Your cart is currently empty!
Ayat perangsang selera
بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
وَلَكُم فيها ما تَشتَهي أَنفُسُكُم وَلَكُم فيها ما تَدَّعونَ
Wa lakum fīhā mā tasytahī anfusukum wa lakum fīhā mā tadda‘ūn(a).
“Serta kamu akan beroleh pada hari itu apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.”
Surah Fussilat Ayat 31
Tafsir
Ini adalah tentang orang yang baik dan rapat dengan tauhid dan Al-Qur’an. Jika kita begitu, Allah ﷻ akan takdirkan malaikat suka dengan kita dan duduk rapat dengan kita.
Yang jauh dari Allah ﷻ dan tidak taat, malaikat tak suka duduk dekat dan syaitan yang akan rapat. Biar malaikat tiada, maka jin syaitan akan ambil peluang untuk rapat dengan kita. Maka manusia kena ikhtiar buat perkara yang malaikat suka. Contohnya, kena selalu duduk di Masjid.
نَحنُ أَولِياؤُكُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَفِي الآخِرَةِ ۖ وَلَكُم فيها ما تَشتَهي أَنفُسُكُم وَلَكُم فيها ما تَدَّعونَ
“Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh pada hari akhirat apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh pada hari itu apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.”
نَحْنُ أَوْلِيَاؤُكُمْ فِي الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا
“Kamilah yang menjaga kamu dulu semasa kamu hidup di dunia.”
Ini adalah kata-kata para malaikat yang menyambut ahli syurga itu.
Lafaz أَوْلِيَاؤُكُمْ datang dari kata asal ‘wali’. Wali adalah mereka yang kita boleh harapkan, yang kita boleh percaya, yang mahu membantu kita, yang rapat dengan kita. Merekalah yang menjadi teman dan sahabat setia kepada orang mukmin semasa di dunia dulu.
Ayat ini menguatkan lagi pendapat yang mengatakan bahawa malaikat-malaikat juga berdamping dengan manusia semasa hidup di dunia lagi, bukan hanya semasa hendak mati dan selepas mati. Mereka itulah yang gerak kita bangun dari tidur sambil bisikkan kepada kita supaya bangun solat.
Mereka jugalah yang beri kita mimpi-mimpi yang baik. Juga beri ilham yang baik-baik. Mereka itu juga memberikan sokongan kepada kita sampai kita rasa yakin dan teguh dalam menghadapi segala kemungkinan apa jua pun.
Dalam masa yang sama, syaitan pun boleh buat begitu juga. Maka, ada bisikan baik dan dan ada bisikan jahat. Hari-hari malaikat dan syaitan akan membisikkan kepada kita. Keduanya berusaha untuk membisikkan kepada kita dan ambil perhatian kita. Dan mana yang kita dengar itu bergantung kepada diri kita dan amalan kita.
Kalau amalan kita baik, maka malaikatlah yang akan berdamping dengan kita. Begitu juga, kalau amalan kita adalah amalan bidaah dan syirik, yang akan berdamping dengan kita adalah syaitan.
Malaikat-malaikat itulah juga yang menghalau syaitan-syaitan itu dari kacau kita. Kalau malaikat yang berdamping dengan kita, tidaklah berani syaitan nak datang dekat.
Maka, kenalah buat amalan yang menyebabkan malaikat datang dekat. Itulah amalan-amalan tauhid dan sunnah. Jangan buat amalan bidaah, kerana syaitan suka amalan yang bidaah. Bila kita buat amalan bidaah, syaitan akan duduk dekat sekali dengan kita.
Orang kita selalu takut dengan jin, bukan? Maka, kalau malaikat sentiasa bersama kita, nak takut apa lagi? Tentu jin akan takut untuk kacau kita dan ganggu kita.
وَفِي الْآخِرَةِ
“dan di akhirat”
Di akhirat kelak pun mereka akan jadi penjaga ahli tauhid dan ahli syurga itu. Kita memerlukan bantuan dan teman dari kalangan malaikat di dunia dan juga di akhirat. Itulah teman yang baik. Waktu itu, selain dari malaikat sudah tinggalkan kita.
Ada penekanan dalam ayat ini kerana Allah ﷻ ulang perkataan فِي dalam ayat ini, walaupun dari segi bahasa Arab, tidak perlu. Allah ﷻ boleh sebut: نَحنُ أَولِياؤُكُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَالآخِرَةِ dan ia membawa makna yang sama. Kalau tiada pun kita sudah faham bahawa malaikat-malaikat itu akan jadi wali kita di dunia dan akhirat.
Tapi, kalau Allah ﷻ ulang perkataan فِي itu, maka, ianya adalah kerana nak tekankan kepentingan dunia dan kepentingan akhirat.
Malaikatlah pendamping manusia yang beriman itu yang menemani mereka semasa mereka bersendirian dalam kubur, ketika tiupan sangkakala, memberikan khabar keamanan pada hari kebangkitan dan perhimpunan serta akan membawa mereka melintasi Titian Sirat dan menyampaikan mereka ke dalam syurga.
Semoga kita semua diberikan bantuan yang amat diperlukan ini nanti, in sha Allah. Tapi, untuk mendapatkannya, kenalah amalan ajaran tauhid yang benar. Kena ambil ajaran tauhid dari Al-Qur’an, bukannya dari pengajaran Sifat 20.
وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنْفُسُكُمْ
“Dan bagi kamu dalam syurga itu, apa sahaja keinginan syahwat dirimu.”
Benda yang kita sudah tahu ada dalam syurga dan kita nampak ada dalam syurga, memang akan diberikan kepada kita. Itulah nikmat-nikmat yang tersedia ada dalam syurga yang tidak terkira banyaknya. Semuanya telah tersedia ada dalam syurga.
Ini adalah nikmat-nikmat yang berhubungan dengan jasmani. Umpamanya mahligai-mahligai dan istana, piala emas dan perak, layanan dari bidadari, tempat berteduh yang subur, taman-taman yang indah dan sebagainya.
Ada yang telah diberitahu kepada kita melalui ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi. Tapi banyak lagi yang tidak diberitahu kepada kita kerana akal fikiran kita tidak dapat memahaminya. Sampai di syurga baru tahu ada benda-benda itu. Itu pun kita akan dapat juga.
Perkataan تَشْتَهِي berasal dari perkataan ‘syahwat’, iaitu keinginan nafsu kita. Semasa kita di dunia, macam-macam keindahan dunia yang menarik minta dan nafsu kita, syahwat kita pun mahu, tapi kita yang beriman tahu bahawa ianya salah, maka kita tinggalkan, kita tak layan keinginan nafsu kita itu.
Bukan kita tak mahu, tapi kita tahu ianya salah. Seperti keinginan kita kepada lelaki atau perempuan, berehat, makan dengan banyak, wang dan kemewahan dan sebagainya. Itu adalah normal.
Maknanya, keinginan kita memang ada sebenarnya. Tapi kita sahaja yang tahan kerana kita tahu ianya salah. Oleh kerana itu kita tahan nafsu kita semasa di dunia, kerana kita tidak mahu sampai melakukan perkara yang dilarang. Oleh kerana kita tahan nafsu kita di dunia, Allah akan puaskan nafsu kita nanti di akhirat nanti.
Apa sahaja yang kita hendak, Allah ﷻ akan berikan kepada kita. Kerana kita telah tahan nafsu itu semasa di dunia kerana kita taat kepada Allah ﷻ. Jadi Allah ﷻ akan beri macam-macam di syurga nanti. Cakap sahaja hendak apa. Dan kalau tak cakap pun, kita akan dapat. Dalam hati teringin apa sahaja, akan diberikan.
Sebagai contoh, kita nampak burung sedang terbang, terdetik di hati kita untuk makan burung panggang, burung itu akan dipanggang untuk kita.
وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ
“dan bagi kamu di dalamnya, apa sahaja yang kamu minta.”
Iaitu benda-benda yang kita tak tahu pun yang ianya ada. Apabila dimasukkan ke dalam syurga, akan ditunjukkan kepada ahli syurga benda-benda yang dia tak tahu wujud pun dulu.
Ini pun ada dalam syurga, malah banyak lagi, kerana pengetahuan kita tentang alam ini amatlah sedikit – banyak lagi yang kita tidak tahu dari yang kita tahu. Selagi kita nampak dalam pandangan kita itu, semuanya adalah untuk kita. Semuanya berkhidmat untuk kita.
Semasa kita di dunia, berbagai-bagai perkara kita doa kepada Allah ﷻ. Tapi ada yang Allah ﷻ tidak berikan semasa di dunia. Segala apa yang kita doakan semasa di dunia itu, akan diberikan di akhirat kalau Allah ﷻ tidak berikan semasa kita di dunia dulu.
Sampaikan, ada riwayat yang mengatakan, apabila di akhirat nanti, ahli syurga akan lihat pemberian Allah ﷻ sebagai ganti atas doa mereka yang tidak dimakbulkan semasa mereka di dunia.
Bukan Allah ﷻ tidak dengar doa itu, cuma Allah ﷻ tak beri semasa di dunia. Allah ﷻ akan ganti dengan yang lain di syurga dan ganti itu terlebih baik dari apa yang mereka minta, sampaikan mereka berkata: “alangkah baiknya kalau doa kita semasa di dunia dulu tidak ada satu pun dimakbulkan, supaya kita akan mendapat gantinya di akhirat ini.” Kerana ganti yang di akhirat lebih baik lagi dari apa yang mereka doakan.
Begitulah nikmat kehidupan dalam syurga. Kita tidak dapat bayangkan. Apa yang kita tahu adalah maklumat-maklumat yang diberikan kepada kita dalam nas-nas Al-Qur’an dan hadis yang sahih.
Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa nikmat yang diberikan dalam potongan ayat ini adalah nikmat bersifat rohaniah. Dibandingkan dengan potongan ayat yang sebelumnya yang bersifat jasmaniah.
Oleh itu, nikmat yang akan diberikan kepada ahli syurga ada yang berbentuk jasmaniah dan ada yang berbentuk rohaniah.
Kemuncak nikmat yang bersifat rohaniah itu, pertamanya: mendapat keredhaan Allah ﷻ. Itu adalah satu nikmat yang amat besar sekali. Dan yang lebih tinggi lagi dari tu adalah: diberi kesempatan menghadap Allah ﷻ dan mengadap WajahNya dan ini adalah kemuncak kebahagiaan dalam syurga.
Kita amat berharap untuk dapat masuk syurga. Ada juga yang rasa mereka akan dapat masuk syurga kerana mereka sangka mereka sebagai orang Islam akan dapat syafaat dari Nabi ﷺ. Mari kita periksa kefahaman kita tentang syafaat ini. Kerana banyak orang salah faham tentang maksud syafaat ini.
Apabila kita di Mahsyar nanti, Nabi ﷺ boleh bagi syafaat dengan ‘batas-batasnya’. Nabi ﷺ akan diberikan izin untuk memberi syafaat kepada manusia selepas Nabi ﷺ sujud selama ’empat puluh’. Tak tahu ’empat puluh’ apa – empat puluh harikah, empat puluh bulankah atau empat puluh tahun.
Yang dimaksudkan dengan ‘batas’ itu adalah, Nabi ﷺ hanya boleh beri syafaat kepada mereka yang baginda boleh beri syafaat sahaja. Iaitu mereka yang tidak amalkan syirik. Kalau ada fahaman syirik, memang tidak ada harapan untuk dapat syafaat Nabi ﷺ.
Selepas beberapa lama, Nabi ﷺ sujud untuk syafaat kedua. Dikeluarkan mereka yang dalam neraka. Iaitu mereka yang kena duduk dalam neraka sebab ada dosa-dosa yang mereka telah lakukan. Seperti tinggal solat dan sebagainya. Maknanya kalau tidak ada syafaat Nabi ﷺ, tidak tahu berapa lama baru mereka akan dapat keluar dari neraka. Kerana tentulah banyak dosa-dosa kita.
Bayangkan pula dengan mereka yang curi, pernah melakukan zina dan sebagainya? Termasuk juga mereka yang tak pergi Haji kalau sudah layak pergi haji, dan banyak lagi dosa-dosa yang kita lakukan.
Maka, mereka yang beriman, tapi pernah melakukan dosa, amat memerlukan syafaat dari Nabi ﷺ. Apabila dikeluarkan sebahagian dari neraka, ada lagi tak keluar. Nabi ﷺ sujud lagi, dapat syafaat ketiga. Dikeluarkan dari neraka itu, orang-orang yang beriman yang nilai ibadat mereka lebih kecil dari zarah.
Semua akan dapat syafaat jikalau tidak buat syirik kepada Allah ﷻ. Kerana kalau ada buat syirik (dan tak bertaubat), tidak akan keluar sampai bila-bila. Jadi, kalau ada buat syirik, tidak ada harapan. Persoalannya, adakah semua orang Islam sudah tahu apakah syirik itu?
Kerana kita lihat ramai yang buat syirik tanpa mereka perasan kerana mereka tidak belajar apakah tauhid dan apakah syirik. Dan nak tahu syirik dan tauhid itu kena belajar tafsir. Tapi berapa ramai sahaja yang sudah belajar tafsir Al-Qur’an?
Tapi, amat banyak yang salah faham tentang syafaat ini. Ramai yang minta syafaat dari Nabi ﷺ sekarang. Ketahuilah bahawa kalau minta syafaat sekarang, tidak boleh. Yang minta syafaat dengan Nabi ﷺ, itu adalah amalan yang salah. Sebab Nabi ﷺ hanya akan dapat beri syafaat itu semasa di akhirat kelak.
Kita telah sebutkan bahawa Nabi ﷺ akan dibenarkan untuk beri syafaat selepas baginda sujud dan memuji Allah ﷻ selama ’empat puluh’. Bukannya Nabi ﷺ akan dengar permintaan kita sekarang kerana Nabi ﷺ telah wafat.
Kerana itu kalau nak minta sekarang pun, Nabi ﷺ tak dapat nak bantu kerana baginda sudah wafat pun. Bagaimana kita hendak minta sesuatu kepada orang yang telah mati? Bagaimana kita tahu yang Nabi ﷺ dengar permintaan kita itu? Adakah ada dalil yang mengatakan Nabi ﷺ dengar permintaan kita kepadanya?
Tidak ada dalil yang sahih yang mengatakan Nabi ﷺ suruh kita minta syafaat kepadanya sekarang. Dan tidak ada dalil yang mengatakan Nabi ﷺ apabila telah mati, dapat dengar permintaan kita. Yang kata Nabi ﷺ boleh dengar itu, hanyalah ‘agak-agak’ mereka sahaja. Janganlah kita faham agama ini dengan ‘agak-agak’ sahaja – kerana ada yang kata: “Takkan Allah ﷻ tak beri Nabi dengar permintaan kita, bukankah dia itu Nabi yang amat mulia?”.
Itu adalah kata-kata hujah yang bukan dari nas yang sahih – maka ianya langsung tidak boleh dipegang sebagai hujah.
Jadi kita kenalah bertaubat dari apa kesalahan yang kita sudah buat. Sama ada dosa kecil, dosa besar, atau dosa syirik pun. Kerana kita mungkin pernah buat dosa syirik dahulu kerana kita tidak tahu. Supaya kita dapat syafaat dari Nabi Muhammad ﷺ nanti.
Dan kenalah belajar tafsir Al-Qur’an dari guru yang benar. Kerana selepas belajar tafsir, baru tahu bahawa ada perbuatan yang kita buat dulu, sebenarnya perbuatan syirik yang kita tak sedar. Maka, perbuatan dahulu yang salah itu kita minta ampun kepada Allah ﷻ kerana kita tak tahu.
Bagaimana pula kalau kita tahu yang kita pernah buat syirik? Kita hanya perlu minta ampun kepada Allah ﷻ dengan ikhlas sahaja. Itulah syariat yang telah diajar kepada kita. Lain dengan umat lain yang dahulu dari kita.
Macam kalau umat Nabi Musa dulu, untuk bertaubat, kawan kena bunuh kawan sendiri, kena bunuh dirilah kiranya, baru diterima taubat itu. Sedangkan kita hanya kena taubat dengan hati sahaja.
Itulah salah satu dari rahmat Allah ﷻ kepada kita. Bayangkan kalau kena bunuh diri baru diterima taubat syirik itu, entah berapa kerat sahaja orang kita yang tinggal?
نُزُلًا مِّن غَفورٍ رَّحيمٍ
Nuzulam min gafūrir raḥīm(in).
“(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!”
Surah Fussilat Ayat 32
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir
نُزُلًا
“Sebagai satu hidangan tetamu;”
Hidangan adalah satu cara menghormati tetamu yang datang. Dari dulu sampai sekarang, beginilah yang kita akan buat. Kalau orang datang rumah kita, makanan pun sudah bukan makanan biasa yang kita makan hari-hari, tapi kita akan hidangkan makanan yang istimewa, bukan?
Begitulah Allah ﷻ beritahu yang layanan Allah ﷻ bukanlah layanan biasa, tetapi layanan melayan tetamu. Semakin besar dan tinggi kedudukan tetamu itu, semakin hebat hidangan yang akan diberikan kepadanya.
Bergantung juga kepada mereka yang menyambut itu. Tidak sama kalau kita pergi ke rumah orang miskin dan orang kaya. Orang miskin akan layan juga kita, tapi terhadlah apa yang mereka boleh beri kepada kita. Kalau tuan rumah itu adalah orang kaya, maka jamuannya tentu lebih hebat lagi. Kalau ke istana Raja, tentulah lagi hebat, bukan?
Bagaimana pula kalau kita tetamu Allah ﷻ? Dan kita pula adalah mereka yang beriman dan tetap istiqamah dalam memegang syariat yang telah ditetapkanNya? Bagaimana agaknya jamuan yang akan kita dapat itu? Tidak terbayang dalam akal fikiran kita yang cetek ini.
Apakah maksud نُزُلًا? Ianya adalah ‘pembuka selera’. Kerana perkataan itu bermaksud dari segi bahasa adalah ‘tetamu yang baru turun.’ Apabila sudah sampai, sudah duduk sekejap, itu bermaksud dia sudah jadi ‘tetamu’, bukan lagi نُزُلًا. Lalu apa yang kita berikan kepada tetamu kita yang baru sampai?
Kita akan berikan minuman ringan dan makanan ringan dahulu. Bagi air sirapkah, bagi kacang dulukah – iaitu makanan yang ringan-ringan sahaja dulu, sebab dia baru sampai, belum masuk bilik tetamu lagi, belum mandi dan bersiap lagi. Lepas semua sudah siap sedia, barulah akan bagi makan nasi ayamkah, briyani kambingkah dan sebagainya – maksudnya makanan utama.
Oleh itu, apa yang telah disebutkan sebelum ini hanya sebagai ‘pembuka selera’ sahaja. Sesuatu yang diberikan sebelum ‘main course’ diberikan. Sesuatu yang hebat tapi masih sebagai ‘pembuka selera’ sahaja. Apa yang Allah ﷻ akan berikan selepas itu adalah lebih baik lagi, sampai tidak boleh disebut kerana akal manusia yang lemah tidak akan dapat faham.
مِّنْ غَفُورٍ
“daripada Dzat yang maha mengampun,”
Allah ﷻ menyebut sifatNya dalam ayat ini. Allah ﷻ telah memberi ampun kepada ahli syurga supaya mereka dapat masuk syurga. Memang kita sebagai manusia, tentunya banyak kesilapan dan dosa yang kita telah lakukan. Tapi kerana Allah ﷻ ampunkan, maka dapatlah kita masuk ke dalam syurga.
Maka, kita mungkin tertanya-tanya adakah kita layak masuk syurga Allah ﷻ yang hebat itu? Maka dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu kepada kita bahawa Dia adalah Maha mengampun. Segala dosa yang kita lakukan itu Allah ﷻ boleh ampunkan, kalau Allah ﷻ mahu. Maka, hendaklah kita selalu minta ampun dan bertaubat kepada Allah ﷻ.
رَّحِيمٍ
“Yang amat belas kasihan.”
Allah ﷻ tak sanggup melihat makhlukNya yang beriman itu kena azab di neraka. Ketahuilah bahawa Allah ﷻ amat sayangkan makhlukNya yang beriman dan mengamalkan tauhid. Seperti seorang emak sayangkan anak dia, malah Allah ﷻ lebih sayang lagi sebanyak 70 kali ganda.
Bayangkan seorang emak itu tak sanggup nak tengok anak dia masuk penjara walaupun dia tahu anaknya itu seorang yang jahat. Maka, takkan Allah ﷻ sanggup nak masukkan makhlukNya yang Dia sayang itu ke dalam neraka. Kerana Dia sayang kepada makhlukNya lah yang Dia letak sifatNya yang maha pengampun. Supaya tak masuk dalam neraka dan sebaliknya
Dia akan masukkan ke dalam syurga dan diberikan segala nikmat dalam syurga itu. Tapi, nikmat di syurga itu hanyalah kepada mereka yang beriman.
Surah Fussilat Ayat 31 – 32
Leave a Reply