Manfaat membaca بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ

Apakah faedah membaca ‘بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ’ sebab saya pernah dengar, ramai orang membaca doa atau zikir ini?

Jawapan

Doa ini diriwayatkan oleh Uthman bin Affan. Beliau berkata: “Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ قَالَ بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ، فِي الْأَرْضِ، وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ، حَتَّى يُصْبِحَ، وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ

“Sesiapa yang membaca بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (“Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”) sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga subuh. Dan barangsiapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).”

Riwayat Abu Daud 5088, al-Tirmizi 3388, Ibn Majah 3869, al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra 10178 dan Ahmad 446. Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’uth, hadith ini adalah hasan.

Di dalam hadis ini dinyatakan akan kelebihan orang yang membaca doa ini pada awal siang hari dan awal malam hari. Doa tersebut dimulakan dengan menyebut nama Allah ﷻ bagi memohon perlindungan-Nya daripada segala keburukan yang mana tidak akan memberi mudarat sesuatu pun dengan nama Allah ﷻ apabila ia diucapkan dengan pegangan yang betul dan niat yang ikhlas. Adapun, kita bukan sahaja memohon perlindungan daripada keburukan di muka bumi sahaja, bahkan juga keburukan dari langit iaitu apa-apa yang turun dari langit. Tambahan pula, Allah ﷻ bersifat Maha mendengar akan ucapan-ucapan kita dan Allah ﷻjuga bersifat Maha Mengetahui akan keadaan kita (Lihat Tuhfah al-Ahwazi 9/234).

Di samping itu juga, tidak memberi mudharat dengan nama-Nya di dalam doa ini juga membawa maksud bahawa penduduk bumi berada di dalam keadaan aman dan selamat disebabkan keberkatan nama Allah ﷻ serta keterikatan dengan-Nya. Samalah keadaannya kepada penduduk di langit bilamana mereka melazimi nama Allah ﷻ dalam setiap perkara (Lihat Syarh Hisn al-Muslim 149, lihat juga Irsyad al-Hadith Siri 463).

Sebagai seorang Islam, kita wajib imani bahawa taqdir Ilahi melalui qadha’ dan qadar-Nya adalah segala-galanya. Justeru, Allah ﷻ boleh melakukan apa sahaja. Apa-apa yang terkena kepada kita, tidak akan berlaku tanpa izin-Nya dan ketentuan dari-Nya. Benarlah firman Allah ﷻ:

قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami.”

Surah al-Taubah Ayat 51

Semoga kita sentiasa dikurniakan Allah ﷻ kebaikan dalam hidup dan mampu melaksanakan ketaatan kepada-Nya. Aamiin.

Al-Bakri 1232

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir