syuaib عليه السلام berdoa kepada Allah ﷻ untuk membantu baginda dan orang yang beriman dalam ayat ini.
Ada ulama’ tafsir berpendapat yang maksud doa baginda ini sebenarnya meminta azab diturunkan kepada kaumnya yang menentang itu kerana baginda sudah nampak tidak ada jalan lagi dengan puaknya yang menentang itu. Ini kerana kalimah yang digunakan adalah افتَح daripada katadasar ف ت ح yang bermaksud ‘buka’. Yang baginda minta adalah dibukakan pintu dakwah yang telah ditutup oleh penentang baginda dalam kalangan pembesar negeri.
Maka untuk buka balik, mereka itu hendaklah dihapuskan dan untuk menghapuskan mereka, pemusnahan itu adalah menyeluruh dikenakan kepada semua yang tidak beriman. Maknanya selepas mereka dimusnahkan nanti, baru dakwah dimulakan dengan puak yang baru yang tidak ada rekod menentang lagi.
وَأَنتَ خَيرُ الفٰتِحينَ
“Engkau jualah sebaik-baik Pembuat keputusan”.
Kita hendaklah serahkan keputusan kepada Allah ﷻ dan redha dengan apa yang Allah ﷻ tetapkan kerana sesungguhnya Allah ﷻ yang sebaik-baik Pembuat keputusan. Apa sahaja yang Dia tentukan, kita kena yakin yang itu adalah untuk kebaikan.
Leave a Reply