Ayat pendinding dari sihir

بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

وَاللَهُ أَشَدُّ بَأْسًا وَأَشَدُّ تَنكِيلً

Wallāhu asyaddu ba’saw wa asyaddu tankīlā(n).

“Dan (ingatlah) Allah Amatlah besar kekuatanNya dan Amatlah berat azab seksaNya.”

Surah an-Nisa Ayat 84

Tafsir

Ini adalah ayat targhib kepada jihad. Ayat ini ditujukan kepada pemerintah sebab ayat ini asalnya ditujukan kepada Nabi dan Nabi adalah pemerintah umat Islam semasa hayat baginda.

Maka sekarang tidak ada Nabi, maka ianya jatuh kepada pemerintah. Jadi ini adalah seruan supaya buang perasaan takut mati dalam perjuangan sabilillah.

فَقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِِِ لَا تُكَلَّفُ إِلَّا نَفْسَكَ وَحَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَ عَسَى اللَهُ أَن يَكُفَّ بَأْسَ الَّذِينَ كَفَرُوا وَاللَهُ أَشَدُّ بَأْسًا وَأَشَدُّ تَنكِيلًا

“Oleh itu, berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah (untuk membela Islam dari pencerobohan musuh); engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri. Dan berilah peransang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut berjuang dengan gagah berani). Mudah-mudahan Allah menahan bahaya serangan orang-orang yang kafir itu. Dan (ingatlah) Allah Amatlah besar kekuatanNya dan Amatlah berat azab seksaNya.”

فَقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ

“Oleh itu, berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah”

Ayat ini adalah targhib kepada kita. Pemerintah Islam kena bersiap sedia untuk menjalankan jihad qital. Seorang pemimpin kena ada jiwa untuk memerangi orang kafir.

Asal suruhan jihad ini asalnya ditujukan kepada Nabi ﷺ. Ini adalah kerana Nabi Muhammad ﷺ yang diwajibkan untuk berperang dan tidak diwajibkan lagi kepada umat Islam yang lain pada masa ayat ini diturunkan.

لَا تُكَلَّفُ إِلَّا نَفْسَكَ

“engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri.”

Apa-apa sahaja suruhan dari Allah ﷻ kepada manusia adalah tanggungjawab yang mampu ditanggung oleh mereka yang disuruh. Allah ﷻ tidak memberati hambaNya melebihi dari kemampuan hambaNya.

Allah ﷻ wajibkan Nabi ﷺ untuk berjihad. Jangan hirau mereka yang tidak mahu berjihad. Kalau baginda kena pergi sendiri, maka tetap kena pergi sendiri.

وَحَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَ

“Dan berilah peransang kepada orang-orang yang beriman”

Kena beri semangat kepada orang mukmin lain untuk berperang di jalan Allah ﷻ. Kalimah حَرِّضِ adalah dari kata dasar ح ر ض yang bermaksud merangsang, mendesak, menghasut seseorang, membangkitkan seseorang untuk bersemangat atau untuk melawan, berusaha secara berterusan atau tekun untuk bekerja, merosakkan atau mencacatkan atau memusnahkan diri sendiri atau jiwa sendiri. Jadi kalimah حَرَضَ bermaksud memujuk dalam satu hal yang sekiranya tidak dilakukan akan menyebabkan kematian dan kehancuran. Jadi ia adalah satu yang amat penting. Maka seorang pemimpin kena bagi dorongan kepada rakyatnya untuk turut sama berjihad. Ini adalah kerana jihad qital tidak wajib atas mereka pada waktu ayat ini diturunkan.

Banyaklah hadis-hadis dari Nabi tentang kelebihan jihad ini. Antaranya:

Dari Qatadah yang berkata: Saya mendengar Anas bin Malik menyampaikan dari Nabi ﷺ yang bersabda: “Tiada seorangpun yang dapat memasuki syurga melainkan dia suka dikembalikan ke dunia. Baginya tiada satupun yang bermakna di muka bumi selain dari mati syahid. Oleh kerana itu dia mengharapkan dapat kembali ke dunia supaya dia dibunuh sepuluh kali setelah mengetahui kemuliaan (mati syahid)”. (Sahih Muslim No. 4976)

عَسَى اللَهُ أَن يَكُفَّ بَأْسَ الَّذِينَ كَفَرُوا

“Mudah-mudahan Allah menahan bahaya serangan orang-orang yang kafir itu.”

Allah ﷻ memberi isyarat bahawa Allah ﷻ boleh bantu untuk mematahkan serangan orang kafir. Dan memang dalam ayat-ayat yang lain, Allah ﷻ telah berjanji akan membantu tentera Islam asalkan mereka mematuhi syarat-syarat ketenteraan.

Kita boleh belajar syarat-syarat itu di dalam Surah Baqarah dan lain-lain. Ringkasnya kena amalkan agama dan kena taat kepada pemimpin.

وَاللَهُ أَشَدُّ بَأْسًا وَأَشَدُّ تَنكِيلًا

“Dan (ingatlah) Allah amatlah besar kekuatanNya dan amatlah berat azab seksaNya.”

Allah ﷻ nak ingatkan yang Dia lebih kuat dan hebat dari sesiapa pun termasuklah dari tentera orang kafir. Dan Allah ﷻ akan duduk di sebelah pihak tentera mukmin. Jadi, apa lagi yang hendak ditakutkan?

Kalimah تَنكِيلًا maksudnya menjadikan seseorang sebagai peringatan kepada orang lain. Macam undang-undang Hudud dijalankan dengan keras, supaya orang lain lihat sendiri dn takut nak buat dosa itu kerana hukumnya amat keras. Sebab orang lain tengok apakah hukuman yang dikenakan kepada orang yang telah sabit kesalahan mereka, ada yang kena potong tangan dan ada yang kena pancung, mereka pun sudah takut untuk melakukan kesalahan-kesalahan itu.

Begitu juga dengan tentera kafir. Allah ﷻ boleh jadikan mereka kalah teruk sampaikan mereka itu menjadi peringatan kepada musuh orang Islam yang lain, sampai mereka tidak berani nak melawan tentera Islam lagi. Supaya mereka tidak berani mempermain-mainkan Islam. Macam zaman sekarang, senang sahaja Islam dipermainkan dan tidak ada apa yang kita boleh buat terhadap mereka.

فَاللُه خَيرٌ حافِظًا ۖ وَهُوَ أَرحَمُ الرّاحِمينَ

Fallāhu khairun ḥāfiẓaw wa huwa arḥamur-rāḥimīn(a).

“Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga dan Dia adalah Maha Penyayang diantara para penyayang.”

Surah Yusuf Ayat 64

ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ

Tafsir

قالَ هَل آمَنُكُم عَلَيهِ إِلّا كَما أَمِنتُكُم عَلىٰ أَخيهِ مِن قَبلُ ۖ فَاللُه خَيرٌ حافِظًا ۖ وَهُوَ أَرحَمُ الرّاحِمينَ

“Berkata Ya’qub: “Bagaimana aku akan mempercayakannya (Bunyamin) kepadamu, kecuali seperti aku telah mempercayakan saudaranya (Yusuf) kepada kamu dahulu?”. Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga dan Dia adalah Maha Penyayang diantara para penyayang.”

قالَ هَل آمَنُكُم عَلَيهِ

“Berkata Ya’qub: “Adakah aku akan mempercayakannya kepadamu”

Nabi Ya’qub berkata, bagaimanalah baginda hendak percayakan mereka lagi? Nabi Ya’qub tidak percaya kepada mereka kerana takut jadi seperti dahulu. Walaupun kali ini anak-anaknya itu memang ikhlas untuk menjaga Bunyamin, tetapi baginda tidak tahu kerana baginda tidak tahu hati mereka. Baginda tidak tahu perkara ghaib.

Ini adalah akidah pegangan kita – iaitu para Nabi tidak tahu perkara ghaib melainkan apa yang disampaikan kepada mereka sahaja. Malangnya, ada kalangan orang Islam sendiri yang salah faham perkara ini – mereka sangka para Nabi itu tahu perkara ghaib. Ini adalah kerana tidak belajar sahaja kerana banyak sangat dalil dalam Qur’an tentang perkara ini.

Yang lagi teruk, mereka sangka ada manusia yang bukan Nabi pun tahu perkara ghaib. Kerana itulah ada yang takut dengan orang alim, guru mereka dan sesetengah manusia. Mereka sangka yang orang-orang itu tahu isi hati mereka, tahu apa yang mereka telah buat. Maka ini adalah syirik kerana percaya ada makhluk yang memiliki kuasa Allah ‎ﷻ.

إِلّا كَما أَمِنتُكُم عَلىٰ أَخيهِ مِن قَبلُ

“seperti aku telah mempercayakan saudaranya (Yusuf) kepada kamu dahulu?”

Baginda katakan baginda takut akan terjadi lagi seperti yang mereka lakukan terhadap Nabi Yusuf dahulu. Waktu itu mereka beriya-iya berjanji untuk menjaga Nabi Yusuf namun kemudian mereka kata baginda dimakan serigala. Jadi baginda tidak salah kalau berpegangan begitu kerana mereka dahulu sudah ada rekod buruk. Mereka memang anak-anak yang tidak boleh dipercayai.

Ayat ini mengajar kita yang Nabi Ya’qub tidak tahu perkara ghaib walaupun baginda seorang Nabi. Baginda tidak tahu perancangan yang dilakukan oleh Nabi Yusuf adalah sebenarnya untuk menjaga Bunyamin.

فَاللُه خَيرٌ حافِظًا

“Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga”

Baginda memberitahu mereka yang Allah ‎ﷻ yang paling baik menjaga. Bukan baginda yang jaga; dan bukan juga mereka yang menjaga. Kalau mereka kata mereka hendak jaga pun, tetapi itu bukanlah dalam tangan mereka. Mereka boleh berharap sahaja, namun ketentuan di tangan Allah ‎ﷻ.

وَهُوَ أَرحَمُ الرّاحِمينَ

“dan Dia adalah Maha Penyayang diantara para penyayang.”

Nabi Ya’qub tersedar yang baginda telah marah kepada anak-anaknya, jadi baginda doa balik untuk menenangkan dirinya. Baginda ingatkan diri baginda yang Allah ‎ﷻ yang penyayang dan baginda kena serahkan Bunyamin kepada ketetapan Allah ‎ﷻ.

Ini mengajar kita, kalau apabila sudah marah pun kena ingat kepada Allah ‎ﷻ. Walaupun baginda berat hati untuk melepaskan, tetapi baginda kasihan juga kepada anak-anaknya itu. Ini kerana mereka memang memerlukan bantuan dari negeri Mesir dan tidak ada pilihan lain melainkan kena membenarkan Bunyamin ikut sekali pada tahun hadapan.

Surah an-Nisa Ayat 84 & Surah Yusuf 64

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir