Your cart is currently empty!
Ayat perlindungan daripada syaitan
بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
إِنَّهُ يَرىٰكُم هُوَ وَقَبيلُهُ مِن حَيثُ لا تَرَونَهُم ۗ إِنّا جَعَلنَا الشَّيٰطينَ أَولِياءَ لِلَّذينَ لا يُؤمِنونَ
Innahū yarākum huwa wa qabīluhū min ḥaiṡu lā taraunahum, innā ja‘alnasy-syayāṭīna auliyā’a lil-lażīna lā yu’minūn(a).
“Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.”
Surah al-A’raf 27
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir
Ini nasihat kedua yang dimulakan dengan seruan wahai anak-anak Adam. Ini adalah tentang hikmah pakaian.
كُمُ الشَّيطٰنُ كَما أَخرَجَ أَبَوَيكُم مِّنَ الجَنَّةِ يَنزِعُ عَنهُما لِباسَهُما لِيُرِيَهُما سَوءٰتِهِما ۗ إِنَّهُ يَرىٰكُم هُوَ وَقَبيلُهُ مِن حَيثُ لا تَرَونَهُم ۗ إِنّا جَعَلنَا الشَّيٰطينَ أَولِياءَ لِلَّذينَ لا يُؤمِنونَ
“Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.”
يٰبَني ءآدَمَ لا يَفتِنَنَّكُمُ الشَّيطٰنُ كَما أَخرَجَ أَبَوَيكُم مِّنَ الجَنَّةِ
“Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga,”
Janganlah lagi kamu ditipu oleh syaitan sebagaimana datuk nenek kamu telah dikeluarkan dari syurga. Jangan biarkan mereka datang kepada kamu pun. Kamu patut benci kepada syaitan kerana segala keburukan yang ada pada mereka, termasuklah kerana mereka telah menyebabkan Datuk dan Nenek kita yang telah susah kerana dikeluarkan dari syurga kerana tipu daya mereka.
Seperti juga jika ada orang yang mengganggu ahli keluarga kita, kita pun marah kepada mereka, bukan? Maka kenalah kita benci kepada syaitan. Namun adakah kita berasa begitu? Adakah kita rasa yang Nabi Adam dan Hawwa’ itu sebagai orang yang tidak ada kena mengena dengan kita, sampaikan kita tidak rasa sakit hati pun apabila mereka diperlakukan sedemikian oleh Iblis?
Janganlah kita bersikap begitu. Hendaklah kita sayang kepada mereka berdua sebagaimana juga kita sayang kepada ibubapa kita sendiri. Musuh mereka adalah musuh kepada kita. Maka sebagai musuh, kita hendaklah tahu bagaimana cara mereka menipu manusia, iaitu dengan belajar ilmu Talbis Iblis (Belitan Iblis) supaya kita tahu dengan jelas bagaimana untuk mempertahankan diri kita daripada penipuan syaitan dan iblis.
يَنزِعُ عَنهُما لِباسَهُما لِيُرِيَهُما سَوءٰتِهِما
“ia menanggalkan daripada keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya.”
Lihatlah apa yang telah syaitan lakukan, dia telah menyebabkan tercabut pakaian Nabi Adam dan Hawwa’ yang akibatnya ternampak aurat mereka. Tidakkah kita rasa marah dengan perbuatan syaitan itu? Oleh itu, jangan ikut syaitan. Jangan termakan dengan pujukan dan bisikan mereka, dan kenalah kita belajar bagaimanakah cara-cara mereka menipu.
Dalam sejarah bangsa Arab, sebelum kedatangan Islam, golongan Jahiliyyah tawaf di Kaabah dalam keadaan telanjang. Perbuatan ini paling teruk kerana mengaitkan telanjang dengan ibadah pula. Ini pun adalah daripada tipu daya syaitan juga. Mereka memberi hujah, kena berbogel sebab semasa mereka dijadikan oleh Allah ﷻ dalam keadaan bogel juga. Ini adalah kerana mereka telah berjaya menelanjangkan datuk nenek kita, maka sentiasa sahaja mereka berusaha untuk menelanjangkan anak cucunya. Ini antara bid’ah yang diajar oleh syaitan dulu.
إِنَّهُ يَرىٰكُم هُوَ وَقَبيلُهُ مِن حَيثُ لا تَرَونَهُم
“Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka.”
Ayat ini memberitahu kita yang syaitan boleh melihat kita, dia dan anak keturunan dia – dalam kalangan jin. Dan bukan itu sahaja, Allah ﷻ beritahu juga yang kita sendiri tidak boleh nampak mereka. Oleh kerana itu ancaman daripada mereka amat tinggi kerana kita tidak nampak musuh kita yang hendak menipu kita. Kalau nampak dengan mata, maka senang untuk elak, bukan?
Perkara ini penting untuk diketahui kerana ada ramai yang ada kekeliruan dengan perkara ini. Ramai yang kata mereka boleh nampak jin, nampak hantu, boleh rasa jin ada berapa ekor dalam bilik, boleh nampak bayangan jin, boleh ‘scan jin’ dan sebagainya. Ini tidak patut berlaku kerana yang sepatutnya kita tidak boleh langsung nampak mereka.
Dan kalau ada kisah yang manusia boleh nampak, itu ada dua kemungkinan: mungkin kerana seseorang itu ada karomah atau kerana memang orang itu memang rapat dengan syaitan. Disebabkan rapat dengan jin sampai boleh nampak dan rasa kehadiran jin. Jika berkawan dengan jin dan beramal dengan amalan yang jin suka, maka jin akan menampakkan diri mereka kepada kawan mereka.
Adat kebiasaannya, manusia memang tidak boleh nampak syaitan. Rupa asal syaitan tidak boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi yang biasa boleh nampak itu hanyalah jelmaan dia sahaja. Daripada hadith kita tahu hanya keldai dan anjing sahaja yang boleh melihat jin dalam rupanya yang asal.
Daripada Jabir Bin Abdullah, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
إِذَا سَمِعْتُمْ نُبَاحَ الْكِلَابِ، وَنَهِيقَ الْحُمُرِ بِاللَّيْلِ، فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ فَإِنَّهُنَّ يَرَيْنَ مَا لَا تَرَوْنَ
“Apabila kamu mendengar anjing menyalak dan tempikan suara keldai pada waktu malam maka hendaklah kamu memohon perlindungan dengan Allah kerana sesungguhnya anjing dan keldai itu nampak akan apa yang kamu tidak nampak.”
Riwayat Abu Dawud, al-Nasai’iy di dalam al-Sunan al-Kubra 10778 dan Ahmad 14283. Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij al-Musnad 14283 menyatakan sanad hadith ini Hasan.
Manusia biasa nampak jin pun hanya dalam bentuk jelmaan sahaja. Ini boleh terjadi jika mereka menjelma seperti rupa manusia (atau hantu). Ini seperti kisah Abu Hurairah yang menangkap jin yang menyerupai manusia. Seperti juga malaikat, kalau mereka menjelma menjadi manusia, maka kita boleh melihat mereka. Namun itu jarang sekali berlaku. Jika seseorang itu mendapat karomah sekalipun, tidaklah sentiasa boleh nampak jin syaitan itu. Tidak ada sesiapa yang mahu nampak jin sentiasa. Kalau rupa comel tidak mengapa, tetapi mereka hodoh yang amat.
Oleh kerana itu, jika seseorang itu mengatakan mereka boleh nampak atau “scan jin”, itu ada masalah. Sampaikan Imam Syafi’iy menolak persaksian orang yang mengaku boleh melihat jin. Maknanya persaksian mereka ini tidak laku di mahkamah dan tidak layak menjadi saksi.
Namun begitu timbul juga persoalan kenapakah mereka boleh nampak? Berkemungkinan besar, mereka boleh berasa kehadiran jin itu kerana mereka sendiri ada mengamalkan amalan yang salah, yang telah mendekatkan jin dengan mereka. Ini termasuklah mereka yang banyak mengamalkan ‘perubatan Islam’ yang sebenarnya tidak ada kena mengena dengan Islam pun.
Amalan mereka banyak yang syirik dan bid’ah, sampaikan jin suka duduk dengan mereka. Ini kerana amalan mereka sebenarnya memanggil jin sahaja. Itulah bahayanya jika berubat dengan mereka, kerana nanti bukannya boleh menghalau jin, tetapi menambahkan jin pula. Oleh itu, kenalah diperiksa apakah amalan harian mereka.
Ayat ini juga memberitahu kita, jin syaitan itu sentiasa sahaja memerhatikan kita, kerana tugas mereka memang untuk menyesatkan kita dengan membisikkan perkara-perkara yang tidak baik. Ini adalah kelebihan sementara yang Allah ﷻ berikan kepada mereka, dalam rangka mereka hendak menyesatkan kita.
إِنّا جَعَلنَا الشَّيٰطينَ أَولِياءَ لِلَّذينَ لا يُؤمِنونَ
“Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.”
Allah ﷻ telah beritahu yang Dia jadikan syaitan teman rapat bagi orang yang tidak beriman. Itulah sebabnya, kalau ada fahaman dan amalan syirik, syaitan akan menjadi teman rapat dia. Ini dinamakan ‘qarin’ atau quranaa’ untuk jamak. Selalu duduk dekat dengan dia, selalu menampakkan diri kepada mereka yang mengamalkan amalan syirik itu. Selalu mengajak melakukan perkara maksiat dan berdosa.
Syaitan akan sentiasa hendak membogelkan manusia. Sebab itu kalau kita lihat orang yang tidak beriman, bagaimanakah pakaian mereka? Mereka berpakaian yang tidak sesuai – pakai baju, tetapi sebenarnya berbogel kerana masih menampakkan bentuk tubuh. Maka, kita jangan jadi seperti mereka. Selalu kita risaukan tentang pakaian perempuan, tetapi bagaimana pula dengan lelaki? Lelaki pun kena jaga juga bab pakaian. Pakailah pakaian yang menutup seluruh tubuh kita, dan pakai baju yang labuh sikit. Jangan pakaian yang ketat yang boleh menarik perhatian wanita.
Untuk wanita pula, janganlah sangka tutup aurat itu dengan memakai pakaian yang setakat menutup sahaja. Hendaklah dijaga perawakan juga. Kadangkala, ada yang sudah tutup aurat dari segi pakaian, tetapi cara cakap mereka, cara jalan mereka, cara mereka bergaul, tidak sesuai dengan cara Islam. Ini kerana mereka tidak menjaga pergaulan mereka dengan lelaki. Kita nampak senang sahaja mereka bercakap-cakap dan berinteraksi dengan orang bukan mahram mereka. Ini tidak sepatutnya berlaku.
Leave a Reply